Sunday, October 16, 2016

PISANG - PELBAGAI KISAH

PISANG atau Banana merupakan sejenis buah tropika yang popular ditanam dan dimakan oleh penduduk dunia dan juga haiwan lain. Pisang (Musa spp) adalah tumbuhan daripada keluarga Musaceae yang lazimnya dimakan segar atau diproses untuk dijadikan produk lain. Pokok pisang juga ada spesis yang sesuai dijadikan tanaman hiasan atau tanaman landskap. Kebanyakan pisang yang kita makan hari ini merupakan keturunan daripada Musa acuminata dan Musa balbisiana. Daripada buku rujukkkan menyatakan Genom yang disumbangkan jenis Musa acuminata diberi simbol A, manakala genom sumbangan jenis Musa balbisiana diberi simbol B. Proses kacukan bersilang semulajadi diantara kedua jenis spesies ini menyebabkan pada masa ini terdapat pelbagai jenis subspesies pisang yang ujud diseluruh dunia. Penulis membuat rujukkan dengan Jabatan Pertanian dimana pada tahun 2016 terdapat seluas 30,301 hektar tanaman pisang di Malaysia dengan anggaran jumlah pengeluaran sebanyak 321,810 metrik tan. Penanaman pisang di Malaysia terus meningkat daripada hanya seluas 28,911 pada tahun 2014 dan seluas 30,711 pada tahun 2015 apabila masaalah serangan penyakit MOKO semakin berkurangan (Rujukan: Booklet Statistik Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2016 mukasurat 19). Pisang yang dihasilkan di negara kita adalah untuk pasaran domestik dimana ada sebahagian dieksport kenegara jiran seperti Singapura dan Brunei. Pokok dan Buah Pisang merupakan antara perkara yang sering dilaporkan didalam akhbar tempatan kerana ia memang sangat rapat dengan kita. Penulis subuh ini dapat petik dan kupas beberapa laporan akhbar tempatan yang membuat laporan tentang pisang. Artikel subuh ini dalam "Anim Agro Technology" mempaparkan 4 kisah sekadar untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.

(1) Pisang berbuah dua kali
Laporan mengenai pokok pisang berbuah dua kali sering dilaporkan dalam akhbar. Terdapat juga peribahasa lama yang menyatakan 'Takkan Pisang Berbuah Dua Kali' yang memberi makna iaitu 'Sebodoh-bodohnya manusia tidak akan tertipu dua kali'. Peribahasa ini merupakan peribahasa berbahasa nusantara yang dimulai dengan huruf yang memang ada digunakan dalam kehidupan sehari-hari, baik dalam bentuk lisan maupun tulisan. Bagaimana pun kini ada laporan di Polewali Mandar, Sulawesi Barat dimana ada sebatang pokok pisang di Kampung Rea, mukim Binuang yang kembali mengeluarkan buah daripada batang pokok itu walaupun ia telah ditebang pemiliknya (Sila lihat foto diatas). Pemilik kebun itu, Puan Nona nyata amat gembira dengan penemuan tersebut kerana pisang berkenaan baru sahaja ditebang baru-baru ini dan kembali mengeluarkan buah, satu keanehan bagi pokok pisang. Beliau gembira bila melihat pokok pisang itu kembali berbuah dan berharap pokok itu berbuah semula setelah ia ditebang supaya dia tidak perlu lagi menanam pisang. Berita pisang berbuah dua kali itu pantas tersebar dalam kalangan penduduk kampung yang menyampaikan perkara tersebut dari mulut ke mulut. Ramai yang datang berbondong-bondong ke kebun pisang Nona bagi melihat dengan lebih dekat pokok itu dan nyata kagum dengan apa yang dilihat mereka. Selain berbuah dua kali, buah yang tumbuh dari celah-celah batang pisang itu turut mengeluarkan air. Keadaan itu mengakibatkan ada di antara penduduk kampung mengambil air titisan pokok tersebut kerana percaya air itu dapat membuatkan mereka awet muda jika disapu di seluruh badan. Malah, ada di antara penduduk percaya air titisan pokok pisang itu dapat menyuburkan rambut. - AGENSI


