Saturday, October 15, 2022

INDUSTRI HERBA - SATU PENILAIAN

INDUSTRI HERBA
(Herbs) t
elah dikenal pasti sebagai industri yang berpotensi untuk membantu pertumbuhan ekonomi negara sejak beberapa Rancangan Malaysia dilaksanakan. Penggunaan herba juga pernah mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia yang peka terhadap penjagaan kesihatan dan penggunaan produk semula jadi yang masih mempunyai nilai terapeutik. Herba dilaporkan dan didapati mempunyai kegunaan yang meluas, terutamanya penghasilan produk bernilai tinggi dalam industri makanan dan minuman untuk tujuan kesihatan, farmaseutikal, ubatan tradisional, penjagaan kesihatan, perisa, pewarna dan pewangi serta untuk pengeluaran minyak pati (essential oil) bagi kegunaan kosmetik dan perubatan. Penulis blog merujuk kepada Pelan Herba dimana dalam tempoh Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2010 - 2020 dimana jumlah pengeluaran bagi herba dijangka meningkat daripada 17,000 tan metrik kepada 73,000 tan metrik dengan kadar pertumbuhan 15.4 peratus setahun. Kini dilaporkan dimana jumlah eksport herba yang meliputi produk terproses pula dijangka meningkat daripada RM152 juta kepada RM1.3 bilion dalam tempoh yang sama (Sumber: Laporan AgroMakanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tahi 2015). Keluasan tanaman herba diunjur meningkat sebanyak 15 peratus setahun iaitu daripada 1,000 hektar pada 2010 kepada 4,000 hektar pada 2020. Melihat kepada potensi herba ini kemudian pihak kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan kini sudah ditukar kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)  telah pun meletakkan industri tanaman dan pemprosesan herba di bawah salah satu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang berpotensi dan pernah menjadi projek penting dalam Projek Keutamaan Permulaan (EPP 1) iaitu dengan bertujuan untuk menghasilkan produk-produk herba bernilai tinggi seperti nutraseutikal dan 'botanical drug'. Sejauh mana kejayaan projek industri herba ini memang sukar dinilai kerana ia melibatkan satu proses yang lebih komplikated berbanding dengan pembangunan projek tanaman makanan lain. Ini juga kerana harba akan dinilai daripada 'kandungan kimia' atau 'chemical content' yang ujud pada setiap jenis herba yang memberi fungsi kesihatan kepada pengguna. Bagaimana pun setelah penulis blog bersara daripada Jabatan Pertanian seakan prjek pembangunan tanaman herba ini agak 'senyap' perlaksanaan dan perlaporannya tidak seperti dahulu lagi. Adakah projek herba yang pernah diberikan bajet tinggi ini masih menjadi tumpuan yang berpotensi semakin kurang diketahui. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penilai peribadi penulis blog minat mengenai pembangunan industri herba di Malaysia untuk dijadikan bahan bacaan anda semua.

