Saturday, April 16, 2016

BUNGA TUNERA - KENAL DIA

BUNGA TUNERA atau Bunga Pukul Lapan (Turnera ulmifolia L.) yang juga dikenali dengan nama pokok bunga Lidah Kucing (bahasa Jawa) adalah spesis tumbuhan dari keluarga Passifloraceae. Tumbuhan ini dilaporkan adalah natif dari negara tropika termasuk Mexico, Asia Tenggara dan juga Hindia Barat. Bunga Tunera selalunya ditanam dikawasan sekeliling rumah, ditaman-taman bunga atau kawasan riadah kerana kecantikkan warna bunganya yang menarik. Dua jenis bunga tenera yang popular di Malaysia adah jenis Tunera Kuning dan jenis Tunera Putih. Dalam usaha kita hendak mengenali tanaman renek ini sebaiknya kita ingin tahu akan apakah tumbuhan ini, kelebihannya serta kegunaanya. Selain darpada ditanam untuk memperlihatkan bunga yang cantik, didalam dunia perubatan didakwa air rebusan akar tumbuhan bunga tunera ini ada gunanya. Air rebusan ini didakwa sesuai untuk digunakan bagi mengatasi masaalah seperti rematik sendi atau kes bengkak. Dalam pada itu pengamal perubatan tradisional juga didakwa jika ada bengkak yang disebabkan kurang selesa. Tumbuhan ini berpotensi sebagai antibiotik berdasarkan kepada beberapa kajian klinikal yang dilakukan pada tahun 2009 terhadap patogen dikenali sebagai Staphylococcus aureusresisten-metisilin yang menyembuhkan penyakit disebabkan olehnya. Dalam dunia ternakan lebah dan kelulut pula tumbuhan yang berbunga ini menghasilkan nektar dan debunga yang digemari oleh serangga tersebut. Ia disenaraikan sebagai salah satu bunga yang sesuai ditanam untuk membekalkan makanan kepada dunia perlebahan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Bunga Tunera sebagai satu usaha untuk memberikan info kepada pembaca setia blog ini.


Pokok bunga tunera ini merupakan tumbuhan jenis renek yang cepat membesar. Penulis mendapati tunera selalunya tumbuh meliar di tempat terbiar terutamanya tepi pantai dan kawasan tanah belukar. Bagaimana pun jika ditanam ia mudah dikelanli dengan bentuk bunganya dan juga daunnya. Lazimnya bunga tunera akan mula untuk berkembang lehih kurang pada waktu 8 pagi dan menguncup semula selepas waktu tengah hari dan ia berlaku setiap hari sehingga bunga tersebut matang dan gugur. Bunga tunera mempunyai sebanyak 5 kelopak bunga yang membentuk satu bulatan yang seni. Bunganya berwarna putih dengan dibahagian tengahnya ada sedikit kuning dan kehitaman (Sila anda lihat foto disebelah). Bagaimana pun ada spesis yang berwarna kuning muda dengan warna gelap coklat di bahagian tengah yang juga kontrast apabila dilihat dari jauh. Jika diteliti mengenai komponen daunnya akan dilihat ia selalunya berbentuk bujur dan tepinya dilihat seakan bergigi. Daun yang berwarna hijau ini mempunyai permukaan lai daun agak licin dan rata.


Kaedah Pembiakan bunga ini dilakukan dengan cara keratan batang atau pun keratan dibahagian hujung batang yang diletak dalam air. Kemudian keratan ranting tersebut yang berdaun akan diletak hormon penggalak akar. Seterusnya keratan tersebut pelu diletak dalam media nurseri seperti gunakan medium pasir sungai atau juga tanah. Dikawasan nurseri ini semestinya bersaliran baik dan sedikit berpasir. Anak benih tunera boleh ditanam dengan jarak tanaman 1m x 1m mengikut kesesuai kawasan dan tujuan penanaman dimana kawasan menerima sinaran cahaya yang agak banyak. Pengairan awal perlu dilakukan dengan menyiram 2 kali sehari dan diberikan baja dengan kekerapan seminggu sekali bersama dengan baja asas seperti NPK15:15:!5 bersama baja organik atau boleh diaplikasikan dengan baja foliar. Apabila pokok sudah mula membesar sebaiknya dilakukan aktiviti mencantas terutama untuk cantasan pembentukkan. Cantasan dilakukan juga terhadap pokok tunera yang terlalu tinggi agar nampak cantik jika ketinggiannya sama. Cantasan ini dilakukan juga untuk menggalakkan pertumbuhan tunas dan ranting baru. Cantasan akan menggalakkan pokok tunera akan banyak mengeluarkan bunga dan akan membentuk pokok menjadi lebih kemas.

Bunga tunera diminati oleh serangga terutama lebah dan kelulut untuk mendapatkan nektar dan debunga (Sila lihat foto disebelah). Tumbuhan ini termasuk dalam tumbuhan yang sesuai ditanam dikawasan penternakan lebah dan kelulut. Seterusnya kalau anda sering memperhatikan ladang-ladang kelapa sawit disepanjang laluan utama jalanraya di Malaysia, anda akan nampak bunga tunera ini ditanam ditepi jalan-jalan ladang utama ladang kelapa sawit. Ia sengaja ditanam oleh pihak estet kelapa sawit sebagai sumber makanan kepada sejenis ulat yang merosakkan kelapa sawit. Saya dapati dengan adanya tumbuhan ini ulat tersebut akan mempunyai sumber makanan tersendiri dimana ini dapat mengelakkan pokok kelapa sawit dari serangan ulat tersebut. Dalam laporan lain saya dimaklumkan bahawa tanaman bunga tunera ini dapat menghalang serangan babi hutan (wild boar) kerana bau yang dikeluarkan bunga ini memang babi hutan tidak suka. Bagaimana pun dakwaan ini belum dibuktikan secara saintifik lagi. Bunga ini sesuai ditanam ditepi-tepi kebun yang berkemungkinan babi hutan suka datang untuk memusnahkan tanaman. Saya beberapa kali terserempak gerombolan babi hutan di Johor dan Pahang ditepi kebun iaitu 'babi lapar' memang tidak peduli pun dengan kehadiran kita. Ini kerana babi hutan tersebut hanya 'menjeling sahaja' kita yang datang tetapi kalau kita membawa senapang, satu kilometer kita belum sampai dilokasi dia sudah lintang pukang bersembunyi. Begitulah kisah bunga tunera atau bunga pukul lapan untuk anda kenali dari penulisan ini. Wasallam!.

BUNGA CANTIK... BUNGA TUNERA...
WARNA PUTIH... KUNING PUN ADA...
KERATAN BATANG...BENIH DISEDIA...
KELULUT DAN LEBAH... AMAT SUKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jeti Kuala Besut,
Besut, Terengganu,
Malaysia.
(25 JamadilAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.