Friday, May 27, 2016

TANAM BELIMBING BULOH MONOKROP

BELIMBING BULUH (Averrhoa bilimbi) merupakan sejenis tanaman dalam kategori buah nadir dimana kini telah ada petani yang menanam pokok tersebut secara monokrop. Monokrop adalah menanam sejenis tanaman dalam satu kawasan berbanding dengan 'Mixed crop' iaitu menanam secara bercampur beberapa jenis tanaman dalam satu kawasan. Tanaman dari keluarga Oxalidaceae ini merupakan tumbuhan yang natif di Malaysia dan Indonesia tetapi ia juga banyak tumbuh di negara Asean lain dan kawasan tropika. Belimbing buluh ini ada kalanya dipanggil sebagai 'Belimbing Asam' dimana memang sesuai dengan buahnya yang selalunya memang masam. Buah belimbing berbentuk kecil dan seakan berbentuk empat segi panjang dimana ia jarang dimakan segar kerana rasanya terlalu masam. Buah yang hampir masak biasanya digunakan sebagai penyedap rasa dan sebagai ramuan sambal yang menjadi pencecah untuk sayuran tradisional. Pada penulis juga saya sering gunakan belimbing buluh dalam masakan seperti untuk masakkan ikan kari asam pedas dan udang lemak kuning. Dilaporkan iaitu buah belimbing buluh dapat menghilangkan rasa hanyir terutamanya ikan-ikan darat (ikan air tawar) dimana ia sering digunakan untuk masakan orang Melayu dan orang Cina. Dalam kes lain, tanaman belimbing buloh jika diekstrak ia hasilkan cecair yang mengandungi bahan metanol dari bahagian daun pokok ini. Bahan ekstrak ini juga mempunyai sifat antibakteria terhadap Pseudomonas aeruginosa dan Staphylococcus aureus serta sedikit kesan terhadap Bacillus subtilis . Bagaimanapun laporan mendapati ekstrak itu juga langsung tidak berkesan terhadap bakteria lain seperti Staphylococcus aureus, Bacillus subtilis, Escherichia coli, Pseudomonas aeruginosa dan Klebsiella pneumonia. Sebaliknya bahagian pokok ini peka terhadap bakteria-bakteria ini. Ini merupakan satu potensi dalam perubatan yang perlu dibuat kajian lanjut. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa khasiat belimbing buluh dan usaha penanaman belimbing buluh secara monokrop hasil tinjauan penulis dikebun dan daripada beberapa bahan rujukkan untuk pembaca semua.


Menegenai penggunaanya, belimbing buluh sering juga digunakan dalam perubatan tradisi moden. Dalam kes perubatan Melayu dulu memang tidak kenal penyakit moden seperti kencing manis atau darah tinggi. Oleh itu ada beberapa petua yang diamalkan dan tidak berdasarkan mana-mana kajian moden melainkan hanya amalan tradisi dan tidak ditulis akan tahap klinikal atau keberkesanannya. Buah belimbing buluh segar amat mudah dihasilkan jika pokok dijaga dengan baik. Buah matang yang berwarna hijau (Sila lihat foto disebelah) juga sesuai diprses menjadi jus. Jus buah ini dikatakan sebagai amat berkesan untuk melegakan penyakit darah tinggi, kencing manis dan pitam. Bagaimana pun penulis dapati tidak banyak testimoni yang dinyatakan mengenai perkara ini. Selain itu ia juga ia berkesan untuk melicinkan kulit muka serta mengatasi masalah jerawat dan merawat sakit gigi. Bagi mereka yang menghidapi batuk yang berterusan, adalah dinasihatkan agar anda merebus buah ini dan minum air rebusan ini setiap pagi dan petang. Buah belimbing ini adalah berbentuk kecil dengan bentuk bulat selinder atau seakan bersegi panjang dengan warna hijau muda ketika muda kemudian sedikit kekuningan apabila telah matang. Pada masa ini tidak ada maklumat keluasan tanaman ini dilaporkan di Malaysia tetapi penulis mampu menganggarkan sekitar 15-20 hektar CHE. Buah Belimbing ini jarang dimakan segar kerana rasanya terlalu masam menyebabkan ia sesuai untuk dijadikan bahan masakan atau diproses menjadi produk lain. Buah yang hampir masak biasanya digunakan sebagai penyedap rasa masakan dan sebagai ramuan sambal yang menjadi pencecah untuk sayuran tradisional seperti Sambal Hitam Belimbing Buluh yang terkenal di Pahang (Sila klik disini). Belimbing buluh juga digunakan sebagai ramuan masakan seperti masakan ikan kari asam pedas dan udang lemak kuning. Buah belimbing buluh dapat menghilangkan rasa hanyir terutamanya untuk masakan dengan jenis ikan darat (ikan air tawar) seperti ikan baung, ikan patin, ikan keli dan sebagainya. Resepi masakan ikan patin merupakan satu hidangan yang poplar di Pahang yang dimasak dengan belimbing buluh. Penulis sendiri memang suka makan nasi dengan ikan patin di Temerloh yang enak dan lazat suka dengan masakan ini. Masakan istimewa ikan patin dengan belimbing buluh ini juga memang disukai oleh semua kaum di Malaysia dan harga jualan juga mengikut kemampuan. Buah belimbing buluh juga sering digunakan untuk beberapa jenis masakan orang Melayu dan orang Cina mengikut kesesuaian resepi. Bekalan belimbing buloh ini memang mudah didapati dipasar malam atau pasar tani dan ia selalunya ditanam sebagai tanaman keliling rumah sahaja. Terdapat beberapa petani di Negeri Pahang, Selangor dan Johor yang ada juga mengusahakan tanaman belimbing buluh secara monokrop dan komersil untuk jualan. Uniknya pokok ini mampu untuk berbuah sepanjang tahun dan kurang diserang penyakit.


