Wednesday, May 4, 2016

POKOK RAMBUTAN - POTENSI BAGAIMANA?

POKOK RAMBUTAN (Nephelium lappaceum L.) merupakan sejenis pokok buah-buahan tropika yang semakinn kurang menarik minat petani di Malaysia. Rambutan dari keluarga Sapindaceae yang dipercayai berasal dari Malaysia dan Indonesia menjadi komodi buah-buahan yang semakin dilupakan. Tanaman ini merupakan pokok buah tropika yang mengeluarkan buah secara bermusim yang mana lazimnya ia adalah di tanam secara komersil atau sebagai tanaman dusun bercampor. Buah Rambutan kini bukan menjadi satu pilihan utama kepada ramai petani di Malaysia dan keluasan penanaman rambutan didapati telah menurun daripada seluas 38,765 hektar pada tahun 1995 kepada hanya seluas 25,460 hektar pada tahun 2010. Anggaran pengeluaran hasil rambutan pada tahun 2010 adalah sebanyak 32,740 metrik tan yang bernilai RM 171.6 juta. Kawasan utama tanaman rambutan seperti di Kedah, Perak, Johor, Selangor dan Pahang semakin kurang permintaan dari petani untuk mereka menanamnya. Bagaimana pun beberapa pusat atau stesyen Jabatan Pertanian masih mengekal beberapa varieti rambutan popular untuk dijadikan repositori dan aboretum benih. Persoalannya adakah tanaman rambutan akan terus kekal sebagai buah-buahan tempatan yang berpotensi untuk berkembang atau satu hari nanti atau dalam hipotesis lain adakah rambutan akan menjadi buah kurang ditanam iaitu sama tahap dengan Buah Nadir kerana kurang permintaan?.  Artikel subuh ini cuba dalam "Anim Agro Technology" saya cuba membincangkan beberapa isu mengenai potensii tanaman rambutan dimasa akan datang dari segi pasaran domestik dan eksport.


Rambutan secara tradisinya memang dulu di tanam di keliling rumah sebagai satu aktiviti sampingan di kampong tradisional secara dusun bercampor dengan durian, manggis, mangga dan bermacam lagi. Terdapat beberapa orang petani sahaja yang menanam rambutan secara monokrop pada waktu dulu kerana mempunyai pasaran yang baik terutama untuk beberapa varieti tertentu. Jabatan Pertanian dulu memajukan tanaman rambutan secara aktif iaitu di bawah 'Program Pelbagai Input Tanaman' (atau AID - Agriculture Input Diversification Program' ) yang telah berjaya mengedarkan pokok rambutan dikeliling rumah. Ia menjadikan tanaman rambutan yang ada sekarang ini adalah dari klon atau varieti rambutan manis yang boleh dimakan dan dijual berbanding dengan pokok rambutan lama dari pokok tidak dikenalpasti varietinya yang banyak buahnya adalah masam. Program ini telah berjaya dengan begitu baik sekali kerana kini 'Rambutan Masam' hampir pupus dan tiada lagi dijual. Pokok-pokok rambutan yang diedarkan pada tahun 1970'an dan 1980'an kini telah berumur lebih 30 tahun dan perlu ada program untuk menanam semula. Penanaman semula pokok rambutan bagaimana pun kurang mendapat sambutan dikalangan petanio tradisional kerana mereka dakwa pokok sedia ada dikebunnya pun tidak berpetik setiap musim berbuah. 

Antara beberapa klon atau kini dipanggil sebagai varieti rambutan yang popular di Malaysia adalah seperti R136 (Rambutan Gading Muar -Kuning), Rambutan R134 (Singapore - Merah), R 179 (Beli Cheng - Merah), R191 (Anak Sekolah - Merah) dan R193 (Deli Baling - Merah). Beberapa varieti tempatan lain seperti R3 (Gula batu- berasal dari Pulau Pinang), R153 (Bunga mawar dari Kedah), R171-181 (Berasal dari Taiping) dan R192 (Ganja berasal dari Kedah) masih kurang mendapat permintaan dipasaran domestik dan nasional. Pada penulis varieti R156 merupakan paling disukai kerana beberapa pokok disekeliling rumah di Muar Johor memang bertahun-tahun memberikan hasil yang manis, besar, berkualiti dan tinggi pengeluarannya setiap tahun (Sila lihat foto R156 disebelah). Rekod di Jabatan Pertanian menunjukkan terdapat sebanyak 62 varieti rambutan yang telah di daftarkan dengan Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia dibawah Senarai Varieti Tanaman. Adakah semua varieti rambutan ini masih ujud atau pun sebahagiannya sudah pupus?. Anda boleh merujuk artikel tulisan saya mengenai varieti rambutan di Malaysia dengan membuat pautan (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Perlu ada usaha untuk menjejaki dan menanam semua jenis klon rambutan yang telah didaftarkan oleh pihak tertentu bagi simpanan janaplasma dan sumber genetik rambutan.


