AMALAN PERTANIAN BAIK (Good Agriculture Practices) atau APB merupakan satu kaedah pertanian yang kini dijenamakan semula sebagai MyGAP. Amalan APB boleh dilaksanakan untuk semua jenis tanaman sama ada tanaman buah-buahan, sayur-sayuran, padi, herba, kontan dan sebagainya. Amalan Pertanian Baik perlu dilakukan oleh pesawah bagi menghasilkan padi berkualiti. Pesawah perlu mengikuti Amalan Pertanian Baik dalam penanaman padi untuk mendapatkan hasil yang berkualiti terutama untuk mempastikan bekalan beras dalam negara terjamin selamat dan mencukupi. Walau pun pada masa ini kadar kecukupan beras negara sekitar 70% (SSL) tetapi beras yang dihasilkan dalam negara melalui 8 buah jelapang padi perlu terus untuk dipertingkatkan. Antara amalan itu ialah dengan memastikan kesesuaian tanah, infrastruktur ladang yang mencukupi, penggunaan benih padi sah, menyediakan tanah sawah yang sempurna dan menggunakan varieti yang disyorkan. Petani juga harus menanam mengikut jadual, mengawal paras air berdasarkan pertumbuhan anak pokok, mengawal perosak dan penyakit, kawalan rumpai, membaja dengan tepat serta mengawasi aktiviti penuaian. Jabatan Pertanian merupakan pelaksana dalam persijilan Amalan Pertanian Baik melalui skim MyGAP yang boleh diikuti oleh semua pesawah secara sukarela. Mereka yang mendapat sijil MyGAP berupaya menghasilkan hasil padi yang berkualiti seperti dikehendakki. Artikel malam Sabtu ini daripada Aras 13, Kondominuim Flora, Selangor, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai amalan pertanian baik dan kelebihannya untuk dijadikan bahan bacaan dan juga rujukkan.
Sebenarnya apa yang penulis faham selepas berkursus MyGAP, terdapat 11 langkah yang mesti dipatuhi dalam Amalan Pertanian Baik untuk tanaman padi. Langkah awal yang penting ialah memastikan tanah benar-benar sesuai meliputi kesesuaian pH tanah antara 5.5 - 6.5. Jika tidak maka aktiviti pengapuran harus dilakukan. Pengapuran dibuat untuk memperbaiki nilai pH tanah menggunakan GML atau bahan lain. Infrastruktur dalam sawah perlulah berfungsi dengan baik dan diselenggara termasuk pintu air serta parit buang. Petani harus menggunakan benih padi sah yang berkualiti dan diperakui oleh Jabatan Pertanian mengikut standard dan prosedur (SJPM). Gunakanlah benih padi dengan kadar yang bersesuaian dan mesti mengikut kaedah penanaman. Pilih varieti padi mengikut kesesuaian tanah dan keadaan setempat. Varieti yang rintang dan tahan penyakit antara faktor kritikal pemilihan varieti padi berkualiti selain melihat kepada potensi hasil padi serta masa matang yang singkat. Pemilihan varieti yang sesuai dengan jenis tanah dan lokaiti dipilih seperti MR219, MR220, MR263 dan sebagainya.
Sebaiknya sebelum penanaman padi dimulakan maka tanah sawah perlu disediakan dengan sempurna dan mengikut spesifikasi betul. Lakukan tiga kali membajak untuk mendapatkan saiz purata ketulan tanah yang baik (±3cm) dan laksanakan perataan tanah (merata ±5cm) untuk mendapatkan agihan air yang sekata bagi mengawal rumpai, mempercepatkan percambahan dan proses penampakan (Sila lihat foto disebelah). Tanam padi serentak mengikut jadual, kesesuaian jadual air setempat atau sesuatu kawasan (skim pengairan). Pesawah perlu mematuhi jadual tanaman yang telah dibuat dan ikuti rice-check tanaman padi yang telah disyorkan sepenuhnya. Jika keadaan cuaca berubah seperti berlaku kemarau atau sebagainya maka petani perlu membuat persediaan awal sebelum bertanam dan rancang jadual tanam mengikut jadual air atau musim hujan. Perkara asas dalam menanam padi adalah menanam mengikut jadual tanaman yang disediakan oleh pihak berkuasa. Mengawal paras air mengikut umur pokok sangat penting untuk memastikan padi masak sekata. Pada peringkat awal beranak, paras air 5cm dan peringkat pembentukan tangkai paras air 10cm. Sebelum penuaian dilaksanakan, air sawah dikeringkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum menuai. Jika tidak, tanah basah (lembap) akan merosakkan hardpan dan menyukarkan operasi penuaian serta meningkatkan peratusan kotoran dan wap basah. Pastikan infrastruktur pengairan dan saliran berfungsi dengan baik dan diselenggara oleh JPS.
Didalam menguruskan tanaman padi amalan kultura yang kritikal di sawah adalah pengurusan penyakit dan perosak. Gunakan kadar racun yang dibenarkan mengikut syor dilabelkan, racun yang berdaftar dan meracun pada masa yang sesuai untuk kesan yang lebih baik. Lakukan amalan ramalan dan tinjauan sekiranya ada tanda-tanda serangan di kawasan sekitar untuk mencegah awal. Amalan pengurusan perosak bersepadu juga perlu diperluaskan untuk menjamin alam sekitar yang berkualiti dan sihat selain menghasilkan padi berkualiti serta selamat dimakan. Tinjauan dan kawalan penyakit atau perosak pelu dilakukan dengan mengawasi aktiviti penuaian, jangan biarkan operasi penuaian diserahkan sepenuhnya kepada operator jentuai. Padi yang hendak dijadikan beras perlu dituai mengikut masa yang sesuai iaitu 85 peratus masak, jika lewat dituai iaitu melebihi 100 peratus, padi mungkin menjadi rosak. Menuai pada waktu kering dan elakkan waktu hujan atau malam kerana wap basah yang tinggi akan meningkatkan peratusan padi rosak. Kawal kelajuan jentuai dan putaran pisau agar tidak terlalu laju sehingga banyak hampa dan bendasing atau sampah dituai bersama padi.
Padi masak dan sedia untuk dituai mestilah mengikut jadual yang disusun. Lazimnya hasil tuaian perlu dihantar ke kilang dalam tempoh 24 jam sekiranya lewat dikhuatiri pengumpulan wap basah akan meningkat dan padi menjadi rosak. Guna pengangkutan (lori) sesuai yang berkanvas, tidak bocor dan bertutup untuk mengelakkan hasil tuaian terdedah kepada persekitaran kotor dan lembapan. Petani perlu hadir sama semasa proses jualan padi bagi mengelakkan salah faham dan mendidik petani mengenai kesedaran kepatuhan terhadap pemutuan padi di kilang. Orang ramai yang berminat untuk menyertai Program Tanah Terbiar, boleh terus menghubungi Pejabat Pertanian Daerah yang berdekatan. Wasallam!.
MENANAM PADI... MyGAP DIAMALKAN...
BENIH BERKUALITI... VARIETI TETNUKAN...
BERIKAN BAJA... PENYAKIT KAWALKAN...
HASIL TINGGI.. MENJADI SASARAN...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Aras 13, Kondominium Flora,
Seri Kembangan, Selangor,
Malaysia.
(18 JamadilAkhir 1437H).
Kemaskini pada 25 Jamadilawal 1444H.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.