Friday, May 6, 2016

CIKU - SUMBER BENIH TUT

CIKU (Manikara sapota) merupakan tanaman buah jenis tropika daripada keluarga Sapidaceae. Terdapat seluas sekitar 1,115 hektar tanaman ciku di Malaysia dengan hanya 540 hektar yang menghasilkan buah secara produktif dengan jumlah anggaran hasil sebanyak 6,050 mt pada tahun 2014 (Sumber: Laporan ststistik Jabatan Pertanian 2014). Ciku atau ia dipanggil sebagai Sawo (Di Indonesia) merupakan buah yang sederhana popular ditanam oleh petani di Malaysia kerana kebanyakkan tanaman ciku dilakukan secara tanaman bercampur (Mixed crop) dengan buah-buahan lain. Penulis dapati tidak ramai petani yang menanam ciku secara monokrop dengan luas kecuali dibeberapa lokasi di Melaka, Perak dan Johor. Kebun ciku komersil di Masjid Tanah yang penulis pernah lawat masih produktif dan merupakan salah satu pembekal buah ciku disekitar Melaka, Selangor dan Johor. Pokok ciku yang ditanam dengan tersusun dan dijaga dengan baik hanya selalu terdapat di Pusat-pusat Pertanian Jabatan Pertanian dan beberapa syarikat swasta. Buah ciku yang dihasilkan dalam negara kini kebanyakannya adalah untuk pasaran domestik dan hanya sedikit dieksport terutama ke Singapura sumber buah daripada Johor dan Melaka. Buah ciku kurang popular berbanding dengan buah kiwi (Kiwi Fruits) yang menjadi ikon produk eksport utama dari New Zealands dan telah mendapat 'patent'. Diantara beberapa varieti ciku yang popular dan ditanam di Malaysia adalah sepeti Ciku Betawi (C61), Ciku Jantung (C62), Ciku Subang (C63), Ciku Mega C19 (C64) dan juga Ciku Raja (C65). Ada beberapa varieti ciku lain yang didaftarkan dalam National Variety Plant Listing di Jabatan Pertanian yang anda boleh rujuk dalam tulisan saya sebelum ini (Sila klik disini). Antara beberapa isu penanaman ciku adalah mengenai kesukaran mendapatan benih ciku berkualiti, lambat berbuah dan juga harga pasaran tidak menentu. Artikel subuh Jumaat 1 Januari 2016 ini saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknik menyediakan anakbenih ciku melalui kaedah tut (marcotting) sebagai satu cara yang boleh dilakukan untuk kegunaan sendiri atau komersil.


Anak benih ciku untuk ditanam dikebun atau keliling rumah boleh didapati dengan cara membeli daripada nurseri swasta atau menyediakannya sendiri jika anda telah mempunyai pokok induk yang sesuai. Jika anda hendak membeli benih ciku daripada nurseri swasta pastikan membeli benih ciku tersebut adalah yang cukup umur, sihat, harga berpatutan dan paling penting adalah mendapat persijilan melalui Skim Pengesahan Benih Tanaman (SPBT) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian (Sila lihat foto disebelah). Terdapat kes-kes dahulu dimana petani inginkan membeli benih Ciku Mega C19 dengan harga yang mahal (Sekitar RM20.00 sepokok) tetapi apabila pokok itu berbuah sebenarnya ia bukan seperti diharapkan. Ciku memerlukan masa 3-4 tahun untuk berbuah bermakna petani sudah kerugian masa lama untuk dapat hasil varieti ciku yang diharapkan akhirnya amat mengecewakan. Pada penulis jika ada rakan atau jiran dikampong yang telah pun mempunyai pokok ciku dewasa dan kita boleh bersama membuat aktiviti mengetut pokok (marcotting) adalah cara terbaik untuk petani mendapatkan jaminan kualiti benih. Walau pun ada dikatakan kejayaan proses mengetut pokok ciku kurang memberangsangkan, kaedah ini menjamin benih 'true-to-type' yang sesuai dengan amalan pertanian baik.


