Sunday, August 7, 2016

BAJA ORGANIK BAJA MESRA ALAM

BAJA ORGANIK (Organic Fertilizer) adalah sejenis baja yang kini didakwa Selamat, Murah dan Mesra alam selain daripada ia mampu memberikan hasil berganda. Terdapat beberapa jenis baja yang selalu digunakan petani iaitu Baja Organik, Baja Kimia dan Baja Foliar. Kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan sektor tanaman, satu soalan utama sering diajukan adalah apakah itu jenis baja organik?. Secara umumnya ia dimaksudkan sebagai baja organik sebagai mesra alam iaitu baja yang tidak mengandungi bahan kimia. Ia merupakan unsur MINERAL SEMULAJADI yang diperlukan untuk kesuburan tanah dan memulihkan tanah mati. Penggunaan baja organik daripada pelbagai sumber adalah amat digalakkan berbanding baja kimia. Kalau anda berminat menanam sayur-sayuran yang telah membesar menggunakan baja organik adalah lebih menyihatkan berbanding baja kimia dan ianya kini lebih disedari oleh pengguna. Kebanyakan baja organik dihasilkan menerusi penggunaan najis haiwan seperti tahi ayam, tahi kambing dan tahi lembu atau produk proses dari laut yang telah dicampur bersama bahan-bahan lain dan dibiarkan mereput dengan sendirinya. Dalam banyak laporan selalu dinyatakan penggunaan baja kimia secara terus menerus tanpa di imbangi dengan menggunakan baja organik telah terbukti mengakibatkan terjadinya kerosakan tanah baik dari sifat fizik, kimia mahupun biologi tanah. Kini dengan amalan menggunakan baja organik maka kerosakan tanah dapat diperbaiki dan dikembalikan sifat kesuburannya disamping meningkatkan produktiviti pertanian. Antara jenis baja organik yang terdapat adalah sejenis baja organik yang dihasilkan secara semula jadi oleh cacing berpotensi tinggi untuk digunakan dalam bidang pertanian. Baja jenis ini telah dipromosikan dan dikenali sebagai vermikompos atau baja daripada proses perkumuhan cacing. Cacing ini melalukan proses perkumuhan terhadap bahan-bahan organik seperti sayur -sayuran, dedaun, habuk kayu, serbuk sabut kelapa malah sehingga kertas pejabat sekali pun berpotensi tinggi untuk dijadikan baja yang terbaik. Terdapat banyak jenama dan formulasi baja organik dipasaran dengan tujuan dan aplikasi yang berbeza. Artikel Subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai baja organik yang mesra alam dan sesuai digunakan.

Dalam kita hendak kenal akan baja organik dan baja kimia, perkara asas yang mesti diketahui adalah unsur asas baja (Base Fertilizer). Tumbuh-tumbuhan memerlukan unsur asas Nitrojan (N), Posforan (P) dan Kaliam (K) serta unsur minor sepert Kalsium (Ca), Manganese (Mg), Boron (B), Ferum (Fe) dan sebagainya. Unsur N diperlukan tumbuhan untuk memberikan kehijauan pada daun, Unsur P untuk kekuatan bahagian akar tumbuhan dan unsur K untuk kesuburan tanaman dan menghasilkan bunga dan buah. Kandungan NPK dalam baja organik selalunya lebih rendah daripada NPK dalam baja kimia. Sebagai contoh ada baja organik komersil yang dijual dengan formulasi iaitu unsur N : 1.81% untuk penyuburan pokok dan daun, Unsur P : 1.89% untuk mengalakkan pertumbuhan akar, unsur K20 : 1.96% untuk penyuburan bunga dan buah, unsur CaO : 2.96% dan juga unsur MgO : 0.70%. Oleh itu baja organik yang telah diproses kemudian dianalisa dimakmal selalu mempunyai keistimewaan dimana ia akan menyediakan unsur hara untuk pertumbuhan tanaman serta kadang-kadang ia tidak berbau dan mudah digunakan. Baja organik diproses ini juga tidak mengandungi zarah yang membahayakan kesihatan malah meningkatkan aktiviti microbial dalam tanah serta sesuai untuk semua jenis tanaman. Boleh dikatakan baja organik yang telah diproses lebih baik daripada baja organik tidak diproses. Kebanyakan baja organik adalah 100% semulajadi serta tidak mengandungi bahan kimia. Ia selamat digunakan dan tidak membawa sebarang kesan apabila digunakan secara berlebihan.

