Friday, April 29, 2016

TANAM MAMAN PASIR

MAMAN PASIR (Cleome pentaphylla) merupakan sejenis tumbuhan renek yang tumbuh liar dikawasan belukar dan kebun secara semulajadi. Penulis dapati ada beberapa jenis maman yang sering dijumpai di Malaysia seperti Maman Biasa, Maman Pasir dan Maman Hantu. Apa pun tumbuhan pokok maman merupakan tumbuhan herba yang tumbuh menegak dan banyak cabang mampu hidup setinggi 0.5 m-1.0 m bergantung kepada umur, kesuburan tanah dan jenis. Daun maman pasir lazimnya berwarna hijau iaiu daun jenis kompaun yang ada 5 helai daun pada satu tangkai. Bunga maman pasir selalunya berwarna putih atau ungu yang terbentuk dihujung tangkai berukuran 1-2 cm panjang. Dalam penelitian penulis dibeberapa lokasi di Pahang, buahnya berbentuk panjang selinder dengan mengandungi banyak biji bersaiz 1 mm garispusat. Akar berbentuk akar utama dan akar serabut yang capai kedalaman sehingga 0.7-0.8 m. Kalau dulu orang kampung hanya mencari maman pasir dikawasan kebun terutama selepas musim hujan. kini telah ada usaha untuk menanam maman pasir dikeliling rumah atau dikawasan kebun sebegai satu sumber makanan. Cara menanam dan aktiviti penjagaan tanaman ini adalah cukup mudah dan ia boleh dilakukan oleh ramai orang. Mungkin ramai dikalangan masyarakat bandar dan generasi muda yang tinggal di bandar tidak pernah kenal apa lagi memakan sayur maman pasir.  Artikel tengehari Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" teknologi menanam maman pasir sekadar dijadikan bahan bacaan dan rujukkan. Saya ada menulis 5 artikel mengenai maman sebelum ini untuk dirujuk semua pembaca.

Menanam maman pasir amat mudah dilakukan dikawasan keliling rumah dan dikebun yang mempunyai tanah yang subur. Peringkat sedia kawasan untuk menanam maman pasir dikebun dengan menyediakan batas tanaman atau menanam didalam bekas khas menggunakan tanah atau media tanaman lain. Benih maman pasir mudah didapati daripada pokok yang telah matang dimana benihnya akan didapati dalam lengai yang telah kering. Keluarkan benihnya yang bersaiz halus berwarna hitam dan dikumpulkan (Sila lihat foto disebelah). Benih yang diambil daripada pokok maman pasir tua selalunya mempunyai kadar percambahan tingggi. Taburkan maman pasir pada permukaan tanah lembab dan biarkan ia tumbuh selepas beberapa hari setelah disiram air. Baja asas seperti baja organik diberikan sebelum menanam dimana ia adalah penting untuk pertumbuhan tanaman ini. Biarkan ia tumbuh dengan subur sebelum dituai daunnya untuk dijadikan bahan sayuran. Kajian beberapa saintis menyatakan kandungan zat pemakanan maman pasir bagi setiap 100 gram adalah air (90 g), Protin (3.9 g), Lemak (0.3 g), Karbohiderat (3.6 g), Serat (0.8 g), kalsium (250 mg), Fe (10 mg), Karotin (7 mg), Vitamin C (131 mg) dan tenaga 137 kilojoule (kJ). Tumbuhan ini sering dilihat ditepi-tepi jalan atau diatas ban sawaah padi, ban parit ladang dan tanah ditebing sungai sebenarnya kini boleh ditanam sendiri jika ada kemahuan. Tumbuhan ini dari beberapa pemerhatian penulis didapati amat tahan kepada keadaan kemarau tetapi tidak tahan jika ditenggelami air. Keupayaan tumbuhan ini yang membesar dan membiak cepat sepanjang tahun menyebabkan ianya dianggap sebagai 'Rumpai' bukannya 'sayuran' dikalangan petani.

