Friday, March 31, 2017

LENGKUAS - TANAMAN UMBISI

LENGKUAS (Alpinia galanga) merupakan sejenis tumbuhan herba dari keluarga Zingiberaceae sama seperti halia dan kunyit. Lengkuas merupakan sejenis rizom dengan kegunaan masakan dan perubatan dan banyak digunakan di Asia Tenggara. Rupanya hampir sama dengan halia. Lengkuas merupakan tanaman tempatan di Asia Tenggara. Antara kegunaan lengkuas adalah di dalam masakan untuk menambah aroma seperti masakan pedas, laksa penang, sup singgang dan boleh digunakan untuk masakan goreng. Dalam bidang perubatan pula lengkuas boleh melegakan sakit perut, selsema dan agen antibakteriaTumbuhan ini dipercayai berasal dari Asia Tenggara. Tumbuhan ini ditanam secara komersil dibeberapa negara seperti Indonesia, Malaysia dan juga Thailand. Keluasan tanaman lengkuas tidak direkodkan di Malaysia tetapi beberapa negeri ada menanam seperti di Johor, Selangor dan Perak terutama dikawasan tanah gambut iaitu dalam anggaran penulis lingkungan 70 hektar pada tahun 2016. Jenis lengkuas yang di tanam merupakan varieti tempatan yang kebanyakkannya digunakan dalam masakan tradisional Melayu seperti Rendang Daging, Masakan Thailand dan sebagainya. Ia merupakan tanaman umbisi yang mudah ditanam dijada dan siselenggara asalkan ditanam dikawasan sesuai dan dari benih yang baik. Lengkuas perlukan kawasan yang lembab, gembur dan mempunyai saliran yang baik. Lengkuas tumbuh dari perdu dibahagian bawah sehingga kepucuk dalam aturan bentuk rumpun. Tanaman ini mempunyai rizom pada bahagian akar yang digunakan sebagai bahan utama penghasilan lengkuas. Rencana subuh Sabtu ini saya menulus dalam "Anim Agro Technology" sejenis tanaman umbisi iaitu lengkuas yang boleh dijadikan bahan rujukan anda semua.

Lazimnya Rizom lengkuas yang matang dan sesuai dituai adalah berwarna keemasan kekuningan dengan rizom muda ada warna kemerahan. Lengkuas yang cukup umur melebihi 9 bulan lazimnya sudah boleh diambil. Bahagian batang tumbuh menegak berwarna hijau dan membentuk daun dan ketinggian sehingga 1-3 meter. (Sila lihat foto sebelah). Baagian bunga lengkuas berwarna keputihan secara berangkai dengan bahagian bawah lebih banyak dari bahagian atas dengan 3-6 bunga satu kuntum. Lengkuas tumbuh mengikut rumpun dalam satu perdu pokok. Kaedah penanaman lengkuas di Malaysia biasanya menggunakan bahan tanaman benih yang diambil dari rizom. Rizom yang masih segar diambil dari pokok induk dengan memotong antara 10-15 cm dengan mempastikan mempunyai ruas dan mata tunas. Sebaiknya buat rawatan dengan racun kulat sebelum menanam. Lubang penanaman sedalam 15-20 cm digali dan masukkan rizom kedalamnya dan timbus dengan tanah atas. Jarak penanaman disyorkan adalah 0.5 meter x 1 meter diatas tanah rata. Pembajaan asas dengan baja organik dan baja 15:15:15 sebanyak 20-30 gram serumpun. Buat cantasan atau buang pelepah daun yang telah tua atau mati untuk pastikan pokok tumbuh dengan baik.

Lengkuas didapati tidak mempunyai perosak dan penyakit yang serious sehingga ia menjejaskan tanaman. Bagaimana pun daripada beberapa rujukkan dan lawatan ladang penulis blog dapati diantara perosak dikenalpasti seperti Ulat Pengorek Batang dan Kumbang Makan Daun yang lazimnya akan menyerang pada peringkat awal penanaman. Lengkuas merupakan sejenis herba hebat dimana selain digunakan sebagai bahan perasa tambahan makanan juga selalu digunakan dalam sektor perubatan seperti ubat untuk Tuberculosis, Rawatan Penyakit Eczema dan Kurap serta lain-lain penyakit kulit. Di negara Indonesia lengkuas di proses untuk dijadikan bahan ramuan jamu dan di keringkan untuk di buat serbuk yang mempunyai nilai komersil. Daripada petua orang lama penulis dapati amalan meminum air atau jus rebusan lengkuas dapat membantu dalam proses pengedaran darah. Testimoni dan dakwaan juga mendapati lengkuas mampu menurunkan suhu badan, memudahkan buang angin (kentut) dan juga elakan sakit kulit. Banyak rujukkan mendapati sebaikna tanaman lengkuas ini dilakukan dengan konsep pertanian organik untuk mendapatkan khasiat sebenar. Oleh itu semua ladang tanaman lengkuas perlu mengamalan Amalan Pertanian Baik (GAP) dengan dipersijilkan MyGAP untuk mempastikan ianya selamat dan berkualiti.

