Saturday, March 11, 2017

INDUSTRI KEREPEK - POTENSINYA



KEREPEK atau Kerepik merupakan satu produk makanan ringan yang popular di negara kita dan juga negara jiran lain. Terdapat berbagai jenis kerepek yang diprses dinegara kita seperti Kerepek Ubi, Kerepek Pisang, Kerepek Keladi, Kerepek Kentang, Kerepek Tempe, Kerepik Tepong, Kerepek Bawang, Kerepek Biji Durian, Kerepek Durian Belanda, Kerepek Keledek dan pelbagai kerepek lain. Industri kerepek terus berkembang dinegara kita sehingga ianya kini telah menjadi produk untuk pasaran domestik dan eksport. Pembuatan kerepek dan kudapan tradisional kini pesat berkembang dengan nilai jualan mencapai lebih RM150 juta sepanjang tahun 2016. Ia terus meningkat saban tahun kerana permintaan yang baik terutama untuk pasaran eksport dengan produk lebih berkualiti. Penulis blog juga mendapati dimana menyebut sahaja apa jenis kerepek sama ada ubi kayu, pisang, keledek, bawang, ubi pedas, ubi masin, pisang atau rempeyek memang mesti dihidangkan semasa perayaan Hari Raya Puasa oleh setiap keluarga dikampong dan dibandar. Kalau dahulu kuih tradisonal ini hanya dibuat hanya untuk perayaan tetapi kini telah ramai usahawan IAT (Industri Asas Tani) yang bertaraf komersil mengeluarkan hasilan kerepek. Malah ketika menonton televisyen atau bersembang minum petang bersama keluarga pun kerepek menjadi antara hidangan ringan. Kalau suatu ketika dahulu produk kampung ini kelihatan comot tetapi kini ianya sudah menyamai standard kudapan antarabangsa daripada segi kepelbagaian rasa, jenis-jenis kerepek, kesetaraan bentuk, saiz dan pembungkusannya. Menurut Jabatan Pertanian dan FAMA, kerepek adalah penyumbang jualan terbesar dalam pertumbuhan industri itu dengan sasaran jualan sebanyak RM102.1 juta dalam setahun dan terus meningkat. Kejayaan peningkatan keseluruhan jualan bagi industri kudapan Malaysia kini berada pada tahap yang amat baik dan memberangsangkan dan keadaan ini disebabkan faktor permintaan yang tinggi di pasaran. Permintaan yang tinggi bagi produk pelbagai perisa kerepek telah menyebabkan dimana kini lebih ramai lagi pengusaha menghadapi kekurangan bahan mentah seperti ubi kayu, ubi dan pisang. Kini bagi menampung kekurangan bahan mentah untuk pemprosesan kerepek maka Jabatan dan Agensi  mewujudkan sistem ladang kontrak di mana peserta digalakkan bercucuk tanam dan hasilnya nanti akan dibeli usahawan IAT. Artikel subuh Ahad ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi industri pembuatan kerepek dan potensinya dan beberapa peralatan teknologi pembuatan kerepek untuk bacaan anda.

Dalam beberapa testimoni dan laporan akhbar, penulis dapati banyak kejayaan usahawan kerepek di Malaysia yang berjaya dilaporkan. Sebenarnya selain daripada produk kerepek, snek buah-buahan juga dijangka meningkat jualannya iaitu sebanyak RM46.7 juta berbanding RM44.5 juta tahun lepas. Angka ini belum termasuk kudapan lain seperti muruku dan kekacang (Sila lihat foto disebelah). Kini melalui promosi maka banyak produk tempatan yang berjaya dipasarkan di peringkat antarabangsa dengan menggunakan perakuan jenama 1Malaysia Best. Kerepek tempatan seperti kerepek ubi kayu dan pisang bukan sahaja mempunyai peminatnya tersendiri dalam kalangan warga tempatan tetapi turut diminati di luar negara. Setakat produk kerepek telah eksport ke Brunei, Singapura, China, Asia Barat dan beberapa negara lain. Kini dengan meningkatkan pengeluaran bahan mentah maka pengeluaran akan meningkat dan banyak lagi negara yang boleh Malaysia memasuki pasarannya. Sekarang ini kerepek dari pelbagai jenis perasa sudah pun setanding dan mengambil tempat cip kentang keluaran luar negara. Pada penulis blog percaya industri snek ini dalam caranya tersendiri membantu menggerakkan ekonomi luar bandar dan meningkatkan pendapatan penduduk, yang tidak kurang banyaknya berusaha secara berkelompok di bawah projek Satu Industri Satu Kampung. Kini sambutan terus meningkat masyarakat terhadap kerepek menyebabkan potensi industri ini cerah dimasa hadapan. Harga jualan kerepek yang masih lagi berpatutan iaitu sekitar RM8.00, RM10.00 dan RM15.00 sekilogram mengikut jenis kerepek. 

