Tuesday, May 17, 2016

SAYUR - KHASIAT KESIHATAN

SAYUR (Vegetables) merupakan satu jenis makanan yang diambil setiap hari oleh manusia. Sayur merupakan makanan kesihatan yang penuh khasiatnya terutama untuk menambah tahap kesihatan kerana mengandungi serat dan vitamin serta banyak jenis mineral. Sayur itu sendiri merupakan makanan kesihatan yang mempunyai khasiat yang mampu mengubati dan mencegah pelbagai penyakit jika diambil dengan kuantiti dan daripada yang berkualiti serta selamat dimakan. Sudah lama kita ketahui bahawa sayur-sayuran ini memang banyak khasiatnya dari segi kandungan nutrisi seperti vitamin, mineral, lemak, protein dan karbohidrat. Menurut penyelidik sebahagian daripada sayur-sayuran dan buah-buahan ini mengandungi komponen yang boleh membantu menangani masalah kesihata serta menyediakan hidup yang lebih sihat. Ulam-ulaman juga dikategorikan sebagai sayur yang lazimnya dimakan mentah seperti timun, ulam raja, terung pipit, pucuk tenggek burung, pucuk gajus, pegaga dan sebagainya. Semua sayur dan ulaman ini ditanam secara konvesnional diatas tanah rendah atau tanah tinggi atau pun kini ditanam menggunakan sistem fertigasi. Luas penanaman sayuran di Malaysia sekitar 36,500 hektar setahun dengan pelbagai jenis sayur buah dan sayur daun serta berjenis ulam-ulaman. Sayur segar ini boleh dibeli daripada pasaraya, pasar basah, pasar tani, pasar tami dan daripada kedai runcit serta penjaja-penjaja. Dalam dunia ICT, khasiat sayuran banyak diviralkan untuk rujukkan semua orang. Bagaimana pun artikel dalam "Anim Agro Technology" kali ini saya paparkan lagi beberapa jenis sayuran dan khasiatmya sekadar untuk dijadikan bahan rujukkan.

Sayur DAUN SALAD (Latuca sativa) ini  merupakan sejenis sayuran yang ditanam untuk dimakan mentah sebagai ulaman. Daun salad ini boleh ditanam diatas tanah atau kini lebih popular di tanam di tanah tinggi Cameroon Highland dengan cara Fertigasi  atau NFT (Sila rujuk foto disebelah). Penulis beberapa kali meninjau bagaimana salad ditanam oleh petani dan MAFC dengan cara moden dan mampu mengeluarkan salad berkualiti sepanjang tahun. Daun salad segar yang dimakan didakwa bertindak menenangkan dan melapangkan fikiran dimana ini sekali gus menghilangkan segala keresahan yang melanda. Daun ini juga didapati memang mengandungi bahan karotin, serat dan air yang dapat menghilangkan rasa dahaga dan juga bertindak melancarkan sistem pernafasan. Sesiapa yang suka makan nasi ayam, burger dan makanan ala-thai sering dihidangkan sam salad sebagai stu komponen ramuan.

Sayuran KOBIS (Brassica oleraceae) merupakan sejeni sayuran yang paling banyak dipasarkan dan dimakan di negara kita. Malaysia menanam sekitar 1,200 ha tanaman kobis di kawasan tanah tinggi Cameroon Highland, Lojing dan Kundasang setiap tahun. Bagaimana pun untuk tujuan mencukupkan penggunaan kobis, Malaysia mengimport sebanyak 60,000 mt kobis setiap tahun dimana permit import (AP) dikawal oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kobis bukan sahaja berkesan untuk mengubati penyakit ulser dan barah malah berkesan untuk mengubati masalah-masalah lain di usus. Ia juga meredakan masalah di bahagian perut dan hati seperti yang dialami oleh mereka yang lali arak. Selain itu asid amino yang mengandungi belerang dalam kobis juga bertindak menurunkan paras kolestrol. Anda boleh baca tulisan saya mengenai konis (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Selain itu kobis jugadapat meredakan saraf dan menenangkan fikiran dan sekaligus membantu seseorang itu tidur dengan selesa pada waktu malam.

Sayur TIMUN (Cucumis sativus) merupakan sejenis sayur buah yang amat popular dikalangan petani untuk ditanam secara komersil (Sila lihat foto disebelah). Timun lazimnya dimakan segar dan dijadikan sebagai ulam-ulaman popular. Biji timun mengandungi racun alkoloid jenis hipoxanti ,yang berkesan untuk merawat kanak-kanak yang kecacingan. Bagi mereka yang menhidapi sakit tekak apabila diserang batuk, penyakit ini dapat dirawat dengan biji timun dimana sedikit biji timun dicampurkan dengan sedikit garam dan dikumuh beberapa kali sehari. Pengamalan ini dapat mengembalikan suara yang hilang. Selain itu, penyakit sampu pucat iaitu sejenis penyakit pening-pening yang berterusan sehingga dapat menurunkan berat badan dapat diatasi dengan pengamalan makan timun mentah atau yang telah dimasak. Timun juga dapat mengubati penyakit disesteri iaitu keluar darah semasa membuang air besar.

