Sunday, April 16, 2017

KELUANG - SERANG TANAMAN


KELUANG (Pteropus vampyrus) merupakan satu nama yang berkait dengan nama sejenis haiwan 'kelawar besar' dan satu lagi merupakan nama 'sebuah bandar' di Johor iaitu Bandar Kluang. Keluang merujuk kepada haiwan mamalia dalam keluarga haiwan kelawar yang juga dipanggil famili Pteropodidae. Dinegara kita haiwan yang juga merupakan satu keluarga dengan Kelawar ini sering dikaitkan dengan haiwan yang terbang pada siang (pagi) hari dimana ia juga lazimnya memakan banyak buah-buahan sehingga mampu merugikan petani. Keluang atau dalam bahasa Inggeris ianya dipanggil sebagai 'Large Flying Fox' hadir dalam musim yang dalam setahun dengan banyak terutama semasa buah-buahan banyak yang hampir masak ranum. Malaysia adalah merupakan salah satu daripada 12 negara yang patut kita banggakan dimana telah diiktiraf sebagai negara yang ada "mega diversity" dari segi bilangan dan kepelbagaian flora dan fauna. Terdapat seperti dilaporkan iaitu ada lebih 15,000 spesies pokok berbunga, 286 spesies mamalia, lebih dari 1,500 vertebrat darat, lebih dari 150,000 spesies invertebrat, lebih 1,000 spesies rama-rama dan 12,000 spesies kupu-kupu serta lebih 4,000 spesies ikan laut. Penulis yang telah merujuk kepada beberapa jurnal penulisan dan buku ilmiah mendapati telah dilaporkan keluang adalah haiwan yang tergolong dalam kumpulan benda hidup dalam alam haiwan dengan ia mempunyai tulang belakang (vertebrata). Ia juga dikelaskan dalam kelas Mamalia iaitu sejenis haiwan yang berdarah panas, melahirkan anak, menjaga anak dan  juga ada bulu di badan. Keluang sebenarnya merupakan haiwan yang masih dilindungi dan semua pemburu memerlukan lesen pemburuan untuk tujuan menangkapnya. Artikel malam Rabu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai haiwan Keluang selepas melawat Pulau Tioman baru-baru ini dan penduduk tempatan mengadu dimana haiwan keluang sering menyerang hasil buah-buahan terutama pelam dodol mereka saban tahun.


Keluang ialah jenis haiwan berdarah panas iaitu didalam kumpulan kelas mamalia. Namun sebagaimana haiwan mamalia lain, haiwan yang terbang siang dan kadang-kadang malam hari ini lazimnya akan membiak dengan beranak. Pada penulis blog mendapati dimana haiwan keluang merupakan sejenis kelawar yang amat besar dan ia dikatakan kumpulannya yang terbesar di dunia. Mereka boleh terbang mencari makan dalam sekitar 60 km radius. Walau pun ia merupakan haiwan terbang jauh tetapi lazimnya akan memakan buah-buahan yang digemarinya sahaja. Daripada rujukkan mendapati jika keluang tersebut melebarkan sayapnya ia dapat mencapai selebar 1.5 meter panjang pada spesis tertentu. Makanan utama Keluang ialah buah-buahan dan manisan bunga pada pokok yang mana ia di bezakan dengan jenis kelawar biasa biasa yang hanya memakan serangga. Satu lagi perkara yang membezakan Keluang dengan Kelawar biasa adalah ketajaman deria melihat dan deria bau yang membolehkan keluang mampu mengesan buah-buahan dan bunga-bungaan dengan lebih berkesan. Keadaan ini sebenarnya berbeza dengan kelawar biasa yang tidak bergantung kepada deria melihat dan bau tetapi sebaliknya mempunyai deria seperti sensor atau radar yang mengesan halangan atau benda bergerak dengan laju di hadapannya. Kelebihan pada kelawar adalah dimana ia mampu menangkap serangga yang sedang terbang dengan cekap. Keluang tidak memerlukan deria khusus ini kerana makanannya bukan merupakan benda yang bergerak seperti serangga yang terbang. Keluang akan datang kebuah yang hendak dimakannya dan mengigitnya.


Keluang memang makan buah-buahan ketika mana buah tersebut telah masak ranum. Antara jenis buah yang sering dimakan oleh keluang di Malaysia seperti Buah Rambutan (Nephelium lappaceum), Buan Mangga atau Mempelam (Mangifera indica), Buah Mata Kucing (Dimocarpus longan), Buah Betik (Carica papaya) dan banyak lagi buah hutan yang menjadi makanannya. Keluang akan makan buah masak ranum tersebut selain daripada ia akan menyebabkan buah lain yang tidak dimakan akan  jatuh diatas tanah. Bergantung kepada jumlah keluang yang datang, kadangkala serangannya mampu merosakkan dan menyebabkan hasil buah-buahan musnah dalam satu malam sahaja. Ini kerana keluang merupakan haiwan yang selalu akan makan buah-buahan yang terdapat dikawasan kebun atau dalam hutan dan kemudian ia akan seterusnya akan menyebarkan biji serta benih pokok ke serata tempat yang mana ia adalah amat penting dalam sistem ekologi untuk pemeliharaan hutan. Walau pun keluang merupakan musuh tradisi kepada petani tetapi dalam alam semulajadi ianya adalah agen penyebaran benih tanaman terutama pokok hutan yang sesuai.