Penulis blog menarik pembaca mengenai peralatan yang kini membantu dalam industri pembuatan kerepik iaitu Mesin penghiris kerepek. Terdapat banyak jenis, model dan harga mesin pengiris ini yang dijual dipasaran sama ada ia diimport atau buatan tempatan. Kerepek ialah sejenis makanan ringan yang dipotong nipis dan digoreng sehingga garing. Kerepek dibuat daripada pelbagai bahan dan dinamakan menurut jenis bahan yang digunakan bagi menghasilkan kerepek tersebut. Kerepek pisang dan ubi merupakan makanan kerepek tradisional Malaysia yang diperbuat daripada bahan mentah dan ditambah perasa antara bahannya ialah kunyit, garam dan gula. Antara contoh pisang yang sesuai dibuat kerepek ialah pisang nipah, pisang nangka dan pisang abu. Selain iru bahan seperti ubi keledek, ubi kentang dan ibu kayu juga perlu dihiris untuk ia dijadikan kerepek. Hari ini industri kerepek antara sangat perkembangan dalam industri kecil dan sederhana yang berasaskan makanan. Ini didorong oleh permintaan yang tinggi daripada pengguna kerana mudah dinikmati dan menjadi makanan ringan yang popular. Industri kerepek juga memerlukan suntikan teknologi dan mekanisasi supaya pengusaha dapat menyediakannya mengikut keperluan pelanggan dan dihasilkan secara cepat dan berskala besar. Pada masa ini banyak mesin digunakan untuk membantu pengeluaran kerepek. Namun apa yang merumitkan ialah proses menghiris kerepek sehingga menjadi nipis. Proses menghiris memerlukan penelitian yang sepenuhnya. Selain itu, kerepek yang dihiris secara manual berbahaya dan memerlukan banyak masa.


Sehubungan dengan itu kini ada pihak iaitu Zull Design Autotronic (ZDA) telah mencipta mesin yang dipanggil Mesin Slicer atau pun dinamakan Mesin Penghiris Kerepek. Mesin yang bersaiz kecil ini mampu menghiris sehingga 0 - 18mm. Ketebalan hirisan juga boleh diubah-ubah mengikut kehendak pelanggan. Tujuan mesin ini dihasilkan agar dapat membantu pengeluar dan pengusaha kerepek serta produk makanan untuk menghiris kerepek. Secara tidak langsung, dapat menghasilkan kerepek dalam kuantiti yang banyak pada satu-satu masa. Kini masalah pengeluaran yang sedikit dapat diatasi dan dapat memenuhi permintaan pelanggan. Konsep perniagaan ZDA adalah berdasarkan tempahan atau permintaan pelanggan. ZDA tidak mempunyai mesin yang sedia ada siap malah bergantung kepada tempahan pelanggan. Hal ini kerana ZDA mementingkan keperluan sebenar yang diperlukan oleh pelanggan terhadap mesin yang akan dihasilkan. Mesin yang tersedia ada di pasaran biasanya kurang memenuhi keperluan mereka. Ini menjadi tanggungjawab ZDA dalam menghasilkan mesin mengikut keperluan dan bajet yang ada. Harga bagi setiap barang keluaran ZDA adalah tidak tetap dan bergantung kepada keperluan dan kehendak pengguna terhadap mesin tersebut.

