Wednesday, November 16, 2016

POKOK LEBAN

POKOK KAYU LEBAN (Vites pinnata) merupakan sejenis tumbuhan hutan daripada keluarga Laminaceae. Tumbuhan ini adalah natif dari kawasan Asia Tenggara yang tumbuh dengan liar secara berkelompok dikawasan belukar dan hutan hujan. Pokok Leban adalah dikenal dengan berbagai nama tempatan iaitu nama "Milla" di Sri Lanka, "Laban" nama di Indonesia, "Gulimpapa" di Sulawesi, "Kyetyo po" di Myanmar, "Leban" di Malaysia, "Molave" di Filipina dan "Tinnok" di Thailand. Kayu ini tumbuh dikawasan hutan dan belukar dimana ia mampu membesar dengan pelbagai kegunaan. Ia lazimnya tumbuh dengan baik biasanya di hutan sekunder seperti di kawasan lembap tepi sungai dan sepanjang jalan termasuk di kawasan belukar yang ujud tumbuhan Lalang (Imperata cylindrica). Tumbuhan ini tahan jika berlaku kebakaran biasa pada lalang. Penulis amat mengenali kayu pokok leban yang digunakan sebagai bahan utama membuat kompang untuk dilarek dan ditebuk menjadi kayu kompang iaitu perusahaan kraftangan membuat kompang tradisional oleh keluarga penulis di Muar, Johor. Penulis juga yang ada membuat pemerhatian iaitu dikawasan hutan leban mendapati pokok leban dikawasan tropika selalu berbunga dan berbuah hampir sepanjang masa dari bulan Januari hingga Disember. Bunga dan buahnya akan dimakan oleh burung sebagai sumber makanan unik yang amat digemari. Burung ini kemudian akan menelan biji benih leban dimana seterusnya akan menjadi benih untuk disebarkan kekawasan lain. Biji yang dikeluarkan dari naji burung ini akan tumbuh dikawasan baru jika keadaan sesuai. Bagaimana pun benih tidak dapat bercambah jika jatuh di bawah naungan dan ia memang perlukan cahaya matahari untuk bercambah. Artikel malam Ahad ini saya berusaha menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok leban dan kepentingannya dalam ekonomi untuk bacaan anda.


Pokok Leban mempunyai bentuk sederhana rimbun dan berdahan hanya dibahagian atasnya. Ia merupakan jenis pokok yang tumbuh dengan lambat dengan ketinggian sehingga 60 kaki dengan ukurlilit batang sehingga 1 - 3 meter. Pokok leban dewasa selalu memiliki jenis batang dengan kulitnya berwarna putih kelabu kecoklatan dan daun yang berbau agak wangi (Sila lihat foto sebelah)Pokok leban mempunyai kulit seakan retak dan mengelupas berwarna kelabu kekuningan sampai coklat pucat atau kulit berwarna hijau pucat menjadi kuning dimana ia bergantung kepada spesis dan lokaliti sekelilingnya. Daun pokok leban berbentuk 3 - 5 iaitu foliolate berwarna hijau cerah. Lai daun seperti 'sessile' dimana saiz dua lai daun dikiri dan kanan lebih kecil dari daun tengah. Daun yang berbentuk ovat atau elipilistik ini berukuran sekitar 3-25 cm panjang  dan1.5-10 cm lebar. Bahagian bawah berbentuk bulat dan hujungnya adalah tajam menirus (acuminate). Setiap daun mempunyai sebanyak 10-20 pasang urat. Buah leban dihasilkan berbentuk bulat berwarna hijau dengan biji hitam kecil berukuran  5-8 mm. Belum ada orang yang mengambil pucuk daun pokok leban untuk dimakan sebagai ulam. Biji leban ini yang akan dimakan oleh burung dan tidak hadam sebaliknya akan mejadi benih bagi pertumbuhan pokok leban dikawasan baru.


Pokok Leban adalah jenis pokok yang memiliki kayu yang sangat kuat, kukuh dan tahan lama. Ia juga tahan walau pun terkena air hujan atau diletakkan diatas tanah. Kayu leban yang dipotong sepanjang 1 meter sesuai diletakkan atas tanah atau dibawah naungan yang lazimnya berwarna coklat kelabu. Kepadatan kayu leban adalah sekitar 930 kg per meter kubik (£ 58 per kaki kubik). Kayu leban sering digunakan untuk dijadikan tiang rumah, gelegar, kerangka bumbung rumah, bingkai pintu, balur kompang atau jendela dan lantaiu rumah. Rumah yang diperbuat daripada kayu leban merupakan pilihan bahan binaan yang terbaik kerana ia cantik dan yang utama tahan lama. Kayu leban merupakan jenis kayu putih dengan ada pelbagai corak dan pelbagai warna didalamnya yang sesuai dijadikan perabot. Antara perabot yang sesuai dengan kayu leban seperti kerusi, meja, katil, kabinet dapor, almari, rak kasut dan sebagainya. Kayu leban merupakan bahan terbaik untuk kraftangan seperti Terompah (Sila lihat foto sebelah) yang pernah menjadi bahan utama alas kaki dahulu. Kayu leban ini juga sesuai untuk dijadikan bahan ukiran lain sebagai kraftangan menarik seperti sarung parang, sarung keris, hulu pisau dan sebagainya. Kayu leban juga dijadikan bahan api atau kayu api untuk dijadikan keperluan memasak didapur tradisional dimana ia menghasilkan api yang cukup panas.

Dalam industri pembuatan kompang, pengusaha akan menggunakan kayu leban sebagai kerangka untuk dibuat kompang. Pokok leban akan ditebang dan dipotong menjadi kayu berbentuk empat segi sama dengan lebar 16 inci dan tebal 4 inci. Kayu ini akan dipotong penjurunya menjadi bulat sebelum dilarek menggunakan mesin pelarek kompang. Ia akan dibentuk kerangka bulat berukuran 14 inci, 12 inci, 10 inci dan juga untuk dibuat kompang kecil 6 inci (Hadrah). Kayu leban merupakan kayu yang tahan untuk mengikat kulit kambing yang mampu menghasilkan bunyi kompang yang sangat nyaring. Selain itu kayu leban juga sering ditebuk bahagian tengah untuk dijadikan Gendang, Jadur dan Alatan musik lain seperti Gambus terutama di Johor. Alatan muzik ini kini dijual dengan harga yang agak tinggi kerana kualiti dan kesukaran untuk membuatnya. Dalam perubatan tradisional pula penulis dapati kegunaan daun dan kulit kayu pokok leban digunakan untuk mengubati sakit perut, demam dan malaria. Kulit kayunya selain untuk ubat juga digunakan sebagai bahan pewarna hijau dan digunakan sebagai media batang atau tunggul yang sesuai untuk penanaman bunga orkid. Semuga rencana kali ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!..
POKOK LEBAN... SEMAKIN KURANG...
POKOK BESAR...DIBUAT KOMPANG...
JADI PERABUT... LANTAI DAN TIANG...
POKOK BERGUNA...JANGAN BUANG...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Batu 27, Kg Baru Lenga,
Lenga, Pagoh, Muar,
Johor, Malaysia.
(29 Rabiulakhir 1435H)
Posting pada 16 November 2016.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.