Friday, February 12, 2016

LANDAK BESI - INOVASI

'LANDAK BESI' adalah satu nama yang diberikan kepada sejenis alatan atau mesin yang digunakan disawah untuk kerja membuang rumput. Terdapat banyak jenis 'landak' atau juga dipanggil 'pelandak' digunakan semenjak dahulu yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti penanaman Padi (Oryza sativa) dengan membuang rumput dalam sawah, seterusnya bertindak sebagai asas pembajaan awal (proses pereputan rumput menjadi baja organik), membaiki struktur tanah (menggemburkan tanah) dan juga membekalkan oksijan (O2) kepada tanah. Kajian saintis menunjukkan dimana terdapat 8 faktor yang boleh menyebabkan berlaku penurunan dan penyebab isu pengurangan hasil padi dalam sawah sehinga mencecah kapasiti sebanyak 3.0 metrik tan sehektar jika tidak dikawal. Pertama adalah faktur tanah tidak rata dimana ini boleh menyebabkan kekurangan hasil padi sebanyak 500 kg. Kedua adalah faktur paras air dalam yang merencatkan pertumbuhan padi diperingkat awal. Seterusnya ketiga adalah pesawah menggunakan benih padi yang tidak sah (ini banyak berlaku dengan benih MR220 CL-2 masa artikel ditulis). Sila rujuk artikel saya sebelum ini (Sila klik disini) dan (Sila Klik Disini). Keempat adalah disebabkan kelewatan program pembajaan dimana ia dilakukan tidak mengukut jadual dan kuantiti serta baja yang betul. Kelima adalah kekeringan air sewaktu padi terbit (panicle initiation) iaitu peringkat keperluan air disawah padi paling kritikal. Seterusnya ke 6 adalah faktur serangan rumpai yang mampu mengurangkan hasil sebanyak 500 kg sehektar. Ke 7 adalah kekurangan hasil akibat serangan penyakit dan perosak  akhirnya ke 8 adalah kehilangan padi lepas tuai (Post harvest loses). Jika faktur-faktur ini dapat dikawal maka hasil padi akan dapat ditingkatkan. Artikel kali ini hanya membincangkan mengenai aktivitii kerja mengawal rumpai disawah padi terutama untuk kawasan tanaman padi organik yang ditanam dengan kaedah tanam mencedung menggunakan mesin melandak atau dipanggil sebagai Landak Besi 3-baris ciptaan Encik Suhaimi Abu Seman daripada Jajahan Kuala Krai, Kelantan untuk dikongsi bersama. Artikel subuh 14 Ramadan 1436H ini saya menulis mengenai Mesin Landak Besi 3 Baris dalam "Anim Agro Technology" mengenai inovasi beliau untuk dijadikan bahan rujukan dan teknologi pertanian efektif.


Aktiviti melandak secara tradisional lazimnya dilakukan sebanyak 4 kali dengan menggunakan Landak Kayu (Sila lihat foto disebelah). Landak kayu ini dibuat dengan menggunakan kayu mempunyai komponen tapak kayu yang dipasang dengan paku dan pemegang kayu panjang 4-5 kaki untuk mengawal pergerakannya. Aktiviti melandak dilakukan dengan menolak dan menarik pemegang kayu pelandak ini diantara barisan tanaman padi dan semua rumput akan tercabut dari tanah seterusnya mereput jadi sebagai baja. Seramai 5 orang diperlukan untuk melandak bagi sawah seluas satu ekar (0.4 hektar) kawasan padi dengan kerja dilakukan selama 8 jam (1 hari) untuk menyiapkanya. Lazimnya kerja ini dilakukan oleh tenaganita (kaum wanita) dengan upah dikawasan Kuala Krai kelantan sekitar RM8.00 sejam menjadikan kos melandak secara tradisional sekitar RM200.00 untuk 5 kali melandak. Isunya bukan mudah masa sekarang untuk mendapatkan seramai 5 orang tenaganita bagi melakukan kerja-kerja ini dimana usahawan Suhaimi kini terpaksa menggunakan tenaganita daripada negara jiran Thailand untuk melakukan kerja melandak ini. Oleh itu beliau berfikir untuk mencipta mesin melandak yang cekap, kurang menggunakan tenaga kerja dan mudah untuk mesin tersebut digunakan. Akhirnya setelah beberapa tahun berfikir maka terhasil satu inovasi Mesin Landa Besi 3 Baris yang telah dipertandingkan dalam Pertandingan Inovasi Jabatan Pertanian Malaysia Tahun 2015 berjaya di ketengahkan. Penulis adalah salah seorang yang menilai mesin tersebut.