Laporan Statistik oleh Jabatan Pertanian menunjukkan, tanaman maman  termnasuk maman pasir dan maman hantu paling banyak diusahakan di Negeri Sembilan (dilaporkan ada seluas 37 hektar CHE) pada 2010 dengan penghasilan sebanyak 122 metrik tan. Sama ada laporan ini dipercayai atau tidak tetapi ia telah dimasukkan dalam laporan ststistik tahunan Jabatan Pertanian. Sebenarnya apakah khasiat maman masir yang semakin popular dimakan jika dibandingkan dengan khasiat daun pengaga atau daun meranti?. Penulis juga dapati belum ada varieti tumbuhan maman pasir yang didaftarkan dalam 'National Plant Variety Listing' walau pun penulis dapati ia boleh dikelaskan dengan warna batangnya. Kini maman pasir juga boleh dibezakan antara Batang Hijau dan Batang Kemerahan atau dikelaskan dsebagai Bunga Kuning atau Bunga Putih. Penulis bagaimana pun lebih kerap menjumpai jenis bunga putih dikawasan kebun (Sila lihat foto disebelah). Apa yang saya pasti daun maman pasir jika dimakan mentah adalah mempunyai Rasa Pahit. Oleh itu kebanyakan maman perlu dimasak atau diproses dahulu sebelum dimakan. Banyak resepi untuk memakan sayur daun maman kerana daun ini memang telah dijadikan sayuran eksotik semenjak dulu oleh penduduk kampong. 

Bahagian daun maman pasir yang berwarna hijau dan lembut dipetik untuk dijadikan bahan sayuran (Sila lihat foto disebelah). Tanaman sendiri dikeliling rumah yang dibaja dan disiram selalu membolehkan kita memetik hasil mengikut suka. Daun ini dipetik dan dimasukkan dalam bakul sebelum dibasuk dan dimasak mengikut resepi kegemaran masing-masing. Terdapat dakwaan iaitu jika kita mengamalkan penggunaan biji maman berlebihan, ia boleh boleh mengakibatkan angin dalam perut dan usus pula mengelegak atau kita sakit perut akibat angin. Bagaimana pun penulis merujuk kepada buku Karangan C.H. Ching mengenai khasiatnya dimana ia ada menyatakan iaitu jika biji atau daun diirebus dan air rebusan biji ini diminum maka ia boleh dijadikan ubatan luaran bagi merawat buasir dan reumatisme. Lebih menarik lagi adalah jika air rebusan tersebut diminum, ia didakwa mampu bagi merawat gonorea dan cirit-birit (berlendir atau berdarah). Ekstrak biji pokok maman boleh dijadikan racun serangga. Daun maman yang dipetik kemudian ia dihancurkan dan disapu atau digosok atau diletakkan pada bahagian belakang pinggang boleh menghilangkan rasa sakit. Inilah diantara info khasiat daun maman yang boleh dibuat rujukkan.

Maman Pasir sama seperti maman lain merupakan sejenis sayuran yang memang mempunyai rasa PAHIT. Orang kampong dakwa yang pahit itu UBAT dan ini menjadikan sayur maman perlu dimasak dahulu untuk dimakan. Ia perlu dicelur dahulu sebelum dimasak sebagai sayur masak lemak (Sila lihat foto sebelah) atau dicampur dengan bahan seperti dengan Ikan Bilis, Daging atau pun ada juga yang buat sebagai Rendang Maman. Kalau saya di Muar dulu, arwah ibu hanya memasak sayur maman pasir dengan cara menumis sahaja bersama cili api, santan kelapa, ikan bilis dan ramuan lain yang dimakan dengan nasi masih panas. Khasiat maman pasir juga banyak terdapat daripada bahagian pucuk, daun, biji dan bahagian akarnya. Beberapa rujukkan mendakwa yang akar maman yang direbus baik untuk kulit yang kekurangan Vitamin C. Biji maman yang ditumbuk halus, kemudian ia direbus dan diminum dengan air sangat sesuai untuk mengeluarkan 'Angin' dari dalam perut. Ini memang kena cuba kerana ianya sangat berkesan. Banyak kajian berkaitan tumbuhan ini yang perlu dibuat oleh saintis sebagai sejenis tanaman yang boleh ditanam sendiri dirumah untuk kegunaan sendiri. Wasallam!.
TANAM MAMAN... MUDAH SAHAJA...
MAMAN PASIR... SEJENIS BIASA...
DAUN DIPETIK... DIMASAK ENAKNYA...
BACA ARTIKEL... NAK TANAM PULA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Teknologi Hijau,
KM 26.5, Paloh Hinai,
Jalan Segamat-Kuantan,
Pekan, Pahang,
Malaysia.
(15 JamadilAkhir 1437H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.