Friday, April 28, 2017

STATUS SERANGAN BSF DI MALAYSIA

BLACK SOLDIER FLY BLACK SOLDIER FLY (Hermetia illucens) merupakan sejenis serangga daripada keluarga Stratiomyidae bersaiz kecil berwarna hitam yang menjadi perosak merbahaya kepada industri ternakan lebah dan juga kelulut di negara kita. Penulis merujuk kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian, Kuala Lumpur dimana rekod menunjukkan lalat BSF ini telah menyerang sebanyak 2,600 koloni kelulut sehingga 31 Ogos 2016. Ia merupakan serangan 5.5% daripada keseluruhan koloni kelulut di Malaysia iaitu sebanyak 48,000 koloni diseluruh negara. Kerugian akibat serangan BSF ini telah dianggarkan sebanyak RM2.4 juta (Sumber: Jabatan Pertanian Malaysia). Serangga yang juga dipanggil sebagai 'Lalat soldadu hitam' ialah sejenis lalat yang biasa dimana larvanya akan hidup dengan menghuraikan kompos terutama pada tahi ayam. Sehubungan dengan itu dilaporkan bahawa larva serangga ini banyak digunakan dalam proses menyediakan dan aktiviti pengurusan baja organik. Larva dan pupae serangga ini yang terhasil dari penguraian baja organik ini boleh juga digunakan sebagai makanan ikan hiasan atau makanan ternakan lain. Telor lalat BSF ini akan mengambil masa hanya 4 hari untuk menetas dan biasanya terdapat pada celah kayu atau berhampiran dengan bahan yang sedang mereput. Kerosakkan oleh serangga ini biasanya akan berlaku terhadap industri lebah dan kelulut apabila serangga dewasa bertelur dalam koloni lebah atau kelulut dimana telur yang menetas menjadi larva mengambil madu, roti lebah dan keseluruhan broodcell dalam proses pembesarannya. Akibatnya adalah dimana keseluruhan koloni akan terhapus dalam beberapa hari sahaja selepas dijangkiti oleh larva ini. Bagaimana pun penulis melihat selalunya tidak ada berlaku kerosakkan akan berlaku pada struktur propolis kerana ia ada kandungan lilin yang tinggi. Kes serangan serangga ini kurang dilaporkan oleh penternak pada waktu dahulu dahulu tetapi kini sudah kerap kedengaran apabila peserta projek kelulut mula terganggu. Artikel subuh ini saya berusaha untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis serangga perosak dinamakan Black Soldier Fly (BSF) atau mudahnya dipanggil Lalat Soldadu Hitam dan beberapa kaedah atau cara kawalan jika berlaku serangan sebagai bahan bacaan dan rujukkan anda.


Serangga BSF ini merupakan jenis lalat kosmopolitan dari famili Stratiomyidae dimana ia sebenarnya bersaiz agak agak besar seakan penyengat. Ia mempunyai sepasang sayap dan tidak mempunyai penyengat. Biasanya ditemui dalam persekitaran luar berhampiran ternakan atau bahan organic yang mereput, termasuk sisa haiwan. Pengalaman penulis blog mendapati BSF dewasa biasanya ditemui berehat pada tumbuh-tumbuhan, batang pokok dan dinding dan tingkap di kawasan perumahan dan persekitaran. Bagaimana pun peringkat yang merosakkan koloni kelulut adalah Larvanya. Larva digunakan secara meluas dalam pengurusan baja, mengawal populasi lalat rumah dan penukaran sisa organik kepada produk yang berguna seperti kompos. Dalam pada itu juga ada yang telah menjadikan larva untuk dijual sebagai sumber makanan yang penting untuk binatang peliharaan seperti amfibia, ikan dan ayam kerana kandungan kalsium tinggi. Tinjauan penulis blog mendapati dari segi ekonomi ianya mampu didalam mengurangkan kos pengurusan sisa buangan di tapak pelupusan. Bahan buangan yang dikompos oleh BSF diguna semula untuk dijadikan baja dan larva dan pre-pupa tinggi lemak dan protein amat sesuai untuk makanan ikan. Dalam kes lain dilaporkan pre-pupa boleh dijual untuk makanan ikan dan haiwan peliharaan. Lazimnya penggunaan BSF dalam pengurusan sisa najis dalam industri ternakan dapat meningkatkan pulangan hasil tahunan.