Walau pun ia kurang popular dikalangan petani di Malaysia, Sayur Umbisi LOBAK PUTIH (Raphanus sativus) merupakan sejenis sayur yang berkhasiat. Ia lazimnya ditanam secara komersil atau ada yang menanam sebagai tanaman keliling rumah. Sayur lobak putih mudah ditanam dengan benih yang bermutu (Sila lihat foto disebelah). Dari segi khasiat kesihatan, sayur ini mengatasi masaalah perut meragam sering kali berlaku akibat ketidakhadaman makanan dan keadaan ini sungguh menyakitkan seluruh badan. Ramai yang tidak mengetahui khasiat lobak putih yang didakwa mempunyai kandungan khasiat yang tinggi dan sayur ini dapat menyelesaikan masalah penghadaman.

Sayur KACANG BUNCIS (Phaseolus vulgaris) ditanam secara komersil dengan menggunakan sistem para. Kacang buncis adalah sejenis sayur yang kaya dengan protein dan vitamin ini membantu untuk menurunkan tekanan darah serta mengawal metabolisme gula dalam darah dan amat sesuai dimakan oleh mereka yang sedang menghidapi penyakit kencing manis atau darah tinggi. Bagi mereka yang khuatir kerana mempunyai berat badan yang keterlaluan , kacang ini dapat membantu mengatasi masalah mereka. Ini kerana ujian makmal telah menunjukkan kacang ini mengandungi serat dan enzim yang boleh membantu menurunkan berat badan.

Sayur PERIA (Momordica charantia) juga sejenis sayur yang berkhasiat dan ditanam secara meluas di Malaysia. Sayur ini adalah penawar kepada pesakit yang menghidapi penyakit kencing manis. Kandungan bahan yang menyerupai insulin didapati berkesan dalam menurunkan paras gula dalam darah dan air kencing. Penghidap kencing manis mestilah menjadikan jus peria ini sebagai satu jus minuman harian, terutama sekali sebelum sarapan. Selain itu peria juga dapat menyembuhkan penyakit batuk yang menyerang kanak-kanak.

Sayur BAYAM (Amaranthus spp) adalah jenis sayur daun yang dituai dalam masa 30 hari sahaja. Selain dimakan dengan cara menumis, dibuat sup (bening). bayam boleh diproses menjadi jus bayam dimana ia mengandungi zat besi secukupnya untuk mengatasi masalah-masalah seperti anemia sejenis penyakit kurang darah. Kaedahnya adalah dengan mengisar daun bayam dengandengan segelas air dan diminum dua kali sehari. Wanita seringkali kekurangan zat besi kerana didatangi haid pada setiap bulan. Jus bayam yang dicampurdengan jus lobak merah atau jus tomato boleh membekalkan zat besi secukupnya untuk menambah tenaga mereka kerana jus bayam mengandungi asid aksalik dan penambahan jus-jus lain dapat mengatasi kesan-kesan keasidannya.

Selain itu sayur seperti TOMATO, KENTANG dan TERUNG PIPIT juga diantara sayur yang dimakan dan memberikan khasiat kesihatan. Tomato (Lycopersicum esceluntum) dapat mengekalkan kecergasan badan.Ia juga baik untuk melicinkan kulit dan merupakan salah satu bahan awet yang penting. KENTANG pula merupakan sejenis sayuran umbisi yang berkesan untuk merawat penyakit batu karang dan juga mengatasi masalah jerawat dan bisul.Caranya adalah dengan mengadun udi kentang dengan sedikit air kemudian disapu ke atas jerawat atau bisul yang sudah pecah sebelum ditutup dan dibalut dengan kain bersih. Cara rawatan yang sama juga digunakan bagi merawat kudis atau luka. Akhir sekali penulis menyentuh TERUNG PIPIT yang jarang dijumpai atau dijual dipasaraya tetapi ada dijual di pasar tani. Terung pipit mengandungi banyak khasiat. Antaranya dengan meminum air rebusan buah ini dapat meredakan kesakitan akibat sakit perut yang berterusan.Selain itu akarnya pula dapat mengubati retak kulit pada kaki. Demikianlah coretan penulis dipagi Ahad ini. Wasallam!..

SAYUR DIMAKAN... BERKHASIAT DIA...
PILIH YANG SELAMAT... MYGAP ADA...
MEMBERI KHASIAT...SIHAT SEJAHTERA..
BACA ARTIKEL... HATI PUN GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Restoren D'Muara,
Peramu, Tanjung Lumpur,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(12 Syaaban 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.