Saturday, January 14, 2017

TANAMAN LABU MANIS DI TKPM

LABU MANIS (Cucurbita moschata) merupakan sejenis tanaman yang popular ditanam dikalangan petani di Malaysia sebagai tanaman kontan komersil. Tanaman labu manis sama dengan tanaman tembikai dan timun adalah daripada keluarga Curbitaceae yang menjadi tanaman pilihan peserta dibeberapa projek Taman kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) sebagai tanaman yang memberikan pulangan baik. Nama tempatan tanaman ini adalah seperti Labu Manis, Labu Lemak, Labu Taiwan dan ada yang kata Labu Madu (Terengganu). Tanaman ini dipercayai memang berasal dari Amerika Tengah. Selain dibuat sayur penulis blog dapati labu manis juga boleh digunakan untuk membuat kuih seperti jemput-jemput, bengkang, serawa dan pai. Labu manis adalah makanan yang kaya dengan pelbagai zat mineral sama seperti keledek dan baik untuk kesihatan. Daripada tinjauan penulis dibeberapa negeri mendapati pengeluar utama tanaman labu manis seperti di Johor, Terengganu, Pahang dan Perak mendapati keluasan tanaman labu manis sekitar 1,468 hektar pada tahun 2015 (Sumber: Laporan statistik tanaman Jabatan Pertanian Malaysia 2015). Didapati terdapat banyak varieti atau kultivar labu manis yang ditanam di Malaysia tetapi kini hanya beberapa varieti sahaja yang menjadi pilihan petani berdasarkan kepada permintaan pasaran. Pemerhatian oleh penulis blog ini mendapati diantara varieti yang popular di tanam adalah dari jenis Varieti China dan Varieti Taiwan. Varieti labu manis yang paling popular di Malaysia dan disyorkan untuk penanaman secara komersil ialah Early Price daripada jenis Taiwan dengan kod nombor daftar 767. Ini kerana buah labu manis berkualiti, saiz sederhana dan pokok yang tahan penyakit. Rencana subuh ini saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman labu manis di salah satu TKPM iaitu TKPM Lebu di Bentong sekadar untuk dikongsi maklumat dengan anda.


TKPM Lebu di Bentong merupakan salah satu daripada TKPM yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian dengan keluasan 22 hektar dan 16 orang peserta. En Mok Wing Fatt yang mengusahakan tanaman labu manis seluas 4 hektar di lot 12 merupakan seorang peserta yang aktif dengan aktiviti menanam pelbagai jenis sayuran di TKPM ini semenjak 7 tahun daulu (Sila lihat foto disebelah). Beliau adalah seorang peserta yang paling berjaya dengan aktiviti menanam sayur dan mempunyai kawasan lain di luar TKPM iaitu dilancang seluas 12 hektar sekitar Kg Lanchang. Petani yang berpengalaman selama lebih 18 tahun ini menanam labu manis kerana ia mudah dipasarkan dan sebagai tanaman selingan dengan tanaman sayuran lain. Beliau yang mempunyai seramai 6 orang pekerja ladang juga menanam pokok betik Sekaki di celah-celah tanaman labu manis untuk meningkatkan lagi pendapatan dari aktiviti pertaniannya. Semasa tinjauan didapati tanaman labu baru berumur 4 minggu dan memerlukan masa sekitar 7-8 minggu lagi untuk menuai. Penanaman musim lepas hasil labu dijual kepada pemborong di Selayang dengan harga ladang diantara RM1.50 - RM180 sekilogram. Labu Manis antara tanaman yang mampu menjamin pendapatan jika dijaga dengan baik dan tidak diserang penyakit seperti Downy Mildew. En Mok dalam pada itu memasang pagar zink disekeliling kawasan tanaman untuk elakkan serangn musuh terutama babi hutan. Antara masaalah dihadapi dikawasan ini yang didakwa petani ini adalah kekurangan sumber air di musim kemarau (akibat aktiviti pembalakkan dibahagian atas hutan yang membekalkan air) dan kes kecurian hasil tanaman. 