Dahulu perlaksanaan projek industri herba tempatan dibawah EPP 1 yang berperanan dalam memajukan industri herba negara dimana MAFI sebagai pelaksana dengan ia dibantu oleh kementerian, jabatan, agensi dan institut lain yang terlibat seperti Jabatan Pertanian, MARDI, Agensi Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Khazanah Nasional. Matlamat utama dikenalpasti masa itu iaitu bawah EPP 1 adalah menyasarkan nilai hasil sebanyak RM2.2 bilion menjelang tahun 2020 Pendapatan Kasar Negara (PKN) dan menyediakan 2,000 peluang pekerjaan melalui projek pertumbuhan industri herba. Bagaimana pun pembaca blog mungkin faham dimana kesan daripada pandemik covid-19 yang berlaku lebih dua tahun (dari 2020 - 2022) telah berkemungkinan ada kesan terhadap projek pembangunan herba ini. Pernah dilaporkan dalam media dimana didalam NKEA Pertanian dimana dalam EPP 1 ia berperanan untuk membangunkan monograf bagi kegunaan rujukan bahan penerbitan penting mengenai kualiti herba yang terdapat di negara. Ia juga membangunkan ladang kontrak herba kepada petani untuk menggalakkan penanaman pokok herba, penubuhan taman herba bagi penanaman bahan mentah herba secara komersial oleh Majlis Pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Pasir Raja, Chegar Perah, Durian Mentangau dan Rantau Manis. Diantara jenis-jenis herba yang pernah didakwa dimajukan seperti Kacip Fatimah, Dokong Anak, Gelenggang, Tongkat Ali, Hempedu Bumi, Belalai Gajah, Halia dan beberapa lagi. Bagaimana pun tinjauan penulis blog semasa menjawat Pengarah Pertanian Pahang yang membuat tinjauan ke Cegar Perah amat terkejut pada tahun 2017 apabila projek tersebut dilihat sebagai 'gagal' dan terbiar sahaja. Tidak ada maklumat terkini apa yang sudah jadi dengan premis tersebut masa kini akan tetapi difahamkan ia sudah jauh daripada fungsi sebenar seperti yang dirancang semasa perlaksanaan awalnya dahulu. Dalam pada itu penulis blog menerima laporan dimana tanaman herba jenis Kacip Fatimah merupakan antara tanaman yang pernah berjaya mengangkat pengeluaran herba apabila  Jabatan Pertanian berjaya menghasilkan pengeluaran anak benih untuk kacip fatimah terbesar di dunia yang terletak di Stesyen Pertanian Parit Botak, Batu Pahant, Johor (Sila lihat foto disebelah).  Petani dan peserta projek herbamasa itu boleh mendapatkan benih daripada pusat tersebut untuk tujuan penanaman kacip fatimah secara komersil. Bagaimana pun kini projek tanaman herba ini sudah 'tenggelam' dan mungkin gagal apabila berlaku perselisihan dan isu harga jualan bahan mentar kacip fatimah segar diantara penanam dengan pembeli (pihak pemproses) yang berlaku masa itu.

Dari segi teknologi penanaman dan cara pemprosesan tanaman herba sebenarnya sudah ada banyak kerja penyelidikan dan penerbitan buku dilakukan oleh banyak pihak terlibat. Antara kajinan tersebut yang penulis blog pernah gunapakai adalah buku 'Malaysian Herbal Monograph' yang telah dihasilkan oleh ramai pakar daripada FRIM di Kepong, Selangor. Buku ini dianta beberapa laporan kajian yang dilakukan oleh banyak agensi penyelidikan dan pihak swasta yang melakukan kajian mengenai herba di Malaysia. Buku ini mengandungi banyak maklumat akan tanaman herba di Malaysia serta kandungan kinia didalam serta kegunaannya didalam industri. Dilaporkan memang sudah ada bukti saintifik mengenai kehebatan dan khasiat herba tempatan masih perlu dibangunkan secara klinikal perlu dibuat. Jika ada kalangan mereka yang hendak membandingkan dengan kehebatan ubatan herba Cina yang telah beribu-ribu tahun dibuat kajian memang potensi  kehebatan herba tempatan tidak kurang khasiat dan kelebihannya. Nilai import bahan herba yang belum proses dan siap proses dari China ke Malaysia bernilai jutaan ringgit dengan beratus-ratus kedai ubat Cina Singseh sudah beroperasi diseluruh negara. Diperingkat tempatan pula penulis mendapati dimana industri herba mesti terus perlu dibangunkan penyelidikan dan pembangunan herba dengan meningkatkan penyelidikan serta kajian bagi mengukuhkan bukti saintifik kepada produk herba dan penambahbaikan makmal berstatus Good Laboratory Practice (GLP). Kini cara penggunaan herba sebagai pilihan alternatif pengguna semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia. Jenis-jenis herba yang diberi keutamaan di bawah program EPP 1 masa itu termasuk herba tongkat ali, kacip fatimah, dukong anak, misai kucing, hempedu bumi dan tiga belas (13) jenis yang lain. Lain-lain herba yang berpotensi disenaraikan di bawah EPP 1 ialah mengkudu, roselle, halia, mas cotek, belalai gajah, pegaga, sambung nyawa, lempoyang, kaduk, senduduk putih, gelenggang, merungai dan peria katakPelbagai penyelidikan dan kajian telah dijalankan oleh Institusi Penyelidikan dan oleh beberapa pihak Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi mengenal pasti bahan aktif di dalam tanaman herba yang boleh digunakan sebagai alternatif bagi mengawal atau mengubati penyakit kronik. Sama ada aktiviti ini semakin aktif dijalankan oleh pihak terlibat atau sebaliknya penulis blog kini kurang pasti statusnya.