(2) Kurang Bekalan Pisang - Harga Naik
LABIS 8 Mei - Kekurangan bekalan pisang dan kenaikan harga secara mendadak melebihi 100 peratus sejak lebih sebulan lalu menjejaskan pendapatan para peniaga pisang goreng di daerah ini. Seorang peniaga, Mohd. Salleh Misnan, 50, mendakwa, pendapatannya menyusut hampir 50 peratus berbanding sebelum ini akibat tidak dapat menjual pisang goreng kerana tidak mampu mendapatkan bekalan komoditi itu. Sejak berniaga lebih 10 tahun lalu, pisang goreng juga merupakan jualan utama dan kesukaran mendapatkan bekalan pisang sekarang menyebabkan pendapatan beliau terjejas teruk kerana terpaksa bertukar kepada jualan keledek goreng dan keropok lekor buat sementara waktu. Dia terpaksa mencari pisang di Muar, Batu Pahat dan Pontian, namun bekalan yang diperoleh sedikit dan tidak mampu menampung bekalan setiap hari. Akibat kekurangan bekalan, harga pisang dalam pasaran turut me­lambung bagi beberapa jenis se-perti pisang tanduk, nangka dan awak berbanding sebelum ini. Seorang lagi peniaga, Topari Kuani, 50, turut mengakui harga pisang tanduk sebelum ini antara RM2.50 hingga RM3 sekilogram (kg), tetapi kini melonjak hingga RM6.00 kg, manakala pisang nangka dan awak pula kira-kira RM3.50 berbanding hanya RM1.50. Dia berharap ma­salah ini mendapat perhatian daripada pihak yang berkenaan untuk mencari punca yang menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan, seterusnya masalah itu diatasi segera. Dia telah menjual pisang goreng sejak lebih 20 tahun lalu. Sementara itu, seorang pekebun, Mohd. Fahmi Idris, 58 juga berkata terdapat banyak faktor yang dipercayai menyebabkan bekalan pisang berkurangan dalam pasaran termasuk tanaman itu dimusnahkan oleh monyet dan babi hutan serta pe-nyakit pisang (Sila lihat foto diatas). Kini semakin ramai yang tidak berminat menanam pisang di-sebabkan gangguan musuh tanaman dan musim kemarau yang melanda negara ini baru-baru ini. Dia sendiri agak serik untuk menanam pisang disebabkan tidak mampu mengawal monyet dan babi hutan yang memusnahkan tanaman seawal anak benih sehinggalah menuai hasil. Pagar dawai duri digunakan tidak mampu menghalang babi hutan yang sering datang pada waktu malam memusnahkan tanaman.

(3)  Pisang berbuah dua warna
UDA Esa menunjukkan setandan pisang udang dua 
warna hijau dan merah di kebunnya di Kampung 
Sengkang Batu 22, Bukit Gambir, Ledang, semalam.

LEDANG 5 Julai 2015 - Seorang pengusaha tanaman pisang terkejut apabila mendapati salah sebatang pokok pisang udangnya mengeluarkan buah yang mempunyai dua warna iaitu hijau dan merah. Encik Uda Esa, 43 tahun juga telah menyedari keunikan pisang tersebut kira-kira dua bulan lalu semasa jantungnya mekar dan mula mengeluarkan anak. Menurutnya, keadaan itu merupakan yang pertama kali berlaku sejak dia mengusahakan tanaman pisang udang tujuh tahun lalu di sebuah kebun di Kampung Sengkang Batu 22, Bukit Gambir, dekat sini. Dia telah tanam 200 pokok pisang udang setahun lalu dalam kawasan seluas 1.3 hektar bagi tujuan dieksport ke Singapura. Lazimnya, pisang ini warnanya kemerah-merahan dan apabila sampai tempoh matang akan bertukar menjadi warna merah jambu," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Perkara tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini dan kejadian itu dianggap unik dan pelik. Uda berhasrat menjual pisang tersebut jika ada pihak yang benar-benar mahukannya dan kini sudah boleh ditebang.