Secara umumnya tanaman labu manis sama dengan tanaman dari famili Cucurbitaceae yang lain mmerlukan cuaca panas dan air yang banyak untuk pertumbuhan dan pengeluaran hasil yang baik. Suhu yang sesuai ialah sekitar 25-35 Celcius pada waktu siang dan 18-22 Celcius pada waktu malam. Hujan minimum diperlukan sebanyak 380 mm semusim adalah memadai. Hujan lebat yang banyak pula boleh menyebabkan air bertakung boleh memusnahkan tanaman ini. Cuaca redup dan ada naungan dari pokok lain akan mengurangkan pengeluaran bunga betina dimana ia seterusnya merendahkan hasil. Jenis tanah yang sesuai ialah tanah liat gembur berpasir, liat gembur berorganik tinggi, gambut yang diberi kapur dan tanah bris berorganik tinggi seperti Siri Rhu Tapai dan Rompin. Pemilihan kawsan tanaman di tanah rata mestilah mempunyai saliran yang baik. Di kawasan yang mempunyai paras air yang tinggi penanaman hendaklah dibuat di atas batas. Nilai pH tanah yang paling sesuai ialah diantara 5.5 - 6.8 seperti yang terdapat di TKPM Lebu ini. Kebanyakan tanah di Malaysia mempunyai pH yang rendah dan kapur diperlukan untuk mengurangkan kemasaman tanah. Jenis tanah mineral memerlukan kapur sebanyak 3-5 tan sehektar manakala tanah gambut memerlukan 3.0 - 7.5 tan sehektar. 


Pemerhatian penulis bagaimana kerja penyediaan tanah di kawasan tanaman labu seperti di TKPM ini dengan membuat kerba membajak piring diikuti dengan sekali atau dua kali bajak putar. Bajak piring seeloknya dilakukan sebulan setengah sebelum menanam dan bajak putar pertama dua minggu kemudian iaitu selepas penaburan kapur. Bajak putar kedua dibuat 1-2 hari sebelum menanam. Kedalaman bajakan ialah 20-30 cm. Bagi kawasan yang paras airnya tinggi, batas yang bersaiz 1.2 meter lebar, 30 cm tinggi dan panjang mengikut tanah perlu dibuat. Jarak diantara batas ialah 1.2m dan jarak antara tengah batas ialah 2.4m. Penyediaan Benih yang dibeli dari kedai pertanian di Bentong jenis Early Price sebanyak 800 gm biji benih diperlukan untuk sehektar. Biji benih perlu dibeli setiap kali penanaman. Biji benih daripada kacukan F1 hybrid tidak boleh digunakan untuk penanaman akan datang kerana tidak mengekalkan baka asal. Biji benih perlu dirawat dengan rawatan kering menggunakan racun kulat seperti thiram dengan kadar 3g thiram bagi 1,000g biji benih. Penanaman: Tanam dua biji benih selubang terus ke batas. Kambus sedalam 1-2 cm dengan tanah dimana lazimnya jarak tanaman ialah 1.2 m dalam baris dan 2.4 m antara baris. Apabila pokok sudah tumbuh di peringkat dua (2) helai daun benar iaitu 7-10 hari lepas tanam maka dibuat penjarangan dengan meninggalkan hanya sepokok sahaja selubang. Dengan jarak ini ia menghasilkan 3,400 pokok sehektar. 


