Friday, September 23, 2016

SERANGAN KUMBANG PENDEBUNGA - KAJIAN KES

KUMBANG PENDEBUNGA (Haptoncus luteolus) kini merupakan sejenis serangga halus dalam kategori serangga berfaedah (Benefecial insects) kerana peranannya didalam proses pendebungaan tumbuhan. Susulan lawatan Pengarah Pertanian Negeri Pahang di Akif Kelulut Farm pada 4 Ogos 2016 dimana beliau telah menjumpai satu kes serangan oleh kumbang ini dengan serius di tempat tersebut bertempat di Tanah Putih, Pekan, Pahang. Laporan ini merupakan satu laporan rasmi terawal mengenai serangan kumbang pendebunga ini kepada sarang kelulut di negara kita. Satu pasukan penyiasatan terhadap penemuan ini diujudkan oleh Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian Pahang yang diketuai oleh Penolong Pengarah Bahagian Biosekiriti dan beberapa pegawai serta Pegawai Pertanian Daerah dan pemilik projek. Projek yang bermula pada November 2015 ini mendapat bekalan koloni kelulut daripada penduduk tempatan yang mana memang semulajadi banyak dikawasan kampong. Pengusaha membeli dengan harga murah dan pernah menjualnya kepada pembeli kelulut. Pada masa lawatan terdapat sekitar 800 log sarang kelulut di Kawasan ternakan yang mana pecahannya 500 log adalah Kelulut Jenis Kecil (Trigona itama) dan bakinya 300 log terdiri daripada Kelulut Jenis Besar (Trigona thoracica). Projek ini yang diusahakan oleh Pn Rohani bt Rani dimana meraka membuat diatas tanah Jabatan Pertanian yang banyak tumbuhan akasia (Acacia mangium). Pokok akasia merupakan tumbuhan yang banyak mengeluarkan nektar pada pucuk daun muda dan juga debunga sebagai sumber makanan yang sangat disukai kelulut dan lebah madu. PPN Pahang yang berpengalaman dalam aktiviti ternakan kelulut minta agar dijalankan satu lawatan teknikal untuk mengenal pasti kaedah kawalan sesuai boleh dilakukan bila serangan kumbang pendebunga berlaku. Rentetan itu pasukan khas melawat lokasi serangan pada 9 Ogos 2016 untuk membuat penelitian dan laporan awal. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim agro Technology" mengenai serangan kumbang kelulut sebagai bahan bacaan dan rujukkan semua.



Kumbang Debunga yang amat halus ini berwarna coklat kekuningan bergantung kepada persekitaran (Sila anda lihat foto disebelah). Mata kasar biasa amat sukar untuk lihat rupa bentuknya dan jika diperbesarkan berkali ganda baru anda dapat lihat seperti foto disebelah. Ia merupakan jenis kimbang dari keluarga Nitidae dengan mempunyai sesungut, 3 pasang kaki dan sepasang kepak yang membolehkan ianya terbang. Lazimnya ia berada pada bunga tumbuhan untuk makan debunga dan membantu didalam proses pendebungaan tumbuhan dalam keadaan semulajadi. Ia merupakan perosak yang serius kepada tanaman strawberi, kurma dan dilapor memusnahkan industri perlebahan di Eropah. Mempunyai 4 peringkat kehidupan iaitu Telur, Larva, Pupa dan Dewasa dan membiak dengan cepat. Telurnya berbentuk 'saussage' berwarna putih dan lutsinar berukuran 0.57 mm lebar dan 0.67 mm panjang. Telur ini menetas cepat iaitu dalam masa 1.5 - 2 hari sahaja. Peringkat Larva merupakan peringkat paling aktif mencari makanan dan menyorok dibawah brood atau propolis atau pollen. Peringkat larva yang baru menetas ia berwarna putih krim berukuran 0.82 mm panjang dan 0.21 mm lebar (sangat halus untuk dilihat dengan mata kasar). Penulis kecik-besar biji mata pun tak dapat lihat dengan jelas dan dibawah kanta pembesar baru nampak. Larva dewasa pula juga berwarna putih krim yang berukuran diantara 3.28 - 3.95 mm panjang dan 0.97 - 1.00 mm lebar (Sumber rujukkan: Dr Kumara Thevan a/l Krisnan , UMK). Beliau nyatakan kumbang ini sebagai 'Pemusnah Sarang Kelulut' di Malaysia.

