Thursday, October 13, 2016

SAYUR LODEH

SAYUR LODEH merupakan sejenis hidangan yang sangat popular dikalangan masyarakat Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei yang lazimnya disediakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha. Jangan anda keliru sayur lodeh sebagai sejenis sayuran berdaun seperti Kobis, bayam, Kangkong, Terung dan sebagainya. Ini kerana sayur lodeh ini memang enak jika ia dimakan dengan ketupat atau nasi himpit dengan lauk rendang ayam atau rendang daging dan sambal kacang. Ada juga dikaitkan sayur loden dengan juadah sarapan pagi iaitu Makanan Lontong. Sayur lodeh boleh dibahagikan kepada Lodeh Harian dan Lodeh Istimewa. Sayur Lodeh Harian ini disediakan untuk hidangan harian berupa bahan sayur (sawi putih, rebung, umbut, sayur daun dsb) yang dimasak dengan santan kelapa dan dimakan bersama nasi putih untuk makan tengahari. Lodeh yang dimaksudkan adalah seakan sama dengan menu masakkan sayur masak lemak iaitu mengikut gelaran dan nama lokaliti. Penulis sebagai anak jati Johor dari Daerah Muar (sekarang sudah menjadi Daerah Ledang) memang sejak kecil lagi kenal dan meminati makanan sayur lodeh. Bagaimana pun penulis kali ini lebih berminat untuk menulis sayur lodeh istimewa yang disediakan khusus untuk sambutan Hari Raya kerana ia menjadi satu makanan khas semasa hidangan bersama keluarga dan disediakan dengan rendang, ketupat dan pelbagai laukpauk. Lodeh ini lazimnya dimakan pada pagi hari raya pertama sebelum sembahyang sunat hari raya. Artikel petang 30 Ramadan 1434 hijrah ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" sejenis makanan istimewa (Sila lihat foto diatas) iaitu sayur lodeh untuk hidangan berbuka puasa dan juga hari raya.


Sayur lodeh boleh disediakan sama ada jadi Lodeh Putih atau Lodeh Kuning. Dari segi rasa tidak banyak perbezaan kerana ia hanya dibezakan dengan warna kuning yang ditambah dengan serbuk kunyit sahaja. Apa pun penulis menggemari kedua-dua jenis lodeh tersebut asalkan semua bahan-bahan utama ada didalamnya dan cukup rasa. Kali ini penulis mempaparkan cara sediakan sayur lodeh kuning mengikut majoriti kehendak ahli keluarga. Bahan-bahan untuk membuat sayur lodeh adalah santan kelapa, cili besar, serbuk kunyit, bawang merah, ikan bilis segar, udang kering, bawang putih, sengkuang, kobis bunga, tauhu putih, tempe, lobak merah, mee soon, tauhu kering, fucuk, kentang, cendawan tiram kelabu, cendawan telinga beruk, timun, kacang panjang, garam dan gula secukup rasa. Semua bahan-bahan ramuan tersebut perlu dipotong atau dihiris mengikut saiz dan ukuran yang sesuai. Bahan seperti sengkuang dan kobis lazimnya akan menaikkan lagi kelazatan sayur lodeh bersama tauhu putih dan tempe. Pada penulis sebenarnya sayur lodeh adalah antara jenis sayur yang mempunyai banyak komponen dan 'ingredient' dan ia mudah disediakan serta amat enak dimakan. Ia amat kaya dengan serat dan merupakan makanan yang lengkap kerana mengandungi protin, karbohiderat, mineral, vitamin dan zat-zat penting lain. Ia mempunyai santan kelapa yang berupaya menyihatkan badan asalkan jangan diambil berlebihan. Kandungan pprotin dan mineral dalam sayur lodeh adalah tinggi daripada bahan yang digunakan.