Tanaman labu manis di TKPM Lebu ini mengggunakan plastik bersinar dimana ia boleh mengurangkan kehilangan baja melalui proses larut lesap. Pembajaan tanaman labu manis berbeza antara kawasan yang ditanam tanpa plastik dengan tanaman gunakan penutup plastik. Baja NPK 12:12:17:2+TE diberikan semasa sebelum menanam 10 hari lepas tanam (200 kg/ha), 40 hari lepas tanam (200 kg/ha) dan 60 hari lepas tanam (200 kg/ha). Baja organik tahi ayam reput diberikan dengan kadar 4 mt/hektar. Pembajaan tanaman labu manis yang menggunakan dilakukan sebelum menanam (600 kg/ha) dan 60 hari lepas tanam (200 kg/ha) serta baja tahi ayam reput sebanyak 4 mt/ha. Baja ini digaul ke dalam batas sebelum ditutup dengan plastik. Pembajaan di peringkat 60 hari selepas ditanam pula dimana baja ditabur di celah batas. Pengurusan Air untuk tanaman labu manis perlu dilakukan dengan menyiram atau menggunakan sistem pengairan renjis. Sistem pengairan renjis yang diamalkan petani ini mempunyai kecekapan pengairan 65-75% dan keperluan tenaga kerja yang rendah. Jenis perenjis yang sesuai digunakan mempunyai julat tekanan operasi yang rendah iaitu sekitar 1.5 - 2.5 kg/cm dengan kadar alir perenjis 0.3-1.0 liter/minit dan garis pusat liputan siraman 25-30m. Perparitan diperlukan bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran terutama dikebun yang hampir dengan kolam. Parit ladang telah dibina untuk mengalirkan air yang bertakung ke parit utama. Kawalan Rumpai Rumpai dilakukan dimana di atas batas rumput dicabut dengan tangan, dicangkul atau dikawal menggunakan sungkupan yang terdiri daripada lalang atau rumput kering. Jika perlu racun rumpai seperti glufosinate-ammonium (0.5 kg/ha) atau glyhosate (0.6 kg/ha) boleh disembur untuk mengawal rumpai yang tumbuh di antara batas pada peringkat sebelum berbuah. Penggunaan plastik bersinar berupaya menyekat proses pertumbuhan rumpai dibahagian permukaan batas.  


Pendebungaan Berbantu Bunga betina yang mengalami proses pendebungaan membesar dan menjadi buah (Sila lihat foto disebelah). Penulis blog Anim Agro Technology juga mendapati dimana bunga yang tidak didebunga akan busuk dan gugur. Debunga dari varieti atau kultivar yang sama adalah serasi. Lazimnya tanaman labu manis didebungakan oleh serangga seperti lalat, lebah, kumbang, tebuan dan kupu-kupu. Sekiranya racun serangga kerap digunakan ini akan menyebabkan agen pendebungaan akan berkurangkan dan menjejaskan proses pendebungaan dan seterusnya menjejaskan hasil. Kerja pendebungaan berbantu dibuat sekiranya kehadiran serangga berkurangan dan disyorkan pada waktu pagi (8.00 - 11.00 pagi) iaitu apabila bunga betina terbuka seperti yang dilakukan oleh En Mak ini. Debunga daripada bunga jantan yang terbuka pada pagi itu juga digunakan untuk didebungakan oleh pekerja ladang. Oleh kerana bunga jantan lebih banyak daripada bunga betina penulid dapati sebaiknya satu bunga jantan dikacuk dengan satu bunga betina. Selepas tujuh hari bunga betina yang telah didebunga dan disenyawakan akan membentuk putik buah. Dalam aktiviti pengurusan Penyakit dan Perosak selalunya jenis Penyakit Kulapuk Downy yang akan merebak melalui tiupan angi. Ia diisebabkan oleh Kulat iaitu Pseudoperonospora cubensis. Antara simptom serangan adalah dimana ada bintik-bintik bersegi berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun. Lapisan bawah daun diselaputi oleh spora-spora cendawan keungu-unguan. Serangan teruk menyebabkan daun menjadi kuning dan mati dan buah menjadi bantut. Kaedah kawalan dilakukan menyembur dengan racun kulat seperti metalaxyl (0.15% b.a) apabila terdapat tanda-tanda penyakit dan diulang selang 7-10 hari, sekali. Penyakit Kulapuk Berdebu yang merebak melalui angin dan air disebabkan oleh kulat Erysiphe cichorocearum menyerang daun. Simptom serangan dimana terdapat kulat berdebu di bawah daun dan batang pokok. Bahagian yang berpenyakit menjadi perang, kuning dan berkedut. Kawalan dilakukan dengan memusnahkan pokok dan buah yang diserang. Semburan dengan racun kulat seperti benomyl (0.03% b.a) selang 7-10 hari sekali jika perlu. Penyakit Lecuh Anak Benih atau Reput Pangkal pula merebak melalui tanah dan air yang disebabkan oleh Phytophthora sp., Pythium sp. dan Rhizoctonia sp. Antara simptom yang boleh dilihat dimana serangan berlaku pada batang atau di mana terdapat tanda-tanda cedera berair dan kelihatan nekrotik. Kawalan penyekit ini menggunakan biji benih yang sihat. Rawat biji benih dengan racun kulat seperti thiram dengan kadar 3 g racun dalam1,000 g biji benih. Pastikan saliran elok di kawasan tanaman. Penyakit tanaman labu manis seterusnya adalah Penyakit Mozek Virus yang selalu merebak melalui biji benih atau kutu daun. Penyakit ini menyerang semua bahagian pokok. Simptom serangan dimana ada daun berbintik-bintik berwarna hijau pucat, berkerekot dan pokok terbantut. Kawalan dijalankan dengan mencabut dan musnahkan pokok yang berpenyakit. Penyakit Hawar Daun selalu merebak melalui angin yang disebabkan oleh sejenis kulat Rhizoctonia sp.. Ia menyerang bahagian daun dimana selalunya terdapat spora-spora berwarna keperangan di tempat serangan. Cara kawalan dengan merawat biji benih dengan racun kulat seperti thiram dengan kadar 3 g racun setiap 1,000 g biji benih. Gunakan biji benih yang sihat, amalkan tanaman giliran dan cabut serta tanam daun-daun yang berpenyakit. Sembur racun kulat seperti mancozeb (0.1 - 0.2% b.a) setiap 7 hari sekali jika perlu. 


