Sunday, April 2, 2017

KELADI LAMBUK VS KELADI BIRAH


KELADI merupakan sejenis tumbuhan tropika yang dirujuk sebagai sekumpulan tumbuhan dalam famili Araceae seperti dalam genus Alocasia, Caladium dan Dieffenbachia. Foto diatas adalah sejenis keladi tempatan yang dikenali dengan KELADI LAMBOK yang tingginya melebihi 2 meter di Kg Budu, Kuala Lipis, Pahang dimana penulis ada banyak menulis berkaitan keladi ini (Sila klik disini), (Sila klik disini)  dan (Sila klik disini). Terdapat banyak spesis keladi daripada yang boleh dimakan, tidak boleh dimakan dan banyak untuk tujuan landskap Dalam penulisan ini saya merujuk kepada satu spesies keladi yang khusus dalam subfamili  yang biasa ditanam seperti Colocasia esculenta. Walau pun ada rujukkan yang nyatakan keladi berasal dari India Selatan dan Asia Tenggara tetapi di negara kita ia juga adalah natif. Pokok keladi adalah jenis tropika saka yang mempunyai pelbagai warna daun, tumbuh subur di kawasan bertanah gambut yang redup. Pada tinjauan penulis blog mendapati pokok keladi terdapat dengan meluas di negara kita dengan pelbagai spesies pokok keladi seperti keladi hutan, keladi minyak, keladi gajah, Keladi Putih, Keladi Betawi dan juga Keladi Udang. Pokok keladi ini mempunyai pelbagai warna daun, tumbuh subur di kawasan bertanah gambut yang redup. Terdapat jenis pokok keladi yang lebih sesuai sebagai tanaman hiasan, sama ada ditanam dalam pasu atau di halaman rumah kerana tumbuhan ini hanya memerlukan cahaya matahari yang sederhana. Ia juga boleh ditanam di dalam pasu bagi menghiasi kawasan dalaman rumah. Pokok keladi jika terdedah kepada langsung kepada bahang matahari yang terik akan menyebabkan daunnya pucat dan cepat layu. Kadar suhu paling sesuai bagi tanaman ini antara 25 hingga 30 darjah Celsius. Pokok keladi dari keluarga Araceae dengan nama saintifiknya Caladium. Ia membiak menerusi ubi atau rizomnya iaitu pada paras permukaan tanah saja. Antara variasi keladi yang cantik dan menjadi pilihan peminat seni taman ialah Caladium Bicolor yang mempunyai warna merah cerah di tengah dan hijau pada bahagian tepi daunnya. Warna putih dan berjalur hijau nampak cerah dan menawan. Artikel malam ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai apakah dia keladi lambuk dan keladi birah sebagai satu coretan teknikal untuk dijadikan bahan rujukkan yang jarang ditulis.

Terdapat bermacam jenis keladi yang mempunyai marfologi, habitat dan kegunaan berlainan. Bagi pokok keladi yang tidak tinggi latarnya boleh dihiasi dengan pokok pisang sepit, Dracaena atau tumbuhan kumpulan Pleomele (pandan India) yang boleh dibiakkan dengan keratan batang. Sebagai contoh jenis Keladi putih pula boleh diserlahkan keunikan daunnya dengan menanam pada rumpun pokok palma yang berdaun hijau tua dan persekitarannya boleh dihiasi sama ada dengan batu kerikil, batu bukit atau batu pulau. Sementara itu jenis keladi gajah atau keladi gergasi, penanamannya kelihatan lebih menarik apabila pokok bunga mawar, bunga lili atau jenis carnation dijadikan objek hiasan bawahan. Umumya saya berpendapat para peminat pokok keladi harus diingat, penanaman di dalam rumah juga masih memerlukan sinar cahaya matahari. Keladi yang mendapat sedikit cahaya terutama di tempat yang gelap menjadikan tangkainya panjang dan sukar diurus. 

