Tuesday, April 4, 2017

POKOK DURIAN EKSPRESS?

POKOK DURIAN EKSPRESS?.... Itulah perkataan yang kini sesuai digunakan untuk mendapatkan pokok durian dari varieti yang mempunyai harga yang mahal seperti Varieti Musang King (D197). Kini tinjauan penulis blog mendapati untuk tahun 2016 harga runcit durian Musang King atau ia sebenarnya ia adalah sinonim dengan varieti Durian Raja Kunyit mencecah diantara RM25.00 - RM45.000 pada musim utama Jun - September 2016 dan mencecah RM55.00 - RM60.000 pada bulan Disember 2016. Penulis juga telah mendapati Durian Musang King Organik (disahkan dengan persijilan MyOrganic daripada jabatan Pertanian) dijual dengan harga RM100.00 - RM150.00 sebiji (Berat diantara 1.5 - 1.8 kg sebiji). Mulai tahun 2016 telah ramai petani yang mempunyai pokok durian daripada pelbagai varieti seperti D16, D24, D2 dan beberapa varieti lain tetapi keutamaan untuk menukar dari durian Varieti Kampong (varieti yang tidak didaftarkan) telah menukarkan kepada varieti Musang King. Kini kenalan penulis iaitu En Zamri dari Kg Pamah Rawas di Raub merupakan usahawan muda kini berjaya mengeluarkan benih durian Musang King dengan harga sekitar RM15.00 sepokok. Anak pokok D197 beliau pernah mendapat khidmat kepakaran Jabatan Pertanian dalam Skim Pengesahan Benih Tanaman (SPBT) yang mengesahkan ketulianan varieti. Daerah Raub di Pahang adalah diantara beberapa daerah di Negeri Pahang yang kini dikenalpasti sebagai kawasan pengeluaran utama durian terutama varieti Musang King. Terdapat sekitar 13,300 hektar tanaman durian yang dibuat inventori oleh Jabatan Pertanian di Daerah Raub menggunakan teknologi ARGIS. Jabatan Peranian telah memberikan pelbagai insentif penanaman durian dibawah Kluster Durian dimana antaranya adalah aktiviti CANTUMAN DEWASA yang mana kini dijenamakan semula oleh orang suratkhabar sebagai 'Durian Ekspress'. Kini teknologi tersebut telah menjadi viral dalam internet bagaimana teknologi cantuman dewasa ini dilakukan seperti didalam Youtube, Facebook, Instagram, Tweeter dan pelbagai lagi. Apa pun artikel malam ini saya yang ada berdekatan dengan teknologi ini cukup genbira apabila wartawan Mohamad Hussin daripada Harian Metro membuat rencana dalam ruangan Agro pada 1 Febuari 2017 bagaimana 'pokok durian ekspress' ini dilakukan. Saya ada menulis beberapa rencana berkaitan teknologi ini semenjak lama dulu untuk dikongsi bersama (Sila Klik Disini), (Sila Klik didini), (Sila Klik DIsini) dan beberapa lagi. Artikel kali ini dalam "Anim Agro Technology" saya meupas semua teknologi durian ekspress atau cantuman dewasa durian untuk dijadikan pokok yang berkualiti sebagai bahan rujukkan.


Akhbar memulakan kenyataan dengan menyatakan bahawa kini istilah durian segera, ekspres atau pintas sudah sinonim dengan Teknologi Cantuman Dewasa Durian (TCDD). Setiap kali musim durian pastinya penggemar raja buah itu tidak sabar menanti akan masa kemunculan pelbagai jenis durian yang enak dan sedap. Malah raja buah turut menjadi ‘kegilaan’ pelancong asing yang datang ke negara ini dan ada yang sanggup terbang beribu-ribu kilometer ke Malaysia semata-mata mahu menikmati keenakan buah yang berprestij itu. Penulis blog Anim Agro Technology telah beberapa kali melawat negara jiran Thailand yang mana mereka menjadikan 3 jenis durian mereka untuk pasaran eksport iaitu Varieti Durian Chanee, KanYou dan Munthong. Buah durian Siam untuk pasaran eksport bagaimana pun adalah buah yang dipetik matang dipokok (Kalau di Malaysia tunggu gugur). Buah yang dipetik ini akan dipilih, dibuat rawatan dan kemudian dipek dalam kotak sebelum dihantar keluar negara melalui kapalterbang. Penulis sempat melihat bagaimana proses pengeskportan buah durian Thailand di Bangkok. Terdapat rangkaian baik daripada penanaman, pengumpulan hasil durian, pemproses, pengangkutan, pembungkusan sehingga ia dihantar keluar negara dengan masa yang cepat dan cekap. Saya ada menulis perkara ini dalam tulisan sebelum ini (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Negara tersebut adalah jaguh pasaran durian eksport terhebat didunia dengan menguasai hampir 75% pasaran durian dunia masa kini. Teknologi penanaman, penggredan, kawalan kualiti, rawatan dan juga pengangkutan cekap membolehkan Thailand menguasai pasaran buah durian. 