Penanaman belimbing buloh secara monokrop amat jarang dilakukan petani. Ini kerana jika hasilnya banyak dilaporkan agak sukar untuk dijual dipasaran kerana permintaan dari pengguna tidak banyak seperti buah-buahan komersil lain. Rasa buahnya yang masam seperti dinyatakan dalam para diatas tidak mempunyai nilai pasaran yang tinggi dan hanya ditanam untuk kegunaan sendiri sahaja. Memadai dengan setiap rumah menanam sepokok belimbing buluh tetapi boleh digunakan oleh ramai penduduk kampong. Apa pun penulis telah melawat beberapa lokasi di Daerah Lipis, Jerantut dan Raub di Pahang yang mana ada petani yang menanam pokok belimbing buloh secara monokrop (Sila lihat foto disebelah). Mereka dapat galakkan daripada Jabatan Pertanian dan menanam belimbing buluh cara monokrop kerana ada permintaan dikalangan usahawan membuat 'Sambal Hitam' iaitu satu produk khusus Negeri Pahang. Mereka menggunakan benih yang disemai daripada biji dimana buah untuk dijadikan benih ini diambil daripada pokok dewasa yang banyak hasilnya. Benih yang berumur antara 3-4 bulan sesuai ditanam dengan jarak tanaman 3mx3m atau 2.5m x 3m bergantung kepada keadaan kawasan. Pokok ini dijaga dengan baik dengan membaja, memberi bekalan air (peringkat awal penanaman sehingga pokok matang) dan dikawal musuh dan serangan penyakit (jika ada). Penggunaan baja organik mampu menambah kesuburan tanaman ini. Penulis syorkan agar mereka menggabungkan penggunaan baja NPK dan Baja Fish Meal untuk meningkatkan produktiviti. Lazimnya pokok belimbing buluh akan berbuah setelah 1.5 - 2 tahun selepas ditanam atau lebih cepat jika dijaga dengan baik. 


Pokok belimbing buluh mampu berbunga sepanjang tahun tetapi ada masa puncak. Bunganya akan terbit daripada bahagian batang dan dahan secara berjambak dengan kelopaknya berwarna kemerahan (Sila anda lihat foto disebelah). Bunga ini akan menjalankan proses pendebungaan yang dibantu oleh serangga dan angin. Satu jambak bunga akan mengeluarkan banyak bunga dimana ia akan gugur sendiri jika berlaku kekurangan air atau unsur nutrien seperti apa yang penulis lihat di Kg Lubuk Kulit, Lipis, Pahang baru-baru ini. Cuaca panas terik dan suhu tinggi mencecah 38 Celcius menyebabkan hampir 50% bunga belimbing buluh gugur dan daun pada pucuk belimbing buluh ada kesan terbakar (scorching). Menurut petani yang penulis temubual mereka menyatakan panas tahun 2016 ini amat berbeza dan kesannya teruk terhadap tanaman belimbing buluh yang telah berumur 1-3 tahun ini. Walau pun tidak ada sistem pengairan titis dipasang tetapi petani ini menyiram secara manual walau pun kolam takungan air amat kurang untuk semua pokok. Buah yang dipetik dijual kepada pembeli dengan harga antara RM0.80 - RM1.20 sekilogram dimana ia juga bergantung kepada musim dan kuantiti. Petani ini juga masih berharap jika harga sekitar RM2.50 keatas sekilogram ianya boleh memberikan pendapatan yang lebih dan menguntungkan. Penulis dapati potensi tanaman belimbing buloh ini amat baik dengan sistem ladang kontrak dan ada jaminan pasaran. Diharap tulisan kali ini memberi info bernilai kepada pembaca semua. Wasallam!


BELIMBING BULUH... MASAM RASANYA...
DITANAM MONOKROP...PETANI USAHA...
MUSIM PANAS...DISIRAM SENTIASA ...
JARANG DIBUAT... PERLU DICUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Belimbing Buluh,
Kg Lubuk Kulit, Lipis,
Pahang, Malaysia.
(14 Syaaban 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.