Bahan-bahan tumis disediakan dan dimasukkan kedalam kuali atau periuk dengan api sederhana. Lemudian dimasukkan kentang, karot, cendawan telinga beruk (Bahan ini agak lambat masak) dipanaskan sehingga agak masak seketika sebelum dimasukkan santan cair dahulu. Kacau dengan perlahan dan rata agar santan tersebut tidak mendidih dan kemudian dimasukkan bahan-bahan ramuan lain secara berperingkat sehingga ia masak. Masukkan santan pekat dan garam serta gula dan bahan perisa makanan (pak aji) dan sentiasa mengacau. Apabila semua bahan sudah masak (pastikan sentiasa menjaga api agar tidak santan mendidih dan berketul). Apabila semua ramuan sudah masak semasa dikacau maka ia sudah sedia di angkat untuk dihidangkan. Bagi sayur lodeh kuning, proses berikutnya adalah dengan memasukkan bahan perwarna iaitu serbuk kunyit untuk menjadikan warna kuning pada kuahnya. Pada masa yang sama sediakan ketupat (Lihat foto sebelah), rendang dan sambal kacang untuk dihidangkan bersama lodeh. Selain daridapa rendang daging dan rendang ayam, penulis lebih suka makan dengan daging goreng sate. Apabila kesemuanya sudah dihidangkan maka kita akan menikmati kombinasi makanan istimewa sempena sambutan hari raya aidilfitri atau majlis keraian lain dengan menyelerakan sekali. Tetapi awas kalau anda makan sedap hendaklah berpada-pada kerana makanan ini adalah mengandungi banyak kolesterol. Kata orang berhenti makan sebelum kenyang dan boleh sambung lagi bila lapar kelak.


Kalau anda pergi ke Bandar Muar (atau juga dulu disebut Bandar Maharani), anda boleh menikmati sarapan pagi dengan sayur lodeh bersama ketupat atau nasi himpit dengan sate yang amat popular sebagai hidangan 'SATE PAGI' (Lihat foto sebelah). Hidangan unik ini merupakan satu identiti bagi bandar ini iaitu daerah dimana saya lahir, sekolah dan pernah berkerja selama 5 tahun. Anda boleh makan resepi hebat 'Lodeh Muar' dibeberapa restoran yang memang terkenal dikalangan masyarakat tempatan. Lazimnya lodeh jenis komersil ini dihidangkan juga dengan menu lain seperti Sate Pagi, Mee Rebus Muar, Mee Bandung Muar, Mee Jawa Muar, Asam Pedas Muar, Rojak Petis Muar, Kopi 434 dan beberapa identiti makanan daerah ini. Terdapat beberapa variasi mekanan lontong atau lodeh muar ini bergantung kepada pemilik gerai atau restoren makanan disekitar bandar Muar ini. Kini makanan sayur lodeh ini bukan sahaja dimakan pada hari-hari kebesaran sahaja tetapi merupakan menus masakan yang dimakan mengikut kesukaan. Kepada mereka yang 'Bukan orang Muo' kenalah berkunjung kebandar ini untuk mendapatkan citarasa menu masakan Sayur Lodeh yang enak dan lazat ini. Pada penulis sayur lodeh boleh diketengahkan kepada seluruh negara malahan keseluruh dunia. Diharap artikel sayur lodeh ini memberikan maklumat berguna kepada anda semua. Wasallam!....

SAYUR LODEH ... AMAT ENAK RASANYA....
RENDANG, KETUPAT...PENLENGKAPNYA...
BANYAK RAMUAN... SATE PAGI LAWANNYA..
KEBANDAR MUAR...SETIAP PAGI ADA...


Artikel berkaitan:
1. Mee Bandung Muar (Klik disini)
2. Mee Siput (Klik disini)
3. Kupang (Sila klik disini)
4. Siput Sedut (Sila klik disini)
5. Duku (Sila klik disini)
6. Asam Pedas (Sila Klik disini)
7. Mas Cotek Tanah Gambut (Klik disini)


By,
M Anem.
Senior Agronomist,
Jalan Kamariah,
Bandar Muar,
Johor, Malaysia.
(1 Syawal 1434H)
Kemaskini pada 11 Oktober 2016.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.