Thursday, March 10, 2016

BUNGA CUCUR ATAP - ADA NEKTAR

POKOK CUCUR ATAP (Beackea frustecens) atau dipanggil orang tempatan sebagai 'Corong Atap' banyak tumbuh meliar terutama dikawasan tanah bris pesisir pantai iaitu dibeberapa negeri seperti di Pahang, Terengganu dan Kelantan. Tumbuhan yang lazimnya renek daripada keluarga Melastomaceae ini lebih dikenali kerana ia merupakan satu pilihan terbaik untuk dijadikan 'Tanaman Bonsai'. Bagaimana pun penulis lebih berminat untuk membincangkan tumbuhan cucur atap ini didalam aspak sebagai sumber makanan yang baik untuk aktiviti penernakan lebah madu dan Kelulut (Trigona spp). Daripada tinjauan penulis dibeberapa lokasi pesisir pantai di Pahang dan Terengganu baru-baru ini mendapat tumbuhan renek dalam kategori herba ini sebenarnya amat banyak bunganya sehingga beberapa pohon dilihat lebih banyak bunga daripada daun. Dengan menggunakan Kamera Canon E6 penulis dapat 'shot' yang baik begaimana rupabentuk bunga cucur atap yang ketika itu sering dikunjungi oleh kelulut dan semut (Sila lihat foto paling atas sekali). Menurut seorang rakan yang pakar dengan tumbuhan ini, lazimnya bunga cucur atap dari pokok dewasa akan keluar dengan banyaknya daripada bulan Febuari sehingga Ogos setiap tahun. Pada masa inilah banyak Lebah Tualang (Apis dorsata), Lebah Keran (Apis cerana), Lebah Import (Apis mellifera), Kelulut (Trigona itama atau Trigona thoracica atau Trigona spp), Tabuan (Vespa tropica tropica), Kerengga (Oceophylla smaradgina) yang akan datang mengerumuni bunga tersebut untuk mencari makan. Kadang-kadang beberapa spesis burung juga hadir didahan pokok cucur atap untuk menyedut manisan. Bilangan atau jumlah bunga yang banyak ini membolehkan pokok cucur atap sesuai di pelihara dan jangan ditebang jika ada aktiviti menternak kelulut atau lebah madu. Malahan penulis amat menggalakkan menanam pokok ini jika belum ada ditanam dikawasan sekitar penternakan kelulut. Artikel petang Ahad ini dsambil berehat dirumah, saya menulis dalam blog yang dikunjungi seramai lebih dari 250,000 orang sebulan iaitu blog "Anim Agro Technology" mengenai sejenis tumbuhan dinamakan Cucur Atap yang selalunya tumbuh liar yang banyak bunga dan sesuai dijadikan sumber makanan ternakan lebah dan kelulut.


Pokok Cucur Atap merupakan sejenis pokok kecil atau pokok renek tetapi jika dibiarkan ia mampu tumbuh dengan ketinggian melebihi 6 meter (hampir 20 kaki tingginya). Ia mempunyai batang pokok dan dahan serta ranting yang amat keras. Penulis juga dapati ia mempunyai kulit batang yang berwarna kelabu dengan keadaan merekah dan berlurah. Pokok yang habitat asalnya tumbuh diatas tanah bris berpasir ini bagaimana pun ada yang tumbuh secara individu tetapi lazimnya berkumpulan (Sila lihat foto disebelah). Ia didapati mempunyai jenis akar yang agak dalam dan tegap menyokong pokok agar tidak tumbang. Bagi tujuan membuat Bonsai, pokok ini akan digali bersama tanahnya agar akarnya tidak rosak dan dimasukkan dalam pasu bonsai. Memang ramai orang dahulu berkata untuk 'menjadikan' pokok cucur atap ini sebagai pokok bonsai memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi dan kesabaran serta skill khusus. Aktiviti penjagaan pokok bonsai cucur atap ini rumit dimana aktiviti penyiraman dilakukan dengan cermat dan berhati-hati agar tidak berlebihan. Batang dan daun pokok Cucur Atap juga perlu dibasahkan mengikut jadual dan keperluan. Siraman perlu dibuat dua kali sehari dimana waktu yang sesuai untuk penyiraman adalah pada sebelah pagi atau selok-eloknya sebelum jam 11 pagi dan di antara jam 3.30 petang hingga 7 malam untuk siraman kedua. Elakkan sama sekali penyiraman pada waktu tengahari kerana ia menganggu pertumbuhan pokok bonsai jenis ini. Tempatkan pohon bonsai Cucur Atap di panas terik matahari kerana pokok ini memerlukan 100% cahaya matahari. Bonsai Cucur Atap mampu hiidup lama sehingga puluhan tahun namun ada di antara kita yang masih ragu dan sukar untuk percaya.