Permintaan pasaran lengkuas lazimnya akan meningkat pada musim perayaan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. Pada hari biasa lengkuas sesuai di proses untuk dijadikan bahan produk lain. Kajian penulis yang dijalankan dibeberapa kampong terutama masyarakat Jawa di Muar dan juga di Batu Pahat mendapati harga ladang lengkuas adalah antara RM 1.00 - RM 2.00 sekilogram. Pokok lengkuas yang ditanam akan mula matang selepas 9 bulan ditanam atau lebih lama lagi. Penuaian hasil lengkuas di lakukan dengan menggali pokok yang matang dengan cangkul atau mencabutnya sendiri jika ditanah gambut yang peroi. Kemudian di buang bahagian batang dan daun atas dan diasingkan umbisi lengkuas (Sila lihat foto disebelah). Perdu lengkuas kemudian perlu dipecahkan atau pun diasingkan daripada rumpun kira-kira 2-4 rizom satu bahagian bagi tujuan pemasaran sama seperti penuaian halia dan kunyit. Rizom lengkuas yang cukup matang ini dibersihkan daripada kekotoran tanah dengan membasuhnya dengan air bersih. Daripada rekod menunjukkan lengkuas ini mampu bertahan dalam simpanan  sehingga 30 hari jika di simpan dengan baik. Bagaimana pun untuk surirumah tidak ada masaalah jika menyimpan lengkuas didalam peti sejuk untuk kegunaan sendiri keran ia lebih tahan lama. Lengkuas yang telah dibersihkan akan disusun didalam bakul pemasaran yang dialas dengan kertas agar tidak rosak semasa pengangkutan.

Dalam laoran akhbar Utusan Malaysia yang berjudul 'Lengkuas padi buang angin' oleh wartawan Ramli Abdul Karim mempaparkan kegunaan lengkuas. Penulis blog yang merujuk akan artikel ini dan ditulis semula tertarik dengan tajuknya yang klise. Rizom lengkuas atau ubi lengkuas memang tidak asing lagi dalam kegunaan di dapur terutama sebagai ramuan memasak seperti rendang dan lauk goreng. Selalunya dengan mencampurkan hirisan atau ubi lengkuas yang ditumbuk ke dalam masakan, ia akan menimbulkan aroma yang boleh menambahkan selera. Terdapat dua jenis lengkuas yang biasa digunakan oleh masyarakat di negara ini iaitu Jenis Yang Berakar Putih dimana ia selalunya digunakan sebagai resipi masakan manakala Jenis Yang Berumbi Merah dijadikan bahan untuk ubat. Bahagian batangnya terdiri daripada susunan pelepah daun yang bulat panjang (Sila lihat foto disebelah). Pangkal perdunya hanya terdapat pelepah manakala bahagian atas lengkap dengan helaian daun. Umbi dan akarnya berserat kasar dengan aroma yang harum. Lengkuas mengandungi minyak alpinen, kamfer, methyl-cinnamate. Lengkuas berkhasiat sebagai antikulat, antibakteria, menghangatkan, membersihkan darah, menambah nafsu makan, mencairkan kahak, mengharumkan peluh dan merangsang otot. Selain itu, ia juga sering digunakan untuk mengubati panau, kesakitan sewaktu haid, ubat untuk penyakit kulit, bengkak limpa dan menguatkan otot yang lama tidak digerakkan.

Bagaimanapun wartawan merujuk dimana herba yang diperkenalkan bukannya lengkuas makan tetapi LENGKUAS PADI atau juga dikenali sebagai LENGKUAS HELANG dan LENGKUAS RANTING. Walau pun penulis blog kurang pasti akan 3 varieti ini kerana belum berdaftar dengan National Plant Variety Registration di Jabatan Pertanian tetapi diperingkat kamping nama ini telah diterima. Nama saintifik lengkuasa adalah Alpinia conchigera daripada keluarga Zingiberacea (Berbeza dengan diatas). Lengkuas selain turut mempunyai khasiat seperti juga lengkuas makan, lengkuas padi selalunya digunakan untuk mengubati demam, panas badan, lenguh-lenguh, sakit sendi dan membuang angin badan. Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains UPM, Tajuddin Abdul Manap, untuk sakit demam dan panas badan, daun lengkuas padi diramas-ramas dengan beras dan air di dalam bekas. Katanya, air berkenaan kemudian dilapkan ke badan terutama di bahagian sendi serta diamalkan sehingga sembuh. Manakala untuk sakit tulang, angin seluruh badan lenguh-lenguh badan dan sakit sendi dimana jelas beliau keseluruhan ubi, daun dan batang lengkuas padi sesuai digunakan. Kesemuanya bahagian lengkuas tersebut perlu ditumbuk sehingga hancur atau lumat sebelum dilumur ke seluruh badan. Lengkuas ini akan bertindak membuang angin dari dalam badan yang sebelumnya menyebabkan sakit sendi dan lenguh-lenguh. Dalam pada itu ramuan yang sama iaitu daripada bahagian umbisi, daun dan batang yang telah ditumbuk halus itu juga berguna untuk ibu-ibu lepas bersalin. Ia selalunya ditampal di perut sebelum diikat dengan bengkung atau barut bertujuan membuang angin di dalam badan, sekali gus mengecutkan perut. Tanaman lengkuas mudah ditanam dalam polibeg plastik atau kawasan keliling rumah atau dikebun yang sesuai tanahnya. Penggunaan lengkuas sebagai satu produk berkhasiat perlu diperbanyakan amalannya dikalangan masyarakat tempatan. Semuga artikel ini memneri info bergun akepada pembaca blog anim agro technology yang ke 4,396 ini. Wasallam!!..

NAMA LENGKUAS... UMBISI JENISNYA...
MUDAH DITANAM... SENANG DIJAGA...
DITANAM GEMBUR...UMBISI JADINYA...
BERKHASIAT .. BANYAK GUNANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Parit Bengkok, 
Gersik, Muar, Johor,
Malaysia.
(2 Rejab 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.