Bebalik kita kepada Pokok Durian Ekspress dan menyedari hakikat itu, kini Pejabat Pertanian Daerah (PPD) Raub, Pahang yang terkenal dengan kawasan tumpuan penanaman durian Musang King telah memperkenalkan Teknologi Cantuman Dewasa Durian atau TCDD. Penulis blog telah lebih 5 tahun terlibat dengan beberapa pegawai di Raub dan Usahawan tenpatan untuk meningkatkan teknologi TCCD ini. Sebenarnya konsep asasnya adalah menggantikan varieti pokok durian yang tidak dikehendaki kepada varieti yang lebih ekonomik dan mengikut pilihan usahawan tani sendiri. Pokok ini sama ada ditanam daripada anak pokok cantuman atau daripada biji yang tumbuh sendiri yang kurang produktif atau kualiti buah kurang baik perlu digantikan dengan varieti yang lebih baik dan bernilai tinggi dipasaran. Antara varieti yang menjadi pilihan tidak asing lagi iaitu varieti D197 (Raja Kunyit @ Musang King), D24, D198 (Kim Hong @ Golden Phoenix), durian duri hitam (Ochee) dan pelbagai lagi varieti yang dikehendaki usahawan. Penolong Pegawai Pertanian (Unit Hortikultur), PPD Raub Mohd Ali Hanafiah Mazlan berkata, Musang King antara jenis durian popular masa kini. Beliau berkata dimana teknik ini juga digunakan untuk mencantum varieti baru yang mempunyai ciri lebih baik dan ada nilai komersial. Sistem pengakaran yang sudah tersedia dan stabil menjadikan ia satu bonus besar untuk tumbesaran pokok durian berkenaan. Melalui teknologi ini, pokok durian dapat menghasilkan buah seawal empat hingga lima tahun selepas cantuman dijalankan. 

Pemilihan pokok yang dicantum adalah daripada pokok yang sihat dan bebas daripada penyakit atau perosak. Ini adalah kerana ia tidak sihat akan merendahkan peratus kejayaan cantuman serta risiko kematian pokok asal adalah sangat tinggi. Pada penulis blog sebenarnya terdapat dua kaedah dalam teknologi ini iaitu pembentukan semula tunas penanti baru dan cantuman terus pada pokok penanti (patch). Aktiviti memberi latihan dan kefahaman sering dilakukan dengan petani seperti ketika demonstrasi cantuman pokok durian di Raub baru-baru ini. Mohd Ali berkata, kaedah tunas penanti baru dihasilkan melalui tiga kaedah iaitu kaedah tebang (tunggul), kaedah pollarding (1-2 dahan ditinggalkan sebagai jaminan kelangsungan hidup) dan kaedah ketiga adalah kaedah kelaran. Foto disebelah adalah bagaimana pucuk dahan untuk dijadikan mata tunas bagi tujuan cantuman dewasa (Sila lihat foto disebelah). Ia diambil daripada pokok induk varieti yang dikehendakki yang telah disahkan atau diperiksa oleh pakar daripada Jabatan Pertanian. 

Dalam tempoh satu hingga ke tiga bulan tunas penanti baru mula tumbuh dan dicantum melalui kaedah baji, cantuman mata tunas, cantuman patch ranting atau sanding. Sementara bagi kaedah cantuman patch dilakukan dengan membuat cantuman terus pada pokok penanti dewasa dan pokok asal ditebang secara berperingkat selepas cantuman berjaya. Pemilihan pokok yang sihat tanpa sebarang serangan perosak atau penyakit mampu meningkatkan peratus kejayaan cantuman. Menurutnya, cantuman perlu dilakukan pada aras 1.0 meter (m) hingga 1.2m dari aras tanah. Terdapat empat amalan bagi penyelenggaraan dan penjagaan pokok selepas cantuman berjaya dilakukan iaitu keperluan air dan sistem pengairan, cantasan penjagaan, menebang pokok penanti atau pokok dewasa. Foto berikutnya adalah bagaimana membuat cantuman dewasa durian dijalankan:-

Mengambil mata tunas D197


Membuang kulit pokok durian dewasa.

Mengambil mata tunas (scion) untuk cantuman.

Melekatkan mata tunas pada tapak cantuman.

Mengikat mata tunas dengan plastik lutsinar.

Ikatan kemas plastik pada cantuman matatunas dewasa.


Cantuman dewasa durian yang telah berjaya dilakukan.

Tali juga digunakan bagi menyokong pokok dari patah. Kemudian pokok penanti atau dewasa ditebang selepas hari ke 60 hingga 90 hari selepas cantuman berjaya dilakukan,” katanya. Sebenarnya jarak cantuman yang hendak dilakukan yang sesuai adalah dalam lingkungan satu kaki ke atas dari tapak cantuman. Muka keratan pokok yang ditebang hendaklah dipotong pada sudut 300 hingga 450' bagi mengelak berlakunya takungan air pada pokok. Kajian kes menunjukkan melalui teknologi ini maka pokok durian mampu berbuah seawal empat hingga lima tahun selepas cantuman dijalankan. Seterusnya adalah proses penjagaan dan kawalan terhadap bilangan buah perlu dititik beratkan mengikut usia pokok supaya kualiti tanaman serta hasil sentiasa dalam keadaan sihat selain konsisten. Mohd Ali berkata, teknologi ini sudah terbukti sangat praktikal bagi usahawan tanaman durian yang ingin menggantikan pokok lama kurang ekonomik atau komersial kepada varieti dikehendaki. Teknologi ini adalah selari dengan permintaan dan nilai tinggi. Teknologi ini dapat memartabatkan industri pertanian di negara kita ke arah peringkat global berpaksikan Amalan Pertanian Baik (APB) yang dijayakan oleh Jabatan Pertanian. Wasallam!!!.
CANTUMAN DEWASA...POKOK DAH TUA...
PELBAGAI TEKNIK...MENGIKUT CARA....
VARIETI LAMA... DIGANTI TUNAS MUDA...
MUSANG KING... PILIHAN YANG UTAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Pamah Rawas, Dong,
Raub, Pahang,
Malaysia.
(4 Rejab 1438)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.