Mesin Landak Besi 3 baris ciptaan Suhaimi diperbuat dengan menggunakan bahan yang kukuh dan tahan lama. Mesin ini mempunyai komponen struktur badan daripada besi logam yang kuat dan dipasang dengan injin berkuasa 40 cc iaitu mesin rumput galas. Injin ini didapati paling sesuai dari segi kuasa dan ringan serta mudah untuk diselenggara. Ia mudah dibeli daripada mana-mana pembekal tempatan dengan harga yang berpatutan. Mesin ini mudah dipasang dibahagian belakang landak disambung dengan rantai besi kepada sistem gear terpakai. Kotak gear 50 mm terpakai digunakan dengan dikawal menggunakan klutch automatik yang dipasang pada kabel tangan dimana ia diletakkan pada pemegang (handle). Ia memudahkan operator mengawal pergerakkan roda landak untuk berhenti dan bergerak. Paling penting pada landak ini adalah sepasang rodak besi bergigi yang dipasang dengan jarak roda 30 cm x 30 cm iaitu jarak yang sesuai dengan jarak tanaman anak benih padi disawah. Sebuah roda kecil bergigi dipasang dibahagian belakang untuk melandak lorong tengah daripada 3 baris yang akan dilalui oleh landak besi 3 baris ini. Mesin ini tahan lasak, ringan dan mudah untuk diselenggara. Ia juga mudah digunakan disawah terutama diprojek tanaman padi organik.


Menurut Suhaimi, mesin ini dicipta bagi mempercepatkan masa melandak yang dilakukan sebanyak 4-5 kali sepanjang musim penanaman padi. Ia akan dilakukan pada hari ke 10 selepas menanam dan perlu diulang setiap 10 hari kemudiannya berturut-turut. Seorang petani mahi hanya perlukan 5 jam sahaja untuk melandak menggunakan mesin ini untuk keluasan seekar sawah. Kos diperlukan untuk membeli minyak petrol sebanyak RM6.60 (3 liter @ RM2.20 seliter) menjadikan keseluruhan kos operasi untuk melandak dengan mesin ini sekitar RM46.60 sahaja seekar berbanding dengan RM200 ikut cara lama diatas. Penggunaan mesin landak besi 3 baris ini dilaporkan dapat menjimatkan kos operasi melandak sebanyak RM154.40 seekar (Tidak termasuk kos membeli mesin pelandak ini). Kos membuat mesin ini sekitar RM2,000 satu unit. Inovasi ini menunjukkan alat ciptaan Suhaimi ini merupakan sejenis alatan yang boleh meningkatkan pengeluaran padi daripada 4 mt sehektar sebelum aktiviti melandak dijalankan kepada 7 mt sehektar selepas melandak dilaksanakan disawahnya. Peningkatan sebanyak 3 mt sehektar ini berlaku kerana rumpai disawah telah dimusnahkan daripada bersaing dengan tanaman padi sebaliknya menjadi baja akibat proses pereputan manjadi baja. Peningkatan hasil padi akan memberi keuntungan berganda kepada pesawah dengan ketara. Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai mesin ini boleh berhubung dengan penciptanya iaitu En Suhaimi dengan No HP 017-9993125 atau berhubung dengan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan atau PPK Kuala Krai, Kelantan. Tahniah kepada pencipta Mesin Landak Besi 3-roda ini. Wasallam!.

MESIN LANDAK... INOVASI DICIPTA...
3 BARIS MERUMPUT...MESIN DIGUNA...
ENCIK SUHAIMI... PEREKA ALATNYA...
AMAT BERKESAN...MEMANG BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Latihan Pengembangan Pertanian,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(13 Ramadan 1436H)
Hadir Pembentangan Inovasi DOA 2015.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.