Sunday, November 6, 2016

KELULUT DAN MADU KELULUT

LEBAH KELULUT atau dikenali dengan 'Stingless Bee' kini merupakan satu perkara yang menjadi sebutan ramai kerana Madu Kelulut telah diistihar sebagai "Super Food Malaysia" oleh Perdana Manteri pada 18 September 2016. Datuk Seri Najib Razak, hari ini melancarkan kempen 'Mulakan Hari Anda Dengan Madu' bagi menggalakkan pengambilan madu tempatan setiap hari sebagai makanan kesihatan tambahan bagi rakyat Malaysia. Kempen itu bertujuan menimbulkan kesedaran orang ramai mengenai nilai-nilai nutrien dan manfaat madu dalam membantu mengekalkan kesihatan dan meningkatkan kecergasan diri, menurut kenyataan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata Malaysia akan mengadakan promosi secara besar-besaran supaya madu kelulut Malaysia diterima di peringkat Pertubuhan Makanan dan Pertanian sebagai 'super food' Malaysia yang pertama. Madu kelulut (Trigona spp) sememangnya mempunyai banyak khasiat. Perkara ini adalah disebabkan lebah kelulut lebih kecil berbanding lebah biasa seperti Apis cerana (Lebah Keran) atau Apis mellifera (Lebah Import) dan  Apis dorsata (Lebah Tualang). Kajian saintis mendapati bagaimana pun dilaporkan lebah kelulut mampu menghisap nektar daripada bunga sehingga kepada ruang paling dalam dalam bunga kerana saiznya yang kecil. Penulis mengesahkan daripada tinjauan dibanyak lokasi dimana kelulut mampu untuk menghasilkan madu daripada nektar yang dihisap mengandungi lebih banyak vitamin dan mineral. Antara bahan penting lain yang dihasilkan oleh kelulut ialah propolis. Propolis dihasilkan oleh lebah melalui campuran air liurnya dengan bahan makanannya seperti debunga, kulit kayu, pucuk-pucuk pokok dan bunga. Anak-anak lebah kelulut dan kokun sangat sensitif kepada masaalah serangan virus, kulat dan serangga perosak. Oleh itu untuk memastikan sarang sentiasa bersih, steril dan kondisi terkawal, lebah kelulut menghasilkan propolis yang berfungsi sebagai antikulat, antivirus dan antibakteria. Khasiat propolis ialah mengandungi kesemua 16 jenis Asid amino, glukosa, vitamin A,B,C,D dan E, bioflavanoid dan pelbagai mineral. Bioflavanid sangat baik untuk kelancaran dan baik pulih sistem tubuh manusia dan ternakan. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai khasiat dan kehebatan produk kelulut seperti madu, propolis dan sebagainya untuk bahan bacaan dan rujukkan. Hari ini pada 6 November adalah ketibaan duta madu kelulut Pak Sabri (PS) dalam program Kelulut Walk 2016 di sempadan Terengganu-Pahang di Cerating. Pak Sabri akan berjalankaki menjelajah Negeri Pahang selama 8 hari sehingga 14 November 2016 sebelum berakhir di PPK Endau, Mersing, Johor.


Madu Lebah Kelulut (Stingless bee honey) adalah sejenis madu yang mana penulis dapati banyak variasi dari segi warna dan tahap kepekatannya. Lazimnya madu Kelulut mempunyai warnanya yang lebih jernih berbanding dengan jenis madu hutan biasa dan rasanya manis bercampur sedikit masam (Lebih Asidik). Madu kelulut didapati hasil kajian makmal mempunyai banyak khasiat untuk memulihkan pelbagai penyakit kronik dan sangat berguna dalam bidang perubatan dan kesihatan. Dalam Al-Quran terdapat satu surah yang kita tahu iaitu dinamakan An-Nahl bererti lebah berdasarkan firman Allah dalam ayat 68 dan 69 ertinya: “Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat yang dibuat manusia.” “Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.” Madu yang berasal daripada sari bunga dan menjadi ubat bagi pelbagai penyakit manusia. Khasiat madu sebagaimana disampaikan Al-Quran telah dibuktikan secara ilmiah oleh pakar perubatan. Khasiat madu kelulut termasuklah meningkatkan kadar untuk metabolisme badan, menambahkan tenaga batin, menjaga kecantikan, mampu untuk menguatkan wanita yang baru bersalin dan merawati pelbagai penyakit dan kecederaan dalaman. Didakwa ianya bahawa sama seperti lebah madu, kelulut juga menghasilkan madu dan propolis yang kaya dengan khasiat seperti bahan antioksidan yang tinggi. Madu kelulut rasanya agak masam berbanding madu biasa dan warnanya lebih cerah. Kini penulis mendapati harga runcit madu kelulut lebih mahal dibandingkan dengan madu lebah biasa kerana bekalan masih kurang di pasaran. Di Semenanjung Malaysia madu kelulut dijual diantara RM120 - RM200 sekilogram tetapi ia murah sedikit di Sarawak dan Sabah (Di Sibu, Sarawak semurah hanya RM60 sekilogram). Diantara jenis penyakit yang didakwa boleh sembuh melalui kaedah rawatan cara tradisional mengunakan hasilan lebah kelulut termasuk jenis penyakit Diabetis mellitus (kencing manis), Strok, Hepatitis (Hati), Kanser, Hipentensi (Darah Tinggi) dan Batu Karang.


