Wednesday, April 27, 2016

KEMARAU - KESAN PADA TANAMAN 2016

KEMARAU DAN SUHU PANAS 2016 yang berlaku semasa artikel ini ditulis adalah pada tahap yang terkesan kepada sektor pertanian. Ada dilaporkan secara tidak rasmi melalui facebook, twiter, wasap group malahan media TV mengenai kesan kemarau yang agak panjang berlaku. Dibeberapa kawasan seperti di Daerah Jerantut, Pahang ada beberapa sekolah terpaksa ditutup akibat cuaca panas hingga mencecah 38-39 darjah Celcius yang dikatakan boleh menyebabkan 'heat stroke' mengikut laporan akhbar tempatan. Berita TV3 menyatakan dimana suhu di negara jiran seperti daerah Kanchanaburi, Thailand pula lebih tinggi sekitar 42-43 Celcius dengan kemarau lebih teruk lagi. Ia menyebabkan banyak kesan kepada banyak sektor sehingga tanaman banyak yang musnah dinegara tersebut. Fenomena kemarau yang panjang semenjak Januari dengan suhu tinggi ini dijangka berlanjutan sehingga pertengahan tahun atau bulan Jun. Fenomena seperti ini pernah dilaporkan pada tahun 1996/1997 dengan suhu dicatitkan di Perlis mencecah setinggi 41 Celcius. Kemarau yang panjang dan cuaca panas amat menjelaskan banyak aktiviti pertanian terutama untuk penghasilan tanaman makanan seperti tanaman sayuran, tanaman kontan dan tanaman padi. Pokok saka seperti jenis tanaman buah-buahan juga terjejas walau pun kesannya tidak dilihat nyata seperti tanaman jangkapendek. Kesan apa yang dikatakan sebagai 'El-Nino Effect' ini telah mula dibincangkan diperingkat kebangsaan dan peringkat global yang berkait dengan 'Global Warming'. Adakah negara kita akan terus mengalami kesan El-nino ini dengan tahap lebih teruk akan berlaku dan membimbangkan dimasa akan datang?. Penulis yang juga sempat membuat tinjauan akan kesan kemarau dan suhu tinggi ini tahun ini sempat  juga membuat beberapa pemerhatian fenomena ini terhadap pertumbuhan dan kemusnahan yang berlaku melalui lawatan pemantauan, temubual dengan petani dan membaca laporan umum. Kesan kemarau panjang dan suhu tinggi yang kini berlaku pada tahun ini dijangka mengurangkan hasil pengeluaran makanan negara sehingga 10-15% dari segi kuantiti, nilai dan juga kualiti. Artikel dalam "Anim Agro Technology" kali ini saya menulis mengenai kesan kemarau dan suhu tinggi terhadap tanaman sekadar satu analisa dan pendapat saintifik sahaja. 


Dalam meninjau kesan kemarau terhadap tanaman betik (Carica papaya) memang amat mudah dilihat kesannya. Penulis sempat melawat projek tanaman betik di projek bersepadu iaitu Agropolitan Chemomoi, Bentong, Pahang dimana ada seluas 84 ekar tanaman betik sekaki sedang berhasil. Ada juga beberapa projek tanaman betik di Batu Pahat, Segamat dan di Sungkai, Perak dimana dilaporkan kesan sama terhadap kesan kemarau terhadap tanaman ini. Pokok betik yang mengalami kemarau dan kurang air akan meyebabkan bunga serta putik gugur (Sila anda lihat foto disebelah). Ini kerana jika kesan kekurangan air khususnya pada tanaman betik memang paling mudah menunjukkan 'kawasan kosong' pada kawasan buah pokok tersebut. Bagaimana pun jika kawasan tanaman betik ini mempunyai sistem pengairan baik maka kejadian ini kurang atau tidak berlaku dimana putih bunga, putik dan buah betik akan seragam dan sekata susunannya. Beberapa ladang betik yang ada dipasang dengan sistem pengairan juga kini ada masaalah apabila sungai atau kolam takungan air menjadi kering kontang. Ini kerana hampir lebih 100 hari tidak ada hujan turun dikawasan penanaman betik ini. Kolam air yang dipam terpaksa dikawal kerana 'replenish' air dalam kolam amat berkurangan dan perlahan.