Berbalik kepada tajuk diatas penulis ada membuat pencirian berkaitan ddengan  Keladi Lambuk semasa membuat tinjauan di Daerah Kuala Lipis, Jerantut dan Raub untuk mengenali lebih baik keladi jenis ini. Pokok keladi lambuk yang tumbuh meliar dikawasan lembab berair lazimnya membiak pada musim hujan. Pada waktu inilah keladi inii tidak sesuai untuk dikutip bagi tujuan dijadikan sayuran atau untuk dimasak. Ini kerana lazimnya pada waktu ini ia berada diperingkat pembiakan (reproductive stage) yang mengeluarkan SULUR BUNGA yang memang GATAL apabila dimakan. Keladi lambuk pada peringkat ini menyebabkan keradangan pada tekak dan tidak menyenangkan. Sebaiknya keladi lambuk dituai pada peringkat vegetatif semasa ia menghasilkan SULUR UMBI yang sesuai untuk dimakan. Pokok keladi lembuk lazimnya akan mempunyai daun yang berwarna hijau muda keputihan dengan saiz daun 0.35 meter ke 0.5 meter lebar. Lazimnya ukuran panjang daun adalah diantara 0.4 meter - 0.5 meter. Pada ciri lain daun keladi lambuk akan dilihat sebagai berwarna Hijau Muda Keputihan (Sila lihat foto disebelah). Dalam pada itu lazimnya permukaan daun keladi lambuk mempunyai debu halus berwarna putih dengan panjang pelepah 0.5m ke 2.0 m. Ukuran saiz pelepah bergantung kepada pengurusan tanaman.

Batang keladi lambuk jika dipotong adalah berstruktur dalam batang berkabus “ sponge” dimana ia ada rongga yang jelas. Rongga ini jelas dilihat dibahagian bawah batang keladi tersebut. Ia selalunya berwarna putih susu dengan saiz yang berbeza mengikut pokok asal pokok. Seperti dijelaskan diatas melihat keepada foto disebelah yang mana satu Sulur Jantan dan Sulur Betina?. Sulur yang berada ditengah dengan warna kekuningan merah adalah sulur jantan.Kedua-sua sulur ini mesti dapat dikenalpasti oleh mereka yang ingin makan keladi lambuk agar tidak kena gatal semasa memakannya. Adalah disyorkan agar anda juga tidak mencampurkan masakan keladi lambuk dicampur dengan sayur lain seperti putik jagung, petola, peria, kacang panjang dan sebagainya kerana ianya menjadikan sayuran keladi lambuk akhirnya menjadi gatal ditekak selepas memakannya. Kajian penulis dilokasi mendapati sepokok mampu menghasilkan 80-120 batang sepanjang hayat dimana ia boleh hidup subur dihabitat asal melebihi 3 tahun jangkahayatnya.


Apa yang unik mengenai keladi Lombok ini adalah ia mengeluarkan buah keladi apabila cukup matang. Ia sukar dilihat jika tidak diteliti pada pokok tersebut. Struktur buah keladi lambuk seakan buah nangka tetapi saiznya kecil sahaja dengan warna hijau muda yang mana ia mempunyai tangkai (Sila lihat foto disebelah). Memang agak jarang kita melihat pokok keladi berbuah seperti ini. Keladi lambuk juga merupakan jenis keladi yang mampu dituai dengan kekerapan 7 ke 10 hari sebatang sepokok. Kiraan penulis mendapati daripada 30 rumpun pokok keladi lambuk akan boleh menghasilkan 50 - 60 batang pelepah seminggu. Kajian juga menunjukkan bagi setiap batang boleh keladi ini menghasilkan 3-6 batang keratan untuk dijual setelah diproses dimana lazimnya setiap ikat terdapat diantara 3-5 keratan bergantung pada saiz dan kepakaran seseorang. Lazimnya harga jualan runcit batang keladi lambuk adalah sekitar RM2.00 ke RM3.00 seikat. Penulis akan mencari keladi lambuk disekitar pasar lambak dan pasar tani yang masih segar untuk dimasak.