Malaysia merupakan salah sebuah negara pengeluar produk herba utama di Asia kerana hutan hujan tropika menempatkan lebih 12,000 spesies tumbuhan iaitu 2,000 spesies dilaporkan mengandungi nilai perubatan. Dasar Pertanian Negara Ketiga, Dasar Biodiversiti, Dasar Kebangsaan Perubatan Tradisional dan Komplementari dan Dasar Bioteknologi diperkenalkan untuk menyokong industri herba di Malaysia. Industri herba di Malaysia dijangka terus berkembang dan maju selari dengan peningkatan kesedaran masyarakat untuk meningkatkan kesihatan diri dan alternatif bagi rawatan kepada banyak penyakit kronik yang sukar disembuhkan oleh ubat konvensional. Produk tradisional berasaskan herba walau pun kini semakin diterima dan diyakini ramai akan tetapi bekalan bahan asasnya untuk diproses juga mesti distabilkan dahulu. Pengeluar sedia ada dalam industri ini atau pun pemain baru sepatutnya berusaha mengambil peluang dengan menerokai kebaikan dan juga aspek kegunaan lain daripada tanaman herba yang masih belum diketahui. Antara peluang untuk perniagaan daripada industri ini ialah sebagai pengedar produk herba, nutraseutikal daripada herba lain dan pelaburan langsung asing untuk herba-herba tropika. Kalau dahulu ada program EPP1 yang melibatkan aktiviti promosi dan pasaran pada peringkat antarabangsa turut dijalankan dengan membawa beberapa usahawan ke pameran-pameran yang diadakan di luar negara, antaranya Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Emiriyah Arab Bersatu untuk memperkenalkan produk keluaran Malaysia pada peringkat global akan tetapi program ini mungkin 'senyap' juga terkait pandemik covid-19 juga.  Pelbagai usaha dijalankan untuk mendapatkan pengedar asing dengan rangkaian pengedaran yang besar dalam pasaran strategik seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah atau China juga akan dikaji. Aktiviti ini adalah penting dalam usaha untuk membantu penembusan pasaran luar negara bagi produk herba Malaysia dimasa akan datang. Produk herba bukan sahaja berpotensi memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara tetapi menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan baharu. Perkembangan industri herba ini dulu dijangka akan dapat mengukuhkan sektor pembuatan negara dalam produk berkaitan kesihatan dan pelancongan sekiranya bijak menggunakan peluang yang disediakan tetapi status masa kini dipersoalkan. Pasaran bagi produk berasaskan herba kini mempunyai potensi dan masa depan yang cerah serta mampu menyumbang ke arah nilai sasaran Malaysia untuk menjadi salah satu negara disasarkan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Tetapi semuanya masih kurang jelas bagaimana industri herba di Malaysia berada sekarang ini. Jika program pembangunan industri herba ini tidak diberikan penekanan kemungkinan ianya akan kelam. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
DALAM EPP1...IA INDUSTRI HERBA...
PROGRAM INI...PELBAGAI USAHA...
PERLU KAJIAN... APA KHASIATNYA...
ARTIKEL DITULIS..DIBACA SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 136, Hotel M Design,
Seri Kembangan, Selangor,
Malaysia.
(10 RabiulAkhir 1438H)
Kemaskini artikel ini dilakukan pada 6 Rabiulawal 1444H
(Bersamaan 3 Oktober 2022).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.