Peringkat penting dalam menanam labu adalah berkaitan dengan penuaian hasil. Ini kerana selalunya kematangan dan proses pengutipan hasil buah labu manis dipungut apabila matang iaitu 60 - 80 hari selepas ditanam bagi kultivar disini iaitu varieti Early Price. Kematangan dapat dikenali apabila warna kulit bertukar daripada hijau ke kuning. Tangkai buah dipotong 5 cm dari pangkal buah (Sila lihat foto disebelah). Berat buah labu manis adalah diantara 1-2 kg sebiji bergantung kepada varieti dan pengurusan agronomi. Ia boleh disimpan selama 2 bulan pada suhu bilik. Sepokok labu manis boleh mengeluarkan 5-6 buah dalam tempoh 90 hari. Hasil labu manis sehektar lebih kurang 20-25 tan. Penyemburan racun perosak selalu diberhentikan oleh petani En Mak beberapa hari sebelum kerja-kerja mengutip hasil. Ini berpandukan tempoh dilarang mengutip hasil racun perosak yang digunakan. Tempoh dilarang mengutip hasil untuk semburan racun perosak berbeza seperti yang dinyatakan pada label. Labu manis dari TKPM Lebu dijual dengan harga diantara RM1.50 - RM3.00 sekilogram. Pemborong lazimnya akan membeli secara pukal mengikut gred dan kualiti. Buah labu manis adalah sangat berkhasiat dan dimasak sebagai sayur labu, dijadikan pelbagai jenis kuih mueh dan juga diproses untuk produk IAT lain. Lawatan dan tinjuan penulis ke kebun ini memberikan pengalaman terbaik berdasarkan interaksi dengan petani. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada anda pembaca blog anim agro technology. Wasallam!!!...
MENANAM LABU MANIS... DIMANA...
TKPM LEBU... TINJAUAN DILAKSANA...
AMALAN TEKNOLOGI...DIPERIKSA...
MAKAN LABU MANIS... ENAKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Lot 12, TKPM Lebu,
Bentong, Pahang,
Malaysia.
(16 RabiulAkhir 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.