Penulis menarik kepada tajuk artikel ini iaitu Keladi Lambuk dan Keladi Birah. Dalam merujuk beberapa lamanweb dinyatakan bahawa perkataan 'Birah' sebenarnya adalah dirujuk kepada satu jenis keladi yang banyak tumbuh di Tanah Melayu (Sumatra-Melaka ). Lazimnya perkataan ini hanya digunakan oleh masyarakat melayu di sekitar Malaysia dan ada digunakan di Bahagian Pantai Timur Sumatra, Indonesia. Mereka sebenarnya telah lama tahu dan mengenal Birah sebagai tanaman herba yang berguna untuk menghilangkan rasa sakit akibat angin atau masuk angin. apa yang dirujuk juga menyatakan simana daun birah pada kebun yang subur dapat mencapai ukuran lebar sehingga 1m atau lebih besar lagi. Bagaimana pun hakikatnya keladi birah suka hidup di tempat yang lembab dan semua orang perlu sangat berhati hati kerana Getah Birah yang berkhasiat ini gatal jika kena kulit. Sekali pandang mungkin ramai dikalangan pembaca blog anim agro technology todak kenal aantara daun Keladi Birah dengan Daun Keladi Lambuk (Sila lihat foto disebelah). Ini kerana jika dilihat sekali pandang ia seakan sama saahaja warna dan bentuknya.


Sebenarnya pada daun keladi lambuk berbeza dengan daun keladi birah. Hakikatnya adalah dimana daun keladi lambuk mempunyai bintat pada laidaun seperti bintat dan lekukan (Sila lihat foto disebelah). Struktur ini tidak terdapat pada daun pokok keladi birah.  Selanjutnya dalam membuat rujukkan mengenai keladi birah dimana ia digunakan untuk tujuan perubatan. Antara cara perubatan dengan keladi birah yang diamalkan adalah dengan memotong batang birah sepanjang 15 cm panjang. Bahan lain yang diperlukan seperti kapur sirih setengah sudu teh dan air panas untuk mencairkan kapur sirih. caranya dengan mengambil kapur sirih dan diletakkan dalam piring kemudian dititiskan air hangat sehingga kapur pecah seperti pasta cair. Kemudian diambil sepotong batang keladi birah dan ianya ditekan atau diketukkan hujungnya pada kapur. Kapur yang melekat pada batang keladi birah disapukan pada bahagian badan yang sakit. Petua untuk menghindari getah yang gatal maka disyorkan agar digunakan alas lain sewaktu memegangnya. Masyarakat melayu dahulu akan menggunakan birah untuk mengubati masalah pada bengkak, kejadian masuk angin, sakit kepala disebabkan oleh hujan, demam, perut kembung, masaalah kaki kejang atau kaki krem dan sebagainya.


Bagi mengubati masaalah perut yang kembung sebaiknya disapukan keladi birah disekitar pusat. Ianya didakwa akan melegakan masaalah tersebut. Seterusnya untuk sakit kepala maka sebaikan disapukan kapu dan keladi birah pada bahagian tengkuk. Ia juga didakwa akan dapat menghilangkan sakit kepala tersebut. Sebagaimana yang penuls bentangkan, berdasarkan kepada namanya lazimnya batang keladi birah berwarna kemerahan ('mirah' atau red colour). Dalam bahasa lain ia pernah dipanggil sebagai 
'Sinthe wulung' di Indonesia iaitu sejenis tumbuhan dengan nama saintifiknya sebagai Colocasia plumbea. Apa pun cara perubatan menggunakan keladi biran semakin kurang popular masa kini kerana mudahnya untuk mendapatkan rawatan perubatan moden. Tanaman keladi mampu dan berpotensi untuk dikembangkan bagi meningkatkan pendapatan petani. Penulis blog anim agro technology harap lebih banyak penyelidikan dan penulisan dalam negara mengenai keladi lambuk dan keladi birah dan bagaimana ia boleh ditanam secara komersil dan ekonomik. Semuga anda dapat info berguna dari artikel ini. Wasallam!!!...
KELADI BIRAH ... APA SEBENARNYA...
ADAKAH GATAL...ATAU PUN BERGUNA...
ADA MAKLUMAT... PENULIS MENJANA...
PERLU DIKAJI... OLEH RAMAI SARJANA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Padang, Jalan Sg Lembing,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(3 Rejab 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.