Sunday, May 15, 2016

KEMARAU JEJAS PENGELUARAN SAYURAN

PENGELUARAN sayur-sayuran dijangka terjejas pada musim kemarau terutama dikawasan yang kurang mendapat hujan. Antara beberapa negeri pengeluaran sayur utama negara adalah Cameroon Highlands, Pahang dan Negeri Johor yang membekalkan sayuran segar untuk keperluan domestik dan eksport. Semanjak dari bulan Januari 2016 sehingga Mei 2016 (semasa blog ini ditulis) beberapa kawasan pengeluaran sayuran masih terjejas akibat kemarau dan suhu tinggi mencecah 39 celcius. Musim kering (Dry season) atau kemarau secara amnya ditakrifkan berlaku apabila purata hujan bulanan kurang daripada 50 milimeter. Kemarau ini berlaku sehingga menyebabkan kolam, sungai dan paya menjadi kering yang menjadi sumber untuk sistem pengairan petani yang menanam sayur. Oleh itu bagi usaha membantu perancangan pertanian negara, Jabatan Pertanian telah membangunkan Peta Indeks Hujan Pertanian (Agriculture Rainfall Indexs - ARI) bertujuan untuk mereka menunjukkan kawasan yang mengalami bulan-bulan kering. Peta ini menunjukkan beberapa negeri di utara Semenanjung mengalami musim kering yang berpanjangan sehingga empat bulan secara berturutan. Tetapi pada tahun 2016 trend ini didapati berubah dimana beberapa negeri di pantai timur malahan sehingga ke selatan Semenanjung Malaysia telah terjejas teruk. Pada masa peta ini disediakan, negeri Perlis dimana sebahagian besar utara Kedah dan Pulau Langkawi musim keringnya bermula dari Disember hingga Mac manakala Kelantan dan pesisiran pantai Terengganu pula sekitar Januari hingga April masih mengalami kesan kemarau. Lazimnya, projek-projek pertanian yang dijalankan mengambil kira keadaan musim kering yang dijangka berlaku pada setiap tahun contohnya Perlis dikenal pasti sebagai kluster penyelidikan Mangga Harumanis kerana musim kering yang panjang merangsang pembentukan bunga. Artikel subuh Ahad ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis semua laporan akhbar KOSMO mengenai kesan kemarau yang menjejaskan khususnya untuk pengeluaran sayuran dalam negara. 

Pengeluaran sayuran di Malaysia adalah satu industri penting. Tanaman sayuran merupakan aktiviti yang terus penting dalam sektor pertanian selaras dengan keperluan sayuran segar untuk dimakan penduduk setiap hari. Kepentingan penanaman sayur-sayuran terus terserlah dengan penambahan keluasan penanaman setiap tahun dan peningkatan penghasilan sayuran dari kemajuan teknologi itu sendiri. Luas kawasan sayuran di Malaysia telah meningkat dari 35,956 hektar pada tahun 2007 kepada seluas 43,758 hektar pada tahun 2011 dengan jumlah pengeluaran sayuran juga telah meningkat dari 456,993 metrik tan kepada 581,747  metrik tan. Terdapat seramai 46,040 petani yang terlibat dengan pengeluaran sayuran dengan bilangan paling ramai di Kelantan tetapi petani Negeri Johor merupakan pengeluar utama sayur-sayuran di Malaysia. Pasaran ke Singapura banyak dihasilkan dari pengeluaran sayuran di Johor dan Cameroon Highlands. Bagaimana pun penanaman sayuran amat terjejas akibat kemarau pada tahun 2016. Kemarau akan memberi kesan lebih awal di kawasan pengeluaran sayur-sayuran apabila keperluan air tanaman adalah tinggi kecuali terletak di kawasan yang mempunyai bekalan sumber air yang berterusan. Kesan ini juga diikuti oleh kesan kepada tanaman buah-buahan tidak bermusim seperti betik, pisang, nanas, jambu batu, belimbing dan nangka. Tanaman buah-buahan bermusim seperti durian, mangga, rambutan, duku dan dokong akan terkesan sekiranya tempoh berlakunya musim kering berpanjangan.

Bagaimanapun, bagi kawasan-kawasan yang mempunyai kemudahan seperti telaga, kolam, takungan air dan telaga tiub, pengeluaran hasil tanaman dapat dikekalkan seperti biasa. Kesan kemarau dijangka bertambah buruk sekiranya sayur-sayuran atau buah-buahan ini ditanam di atas tanah berpasir, tanah gambut yang mudah mengering, tanah aluvium laut yang ada lapisan masam asid sulfat dan tanah-tanah bukit yang terlalu gembur atau tanah laterit. Pemantauan penulis semasa buat pemantauan kawasan penanaman sayur komersil berskala besar di Pahang, Johor dan Selangor mendapati paras air dalam kolam amat terjejas terus (Sila lihat foto disebelah). Petani terpaksa menggunakan air dengan berhemah dengan menjadualkan semula jadual penanaman, menanam jenis sayuran yang kurang gunakan air dan mencari sumber air baru. Mereka juga berusaha mendalamkan lagi kolam takungan air. Dalam tinjauan lain, penulis kekawasan penanaman sayuran di tanah tinggi (Cameron Highlands, Pahang dan Lojing, Kelantan) dimana didapati kemarau yang berlaku tidak memberi impak teruk berbanding kawasan tanah rendah kerana terletak di kawasan tadahan air. Ini adalah amat berbeza dengan kawasan tanah rendah dimana didapati lebih sukar untuk mendapatkan bekalan air alternatif sekiranya sumber air seperti sungai atau kolam mengalami kekeringan.