Lazimnya pokok rambutan di Malaysia akan mengeluarkan bunga pada bulan Mac hingga Julai dan juga kadang-kadang dari bulan Julai sehingga November (off season). Bunga rambutan sering keluar selepas musim kemarau yang diikuti dengan hujan. Buah rambutan dihasilkan pada hujung tangkai atau hujung ranting yang berbentuk bulat bujur dan mempunyai rambut yang berukuran 0.6 - 1 cm.  Buah muda yang berwarna hijau akan bertukar merah atau kuning apabila masak. Tempoh masa buah dibentuk dari bunga hingga masak lingkungan 100-130 hari. Tempoh masak ialah selama 30 hari dari mula masak sehingga habis semuanya matang. Buah yang di tuai tidak tahan lama kesegarannya lingkungan 3-6 hari bergantung kepada cara mengendalikan, penyimpanan dan klon rambutan. Adalah dipercayai rambutan yang mempunyai bulu rambut yang lebih panjang agak tahan lebih lama kesegarannya. Kenapa industri tanaman rambutan terus menjadi kurang popular?.... Banyak andaian untuk jawapan tersebut. Antara andaian nya ialah kerana faktur harga yang sangat tidak kompetetif akibat musim pengeluaran yang serentak dan kuantiti yang banyak. Musim tuaian cuma 30 hari sahaja setiap musim dan bulan Julai-Ogos merupakan kemuncak penuaian setiap tahun menyebabkan harga terlalu rendah sehingga RM 0.30 sen sekilogram sedangkan upah memetik setiap kilogram mencecah RM0.50. Itu sebabnya pada musim puncak banyak rambutan dibiarkan kering diatas pokok. Nak tunggu cucu petik pun tidak mahu kerana tidak meminati buah rambutan. Cucu sekarang lebih suka makan KFC, Big Mac, Apple Pie, Apple, Pear dan macam-macam lagi makanan segera. Bapanya pula jarang-jarang balik kampong musim buah-buahan. Ramai petani telah menukarkan pokok rambutan dengan kelapa sawit dan getah yang lebih menguntungkan.


Penulis pernah membuat tinjauan di Baling, Kedah dengan AO Daerah mendapati ada satu syarikat tempatan (Anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah) membeli buah rambutan di Daerah Baling (Varieti Deli Baling) dengan harga RM 0.80 sekilogram. Katanya harga tersebut merupakan harga asas untuk kilang beroperasi dan tidak boleh lebih daripada itu untuk buah rambutan di proses dan ditinkan. Bayangkan kalau kos memetik sahaja sudah RM 0.50 sekilogram, pekebun rambutan cuma dapat RM 0.30 sekilogram sahaja. Kalau sekali petik dapat jual 500 kg cuma dapat hasil jualan RM 150.00 sahaja satu pokok semusim setahun. Kalau di tolak kos baja, racun rumpai, merumput, cantasan dan lain-lain apa yang tinggal?. Masa depan tanaman rambutan memerlukan kaedah lain untuk diteruskan penanamnanya agar tidak pupus. Satu perancangan teliti untuk meningkatkan produktiviti dan klon yang sesuai untuk pasaran ekspot serta domestik perlu di tanam. Kajian analisa kos pengeluaran dan pendapatan bagi rambutan mendapati harga titik pulang modal pengeluaran rambutan tahun 2011 adalah sebanyak RM 1.29 sekilogram. Dibawah daripada harga tersebut maka petani akan mengalami kerugian. Analisa mudah juga menunjukkan dari tahun pertama sehingga tahun ke 5, petani masih tidak dapat apa-apa pulangan pendapatan. Purata wang timbunan kos pengeluaran juga hanya dapat balik selepas tahun ke 13 penanaman rambutan. Kadar B/C Ratio adalah RM 1.16 dengan kadar IRR pada nilai 4% iaitu kadar yang sangat rendah.


Jika ada program rambutan untuk ekspot harga ladang sepatutnya tidak kurang dari RM 1.50 dimana penulis kira paling sesuai pada harga lebih dari RM 2.00 sekilogram berdasarkan kepada cashflow diatas. Beberapa ushasa telah dilakukan untuk mencari pasaran eksport rambutan ke USA tetapi sehingga kini ianya belum terlaksana lagi. Ini kerana banyak syarat Fitosanitasi yang pihak USA kenakan terhadap rambutan segar untuk pasaran eksport. Petani sanggup rasanya menghasilkan rambutan berkualiti Gred A jika pasti dapat jaminan pasaran dan jamian harga minima dari pembeli. Pokok-pokok lama dan pokok rambutan terbiar boleh di pulihkan semula jika ada program khusus pembangunan buah rambutan oleh pihak tertentu. Teknologi CANTUMAN DEWASA rambutan dan penanaman baru pokok rambutan boleh dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak. Kalau di Thailand tanaman rambutan mampu untuk dieksport ke negara kita maka tidak mustahil rambutan tempatan ditingkatkan pengeluarannya untuk mengurangkan imbangan import makanan yang semakin tinggi. Malaysia mungkin juga boleh menjadikan rambutan sebagai satu potensi produk untuk dibangunkan. Sesungguhnya buah rambutan yang berasal dari Malaysia mengalami nasib yang merudum di negara sendiri. Buah-buah impot dari kawasan 'temperate' pula yang mendominasi pasaran buah-buahan tempatan di Pasar Malam, Pasar Buah, Pasar Tani dan apa lagi di Hypermarket. Minat untuk makan buah rambutan dikalangan masyarakat juga semakin kurang terhadap buah-buahan tempatan. Mereka membeli buah-buahan import dari pasaraya, pasar malam sebagai pilihan. Bagaimanakah pokok rambutan boleh dibangunkan sebagai buah penting di negara kita dimasa akan datang?. Wallahualam...


BUAH RAMBUTAN....BUAH TROPIKA...
DULU KALA ...DITANAM TELAH LAMA...
HARGA RENDAH...MUSIM UTAMA...
POTENSI RAMBUTAN...BAGAIMANA?...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(30 April 2016)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.