Tanda-tanda serangan BSF ada berbagai yang boleh kita kenali. Berikut adalah tanda yang penulis blog selelu dapat lihat dilapangan:

1. Terdapat perubahan bentuk pada corong pintu masuk sarang. Corong pintu masuk sarang kelihatan agak kering dimana ia jelas dilihat seperti foto dibawah.

2. Biasanya Koloni menjadi lemah dan aktiviti kelulut keluar masuk kurang.

3. Kantung madu didalam kotak super pecah dimana akan dilihat ada lelehan madu pada sarang dan juga ada madu berbau masam.

4. Kantung madu atau 'bee bread' telah pun biasanya telah dipenohi Larva 
atau ulat BSF. Selalunya akan ada kehadiran BSF dewasa di sekitar sarang. 


5. Propolis akan kelihatan seperti berdebu (seperti tanda terkena serangan kulat) tetapi sebenarnya tanda awal kehadiran larva BSF dalam sarang kelulut.

6. Terdapat larva BSF dalam kantung madu semasa dibuat pemeriksaan.

7. Struktur sarang dalam kotak koloni menyusut. Ia menjadi rwput seperti tiada kelulut yang menjaganya.

Didalam menjalankan pemantauan dan pemeriksaan kepada pengusaha kelulut, penulis mendapat banyak maklumat mengenai kaedah untuk mengurangkan atau mengawal serangan BSF. Bagaimana pun asasnya terdapat 7 kaedah yang boleh diamalkan bagi mengawal serangan BSF ini di Malaysia. Pertama adalah dengan mempastikan kawasan ternakan kelulut hendaklah bersih, jauh dari kawasan ternakan ayam yang ada najis atau pusat pengkomposan najis haiwan, pengurusan bahan organik dan ternakan BSF. Cara kedua adalah dengan memasang kotak topping madu dengan kemas, tiada sebarang lubang kecil untuk serannga BSF dewasa masuk kedalam koloni. Ke 3 dengan cara memasang jaring atau netting pada log untuk elakkan daripada serangga BSF dewasa bertelur. Teknik kawalan ke 4 dengan menyediakan perangkap untuk BSF bertelur. Ke 5 sebaiknya dipindahkan Ratu atau Koloni Kelulut yang telah diserang ke kotak baru jika koloni masih boleh diselamatkan. Kaedah yang lazim penulis blog lihat adalah dimana ramai pengusaha kelulut yang memusnahkan log dengan cara membakar bagi koloni yang tidak dapat diselamatkan. Akhir sekali yang paling penting adalah pengusaha kelulut selalu atau sentiasa memereksa kelulut. Kadar serangan BSF ini dilaporkan memuncak pada tahun 2016 apabila kemarau panjang dan suhu panas diikuti dengan hujan sekitar bulan Jun - Ogos 2016. Pemantauan penulis blog mendapat kadar serangan BSF berkurangan semenjak Januari - Mei 2017 kerana perubahan cuaca persekitaran dan kesedaran ramai pengusaha kelulut. Semuga artikel dalam anim agro technology ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!!..
NAMA SINGKATAN BSF... APA DIANYA...
SERANG KELULUT...SERANGGA BAHAYA..
KERUGIAN DIREKODKAN....RM2.4 JUTA...
PERLU DIKAWAL... ILMU MESTI ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Ternakan Kelulut,
Kg Paya Gaung, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(27 Rejab 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.