Thursday, February 4, 2016

TANAH (Part 1)

TANAH (Soils) merupakan satu lapisan paling atas pada permukaan bumi. Ia mempunyai lapisan yang berbeza dari segi ketebalan dan warna yang dipengaruhi oleh iklim, topografi, bahan induk, tumbuhan asal dan masa. Dalam keadaan semulajadi lapisan tanah bolehh dikelaskan kepada 3 iaitu (1) Tanah Atas (2) Tanah Bawah dan (3) Batuan (Sila lihat foto diatas). Tanah Atas merupakan lapisan yang ada sisa tumbuhan dan haiwan. Lazimnya tanah atas mempunyai ketebalan 15 cm dan lapisan paling subur untuk tanaman dan kehidupan lain. Tanah ini juga mempunyai sistem pengudaraan baik dan kandungan bahan organik tinggi. Ini merupakan dimana akar dapat tumbuh dengan baik untuk menyerap air dan zat galian serta merupakan tempat tinggal organisma tanah. Tanah Bawah pula berada di bawah tanah atas dimana ia adalah jenis tanah lebih padat dan keras dimana ini selalunya akan menghalang pertumbuhan akar dan sistem pengaliran air. Ia mengandungi bahan terkumpul melalui larut resap dan hanya sedikit organisma tanah tinggal di sini. Bagi lapisan ke 3 iaitu Batuan merupakan lapisan bahan induk tanah. Ia akan mengalami proses luluhawa yang lama untuk menjadi tanah lapisan atas. Kepentingan tanah adalah amat penting dalam sektor pertanian yang akan menghidupkan tanaman dan sumber makanan kepada manusia dan haiwan serta organisma lain. Tanah memberi sokongan kepada akar dimana akar mencengkam tanah dan dapat tumbuh tegak. Ini menyebabkan pokok yang tumbuh menegak ia akan dapat menerima cahaya. Tanah juga membekalkan nutrien dam tempat menyimpan nutrien. Bahan organik yang reput menjadi nutrien pada tanah boleh digunakan sebagai sumber makanan pada tumbuhan dan baja yang beri juga terkumpul di dalam tanah. Tanah akan membekalkan oksigen dan air kepada tumbuhan dimana udara dalam tanah serlalunya mengandungi gas karban dioksid (CO2) dan Oksijan (O2). Gas CO2 lebih banyak dalam tanah disebabkan oleh proses respirasi akar, organisma dan pereputan bahan organik. Selain itu ada kandungan air tanah dalam bentuk lapisan air, wap air dan cecair. Artikel subuh ni saya menulis dalam "Anim Agro Technology" bertajuk 'Tanah' dan perkara penting mengenai tanah dalam kehidupan manusia. 


Terdapat Lima (5) komponen tanah yang perlu penulis paparkan untuk rujukan anda. Komponen tersebut adalah Bahan Mineral, Bahan Organik, Udara, Air dan Organisma Tanah (Sila lihat rajah sebelah). Komponen pertama adalah Bahan Mineral yang merupakan komponen terbanyak sekitar 45%. Ia terdiri dari bahan atau kumin mineral seperti pasir, kelodak dan liat hasil proses luluhawa. Kedua adalah Bahan Organik iaitu bahan humus, hasil akhir pereputan sisa tumbuhan dan haiwan yang diurai oleh bacteria dan kulat. Antara ciri-ciri humus adalah dimana ia adalah stabil, berwarna gelap, tidak larut dalam air, mampu untuk menyimpan air dan menyimpan kation. Antara kebaikan bahan organik dimana ia membekalkan nutrient kepada tumbuhan dan membaiki struktur tanah. Bahan humus bertindak sebagai bahan pelekat yang melekatkan kumin-kumin tanah dan membentuk agregat tanah. Lazimnya susunan agregat ini dipanggil butir rapuh dan memperbaiki pengudaraan dan saliran air tanah. Bahan organik akan menambahkan daya penampungan air tanah, tanah pasir jika dicampur dengan bahan organik dapat memegang air. Ia juga menghalang kehilangan nutrien dalam tanah. Proses pereputan bahan organik akan menghasilkan bahan becas yang dapat menarik ion. Komponen ke 3 adalah Udara yang terdiri dari Karbon dioksida (CO2) dalam kandungan yang lebih banyak di dalam tanah berbanding atmosfera. Udara seperti Oksigen (O2) dalam tanah penting untuk respirasi akar dan organisma tanah. Penulis juga dapati komponen ke 4 adalah Air (Water) dimana air terdapat di celah rongga yang halus. Selalunya rongga tanah yang lebih besar terisi dengan gas yang banyak berbanding sebaliknya. Ini untuk memastikan bekalan oksigen untuk akar dan organisma tanah mencukupi. Ciri-ciri muatan air tanah dimana muatan medan (had basah) iaitu kandungan air berlebihan dalam tanah mengalir keluar mengikut tarikan graviti. Jika berlaku dimana tanah tepu air bermakna rongga tanah dipenuhi air. Istilah Had Layu (titik layu) adalah keadaan dimana jika air tiada maka akar tidak dapat mengambil air kesannya akan menyebabkan pokok layu. Komponen ke 5 adalah terdiri dari Organisma Tanah iaitu bakteria, actinomycetes, nematod, cacing tanah dan algae (kulat). Bakteria akan membantu proses pereputan bahan organik dan ia adalah penting untuk pengedaran C,N,P dan S dalam tanah. Organisma Aktinomisit pula akan membantu proses pereputan. Sementara itu Kulat selain membantu proses pereputan akan bersimbiosis dengan akar tumbuhan untuk memegang nutrien. Cacing Nematod juga membantu dalam proses pereputan. Bahan Algae pula akan melakukan proses fotosintesis iaitu menukarkan CO2 kepada O2 di dalam sawah padi. Ini membantu dalam proses menyerap N daripada udara dan diberikan kepada pokok padi. Organisma Cacing tanah selalunya menggaul hasil reputan daun di atas tanah ke bahagian dalam tanah dan akan memindahkan tanah dari satu lapisan ke lapisan lain. Cacing tanah akan membaiki udara dan saliran tanah melalui terowong yang dibina dimana tinja cacing mengandungi kalsium yang menyuburkan tanah.