Selain itu peralatan membuat kerepek yang terkini adalah Mesin Penggoreng Automatik. Mesin penggoreng semi automatik ini kini semakin menarik minat pelanggan dikalangan usahawan IAT. Kini kerepek merupakan makanan ringan kegemaran rakyat Malaysia. Bukan sahaja rakyat Malaysia bahkan para pelancong yang hadir juga turut menyukainya. Cara membuat kerepek yang mudah dan senang dipelajari ini, telah menimbulkan minat kepada pengusaha kuih untuk menghasilkan kerepek. Maka tidak hairanlah permintaan terhadap kerepek semakin meningkat dan pengusaha kerepek juga seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kini ditampilkan mesin menggoreng kerepek. Ia dicipta oleh Zull Design Autotronic (ZDA) khas kepada pelanggannya. ZDA telah menghasilkan dua jenis mesin penggoreng iaitu mesin penggoreng automatik dan mesin penggoreng semi automatik. Penghasilan mesin berkenaan adalah gabungan idea daripada ZDA dan juga pelanggan. Ini diharap dapat membantu pengeluar dan pengusaha kerepek serta produk makanan untuk menggoreng kerepek di samping dapat menghasilkan dalam kapasiti yang banyak pada satu-satu masa. Konsep yang digunakan dapat memudahkan pengguna menghasilkan kerepek seperti kaedah manual. Selain dapat menghasilkan kerepek, mesin tersebut juga boleh digunakan untuk menghasilkan produk-produk yang perlu digoreng. Terdapat beberapa kelebihan dalam penggunaan mesin ini. Kelebihan mesin ini terletak pada rekaannya. Ia direka khas bagi mereka yang sedang menjalankan perusahaan kerepek. Mesin tersebut dapat menggoreng makanan tanpa menggunakan tenaga manusia. Tambahan pula, dengan adanya mesin ini pengguna dapat menjimatkan kos. Kos gaji pekerja boleh dijimatkan kerana untuk pengendalian mesin ini, hanya seorang atau dua orang pekerja sahaja diperlukan berbanding kaedah manual yang menggunakan lebih ramai tenaga kerja. Selain dapat mengurangkan tenaga pekerja, penggunaan mesin ini juga dapat menjimatkan masa dan adunan juga dimasak sebati. Mesin penggoreng ini dihasilkan bukan untuk menggoreng kerepek sahaja malahan boleh digunakan untuk menggoreng mini popia, mini karipap dan sebagainya. Kapasiti untuk satu-satu masa boleh menggoreng sebanyak 10 kilogram (kg). Kini bagi mesin penggoreng automatik ia dilengkapi dengan penggaul untuk mengacau bahan di dalam drum penggoreng tersebut. Perbezaan antara automatik dan semi automatik ialah dari segi reka bentuk dan tetapan. 

Bagi jenis mesin automatik biasanya ia menggunakan sistem automatik dimana masa memasak di set terlebih dahulu dan proses mengangkat adalah secara automatik. Mesin menggoreng semi automatik dimana ia selalu mempunyai persamaan dengan kaedah proses menggoreng secara manual tetapi ia dilengkapi dengan tos minyak dan boleh diangkat dengan mudah selepas bahan selesai digoreng. Konsep perniagaan ZDA adalah adalah berdasarkan tempahan atau permintaan pelanggan. Oleh itu ZDA tidak mempunyai mesin yang sedia ada siap dan ia bergantung kepada pelanggan. Bagi mesin penggoreng ini biasanya pengguna juga boleh mereka cipta mesin tersebut mengikut keperluan dan kehendak mereka sendiri. Ini dapat membantu pengguna untuk menempah mesin yang diperlukan mengikut modal atau kemampuan pengguna dan mengikut spesifikasi yang di kehendaki. Oleh itu harga bagi setiap barang keluaran ZDA adalah tidak tetap dan bergantung kepada keperluan dan kehendak pengguna terhadap mesin tersebut.  Semuga rencana ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!...
PRODUK KEREPEK... ENAK RASANYA...
PELBAGAI JENIS... BERKEMBANG DIA...
PASARAN DOMESTIK...ALAT DICIPTA..
KEREPEK BERKUALITI...ENAK JUGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kilang Kerepek IAT,
Kg Parit Tengah, Batu Pahat,
Johor, Malaysia.
(15 Jamadilawal 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.