Friday, April 7, 2017

AMALAN PERTANIAN BAIK - SATU STRATEGI

AMALAN PERTANIAN BAIK kini telah dipersijilkan dengan pengiktirafan MYGAP yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui jabatan dan agrnsi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Aspek kesihatan diri kini merupakan harta yang paling berharga kepada kita semua. Ramai yang sudah menyedari akan peranan dan kepentingan semasa pengambilan makanan yang berkhasiat dan keselamatan makanan yang bebas daripada sisa baki racun perosak, logam berat dan mikroorganisma. Kesedaran ini timbul ekoran peningkatan pelbagai kes penyakit berbahaya dan kronik seperti kanser, sakit kepala yang berlarutan, penyakit kulit dan penyakit saraf yang kerap kali dikaitkan dengan makanan. Makanan yang selamat dan berkualiti dapat menjamin kehidupan yang lebih sihat dan terhindar daripada penyakit memudaratkan. Kini sudah tiba masanya untuk semua ladang dalam negara penghasilan makanan di negara ini mempraktikkan Amalan Pertanian Baik (APB) bagi tujuan membekalkan dan menyediakan sumber makanan yang selamat dan berkualiti kepada orang ramai dan seterusnya meningkatkan daya saing produk pertanian Malaysia di peringkat antarabangsa. APB merupakan salah satu sistem pengurusan sumber dalam pengeluaran pertanian secara baik dan lestari yang dapat menghasilkan makanan yang selamat dan berkualiti dengan mengambil kira kebajikan, keselamatan dan kesihatan pekerja serta memelihara alam sekitar. Dalam usaha meningkatkan kesedaran pengusaha ladang untuk mempraktikkan APB, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah memperkenalkan Pensijilan MyGAP dan MyOrganic dimana Jabatan Pertanian adalah Penyelaras bagi pensijilan MyGAP dan MyOrganic sektor tanaman, Jabatan Perikanan bagi sektor perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi sektor ternakan. Rencana malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aspek amalan pertanian iaitu Amalan Pertanian Baik (Good Agriculture Practices) yang telah diperkenalkan di negara kita untuk kepentingan bersama.


Pensijilan siatematik ini adalah bagi tujuan mengiktiraf pengusaha ladang, perikanan dan ternakan yang mematuhi standard Malaysian Standard MS 1784:2005 Crop Commodities – Good Agricultural Practice (GAP) bagi MyGAP dan Malaysian Standard MS 1529:2015 Plant-based organically produced foods-requirements for production, processing, handling, labelling and marketing (First Revision) bagi MyOrganic. Didalam Majlis Konvensyen MyGAP dan MyOrganic 2016 yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 19 Januari lalu adalah untuk mengiktiraf 973 pengusaha yang mendapat pensijilan myGAP dan 15 pengusaha yang mendapat pensijilan myOrganic di seluruh Malaysia. Kejayaan pengusaha yang mendapat pensijilan myGAP dan myOrganic ini wajar menjadi model dan ikutan pengusaha yang lain untuk turut bersama-sama mempraktikkan APB dan berusaha bagi mendapatkan sijil berkenaan. Sepertimana saranan Datuk Seri Ahmad Shabery, apabila kita mengamalkan pertanian yang baik, sudah pasti hasilnya juga terjamin dan berkualiti tinggi serta dapat memberikan kesihatan dan kehidupan yang seimbang. Kini orang ramai akan lebih mempercayai produk yang kita hasilkan kerana kita telah mencapai satu standard kualiti yang ditetapkan bagi menghasilkan produk yang selamat untuk dimakan. Dalam negara mengejar matlamat jaminan bekalan makanan, tentunya penting untuk industri agromakanan mengeluarkan hasil yang bukan sahaja mencukupi pada harga yang berpatutan, tetapi juga yang selamat dan berkualiti. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani amat menggalakkan para pengusaha memohon dan memenuhi keperluan yang digariskan oleh piawaian-piawaian yang diiktiraf antarabangsa seperti myGAP dan myOrganic ini.


