Tuesday, February 16, 2016

SKIM INSURAN TANAMAN

SKIM INSURAN TANAMAN (Crop insurance) merupakan satu perkara baru bagi ramai petani di Malaysia. Bagaimana pun penulis pernah dimaklumkan semasa berkursus AARDO beberapa tahun dulu bahawa insuran tanaman telah lama diperkenalkan dibanyak negara maju sebagai satu skim yang menguntungkan golongan petani. Menurut seorang pakar dan penceramah yang dijemput daripada PIAM (Persatuan Syarikat Insuran Malaysia) sebenarnya telah ujud beberapa skim insuran tanaman yang telah ada dipasaran tetapi hanya untuk tanaman kelapa sawit, getah dan koko. Bagaimana pun katanya insuran tersebut hanya untuk bencana dan kerosakkan tanaman akibat kebakaran sahaja (Sila lihat foto diatas sekali). Kes-kes lain seperti kemusnahan akibat banjir dan kerosakkan akibat serangan serangga dan penyakit serta punca lain tidak diinsurankan. Kebakaran yang berlaku dengan laporan rasmi kemusnahan akibat kebakaran kebun dikeluarkan daripada Jabatan Pertanian dimana ia selalunya membolehkan mereka yang terlibat dengan tanaman yang diinsurankan menuntut gantirugi. Ini kerana kemungkinan untuk tanaman tersebut musnah akibat kes kebakaran adalah jarang berlaku (Kecuali dikawasan tanah gambut) atau pun keluasan yang terlibat selalunya tidak luas atau terpencil sebelum kebakaran dapat dipadamkan. Kes dari bencana banjir pula selalunya akan melibatkan kawasan yang luas dan syarikat insuran setakat ini belum atau tidak berani menanggung risiko ini. Syarikat insuran tidak dapat menganggarkan bayaran yang perlu dikenakan untuk skim insuran tanaman seperti tanaman jangkapendek sayuran, padi sawah dan sebagainya. Kini perkara mengenai insuran tanaman diperkatakan semula oleh MOA sebagai satu lagi perkara yang menjadi viral dan dipaparkan dalam akhbar tempatan. Artikel malam Isnin ini sambil menonton TV3 rancangan Mentor Milenia tajaan Qu-Putih saya menulis dalam "Anim Agro Tchnology" mengenai insuran pertanian dan kupasan berkaitan perkara tersebut dari kacamata penulis sendiri.

Satu laporan kahbar bertajuk "Skim insurans untuk pesawah disokong" telah diterbitkan oleh beberapa akhbar tempatan. Ini kerana ramai pesawah di negara ini sering terdedah dengan masalah padi rosak sehingga boleh menjejaskan pendapatan mereka. Kerosakan tanaman padi ini disebabkan oleh pelbagai punca seperti banjir, kemarau, serangan musuh dan penyakit, kes kebakaran dan sebagainya. Tanaman padi varieti baru seperti MR219, MR220-CL yang kini merupakan tanaman singkat masa sekitar 100 -110 hari untuk dituai masih terdedah kepada kehilangan hasil. Beberapa laporan media massa sering mempaparkan akan serangan benah perang yang menjadi keresahan petani apabila hasil dari tanaman padi menyusut teruk atau tiada langsung. Tanaman padi merupakan jenis tanaman yang telah menerima banyak subsidi daripada kerajaan demi menjaga akan kedaulatan makanan (Food sovereignty) seperti yang dinyatakan oleh YB Menteri Pertanian. Ramai tertanya-tanya bagaiama dan apa rancangan kerajaan untuk mewujudkan skim insurans kepada pesawah sememangnya wajar ketika ini. Penulis juga berpendapat sekiranya skim itu disediakan dengan syarat dan terma yang sesuai pastinya akan ramai golongan pesawah pasti akan memperoleh kebaikan dan manfaatnya. Aktiviti menanam padi oleh pesawah sentiasa terdedah dengan pelbagai risiko di luar jangka bermula di pe­ringkat semaian padi hingga ke peringkat tuaian. Sebagai contoh pesawah terdedah dengan masalah kemarau panjang, banjir besar, serangan serangga dan beberapa isu lagi.