Pokok Cucur Atap mempunyai saiz daun yang kecil atau halus seperti jarum yang tajam. Semasa penulis membuat aktiviti pemeriksaan dan tunjukajar kepada petani, jari penulis tercucuk daun yang tajam ini dan menyakitkan (Sila lihat foto disebelah). Susunan daun pula adalah bertentangan (Opposite arrangement) dan apabila ia diramas akan keluar aroma yang agak kuat. Bunganya apa yang saya teliti adalah bersifat Tunggal (Single) atau Berpasangan (Paired). Bunga yang kecil ini penulis dapat lihat dengan menggunakan kanta pembesar dimana ia berwarna putih kelopaknya dan ada gelang hijau dibahagian tengahnya yang kemudian bertukar kepada kemerahan. Bunga yang banyak ini akan didebungakan oleh serangga yang berkunjung kepada setiap bunga untuk menyedut manisan nektar seperti semut dan kelulut. Daun pokok cucur atap secara tradisinya adalah merupakan sejenis herba yang dibuat sebagai 'teh herba' dimana ia didakwa mampu menyembuhkan demam, akntibakteria dan juga melancarkan peredaran haid bagi wanita. Laporan lain juga mendakwa herba ini digunakan untuk merawat sakit kepala, demam campak, selsema dan terkini mampu merawat serangan H1N1. Apa pun cara untuk mengambilnya amat mudah iaitu dengan mengasapkan pesakit dengan kaedah pembakaran daun cucur atap kering atau menghidu wap air rebusan daun cucur atap. A,alan ini bagaimana pun perlu dilakukan dengan nasihat yang betul. Minyak pati daun cucur atap boleh diekstrak dengan mesin khusus dan ia amat berharga.


Bunga pokok cucur atap amat disukai oleh kelulut yang diternak berhampiran pokok tersebut. Penelitian penulis mendapati beberapa ekor kelulut akan hinggap pada bunga yang berwarna putih ini untuk sedut nektar (Sila lihat foto disebelah). Walau pun saiz bunga cucur atap agak kecil tetapi bilangan setiap ranting yang melempai kebawah amat banyak sekali. Bau dan aroma madu asli yang dihasilkan dari kawasan pokok akasia dan pokok cucur atap memberikan kualiti madu yang berkualiti. Penulis juga meminta beberapa penternak untuk menanam pokok cucur atap bersama beberapa tanaman sumber makanan yang lain seperti pokok bunga air mata pengantin (Honolulu creepers), Bunga Tunera (Tunera spp) dan juga beberapa jenis yang lain. Walau pun tumbuhan cucur atap atau corong atap ini dahulu tidak dipedulikan tetapi kini ia didapati sesuai untuk dijadikan tumbuhan membekalkan nektar dan debunga kepada industri ternakan kelulut. Ia juga dijadikan tanaman bonsai dan juga digunakan sebagai sejenis herba untuk merawat beberapa masaalah kesihatan. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada anda semua. Doakan yang terbaik kepada penulis blog ini untuk terus berkarya dalam menulis teknologi pertnian untuk negara. Wasallam!.
Penulis sedang memberi penerangan mengenai bunga cucur atap.
NAMA CUCUR ATAP... LIAR HIDUPNYA...
'CORONG ATAP'... ITU NAMA LAINNYA...
SETIAP RANTING....BANYAK BUNGA...
DISUKAI KELULUT...MADU HASILNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pesisir Pantai Sg Baging dan Cherating,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(28 JamadilAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.