Pada masa ini, pengeluaran sayur-sayuran di negara ini hampir mencukupi keperluan untuk penggunaan tempatan baik sayur-sayuran tanah pamah dan tanah tinggi. Pengeluaran sayur-sayuran adalah dianggarkan sebanyak 3,000 tan sehari dari kawasan pengeluaran utama. Pada tahun 2014, seluas 38,592 hektar tanah telah diusahakan untuk mengeluarkan 994,976 tan setahun merangkumi pelbagai jenis sayur. Johor, Pahang, Kelantan, Perak dan Selangor merupakan kawasan pengeluaran sayur utama di kawasan Semenanjung Malaysia. Kawasan Cameron Highlands dan Lojing merupakan satu-satunya kawasan pengeluaran jenis tanaman sayur-sayuran tanah tinggi. Sayur-sayuran jenis tanah pamah banyak ditanam di kawasan bekas lombong, tanah gambut, berpasir dan aluvium sungai. Kawasan seperti ini terletak di Hulu Selangor; Bentong, Pahang; Kinta dan Batang Padang, Perak serta Ledang dan Kluang, Johor. Tanaman sayur-sayuran memerlukan jumlah air yang banyak berbanding tanaman lain dan perlu disiram setiap hari. Ada pelbagai kaedah digunakan untuk penyiraman air seperti pengairan renjis dan titis. Biasanya sumber air diperoleh daripada pelbagai cara seperti sungai, lombong, kolam dan telaga tiub. Di kawasan Cameron Highlands dan Lojing, sumber air diperoleh daripada kawasan tadahan air dan hutan berhampiran yang membekalkan air ke dalam sungai.

Kebelakangan ini, didapati taburan hujan tidak menentu dan di luar jangka daripada trend peta indeks hujan yang telah pun disediakan. Umpamanya, pada awal tahun 2014, negara mengalami musim kering yang agak panjang iaitu selama tiga bulan di beberapa tempat sehingga catuan air dijalankan. Bagaimanapun, pada tahun 2016 taburan hujan pada tiga bulan pertama lebih serius dan teruk berbanding tahun lepas dan musim kering berlanjutan telah menjejaskan sedikit pengeluaran tanaman sayur-sayuran. Selain bekalan air daripada hujan, simpanan air dalam tanah juga bergantung kepada jenis tanah iaitu sama ada tanah berpasir, gambut, aluvium sungai dan bukit. Pada penulis kesan kemarau 2016 adalah teruk sehingga ianya menjejaskan pengeluaran sayuran. Bagi kawasan berpasir seperti tanah lombong akan berlaku cepat kehilangan air kerana kekurangan bahan organik. Kesan kekurangan air di tanah gambut pula boleh meningkatkan risiko kebakaran. Dalam kes lain bagi tanah lanar laut, kekurangan air dalam tanah akan meningkatkan keasidan tanah yang boleh menjejaskan pertumbuhan tanaman sayur-sayuran.

Mengikut maklumat daripada Persatuan Pekebun Sayur-sayuran Malaysia iantu Tan Soo Tiok di Johor, tahun 2016 kesan kemarau menjejaskan hasil sayuran dengan signifikan (Sila lihat foto Tan Soo Tiok dikebunnya). Ini kerana majoriti kawasan sayur-sayuran ada yang tidak boleh ditanam walau pun masih ada lokasi lain masih mampu untuk mengekalkan pengeluaran sayur-sayuran dengan menggunakan sumber air yang sedia ada. Kebun Tan Soo Tiok yang penulis lawat mempunyai sistem telaga tiub dalam (Deep tube well) yang dibantu oleh Jabatan Pertanian dan kos ditanggung bersama oleh peserta projek. Bagaimana pun penulis masih menunggu kesan kemarau terhadap pengeluaran sayuran kerana dari rekod pengeluaran sayur-sayuran Jabatan Pertanian dari Februari, 2015 hingga sekarang menunjukkan penghasilan sayur-sayuran tidak terjejas kecuali beberapa lokasi di Ledang, Johor. Bagi menghadapi kesan kemarau panjang, Jabatan Pertanian mengesyorkan beberapa tindakan yang boleh diamalkan oleh penanam-penanam sayur seperti (1) Meningkatkan kecekapan menyalurkan air dari puncanya ke dalam kebun pengusaha sayur-sayuran melalui penggantian pam dan paip saluran yang lama. (2) Meningkatkan kapasiti kolam-kolam takungan dalam kebun petani. (3) Menyediakan telaga untuk sumber air yang berterusan. (4) Menyediakan tangki untuk simpanan air hujan untuk kegunaan pengairan. (5) Usaha meminimumkan penggunaan air menggunakan sistem pengairan titis dan renjis terutamanya untuk sayur-sayuran daun. (6) Menambah penggunaan bahan organik terutama semasa penyediaan tanah. Bahan Organik berfungsi untuk menambah kapasiti pegangan air tanah dan (7) Penggunaan sungkupan terutamanya daripada bahan organik untuk mengurangkan sejatan air tanah yang berlebihan. Semuga tulisan dan coretan dalam blog 'Anim Agro Technology' dapat memberi ilmu kepada pembaca semua. Wasallam!.
MUSIM KEMARAU...DATANG LAGI...
KURANG 50MM...HUJAN TAK JADI...
PENGELUARAN KURANG.. RUGI...
TULIS ARTIKEL...SETELAH TELITI..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Padang Permai 4, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(21 JamadilAkhir 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.