(4)  Ancaman penyakit moko
Jantung pisang mengecut dan kering merupakan tanda pokok tersebut 
telah diserang penyakit Moko dan tidak dapat diselamatkan lagi.

Penyakit Moko merupakan sejenis penyakit pisang yang mengancam industri pisang. Serangan ini yang berlaku bermula dari selatan tanah air, iaitu di Johor kini sedang bergerak dan merebak ke utara tanah air. Menurut Ketua Penolong Pengarah, Unit Lindungan Tanaman dan Kuarantin Tumbuhan, Jabatan Pertanian, Misrudin Hadis, bakteria tersebut menyerang dengan lebih pantas apabila pokok pisang mula mengeluarkan jantung dan berbuah. Diantara simptom yang boleh dikenal apabila sebatang pokok pisang itu diserang bakteria ini adalah ia bertukar menjadi kuning bermula daripada bahagian pelepah pokok. Kemudian bahagian yang bertukar warna tersebut akan mulai mengering dan pokok akan mati manakala buah akan bertukar menjadi kehitaman dan rapuh. Beliau ditemui pada program pemerhatian plot kajian pemulihan pokok pisang yang diserang oleh penyakit Moko oleh syarikat Proviet Group Of Companies Sdn. Bhd. di Sepang, Selangor baru-baru ini. Serangan penyakit Moko ke atas pokok pisang juga menyebabkan hampir keseluruhan pokok dan buahnya menjadi rosak dan seolah-olah melecur. Jelasnya lagi, sebahagian daripada petani yang mengusahakan tanaman pisang mendakwa penyakit tersebut tidak pernah dicatatkan menyerang sebelum ini. Penyakit ini telah menyebabkan kerugian bukan sahaja kepada petani malah turut melibatkan pihak pengusaha yang menjalankan perniagaan berasaskan pisang secara komersial. Serangan penyakit Moko mula dikesan di Johor selepas negeri tersebut dilanda banjir besar dan kini bakteria yang menjadi punca penyakit tersebut sedang menular dengan pantas ke negeri-negeri lain. Memanf ramai menyedari penyakit itu pantas merebak dan sehingga kini pihak yang bertanggungjawab masih tidak menemui jalan penyelesaian, syarikat Proviet Group Of Companies Sdn. Bhd. tampil menawarkan kaedah yang mampu memulihkan keadaan tersebut. Pengarah Urusannya, En Muhamad Subhi mendakwa pihaknya mampu menawarkan produk khas bagi menangani serangan bakteria tersebut. Pihaknya telah bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam mencari penyelesaian terhadap penyakit Moko. Mereka juga berjaya menghasilkan produk berasaskan baja bagi menangani serangan penyakit tersebut. Di kenali sebagai IMO-PLUS, ujian awal pada plot pertama berskala kecil di Segamat, Johor berjaya menunjukkan perubahan yang positif. Cubaan pertama di ladang seorang petani di sana (Segamat, Johor) berjaya memulihkan pokok pisang yang telah diserang Ralstonia solanacearum. Tambahnya, cubaan tersebut mengambil masa selama enam bulan sebelum pokok pisang yang diberikan rawatan berjaya dipulihkan sepenuhnya. Melihat kepada kejayaan tersebut, pihaknya telah menemui dan menawarkan kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Selangor bagi memulakan plot cubaan (petak demo) di Kampung Jenderam Hulu, Sepang, Selangor. Percubaan kali pertama dilakukan ke atas tanaman pisang yang berkeluasan satu ekar milik seorang petani yang bernama Salimin Murtaja. Ujar Muhamad Subhi, sebanyak sepuluh rumpun pokok pisang daripada jenis pisang nipah dan pisang nangka telah dipilih dan diberikan rawatan menggunakan produk IMO-PLUS dan M Pro-bio Solution. Kaedah yang digunakan adalah menabur IMO-PLUS di sekeliling rumpun pisang sebanyak tiga hingga lima kilogram (kg) pada jarak dua hingga tiga kaki daripada rumpun. Pengunaan IMO-PLUS pada peringkat awal adalah untuk memulihkan tanah di mana produk tersebut mampu memegang nutrien yang terkandung dalam tanah.

