Monday, January 30, 2017

TIMUN MINI - SEMAKIN POPULAR

TIMUN MINI (Cucumis satives) merupakan sejenis timun kecil yang semakin popular ditanam terutama di beberapa Negeri Pantai Timur seperti Pahang, Kelantan dan juga Terengganu semenjak sekian lama. Bagaimana pun timun mini amat sesuai dimakan segar atau dimakan sebagai ulam dengan sambal belacan, budu dan dimakan terus begitu sahaja. Timun mini atau timun kecil atau 'Mini Cucumber' sebenarnya amat popular diseluruh dunia sebagai sejenis ulaman dari buah timun yang manis dan rangup. Timun Mini sama dengan timun biasa adalah tumbuhan daripada famili Cucurbitaceae yang ditanam dalam masa singkat sahaja sekitar 2 bulan. Pada penulis blog yang amat meminati makan dengan sering membeli timun ini di beberapa lokasi jualan termasuk di Pasar Malam, Pasar Tani dan Pasaraya di Kuantan. Harga runcit berlegar diantara RM4.50 - RM6.00 sekilogram bergantung kepada lokasi jualan, musim dan juga kualiti. Timun mini yang berumuran 6 - 8 cm ini berwarna hijau muda dengan isi yang manis dan amat mudah dimakan begitu sahaja. Dilaporkan Daerah Kuantan di Pahang adalah diantara lokasi pengeluaran utama timun mini ini untuk pasaran domestik dan dihantar ke beberapa bandar lain. Penulis dapati kini ia ditanam dengan dua kaedah iaitu ditanam diatas tanah dengan sistem para dan ditanam dengan kaedah fertigasi gantung. Teknologi penanaman timun mini dengan fertigasi gantung walau pun kurang sedikit hasilnya tetapi amat baik dimusim tengkujuh. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti penanaman timun mini untuk bahan rujukkan anda.


Benih tanaman timun mini ini kebanyakannya adalah benih hibrid yang diimport daripada luar negara terutama dari Thailand dan Taiwan. Benih ini semasa lawatan penulis ke kebun tanaman timun mini mendapati tin benih terdapat label tulisan Thailand. Ia dijual dalam bekas tin dan dijual dengan harga RM80.00 satu mengandungi sekitar 2,000 - 2,200 biji benih. Ia merupakan jenis timun hibrid F1 yang hanya sesuai untuk ditanam sekali sahaja dimana bijinya yang terhasil (F2) tidak boleh digunakan untuk ditanam lagi sama seperti tanaman cucurbitaceae yang lain seperti Tembikai dan Melon. Benih ini lazimnya adalah benih hibrid F1 dengan peratus kadar percambahan yang sangat baik. Terdapat juga benih timun mini yang diedarkan oleh syarikat benih tempatan iaitu Benih GWG dengan nombor daftar varieti sebagai Timun Mini 320 (Sila lihat foto disebelah). Benih yang mahal ini disemai dalam kotak semaian (tray) yang telah diisi dengan tanah campuran atau media lain seperti cocopeat. Ada juga petani yang menanam terus diatas batas tanaman. Bagi petani yang menanam timun mini secara fertigasi gantung seperti oleh Encik Zakaria iaitu di TKPM Permatang Lawang, Kuantan ini dia menyemai terus kedalam polibeg fertigasi yang telah digantung. Teknologi menanam timun mini dengan fertigasi gantung amat sesuai dilakukan terutama pada musim tengkujuh dimana ketika berlaku banjir di pantai timur ini ia terselamat. Penulis dapat lihat bagaimana Zakaria masih mampu senyum walau pun kawasan tanaman minum mini telah ditenggelami banjir sedalam 0.8 meter kerana pokoknya tergantung (Sila lihat foto paling bawah). Teknologi fertigasi gantung ini didapati amat praktikal untuk kawasan yang mudah tenggelam air.


Penanaman timun mini mempunyai amalan sama dengan penanaman timun besar biasa yang lain. Benih yang disemai kedalam polibeg ini akan mula berbunga 3 - 4 minggu selepas ditanam. Dalam fertigasi gantung hanya satu pokok ditanam untuk satu polibeg dan baja set A dan Set B akan dipam setiap hari kedalam polibeg ini. Penggunaan baja foliar diberikan mengikut keperluan dengan 2-3 kali dilakukan semburan berkala untuk mempercepatkan proses pertumbuhan. Kawalan musuh dan penyakit dilakukan mengikut keperluan dimana penggunaan bahan kimia adalah sedikit untuk menghasilkan buah timun yang selalunya dimakan sebagai ulam. Bunga timun mini ini akan keluar daripada batang tang menjalar diatas para dan mengambil masa 14 hari untuk ianya matang dan dipetik. Sama seperti pokok timun lain, antara serangga perosak yang biasa menyerang timun mini ialah Kutu Aphids iaitu kumbang daun dan Lalat Buah (Daucus cucurbitae Coq). Lazimnya serangan adalah pada bahagian daun, bunga dan buah muda. Jika serangan teruk menyebabkan daun rosak dan 'berkerekot' dan buah berubah bentuk, menjadi terbantut dan busuk. Daun dan buah yang diserang dengan perosak ini perlu dimusnahkan serta selalu menjaga kebersihan kawasan kebun. Dalam keadaan perlu lakukan semburan dengan jenis racun perosak yang sesuai. Penyakit yang biasa menyerang ialah Kulapok Berdebu (Downy Mildew). Penyakit ini akan menyebabkan tompok misilia putih dan berdebu pada permukaan daun, daun bertukar kekuningan, perang ,kering dan berkedut. Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil saiznya. Serangan kulapok downy ialah pada daun,terdapat bintik berbentuk bersiku siku ,berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun, lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati, buah akan terbantut, pastikan daun yang diserang dimusnahkan. Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai.


Tanaman timun mini dengan fertigasi gantung hanya punyai kitaran hidup utnuk 2 bulan sahaja. Memetik hasil lazimnya 4 minggu sahaja dan julah tuaian adalah jauh lebih rendah daripada timun batang yang biasa ditanam. Ini kerana buah timun mini yang kecil ini ringan dan masa memetik sama dengan memetik timun batang. Kajian penulis kepada beberapa petani yang menanam timun mini mendapati harga ladang timun mini tidak pernah kurang daripada RM3.00 sekilogram. Walau pun harganya tinggi tetapi jumlah berat dari timun mini memberikan pulangan hasil pendapatan yang tidak jauh dengan hasil tanaman timun batang. Bagaimana pun harga timun batang kadang-kadang jatuh sehingga kurang daripada RM0.30 sekilogram bila berlaku lebihan pasaran. Permintaan terhadap timun mini memang terus tinggi sepanjang masa. Jika anda ingin membeli timun mini pastikanianya masih segar, berkualitii dan bebas daripada bahan kimia. Buah yang berkualiti lazimnya boleh bertahan selama seminggu dengan kaedah penyimpanan yang baik. Jika disimpan dalam peti sejuk ia akan tahan lebih lama lagi. Timun mini pada penulis memang lebih enak dan sedap daripada timun batang dan timun Jepun. Ia dhidangkan dan dijual dibeberapa restorwn dengan menu lain seperti ulam-ulaman dan sambal belacan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro kali ini. Wasallam!...
TIMUN MINI... SAIZ KECIL BUAHNNYA...
RASA MANIS...SEBAGAI ULAM DIA...
MUDAH DITANAM...BAIK HARGANYA....
ARTIKEL DITULIS... ILMUNYA DIJAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Timun Mini,
TKPM Permatang Lawang,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(30 Rabiulakhir 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.