Merujuk kepada beberapa hasil dari penyelidikan yang dilakukan oleh beberapa pihak mendapati kehadiran madu kelulut kini telah memberi nilai tambah kepada bekalan madu tempatan dan madu import yang menyebabkan permintaan melebihi bekalan. Ini kerana didapati madu lebah diketahui mengandungi bahan Anti-oksidan yang tinggi dan ia amat baik untuk kesihatan. Kajian telah dilakukan di Mardi menunjukkan madu kelulut mempunyai nilai dalam perubatan tertentu. Kajian awal yang dilakukan di Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan, Mardi menunjukkan kandungan seperti Asid fenilpropanaoik, Asid protocatechuik dan Asid 4-hidroksifenilasetik adalah di antara bahan utama yang telah berjaya dikenalpasti dalam madu kelulut. Bahan-bahan ini tergolong dalam kumpulan Asid fenolik bebas dan kehadirannya dalam madu kelulut memberikan jumlah khasiat yang signifikan. Asid fenolik bebas merupakan bahan aktif yang boleh bertindak sebagai Antikanser dan juga sebagai Antioksidan dimana bahan ini lebih mudah untuk diserap dalam tubuh manusia berbanding bahan aktif lain seperti flavonoid. Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) juga telah merekodkan bahawa madu mempunyai khasiat dari segi perubatan. Kajian makmal telah dilakukan ke atas tikus yang telah disuntik dengan diabetes dimana ia kemudian menunjukkan madu berupaya untuk menurunkan glukosa. Selain daripada itu madu kelulut didapati mampu untuk mengurangkan kerosakan fungsi ginjal dan ia juga dapat mengurangkan stress aksidatif. Selain itu kajian pada tikus yang telah di buang ovari untuk kajian menapous juga telah menunjukkan madu mengurangkan atrofi pada uterus dan vagina serta meningkatkan ketebalan trabekular tulang yang mana bermakna ia membantu manguatkan tulang melalui penyerapan kalsium.


Ternakan lebah madu dan Lebah Kelulut juga mampu untuk menghasilkan bahan Propolis. Propolis sebenarnya adalah terbentuk dari bahan resin yang diambil lebah dari pohon yang mengandungi getah. Lebah kelulut kemudian memprosesnya sehingga membentuk propolis, bahan yang berwarna hitam, kuning atau coklat tua di sarang lebah kelulut. Propolis didakwa mampu merawat masaalah seperti Ulser dan mampu untuk mencuci buah pinggang serta berkesan untukmencegah pembiakan sel kanser. Propolis berfungsi sebagai antibakteria dengan kekuatan sehingga 1.5 - 2 kali ganda lebih berbanding propolis lebah madu (Apis spp). Kajian makmal mendapati bahan propolis mempunyai berberapa bahan aktif seperti flavonoid, fenolik hidroquinon, tannin, triterpenoid dan gula produksi hasil kajian makmal dan laporan oleh Ir. H. AE Zainal Hasan MSi, Jabatan Biokimia, Falkutas Matematika dan Ilmu Pengetahuan IPB, Bogor. Propolis lebah kelulut dengan konsentrasi 8.2% mampu menghalau pertumbuhan 4 jenis bakteria iaitu Staphylococcus aureus, Bacillus subtilis, Escherichia coli dan Pseudomonas aeruginosaPropolis lebah kelulut pernah dibuat ubat kumur dan diberikan kepada 92 pesakit yang menderita radang gusi dimana hasilnya 87% pesakit berjaya sembuh. Propolis boleh berfungsi sebagai antikulat, antifungus, antibakteria dan antiradangyang biasanya digunakan sebagai bahan aktif dalam kosmetik, krim dan tablet. Industri menggunakan dan memproses propolis kelulut masih jauh lagi untuk pengkomersilan. Bahan propolis memang banyak dihasilkan oleh kebanyakkan koloni kelulut. Selain Madu Kelulut dan Propolis Kelulut sebenarnya ada produk lain iaitu Bee Bread atau dalam bahasa kita dinamakan sebagai 'ROTI LEBAH KELULUT. Produk ini juga merupakan makanan simpanan kelulut selain daripada bahan madu. Bee Bread merupakan campuran debunga (pollen) dengan madu yang diolah menggunakan air liur kelulut. Ianya kemudian melalui proses pencernaan dan fermentasi. Khasiat daripada bee bread ini amatlah banyak berbanding pollen kerana ianya mempunyai banyak asid amino essential. Kajian dari USM Kubang Kerian telah membuktikan bahawa pengambilan bee bread ini akan memperkuatkan fungsi hati, hempedu, otot, mata, serta dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi seseorang pengamalnya.