Amalan Pertanian Baik tentunya mampu meningkatkan produktiviti hasil pertanian ke arah yang lebih selamat dan berkualiti, memelihara keharmonian biodiversiti dan ekologi, mengurangkan pencemaran alam sekitar serta dapat membantu pengusaha meningkatkan pendapatan dan peluang perniagaan. Dari papan tanda dipasang di hadapan ladang pengusaha organik menunjukkan dia adalah yang mendapat persijilan (Sila lihat foto disebelah). Kini usaha untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan MyGAP dan MyOrganic bagi subsektor tanaman orang awam boleh terus sila hubungi Urusetia Seksyen Pensijilan Ladang, Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian atau melayari laman web berkaitan. MYGAP merupakan satu skim pensijilan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian untuk memberi pengiktirafan kepada ladang yang telah disahkan mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk berkualiti serta selamat untuk dimakan. Bagi memastikan pengguna memilih bahan makanan yang selamat dan berkualiti dengan pilihan harga yang berpatutan, Jabatan Pertanian telah menganjurkan aktiviti jualan serta promosi hasil pertanian di gerai-gerai myGAP pasar tani. Usaha itu bertujuan untuk mewujudkan saluran pemasaran produk-produk pertanian dari ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik dan mendapat persijilan myGAP. Antara produk yang dijual ialah sayur-sayuran seperti sawi, kangkung, bayam, kubis, jagung, petola, kacang buncis, kacang panjang, cili, terung, dan buah-buahan seperti durian, nangka serta jambu.


Pengguna boleh mendapatkan hasil pertanian MyGAP itu di beberapa lokasi pasar tani yang ada membuat jualan di semua negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Aktiviti promosi ini adalah untuk memberi dan meningkatkan kesedaran kepada pengguna tentang pentingnya memilih hasil pertanian yang selamat dan berkualiti demi kepentingan keluarga dan negara. Diharapkan agar pengguna dapat mewujudkan permintaan yang tinggi terhadap hasil pertanian dari ladang yang dipersijilkan MyGAP. Ia seterusnya akan menggalakkan para petani dan pengusaha mengamalkan amalan pertanian baik dalam aktiviti penanaman mereka dan seterusnya mendapatkan pensijilan MyGAP. Jabatan Pertanian turun padang memberi penerangan kepada pembeli tentang kepentingan membeli produk MyGAP. Sebagai contoh salah seorang pembeli sayur di pasar tani, Hasyimah Mahmud, 33, menyuarakan kesyukuran kerana terdapat jaminan pada produk sayur yang dibelinya dengan adanya logo MyGAP. Dia pertama kali mendengar ada produk sayur dan buah yang terjamin selamat untuk dimakan kerana sayur yang ditanam tidak mengandungi racun berlebihan. Bagi beliau menzahirkan kesyukuran, Hasyimah yang biasanya membeli di Pasar Tani Presint 3, Putrajaya berasa lebih yakin untuk membeli sayur yang akan dihidangkan kepada ahli keluarga. Menurut seorang lagi pembeli, Ahmad Aliff Siddiq Salim, 45, dia berharap agar jualan produk itu akan berterusan bagi memudahkan dia dan pembeli lain mendapatkan hasil pertanian myGAP sama ada di pasar tani, pasar borong mahupun di pasar raya.


Aktiviti Promosi MyGAP yang selalu dilaksanakan pihak Jabatan Pertanian diseluruh negara adalah untuk menyeru agar hebahan dan promosi seperti ini dipertingkatkan lagi agar semua kelas pengguna serta petani menyedari akan kepentingan memilih hasil pertanian yang dijamin selamat dengan hasil myGAP. Para pengguna berhak untuk mendapatkan produk yang berkualiti dan selamat dimakan. Jabatan Pertanian sentiasa berusaha untuk memastikan ramai lagi pengusaha yang menjual hasil tanaman mereka agar dipersijilkan dengan myGAP. Semoga usaha murni ini akan mendapat sambutan dan sokongan daripada semua pihak. Bukan harga murah yang dijanjikan, tetapi kesihatan keluarga anda yang kami utamakan. Pada masa ini negara akan terus menangani isu keselamatan makanan juga dilihat dari sudut kesihatan dan makanan yang bebas daripada pencemaran sisa baki kimia bahaya serta tidak meninggalkan kesan negatif kepada pengguna. Kesedaran ini menyebabkan permintaan terhadap jaminan keselamatan makanan di pasaran kian meningkat. Pihak persatuan pengguna juga akan turut menjadikan isu ini sebagai agenda utama, sekali gus menyumbang terhadap meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna. Bagi pihak pengeluar pula, pelbagai persatuan seperti persatuan penanam sayur, pengeluar buah dan pengeksport turut menggalakkan pihak-pihak yang terlibat dalam rangkaian makanan mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP). Kini sayur-sayuran dan buah-buahan merupakan sumber utama vitamin, mineral, serat dan fitokimia yang memberi manfaat kepada kesihatan manusia. Makanan ini juga dikatakan dapat meningkatkan keupayaan sistem imunisasi daripada dijangkiti penyakit terutamanya penyakit jantung dan kanser. Sayur-sayuran dan buah-buahan dikenali sebagai makanan pelindung daripada pelbagai jangkitan penyakit seperti penyakit jantung dan kanser. Ini kerana makanan itu tinggi kandungan vitamin, mineral, serat dan merupakan sumber fitokimia yang bermanfaat kepada kesihatan manusia (health-promoting phytochemicals). Bagaimanapun terdapat sayur dan buah-buahan yang dianalisis positif kandungan sisa baki racun makhluk perosak. Apakah yang akan terjadi sekiranya terdapat kandungan sisa baki racun perosak pada hasil tanaman?.


