Tuesday, August 16, 2016

TERUNG TELUNJUK - CARA TANAM

TERUNG TELUNJUK (Solanum spp) merupakan sejenis sayuran yang mudah ditanam dikawasan kebun sayur atau dalam pasu disekeliling rumah. Artikel kali adalah berkaitan dengan cara mudah tanam terung telunjuk atau tips mudah menanam terung ini. Terung telunjuk dari famili Solanaceae merupakan kumpulan terung yang asli (primitif). Ia berbentuk lonjong, hijau dengan jalur putih di bahagian bawah, bersaiz dua hingga tiga sentimeter (cm) lebar dan lapan hingga 10 sm panjang sahaja. Terung ini mula ditemui di India dan kini telah disebar ke seluruh kawasan tropika. Penulis agak dikalangan orang muda dan penduduk bandar kini tidak ramai yang kenal dan menggemari terung ini kerana rasanya agak sedikit pahit. Namun jika dilihat dari sudut khasiatnya, pasti ramai yang terpegun. Terung telunjuk kaya dengan karbohidrat, protein, vitamin C, serat, kalsium dan beta karoten yang baik untuk kesihatan organ mata. Selain dimakan sebagai sayur atau ulam, ia juga boleh dijadikan ubat. Sebenarnya terung berwarna hijau dan bercorak putih ini kecil dan sebesar 'jaru telunjuk' dalam keadaan liar. Bagaimana pun setelah ditanam secara komersil ia boleh membesar. Selain daripada dibuat sayur dalam masakan, terung telunjuk juga banyak digunakan sebagai sumber ubat-ubatan kerana kaya dengan pelbagai khasiat. Terung Telunjuk ini ada dijual dipasar besar, pasar tamu, pasar tani dan pasar minggu terutama dikawasan yang ada sumber pembekalan. Harga jualan terung telunjuk juga murah berbanding dengan sayuran jebis lain. Sebaiknya pembeli bertanya sama ada terung tersebut merupakan jenis terung organik yang tidak menggunakan sebarang bahan kimia. Keseluruhan pokok dari buah, daun hingga ke akar pokok ini didakwa boleh digunakan untuk mengubati beberapa jenis penyakit antaranya ialah asma, sakit gigi, bengkak gusi dan melegakan batuk. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa tips menanam terung telunjuk sekadar menjadi panduan pembaca semua.


Penanaman terung telunjuk pada asasnya sama dengan cara menanam terung panjang, terung peparu dan telung bulat. Mula-mula adalah aktiviti menyemai biji benih terung di dalam dulang semaian (sowing tray) dengan kadar satu lubang diisi satu biji benih. Selalunya kaedah tanam terus tidak digalakkan kerana biji benih terung kecil menyebabkan peratus percambahannya jadi rendah. Tapak Semaian disimpan di dalam rumah semaian atau di bawah teduhan selama empat minggu. Sebaiknya ia disiram setiap pagi dan petang. Ada juga yang suka menyemai terus dalam polibeg hitam yang diisi dengan media semaian (Sila lihat foto disebelah)Sementara biji benih bercambah dan membesar di rumah semaian, batas disediakan dengan ukuran lebar satu meter dan panjang bergantung pada luas kawasan dan boleh disesuaikan mengikut kehendak petani. Jika ingin menanam terung telunjuk dikawasan keliling rumah boleh ditanam didalam pasu, dalam polibeg besar atau pun secara fertgasi. Diatas batas tadi perlu ditambah kompos dan baja organik (tahi ayam berproses) semasa mengembur tanah. Kemudian aktiviti menutup batas dengan plastik silver shine sebagai sungkupan. Biasanya selepas empat minggu disemai, anak benih boleh diubah ke batas. Jarak antara pokok yang disyorkan ialah antara 50 cm dan 60 cm. Bagi petani yang tidak menggunakan plastik 'silver shine sebagai sungkupan ianya boleh digantikan dengan jerami padi atau daun-daun kering untuk menutup permukaan batas yang terdedah. Sungkupan boleh mengekalkan kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai. Keujudan rumap boleh menjejaskan pertumbuhan tanaman terung telunjuk.