Kelulut hidup dalam sarang seperti log kayu berlubang ditengahnya dan menyimpan madu dalam Kotak Madu yang diletakkan dibahagian atas sarang. Terdapat aktiviti yang aktif pada waktu siang hari dimana kelulut pekerja akan keluar mencari makanan dan membawa pulang manisan nektar. Mereka aktif diwaktu musim banyak bunga mekar untuk dikunjungi. Kepelbagaian sumber tumbuhan ini membolehkan banyak bahan mineral dan benda lain dibawa balik untuk menghasilkan madu berkualiti. Lebah Kelulut memainkan peranan sebagai agen pendebungaan yang penting terutama pokok hutan dan tanaman pertanian. Saiznya yang kecil membolehkannya melakukan proses pendebungaan berkesan kepada bunga-bunga kecil yang tidak dapat dilakukan oleh lebah tualang dan lebah lalat. Masalah dihadapi dalam bidang pertanian sekarang adalah seperti kadar penurunan agen pendebungaan sekaligus memberi kesan kepada pengeluaran hasil. Ia berkurang akibat penggunaan bahan kimia seperti racun dan perkara ini sebenarnya menjejaskan keujudan fungsi lebah kelulut sebagai agen pendebungaan. Ramai penternak kelulut yang meletakkan kelulut dikawasan tanaman buah-buahan dan sebagainya menyatakan hasil tanaman mereka telah dapat meningkat bergganda selepas meletakkan koloni kelulut dikebunnya. Lawatan penulis kebeberapa projek tanaman Melon didalam Struktur Pelindung Hujan (SPH) di TKPM dan petani komersil mendapati hasil melon meningkat bergganda apabila penggunaan kelulut diletakkan dalam SPH tersebut (Sila lihat foto dibawah). Seorang petani lain di TKPM Batang Si di Semenyih menyatakan penggunaan kelulut sebagai agen pendebungaan juga mendapati hasil buah belimbing semakin bertambah. Petani lain di Kg Sungai Ruan, Raub, Pahang pula mendakwa dengan adanya ternakkan kelulut dikebunnya memberikan buah ciku, duku dan buah durian mengeluarkan hasil tinggi dan kadang-kadang berterusan tanpa musim. Ladang durian yang mempunyai koloni kelulut juga menunjukkan peningkatan hasil dan sentiasa berbuah tidak mengira musim. Khasiat madu kelulut dan faedah yang diterima dasil ternakan kelulut amat baik. Walau pun ada beberapa masaalah dalam pengurusan ternakan kelulut seperti serangan Lalat BSF, Kumbang Pendebunga dan kualiti madu tetapi ianya boleh diatasi dengan amalan Teknologi yang sesuai. Wasallam!!!..
Ketibaan Duta Madu Kelulut Pak Sabri di sempadan Terengganu=Pahang.
TERNAK KELULUT... MADU HASILNYA...
PROPOLIS DITUAI... MEMANG BERGUNA...
BANYAK PENYAKIT...SEMBUH RAWATNYA...
SUPERFOOD MALAYSIA... AKAN BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Majlis Pelancaran Kelulut Walk 2016,
Taman Botani, Shah Alam,
Selangor, Malaysia.
(Ditulis pada 8 Oktober 2016)
Posting pada 6 November 2016

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.