Pengguna turut memakan racun yang terdapat pada hasil tanaman tersebut dan kesannya akan mengganggu kesihatan manusia seperti sistem saraf dan imun badan berkurang serta penyebab kepada penyakit kronik atau kanser. Selain itu dilaporkan penggunaan racun perosak secara berterusan atau tanpa kawalan oleh petani boleh meningkatkan imuniti serangga perosak terhadap racun, lantaran dos yang lebih tinggi diperlukan bagi menghapuskan perosak pada masa akan datang. Pekerja kebun yang aktif dan sering mengendalikan racun turut terdedah kepada risiko untuk mendapat penyakit yang berkaitan dengan saraf. Alternatif bagi hasil tanaman konvensional ini adalah kepada organik iaitu bebas racun atau melalui GAP. Apa yang lebih dipentingkan dalam persijilan ini adalah hasil tanaman selamat. Pilihan yang tepat adalah dengan membeli hasil tanaman yang dipersijilkan dengan myGAP dan myOrganic. Jabatan Pertanian merupakan satu-satunya jabatan yang diberi mandat untuk memberi pengiktirafan myGAP dan myOrganic bagi sektor tanaman kepada pengeluar hasil tanaman yang mengamalkan GAP dan perladangan organik. Ladang-ladang yang telah diiktiraf dengan myGAP dan myOrganic menghasilkan makanan yang selamat dimakan serta melepasi ujian analisis racun makhluk perosak, logam berat dan mikrobial iaitu disepanjang rantaian pengeluaran makanan, GAP dititikberatkan dengan mengambil kira keselamatan dan kebajikan pekerja serta alam sekitar. Kini semakin ramai fahan perladangan organik merupakan aktiviti pertanian yang dijalankan tanpa melibatkan penggunaan racun dan kimia sintetik sepanjang proses pengeluaran. Ia juga berkait dengan perladangan secara GAP yang juga merupakan aktiviti pertanian yang dijalankan dengan kaedah mengaplikasikan teknologi pertanian, menggunakan kawalan perosak dan penyakit yang menggabungkan beberapa cara kawalan seperti mekanikal, biologi atau semula jadi.


Penggunaan racun kimia adalah pilihan terakhir hanya jika perosak dan penyakit tidak dapat dibendung. Walaupun ada penggunaan racun untuk kawalan khas perosak dibenarkan dalam GAP, tatacara dan amalan penggunaan yang betul serta selamat adalah dititikberatkan. Proses pensijilan dilaksanakan dengan sistematik mengikut prosedur diterima peringakat antarabangsa. Bagi pengusaha atau usahawan yang berminat, mereka boleh mendaftar dengan Pejabat Pertanian Daerah yang mana ia berdekatan dengan lokasi ladang yang diusahakan. Penulis ada melawat ladang organik penanaman herba Morringa oleifera di ladang seluas 300 hektar di Chemomoi, Bentong, Pahang baru-baru ini (Sila lihat foto disebelah). Ketua Pengarah Pertanian amat menggalakkan lebih ramai para pengusaha atau usahawan pertanian mendapatkan skim pensijilan myGAP dan myOrganic bagi jaminan keselamatan makanan serta bersama-sama menjaga persekitaran alam sekitar untuk kehidupan generasi akan datang. Kini hasil yang dikeluarkan daripada ladang myGAP dan myOrganic dapat bersaing di pasaran domestik serta antarabangsa selain mendapat insentif percuma Jabatan Pertanian.