Perbezaan buah pisang yang diberikan rawatan (kanan) 
dan yang tidak diberikan rawatan (kiri).

Ia sekali gus menjadikan tanah kembali natural tanpa kehilangan sebarang nutrien. Seterusnya mampu meneguhkan lapisan dinding sel (epidermal), daun, batang dan akar pokok. IMO-PLUS juga mampu meningkatkan elemen klorofil dalam daun bagi membantu pokok memproses metabolisma semasa proses fotosintesis. Pada masa yang sama, produk itu juga mampu mengurangkan kehilangan NPK (Nitrogen, fosforus dan Kalium) yang meluap dari dalam tanah. Selain itu, ia juga boleh mengekalkan pH (tahap kemasaman) tanah pada skala enam hingga lapan untuk memastikan elemen fosforus sentiasa dapat digunakan oleh tanaman serta memberi tanaman daya ketahanan melawan penyakit. Dalam pada itu, setiap rawatan yang menggunakan IMO-PLUS perlu disertai M Pro-bio Solution. M Pro-bio Solution merupakan sejenis mikrob yang sangat baik untuk semua jenis tanaman di mana ia mempunyai pelbagai kelebihan. Antaranya adalah meningkatkan populasi mikrob yang berfaedah serta kesuburan tanah. Ia juga membantu memberikan kehijauan pada daun pokok, mengaktifkan proses pemakanan dalam tanah dan memperbaiki fizikal kimia dan biologi tanah. Kaedah yang digunakan bagi M Pro-bio Solution adalah dengan cara menyembur seluruh kawasan rumpun pokok pisang pada kadar 10 liter (l) serumpun. Setelah plot yang terdiri daripada 10 rumpun pokok tersebut berjaya dipulihkan, pihak syarikat telah memperluaskan lagi kawasan plot kepada keseluruhan pokok yang ada iaitu sebanyak 120 pokok. Pokok akan dipantau setiap minggu sehingga ia menunjukkan perubahan yang positif. Enam bulan selepas rawatan dilakukan, tanda-tanda kesan pemulihan telah ditunjukkan oleh pokok dan pokok pisang yang diserang boleh dikategorikan 60 peratus pulih. Tujuh bulan berikutnya, 10 rumpun yang menjadi plot pertama berjaya pulih sebanyak 90 peratus pulih dan tiada lagi menunjukkan simptom-simptom ia diserang oleh bakteria Ralstonia solanacearum. Manakala kos keseluruhan bagi program rawatan pokok pisang nangka atau nipah sehektar adalah RM6 sepokok. Kos tersebut berkadar dengan harga IMO-PLUS RM1.80 per kilogram (kg) manakala harga bagi M Pro-bio Solution adalah RM0.40 sepokok.
Semuga 4 artikel daripada laporan akhbat diatas memberi info berguna kepada pembaca blog Anim Agro Technology kali ini. Wasallam!!!....
TANAMAN PISANG... LUAS DI MALAYSIA...
PISANG MAKAN SEGAR...GORENG ADA...
DALAM AKHBAR... PELBAGAI CERITANYA...
DIDALAM BLOG INI... DIPAPARKAN SEMULA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Gerai Buah-buahan Tempatan,
Pasar Tani Mega, UTC Kuantan,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(14 Muharam 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.