Baru-baru ini banyak dilaporkan kes penjualan dan juga penggunaan benih padi terutama MR220-CL2 yang TIDAK DISAHKAN (Bukan benih disyorkan untuk ditanam) dan mengakibatkan banyak isu lain. Antaranya adalah kesukaran untuk mendapatkan benih berkualiti dan tawaran daripada pihak tidak berwajib yang menjual benih tidak tulin kepada pesawah. Semua perkara ini boleh menyebabkan pokok padi rosak sekali gus boleh mengakibatkan hasil tuaian merosot dan paling menakutkan apabila semua hasil tuaian akan musnah semua sekali sehingga menyebabkan pesawah langsung tiada punca pendapatan. Tuaian yang diharapkan seperti biasa tidak dapat dicapai (Sila lihat foto disebelah). Keadaan lebih serius apabila seseorang pesawah itu tiada pekerjaan sampingan lain atau hasil lain selain daripada hasil padi. Berdasarkan kepada kes dan pengalaman lalu, risiko ini didapati bukan sahaja akan ditanggung oleh para petani atau pesawah secara bersendirian tetapi juga pihak kerajaan. Kita harus sedar bahawa golongan pesawah ada juga yang mungkin termasuk antara kelompok miskin tegar yang besar juga jumlahnya di negara kita. Atas faktor ini ada pendapat langkah kerajaan untuk membantu pesawah ketika berlaku bencana sehingga mengakibatkan kehilangan punca pendapatan pesawah menerusi skim insurans itu dilihat praktikal dan sesuai malah melalui langkah tersebut dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan. Namun pada isu lain perlu ada terma dan syarat yang dikenakan tidak akan membebankan pesawah dan syarikat insuran. 


Pendapatan pesawah amat bergantung kepada beberapa faktor seperti keluasan sawah, bermusim iaitu dua kali setahun serta saiz keluarga yang ditanggung oleh seseorang pesawah. Cadangan bentuk caruman insurans yang sesuai dengan pesawah ialah secara musim perlu difikirkan kerana pendapatan mereka berasaskan kepada ‘musim’. Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, rancangan untuk mengujudkan insuran tanaman padi sebenarnya masih di peringkat rundingan dengan pihak syarikat insurans dan akan dibawa ke Kabinet tidak lama lagi sebaik sahaja kajian dan rundingan selesai. Sebaiknya perkara ini mesti ada suasana menang-
menang antara semua pihak tiga penjuru berkepentingan iaitu pesawah, kerajaan dan syarikat insurans. Faktor agama juga mesti diambil kira dalam memperkenalkan skim insurans kepada pesawah kerana mereka sangat sensitif dengan soal ini. Penulis juga fikir dan berpendapat skim ini dilihat cukup baik dan berfaedah kepada pesawah namun perlu kepada penerimaan dan penglibatan secara menyeluruh daripada semua pihak. 

Dalam laporan akhbar lain selepas itu ada dinyatakan bahawa kajian skim insurans penanam padi di peringkat akhir. Laporan akhbar tersebut manyatakan Kementertian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang mengkaji dengan pihak AgroBank itu bagi mencari mekanisme terbaik agar skim tersebut tidak membebankan penanam padi. Kini ia dipe­ringkat akhir dan diharap pihak insurans memberi sokongan terhadap usaha ini untuk melindungi petani. Dengan adanya skim insurans seperti ini, para petani tidak lagi hanya bergantung kepada bantuan dana tabung bencana pertanian yang agak terhad. Skim insurans tersebut amat penting da­lam usaha menjaga kebajikan petani terutama ketika menghadapi bencana seperti banjir besar, kemarau berpanjangan dan penyakit tanaman menyebabkan mereka me­ngalami kerugian besar. Dilaporkan juga kerajaan akan mencari suatu mekanisme untuk memasukkan kos sumbangan kerajaan seperti baja, racun, benih dan sebagainya ke dalam skim insurans tersebut. Kerajaan juga berhasrat melaksanakan skim insurans kepa­da semua golongan petani, tetapi wajar bermula dengan bidang penanaman padi kerana pertanian itu dilihat lebih berstruktur dan bersistematik. Semua pihak diharap akan dapat faedah dengan insuran tanaman padi jika dilaksanakan kelak dan menguntungkan semua pihak. Wasallam!.
INSURAN TANAMAN...DICADANG DIA...
ADA DILAKUKAN... DILUAR NEGARA...
ADA BENCANA... PETANI TERBELA...
SEMUA TUNGGU... BILA AKAN MULA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Aras 13, Desaminium Flora,
Seri Kembangan, Selangor,
Malaysia.
(6 JamadilAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.