Beberapa jenama baja organik dipasaran akan menulis dan mendakwa bahawa ia adalah bebas daripada Parasit, Pathogen dan juga  Phytotoxin. Lazimnya aplikasi baja organik akan meningkatkan daya tahan tanah serta berfungsi sebagai satu agen "Growth Stimulation" dan "Soil Conditioner". Lazimnya baja organik diproses asalah bebas dari benih rumput dan tanaman liar. Kehebatan baja organik seperti kemampuannya untuk membaiki tanah yang rosak hasil pengunaan baja kimia dan ini seterusnya akan meningkatkan hasil tuaian tanaman dikebun sehingga 30%. Jika hendak dibuat perbandingan mengenai harga, lazimnya baja organik akan dijual dengan harga yang murah bergantung kepada jenama dan formulasi. Antara kesan penggunaan baja organik adalah seperti ia mampu memperbaiki dan membetulkan tahap pH tanah. Ianya akan menyebabkan tanah menjadi lembut, subur, tidak masam memberikan bahagian akar baru pokok akan keluar dengan lebih baik. Baja organik juga selalunya akan dapat membebaskan baja atau tanah yang tersangkut dalam tanah dan dapat di manafaatkan oleh pokok. Jika ini berlaku maka hasilnya tanaman akan tumbuh lebih besar, subur, hidup lebih lama, hasil lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan racun serangga. Memang penggunaan baja organik akan memberi kebaikan jangkamasa panjang pada tanaman atau tanah. Tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran yang menggunakan baja organik akan menghasilkan produk yang lebih rangup, manis dan berkualiti. Kini baja organik talah dilabelkan sebagai unsur penting didalam perladangan organik untuk mendapatkan persijilan MyOrganic. 

Terdapat banyak bentuk baja organik yang djual dipasaran seperti bentuk pejal kasar, bentuk debu dan terbanyak yang diproses dalam bentuk butiran (granules) atau pellet (Sila lihat foto disebelah). Baja organik seperti tahi ayam proses melalui pelbagai kaedah sehinggakan pproduk ini tidak berbau, mudah disimpan, mudah dibawa dan juga mudah digunakan berbanding dengan tahi ayam asli. Apa yang sering diamalkan petani adalah dengan menabur baja organik dikawasan keliling pokok atau membuat lubang tanah dan dimasukkan baja organik kedalamnya dan kemudian ditutup. Kadar penggunaan baja organik bergantung kepada kenis baja, jenis tanaman dan jenis tanah. Bagi pokok buah-buahan lazimnya diperlukan sekurang-kurangnya sebanyak 2 kg sepokok setahun dan diberikan dalam beberapa kali aplikasi. Ada petani yang telah mengusahakan baja organik Vermikompos sendiri atau membelinya sendiri. Baja ini juga sebagai contoh baja organik yang mampu menjadikan tanaman lebih subur dengan pengeluaran hasil lebih berkualiti. Baja vermikompos didakwa akan mampu untuk memperbaiki struktur tanah, membaiki kandungan biologi tanah dengan penambahbaikan mikrorganisma, hormon dan juga enzim. Baja ini akan membekalkan unsur-unsur yang diperlukan untuk pertumbuhan pokok kerana ia mengandungi humus yang berguna untuk meningkatkan kesuburan tanah. Baja organik yang mesra alam amat penting digunakan oleh ramai petani dinegara kita untuk jaminan keselamatan makanan. Wasallam!!!.

BAJA ORGANIK... MESRA ALAM DIA...
DARI BAHAN SEMULAJADI... ASALNYA...
HARGA MURAH... LAMA KESANNYA...
PERLU DIBELI... TERUSKAN MENGGUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Sayuran Komersil,
TKPM Bunian, Maran,
Pahang, Malaysia.
(3 Zulkaedah 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.