Peringkat ke 2 adalah peringkat pupa yang berada didalam propolis. Penulis lihat pupa dengan jelas gunakan kanta pembesar selepas mengorek propolis kelulut yang dilihat iaitu berwarna putih mutiara dan kemudiannya menjadi putih. Rujukkan dari beberapa sumber penulis dapati ia kecil dan sebenarnya sangat halus dengan ukuran 2.51 mm panjang dan 1.21 mm lebar. Pada peringkat ini ia tidak merosakkan sarang kelulut secara langsung. Peringkat dewasa kumbang debunga ini berwarna coklat dengan berukuran 2.51 mm panjang dan 1.38 mm lebar (Sila lihat foto disebelah). Kerosakkan akibat serangan kumbang debunga agak teruk pada sarang kelulut Trigona itama berbanding dengan Trigona thoracica daripada apa yang penulis dapati. Ini berkemungkinan jenis T. thoracica selalunya terbang lebih tinggi diatas tumbuhan dimana kewujudan kumbang debunga pada tumbuhan lebih tinggi adalah kurang berbanding dengan debunga dipokok yang rendah. Hampir kesemua sarang kelulut T. thoracica yang ada dalam kawasan pemerhatian tidak diserang lagi. Sebanyak 60 log kesemuanya adalah terdiri daripada jenis T. itama sahaja. Bagaimana pun kemungkinan untuk kumbang debunga ini menyerang masih terdedah. 

Daripada tinjauan penulis dan pasukan pakar Jabatan Pertanian mendapati kumbang dewasa Haptoncus luteolus ini memang mudah tertarik dengan cuka epal (Sila lihat foto disebelah). Ini kerana bau cuka epal yang masam dan berasaskan buah hampir menyamai dengan bau madu kelulut yang telah lama disimpan iaitu asidik. Perangkap plantik bekas makanan diisikan dengan cuka epal dan dibuat 3-4 lubang dibahagian dinding untuk membolehkan kumbang pendebunga masuk kedalam dan kemudian jatuh dalam cuka epal dan mati. Amalan ini terbukti agak berkesan seperti apa yang penulis lihat di kawasan Tanah Putih, Pekan ini dan juga di kawasan ternakan kelulut di Kg Belenggu, Temerloh, Pahang. Kumbang dewasa juga bertindak memakan 'bee bread' yang berada dalam koloni kelulut dan yang dletakkan dalam perangkap bekas mangkuk plastik yang dijadikan umpan. Apa yang penulis lihat dimana larvanya menyerang telur kelulut dan juga kantung madu dengan cepat. Dari segi teknikal kaedah memasang perangkan ini boleh dijadikan kaedah menentusahkan kehadiran kumbang pendebunga dalam kawasan ternakan kelulut dan ia mungkin sebagai satu cara mengurangkan populasi dewasa. Adalah logik penulis katakan kandungan madu dan pollen yang banyak dalam koloni kelulut amat menarik kumbang debunga untuk hadir dan merosakkannya. 

Dalam kes lain, penulis dan pasukan pakar mendapati sarang kelulut yang telah diserang oleh serangga perosak Black Soldier Fly (Hermetia illucens) atau ringkasnya BSF juga beberapa sarang dimana ujud kumbang pendebunga didalamnya. Kes ini berlaku disatu kawasan penternakan kelulut komersil kumpulan belia di Kg Medang, Kuala Lipis, Pahang (Sila lihat foto disebelah). Walau pun dikawasan ini kadar serangan masih terkawal ini bermakna ia bukan mustahil untuk berlaku dikawasan lain. Serangan ini berlaku selepas musim kemarau dan cuaca panas semennjak bulan Januari sehingga pertengahan April 2016 diikuti dengan hujan. Penulis juga dapati kes dimana serangan Kumbang Pendebunga ini hanya berlaku dengan teruk hanya kepada spesis Kelulut Trigona itama dan kurang menjejaskan Kelulut jenis Tripona thoracica. Apa yang dilihat di Akif Kelulut Farm memang nyata perkara ini dilihat. Penulis berpendapat ini berlaku disebabkan oleh sifat spesis tersebut yang berbeza. Kelulut Trigona itama lazimnya terbang rendah dan hinggap dilokasi dunga yang rendah diantara 5 - 20 kaki dan mengambil pollen dan nektar. Pada ketinggian ini kumbang pendebunga suka tinggal kerana kemampuannya terbang lebih tinggi adalah terhad. Berbanding dengan kelulut jenis Trigona thoracica yang mampu terbang lebih jauh dan tinggi melebihi 20 kaki keatas dimana dipercayai kehadiran kumbang pendebunga pada kawasan tinggi adalah sangat kurang atau tiada.  Hipotesis ini bagaimana pun perlu dibuat kajian lanjut. Kehadiran dua jenis serangga perosak kelulut iaitu Kumbang Pendebunga dan BSF amat merisaukan ramai penternak kelulut yang mengeluarkan modal besar untuk memulakan projek. Semuga akan ada satu kaedah penyelesaian mengenai masaalah ini. Wasallam!!!. 
TERNAK KELULUT... ADA MASAALAHNYA...
SERANGAN... KUMBANG PENDEBUNGA...
PERLU DIKAWAL... DENGAN SEGERA...
KAJIAN AWAL... SETERUSNYA PERLU ADA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Ternakan Kelulut,
Kg Medang, Lipis, 
Pahang, Malaysia.
(17 Zulkaedah 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.