Tanaman padi dikawasan sawah padi sama ada didalam jelapang padi atau luar jelapang padi juga terjejas. Kawasan luar jelapang padi atau luar skim pengairan paling mudah terjejas dengan kejadian kemarau panjang ini yang menganggu pertumbuahan tanaman padi. Beberapa skim sawah yang penulis sempat melawat seperti di IADA Pekan dan IADA Rompin didapati kadar pertumbuhan padi terjejas kerana kekurangan atau tiada air dalam sawah. Bagi kawasan padi yang ditanam pada Januari dan Awal Febuari terjejas dengan lebih teruk kerana ia telah membantutkan kadar pertumbuhan dan ada beberapa lokasi yang telah tanamannya hampir musnah (Sila anda lihat foto disebelah). Beberapa kawasan tanaman padi di Negeri Sembilan juga telah terjejas dengan serius. Tamanan padi memerlukan air, baja, benih dan kawalan rumpai yang mencukupi untuk mendapatkan hasil optima.  Tanaman Padi (Oryza sativa) adalah tanaman penting dinegara kita yang perlu di tanam kerana beras adalah makanan ruji rakyat Malaysia dengan kadar kecukupan (SSL) sekitar 70%. Kesan kemarau boleh menyebabkan pengeluaran padi terjejas jika tidak diambil tindakan sesuai. Antara beberapa langkah yang perlu dijalankan adalah seperti pesawah perlu menjadualkan semula jadual tanaman padi, menambah pam air untuk penghantaran air dan amalan lain yang sesuai. Beberapa skim pengairan juga menyusun jadual agihan air mengikut keperluan pesawah.


Tanaman kontan seperti Jagung (Zea mays) juga antara yang mudah terjejas akibat kesan kemarau panjang dan suhu yang tinggi. Dalam beberapa laporan, beberapa kawasan aktiviti penanaman jagung manis di Pahang, Melaka, Perak dan Perlis didapati pokok jagung terjejas pertumbuhannya malahan dibeberapa lagi kawasan 'extreme' pokok jagung mati. Projek tanaman jagung manis di Projek Bumi Hijau, Rumah Awam Bera, Pahang penulis meninjau dan memeriksa dimana kolam dan sungai berhampiran telah kering dan beberapa orang petani menggunakan air paip untuk meneruskan aktiviti. Beberapa batas yang tidak mendapat air didapati pokok jagung kering dan seakan hampir mati akibat kes kemarau panjang yang dialami tahun ini (Sila lihat foto disebelah). Tanaman jagung amat sensitif dengan kesan kekurangan air dimana ia menyebabkan pokok terencat pertumbuhannya, buah tidak berkualiti dan akhirnya pokok mati (tanaman baru). Daripada laporan Jabatan Pertanian Johor iaitu di Kelompok Bt 18, Sengkang, Ledang, Johor kesan kemarau ini dapat diatasi dengan pemasangan Sistem Pengairan Telaga Tiub yang dipadang pada tahun 2015. Ini telah membolehkan aktiviti tanaman jagung, sayuran daun dan sebagainya terus dapat dilakukan dengan baik. Telaga tiub dalam (deep tube well) didapati mampu mengatasi masaalah kemarau dimasa akan datang dan ianya perlu dimenafaatkan penggunaannya.


Terdapat juga petani yang menanam pokok kelapa MATAG (Cocos nucifera) dimana hampir 80% mati akibat kemarau panjang seperti apa yang dilaporkan berlaku di Kg. Baharu, Daerah Jerantut, Pahang. Menurut petani Encik Ismail, pada hujung 2015 dan awal 2016 sebanyak 3 pokok kelapa Matag telah dilaporkan mati kerana ditenggelami air akibat banjir. Kemudian beliau pohon kepada pihak JPS untuk mendalamkan parit yang semakin cetek tetapi tidak dijanka pada bulan April ini cerita lain terjadi dimana lebih banyak pokok kelapa matag ini mati akibat kekeringan (Sila lihat foto disebelah). Benih kelapa matag bantuan Jabatan Pertanian kini berumur 7 bulan didalam kebun dan nilai benih semasa adalah RM30.00 sepokok. Nilai kerugian dialami beliau mencecah ribuan ringgit dengan hampir 60 pokok diterima (Kos benih sahaja RM1,800.00) dan lebih tinggi lagi jika dicampur dengan kos penyediaan kawasan, bahan input pertanian dan lain-lain. Kesan kemarau dan suhu panas amat dirasakan petani ini dimana tanaman pisang diantara pokok kelapa matag ini juga hampir mati. Ramai lagi penanam kelapa yang baru menanam kelapa kerugian akibat kesan kemarau seperti di Melaka, Perak dan beberapa lokasi lain. Kesan kemarau panjang dan suhu tinggi dimasa ini amat terasa dikalangan semua pihak. Penulis juga melawat ke Kg Bangau Parit di Daerah Temerloh dimana Menteri Pertanian melawat kesan kemarau terhadap projek ikan sangkar terutama Ikan Patin (Sila klik disini). Dalam taklimat tersebut dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Perikanan seramai 96 pengusaha ikan sangkar kerugian sekitar RM435,000 apabila sangkar ikan rosak akibat air dalam sungai kering. Semuga anda mendapat info berguna selepas membaca artikel ini. Wasallam!.
KESAN KEMARAU.... AMAT DIRASA...
SUHU TINGGI... ADOI PANASNYA...
PERTANIAN TERJEJAS...DIANALISA...
BACA ARTIKEL... KEMUDIAN TANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Kelapa MATAG,
Kg Baharu, Jerantut,
Pahang, Malaysia.
(23 Rejab 1437H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.