Tanaman sayuran memang memerlukan sistem pengairan. Tanaman ini juga perlu disiram dua kali setiap hari (pagi dan petang) kecuali hari hujan. Kaedah dan cara pengairan bergantung kepada kemampuan petani sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis, titis dan sebagainya. Jika kawasan penanaman mempunyai saliran air bawah tanah yang kurang baik, parit perlu dibuat. Ini kerana terung tidak sesuai dengan keadaan tanah yang terlalu lembap. Sama seperti tanaman sayuran lain, pembajaan diberikan selepas dua minggu dipindahkan ke batas, baja pertama diberi. Gunakan baja organik yang dibeli atau baja organik buatan sendiri. Jika baja organik jenis granule (pepejal) kuantiti disyorkan hanya 50 g diperlukan sepokok. Jika baja organik jenis cecair cara pemberian mengikut pada sukatan yang telah disyorkan pada label. Baja kedua diberi selepas dua minggu baja pertama dimana kadar baja ditambah hingga 100 gram setiap pokok. Baja ketiga diberi selepas antara tiga dan empat minggu baja kedua. Kadar baja juga ditambah 120 hingga 150 g setiap pokok. Kadar baja yang diberi sebenarnya bergantung pada pertumbuhan pokok itu sendiri. Jika pertumbuhan pokok terbantut atau cepat membesar maka kadar baja boleh dikurangkan atau dilebihkan daripada yang disyorkan. Baja ditabur di sekeliling pokok, tetapi elak terkena pada batang pokok. Sebaik-baiknya baja ditutup dengan sedikit tanah atau sungkupan supaya baja boleh tahan lebih lama.


Pokok terung telunjuk perlu juga diberikan sokongan. Pokok terung boleh membesar setinggi 0.5 hingga 1.0 m. Jika ditiup angin, pokok biasanya mudah bengkok dan tumbang. Bagi mengelakkan kejadian ini berlaku, sokongan perlu dibuat. Adalah disyorkan agar menggunakan kayu pancang yang berukuran 1.2 cm x 1.2 cm dan panjang 1.5 meter (bergantung pada ketinggian pokok). Disyorkan agar cucuk kayu pancang hampir dengan pokok dan ikat batang pokok pada kayu pancang dengan tali rafia. Jika pokok tinggi, ikat pada dua bahagian batang pokok (atas dan bawah) supaya lebih kuat. Pemangkasan dibuat pada cabang yang tumbuh di bahagian bawah (0.5m dari tanah) selepas sebulan ditanam. Selain daripada cabang, buang juga daun tua di bahagian bawah pokok. Pemangkasan bertujuan untuk memberi pengudaraan dan pencahayaan yang baik kepada pokok. bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti buah terung. Sebaik-baiknya ada tiga cabang utama sahaja bagi setiap pokok (Sila lihat foto disebelah). Kawalan rumpai dilakukan terhadap semua jenis rumpai yang tumbuh di atas batas yang perlu dibuang setiap seminggu sekali untuk mengurangkan persaingan dengan tanaman. Bagi rumpai yang tumbuh di luar batas, mesin rumput boleh digunakan untuk memotong rumput. Sekurang-kurangnya dilakukan dua minggu sekali. Rumpai perlu dikawal kerana ada sesetengah serangga perosak menjadikan rumpai sebagai perumahnya. Kawalan perosak dan penyakit pokok terung telunjuk juga sama dengan untuk terung biasa. Didapati diantara serangga yang sering menyerang ialah kutu daun (afid), kumbang daun, lalat buah dan ulat pengorek buah. Kawalan perosak yang boleh digunakan perangkap feromon atau yellow sticker untuk lalat buah, racun organik untuk serangga perosak yang lain. Racun organik boleh didapati di pasaran atau dibuat sendiri menggunakan campuran cili padi, lada hitam, sabun, air dan beberapa jenis repellent (tanaman penghalau serangga) yang dikisar halus. Selain itu, penyakit layu bakteria dan layu Fusarium juga selalu ditemui pada terung. Gabungan daun tembakau atau daun sirih, cili padi, bawang merah, air dan kapur yang dikisar halus boleh membantu mengawal penyakit tersebut. Sebanyak 30 ml racun organik yang ditambah dengan 10 liter air disembur pada seluruh bahagian pokok. Dasalm aspek penuaian lazimnya pokok terung mula mengeluarkan hasil selepas enam dan tujuh minggu (60-70 hari) dipindahkan ke batas. Potong tangkai buah lebih kurang 1cm daripada cabang pokok. Jangkamasa menuai buah selang dua tiga kali sekali. Buah yang dituai dukumpulkan dalam bakul atau beg plastik berlubang sebelum dihantar kepasar borong. Antara masakan popular telung telunjuk adalah masak sambal ikan bilis )Sila lihat foto dibawah). Semuga anda mendapat info berguna. Wasallam!!.

TERUNG TELUNJUK...KECIL SAHAJA...
WARNA HIJAU... BERCORAK PUTIH DIA...
MUDAH DITANAM.. SENANG DIJAGA...
DIBUAT SAMBAL... ENAK RASANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Lembah Temir Resort,
Raub, Pahang,
Malaysia.
(17 Zulkaedah 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.