Mengetut Ciku (Marcotting) atau pun sebutan di Indonesia dipanggil sebagai 'Pencangkokan' merupakan satu aktiviti menyediakan benih ciku cara yang terbaik. Asasnya adalah menyediakan peralatan dan bahan seperti pisau, sabut kelapa atau kertas plastik pembungkus, tali pengikat, kotak simpanan bahan, media atau tanah campuran subur dengan baja organik (1:1). Perlu disedia adalah dahan atau ranting ciku yang sesuai atau cukup tua untuk ditut. Lazimnya pilih dahan yang sesuai dimana ukuran dahan adalah sesuai besar, tidak terlalu muda atau tua, mempunyai kadar pertumbuhan yang baik, sihat, tidak cacat dan lurus. Selepas itu tentukan di mana untuk membuat keratan pada bahagian dahan yang licin. Buat dua keratan (hirisan) pada dahan tersebut secara melingkar dengan jarak antara 3 - 5 cm (Sila lihat foto disebelah). Buang kulit iaitu lapisan kambium pada dahan yang dikerat sebelumnya. Kikis kambium sehingga kebahagian kayu keras dan biarkan ia kering. Biarkan bekas keratan tersebut akan kering selama 3-5 hari. Waktu sesuai untuk menjalankan aktiviti mengetut pokok mengikut cuaca dan elakkan jika ia musim terlalu panas atau sewaktu hujan berpanjangan. Seseorang yang berpengalaman dan pernah membuat aktiviti ini berjaya mendapatkan benih dengan baik.


Proses seterusnya adalah menyapukan bahan penggalak akar yang ada dijual dipasaran. Antara bahan penggalak akar seperti Seraddix atau Rootone F yang perlu disapu kepada kikisan kayu. Kemudian diambil kepalan tanah campur dan dimasukkan kedalam plastik pembalut sebelum ditampalkan pada kawasan mengetut.  Dari pemerhatian dan pengalaman penulis juga mendapati cara membungkus (membalut) media tut dalam bentuk kertas plastik akan membolehkan akar tumbuh lebih cepat dari gunakan pembungkus dari bahan sabut kelapa. Sebaiknya diikat pembalut media tut pada bahagian bawah keratan dahulu. Letakkan media tanaman pada bahagian keratan kemudian dipadatkan untuk membentuk bulatan ± 6 cm tebal (Sila lihat foto disebelah). Setelah dipadatkan dan dibungkus maka ia perlu diikat dibahagian atas dulu atau hujungnya dengan kuat. Apa yang dilakukan seterusnya adalah membuat lubang kecil dengan mencucuk jarum pada lapisan kertas plastik. Setelah1.5 - 3.5 bulan lazimnya akar pokok ciku akan keluar dan dapat dilihat dengan jelas. Pembajaan dan penjagaan pokok induk perlu dilakukan dengan baik untuk tujuan pengakaran yang cepat. Kemudian dahan tut perlu dipotong dibahagian bawah kawasan tut dan ia bersedia untuk dialihkan ke dalam polibeg dalam tapak semaian. Aktiviti ini perlu dilakukan dengan teliti untuk mendapatkan peratus benih menjadi dengan tinggi.


Ditapak semaian perlu disediakan polibeg berdiameter antara 15-25 cm atau sesuai dengan ukuran keratan benih tut. Isi polibeg dengan media seperti campuran tanah dan baja organik (Kadar 1:1) sehingga mencapai setengah bahagian polibeg. Kemudan buka pembalut plastik benih tutu dan potong lagi bahagian dahan, ranting dan daun yang berlebihan untuk mengurangi proses pengwapan. Tanam benih kedalam polibeg iaitu di bahagian tengah agar pokok seimbang. Pastikan kita berhati-hati semasa menanam agar akar benih tidak tercabut atau rosak. Penuhkan polibag tadi dengan media tanaman sehingga cukup penuh dan ia kemudian dipadatkan perlahan-lahan dibahagian pangkal batang anakbenih tut. Siram anaksemaian selapas itu didalam polibeg dengan air bersih hingga cukup basah. Simpan polibeg di tempat yang teduh dan lembab dalam tapak semaian. Penjagaan anakbenih ini perlu dijalankan mengikut piawaian dan lazimnya setelah dialihkan 1.0 -1.5 bulan maka tunas-tunas baru akan keluar dapam polibeg. Pindahkan dan tanam anakbenih tut ini jika sesuai mengikut spesifikasi benih tanaman ciku. Benih yang sedia ditanam dibawa kekebun untuk ditanam.  Penanaman ciku dikebun secara monokrop adalah agak jauh disyorkan sekitar 10 meter x 10 meter untuk tanah yang datar dan pada tanah bercerun sesuai ditanam dengan jarak 7 meter x 8 meter dalam teres. Benih yang berkualiti akan memberikan hasil yang baik dan pertumbuhan yang sihat dan cepat. Semuga artikel ini mampu memberikan info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.
BENIH CIKU ...NAK BELI DIMANA....
BUAT SENDIRI...TUT NAMANYA...
SEDIA BAHAN... PILIH DAHANNYA...
DIMASUK POLIBEG... SESUAINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Aras 13, Desaminium Flora,
Taman Desaminium, Seri Kembangan,
Selangor, Malaysia.
(1 Januari 2016)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.