Penulis yang baru melawat Pulau Tioman dan membuat perbincangan dengan Tok 4 dari lima buah kampong dan petani-petani sempena Hari Ladang Jabatan Pertanian menerima beberapa isu dan pemasaalahan pertanian disana. Antara masaalah yang dinyatakan adalah serangan keluang yang amat serius terhadap buah pelam dodol yang banyak ditanam dan tumbuh dipulau tersebut. Pelam Dodol merupakan sejenis pelam yang sesuai ditanam di Pulau Tioman, Pulau Aur, Pulau Tinggi, Pulau Pemanggil dan beberapa pulau lain. Penulis pada pagi hari tersebut juga dapat melihat bagaimana keluang tersebut bergantungan dibeberapa buah pokok Rhu dikawasan Kampong Tekek dengan jelas (Sila lihat foto disebelah). Keadaan ini juga menunjukkan memang keujudan haiwan keluang di Pulau Tioman ini memang jelas signifikan. Serangan keluang terhadap buah pelam dodol memang serius setiap tahun apabila buah hampir masak ranum. Sehingga kini belum ada kaedah kawalan terbaik untuk mengawal masaalah serangan keluang kecuali dengan menembaknya dengan cara dan menggunakan senapang. Bagaimana pun di pulau ini tidak dibenarkan menembak keluang kerana ianya adalah haiwan yang dilindungi dibeberapa negara dibawah peraturan. Di Pulau Tioman pula dilaporkan tiada ada petani yang ada atau mempunyai senapang untuk menembaknya. Keluang akan terbang tinggi dan pokok pelam dodol juga sudah tinggi untuk dipasang jaring (Fish Nett) bagi tujuan menghalang keluang menyerang. Dadlam kes lain di Limbang, Sarawak pula penulis juga mendapati ada aktiviti khusus untuk menangkap dengan menembak haiwan keluang ini bagi menjaga kebun-kebun mereka dari serangan keluang ini. Pada penulis pula yang uniknya keluang ini juga dijadikan makanan 'eksotik' mereka. Makanan ini telah dihidangkan kepada penulis disebuah restoren cina semasa penulis bertugas disana dahulu. Keluang ini dijadikan makanan istimewa dikalangan peminat yang mana ia disediakan dengan masakkan Keluang Masal Lada Hitam (Pepper Fried Flying Bats). Kata boss saya (En Julian Mambak) yang suka makan menu tersebut ia amat enak dengan isi tulangnya yang rangup. Keluang merupakan binatang yang dilindungi di negara jiran kita Thailand dan penulis kurang pasti sama ada di Malaysia mengenai status pemburuan haiwan keluang ini. Sebenarnya penulis mendapat tahu juga ada aktiviti untuk memburu keluang diburu untuk tujuan makanan, perubatan dan juga sukan di sekitar nusantara ini.


Dalam membuat rujukkan penulis mendapat info dimana dianggarkan terdapat lebih kurang 500,000 ekor keluang yang masih tinggal di Malaysia dan jika aktiviti memburunya tidak dikawal ia akan pupus sekitar tahun 2015. Pada penulis memang agak malang jika haiwan keluang ini pupus dimana generasi akan datang tidak dapat menyaksikannya lagi. Ramai masih menganggap kelawar dan keluang mempunyai sifat sama. Perbezaan yang sering disebut oleh orang yang mengatakan keluang dan kelawar sama hanyalah pada ukurannya sahaja. Sebenarnya keluang dan kelawar amat berbeza. Tabiat keluang berbeza dengan kelawar dimana jika kelawar keluar pada waktu malam tetapi lazimnya haiwan keluang pula keluar pada waktu pagi. Sifatnya waktu cari makan sama dengan burung yang keluar waktu pagi dan pulang ke sarang pada waktu petang. Makanan utama keluang ialah buah-buahan sedangkan kelawar pula suka makan serangga. Dari maklumat menunjukkan keluang mempunyai mata boleh melihat dan oleh sebab itu selalunya keluang akan terbang berkawan dan arah terbangnya lurus seperti burung. Keluang terbang jauh pergi mencari makan hingga berpuluh-puluh kilometer dari tempat tinggalnya setiap hari. Semasa keluang terbangdilaporkan kadang kala keluang mengeluarkan bunyi nyaring. Mana-mana tempat mempunyai dusun pokok sedang berbuah akan menjadi tumpuan kumpulan keluang. Keluang menjadi musuh utama bagi pemilik dusun dimana ia juga musuh tanam selain dari ancaman tupai dan musang. Sebagai perbandingan lanjut kelawar tidak mempunyai mata yang berfungsi untuk melihat. Kelawar ada mata, tetapi buta. Kelawar terbang secara rawak (tidak lurus) dan bergantung kepada deria bunyi untuk mengelak melanggar sesuatu. Selalunya pada waktu petang (hampir malam), keluang akan berkumpul sambil mengeluarkan bunyi yang nyaring. Dalam peribahasa Melayu ada menyebut, “bagai keluang bebar petang” yang bermaksud orang berkerumun (berhimpun) beramai-ramai. Kini generasi baru hanya kenal "KLUANG MAN' yang menjadi hero dalam kartun dan filem dinegara kita. Semua anda mendapat info bergina dari blog anim agro technology yang ke 4,328 kali ini. Wasallam!!!.


Keluang bergantungan di pokok Rhu, Kg Tekek, Tioman.
HAIWAN KELUANG... BESAR SAIZNYA....
MAKAN BUAH-BUAHAN... BANYAKNYA...
PERLU DIKAWAL... BAGAIMANA CARA...
MENULIS ARTIKEL... HATII GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room Q2, Peladang Inn,
Kampong Tekek, Pulau Tioman,
Rompin, Pahang,
Malaysia.
(8 April 2017)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.