Dalam satu testimoni didalam akhbar tempatan, En Mohd Zamir ada mengakui pensijilan myGAP telah memberi impak yang besar kepada pengeluaran dan pendapatan para peserta. Katannya dia faham dimana aspek keselamatan makanan bermakna ia bebas daripada sisa baki racun perosak, logam berat dan mikroorganisma. Ia telah menjadi keutamaan pengguna masa kini. Kesedaran ini timbul ekoran peningkatan pelbagai kes penyakit berbahaya dan kronik seperti kanser, sakit kepala yang berlarutan, penyakit kulit dan penyakit saraf. Dakwanya Jabatan Pertanian yang membantu dan terus bertanggungjawab memastikan pengeluaran tanaman makanan di Malaysia mencukupi dan selamat serta berkualiti tepat pada masanya. Pensijilan myGAP telah bermula sejak tahun 2002. Dahulu, ia dikenali sebagai SALM (Skim Amalan Ladang Baik Malaysia) bagi mengiktiraf ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) sekali gus menjamin keselamatan pekerja dan memastikan aktiviti pembangunan pertanian yang mampan. Sehingga kini sejumlah 1,813 ladang telah memperoleh sijil myGAP yang merangkumi kawasan seluas 19,680 hektar. Antara pengusaha yang telah mendapat manfaat pensijilan myGAP adalah ialah Abdul Razak Chik dari GM Peladang Sdn. Bhd.dan Serene Orchard Sdn. Bhd. Abdul Razak Chik atau lebih dikenali sebagai Pak Lang Sri, 51, dari Sekinchan, Selangor telah dianugerahkan Sijil myGAP (MS 1784: 2005) pada tahun 2012. Pak Lang Sri menguruskan 12.5 hektar sawah. Dengan melaksanakan Amalan Pertanian Baik, beliau telah dapat menjimatkan wang sebanyak RM16,000. Suatu masa dahulu, jumlah wang tersebut digunakan untuk membeli racun. Kini beliau hanya menggunakan racun dan baja yang dihasilkan sendiri berasaskan pertanian semula jadi yang diberi jenama SRI memerlukan kos sebanyak RM2,000 sahaja. Dengan mengamalkan Amalan Pertanian Baik, beliau telah dapat meningkatkan pengeluaran hasil dan menghasilkan makanan yang selamat. Katanya secara tidak langsung, pendapatan beliau juga telah meningkat. Selain itu, Pak Lang Sri turut menjual produk SRI yang dihasilkan kepada petani lain. GM Peladang Sdn. Bhd. adalah contoh sebuah syarikat yang beroperasi di Kuala Terengganu yang dianugerahkan pensijilan myGAP pada tahun 2004 dan menceburi bidang pertanian bermula tahun 1998 dengan memberi fokus pada tanaman secara fertigasi. Pengurus Besar GM Peladang Sdn. Bhd., Mohamad Zamir Ghazali menyatakan bahawa pensijilan myGAP telah memberi impak yang besar kepada pengeluaran dan pendapatan mereka. Pada tahun 2014, syarikat ini telah memperoleh pulangan sebanyak RM898,000 berbanding RM50,000 sebelum ladang dipersijilkan. Kini dengan adanya pensijilan myGAP, pemasaran produk juga telah diperluas hampir ke seluruh negara serta turut membekalkan hasil tanaman kepada pasar raya besar dan hotel selain pasar borong. Menurut beliau, pengguna lebih yakin dengan produk syarikat ini kerana ia dijamin selamat dan berkualiti hasil pelaksanaan Amalan Pertanian Baik. Faedah daripada pensijilan myGAP juga turut dirasai oleh syarikat yang beroperasi di Bandar Baharu, Kedah, Serene Orchard Sdn. Bhd. Syarikat itu mempunyai ladang durian seluas 37 hektar dengan 2,800 pokok durian. Syarikat tersebut telah mendapat pensijilan myGAP pada bulan April 2013. Setelah mendapat pensijilan myGAP, hasil ladang ini telah berjaya dieksport ke China dan Hong Kong sejak tahun lalu di samping dapat peluang untuk memperluaskan ruang pasaran. Pengusaha syarikat itu juga mengakui dengan menyertai pensijilan myGAP, banyak membantu memperkemaskan lagi proses pengeluaran hasil pertanian mereka. Pensijilan myGAP ini telah diiktiraf oleh pihak pengimport. Mereka juga telah menjadikannya sebagai salah satu syarat untuk mengimport masuk produk makanan ke negara mereka. Secara tidak langsung, usaha ini mampu meningkatkan pendapatan pengusaha dan permintaan produk segar ke peringkat global. Semuga artikel ini memberi banyak info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
AMALAN PERTANIAN BAIK... APA DIA...
PERLU DIAMALKAN... PERSIJILANNYA...
ADA MYGAP... MYORGANIC PUN SAMA...
MEMBACA ARTIKEL ... FAHAM ISINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Ladang Organik High and Low,
Bentong, Pahang,
Malaysia.
(21 Jamadilakhir 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.