Mengetahui sifat-sifat Fizikal Tanah ada 4 perkara penting. Ianya adalah mengenai warna tanah, tekstur tanah, struktur tanah dan kimia tanah. Warna Tanah akan dapat menggambarkan keadaan fizikal dan kandungan tanah (Sila lihat foto disebelah). Warna Tanah juga akan dapat menggambarkan kandungan bahan organik, saliran tanah, aktiviti mikroorganisma dan kesuburan tanah. Umumnya tanah yang berwarna gelap lebih subur dan tanah yang pudar paling tidak subur. Penggunaan Carta warna Munsell (Munsell Colour Chart) boleh digunakan untuk membandingkan warna tanah. Tekstur Tanah lazimnya boleh dikesan dengan merasa dengan tangan atau kaedah mendapan. Tekstur tanah ialah peratus perbandingan antara pasir, kelodak dan liat tanah. Kepentingan tekstur tanah adalah dimana bila tekstur kasar, air dan gas mudah dan gas boleh mengalir meresap. Jika teksur tanah halus maka ia boleh menyimpan dan menyerap nutrien. Pemugaran sukar bila tekstur tanah halus. Struktur Tanah dimaksudkan dengan susunan kumin-kumin tanah (soil particles). Terdapat beberapa jenis struktur tanah seperti jenis Butir Rapuh, Jenis Berlapis, Jenis Berblok, Jenis Prismatik, Jenis Kolumnar dan akhirnya Jenis Tidak ada struktur iaitu dikatakan sebagai bongkat atau butir tunggal. Lazimnya jenis tanah pasir tiada struktur. Struktur tanah yang paling baik ialah butir rapuh. Kepentingan struktur tanah adalah dimana jika struktur tanah yang baik maka air dan udara mudah meresap, oleh itu akar mendapat air dan oksigen yang mencukupi. Struktur yang baik menambah daya tahan tanah terhadap hakisan. Struktur yang baik mengurangkan kesan toksik CO2 kerana udara mudah meresap keluar.



Sifat Kimia Tanah penting diketahui semua dimana ia diukur dengan istilah 'pH tanah'. Tanah tropika bersifat asid kerana menerima banyak hujan yang membekalkan banyak ion hidrogen. Lazimnya pH tanah boleh ditentukan dengan dua cara iaitu Kaedah Kuhn (Penunjuk universal) dan gunakan Meter pH. Rajah diatas menunjukkan Julat pH Tanah yang umumnya perlu diketahui sama ada ia sesuai untuk tanaman. Nilai pH diantara 6.0 - 6.8 dikatakan paling sesuai untuk pertumbuhan tanaman. Tanah terlalu asidik dan alkaline tidak sesuai untuk kebanyakan jenis tanaman. Diantar beberapa faktor yang mempengaruhi pH tanah kandungan bahan induk tanah dimana bahan asal dari mana tanah itu terbentuk. Contohnya, batu granit mengandungi aluminium yang bila berhidrolisis akan mengeluarkan ion hidrogen. Ini akan menurunkan pH tanah dan tanah menjadi berasid. Faktur Larutresapan (Leaching) akan menyebabkan kehilangan ion Ca, Mg dan K. Penggunaan baja kimia seperti baja amonium sulfat akan hasilkan ion Nh+ dan H+ menurunkan pH tanah. Proses pereputan bahan organik juga menyebabkan asid organik merendahkan pH tanah. Ia juga berkait dengan penambahan asid karbonik dan asid nitrik dalam tanah. Proses respirasi akar dan organisma tanah menyebabkan pelepasan CO2 dihasilkan bertindakbalas dengan air menghasilkan Asid karbonik. Beberpapa perkara penting yang mesti diketahui adalah kesan pH kepada tanaman. Pada keadaan dimana (1) Ketersediaan nutrien tanah dianalisa dimana walaupun nutrien dibekalkan kepada tanah, tumbuhan tidak dapat mengambil nutrien tersebut kerana beberapa sebab. Antaranya apabila pH rendah, ion ferum dan magnesium dibebaskan sebaliknya bila pH tinggi, ion kalsium dan magnesium dibebaskan. Ion ini akan memegang ion yang terdapat di dalam nutrien menyebabkan tumbuhan tidak dapat mengambil nutrien tersebut. Aktiviti mikrob atau mikroorganisma yang bermanfaat adalah dimana kebanyakannya hidup pada Ph 5.5 – 7.8 sahaja. Kebanyakkan mikroorganisma yang menjalankan proses penitratan terjejas bila pH kuran 5.5. Perlu ingat bahawa pada pH rendah (Asidik) akan merencatkan aktiviti cacing tanah. Artikel ini bersambung pada Pat 2 dan Part 3. Wasallam!.
PENTINGNYA TANAH... KEPADA KITA....
5 KOMPONEN... ADA AIR DAN UDARA....
WARNA TANAH... HITAM SUBURNYA....
KEMASAMAN TANAH...ADA JULATNYA...

By,
M Anem,  
Senior Agronomist,
Aras 13, Desaminium Flora,
Seri Kembangan, Selangor,
Malaysia.
(23 Rabiulawal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.