Saturday, February 27, 2016

KANTAN - SATU TINJAUAN

TANAMAN KANTAN (Phaeomeria speciosa) di Kg Janda Baik, Bentong, Pahang merupakan satu pilihan oleh petani Encik Zaini semenjak 1.5 tahun lalu dibawah bimbingan Jabatan Pertanian. Pada peringkat awal sebanyak 800 pokok benih kantan diberikan kepada petani ini sebagai permulan dengan bantuan input pertanian lain. Khidmat nasehat teknikal diberikan kepada petani ini yang baru memulakan penanaman kantan dan pisang ini. Tanman Kantan ini telah mula menghasilkan bunga kantan yang digunakan sebagai bahan ramuan masakan pelbagai jenis resepi. Kawasan penanaman ini merupakan kawasan tanah tinggi melebihi 250 meter dari paras laut dikawasan yang dikelilingi dengan hutan berbukit yang tinggi dengan cuaca agak sejuk berbanding dengan kawasan tanah pamah. Disekeliling kawasan berbikut ini banyak rumah-rumah tradisional Melayu, Chalet Pelancong, Tanaman Buah-buahan Bercampur, Sayur-sayuran Buah dan Sayuran Daun. Sumber air yang jernih dan dingin mengalir dari sungai bersebelahan dengan tapak tanaman kantan En Zaini. Bagaimana pun lawatan penulis ini memberikan banyak temuan dan tunjukajar untuk penambahbaikan amalan agronomi untuk sistem penanaman sedia ada. Antaranya adalah mengesyorkan agar ditambah rumpun pokok kantan daripada jarak tanaman 3m x 4 m yang kosong ditengahnya. Pokok pisang yang baru berumur 5 bulan masih kecil dan kepadatan tanaman kantan perlu ditambah. Penulis juga membuat penerangan teknikal berkaitan pertumbuah pokok kantan, kaedah pembajaan, kawalan perosak dan penyakit serta pelbagai isu teknikal. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti tanaman kantan di Kg Janda Baik untuk bacaan anda.


Pokok kantan sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah dan sebaiknya elakkan kawasan yang bertakung air. Di Kg Janda Baik ini kawasan tanah bercerun dan agak sejuk amat sesuai dengan tanaman kantan. Di Malaysia belum ada lagi kultivar kantan yang di kenalpasti tetapi kebanyakkannya Kultivar Tempatan jenis Pink atau Merah. Penanaman pokok kantan oleh En Zaini menggunakan benih asas dari rizom yang diberikan oleh Jabatan Pertanian. Penggunaan benih rizom kantan lebih mudah serta menjadi pilihan petani. Kaedah ini lebih cepat berhasil sedangkan jika menggunakan bahan tanaman dari biji benih mengambil masa lama untuk berhasil (2 tahun). Petani dinasihatkan untuk menambah kepadatan pokok kantan dengan menggunakan benih sendiri sedia ada yang boleh diperolehi dikebun tersebut. Benih kantan di sediakan dengan mencangkul dari perdu pokok kantan induk dimana petani dinasihatkan mesti ada terdapat 2-3 mata tunas dan akar serabut untuk tujuan pertumbuhan. Jarak penanaman disyorkan ialah 1.5 m x 1 m dalam barisan dilubang penanaman. Letakkan benih rizom dalam lubang tanaman yang disediakan seperti 'busut' bagi kawasan tanah lembap berair. Sistem tanaman tambahan ini disesuaikan dengan tanaman selingan pokok pisang dikawasan kebun.


Dalam membuat pemeriksaan seterusnya penulis dapati beberapa rumpun kantan telah rosak daunnya kerana dimakan oleh larva kupu-kupu. Tahap serangan sekitar 30% daripada keseluruhan kawasan dan apabila diperiksa menunjukkan setiap rumpun pokok terdapat 1-3 daun bergulung atau kepompong ulat tersebut (Sila lihat foto disebelah). Menurut petani 'tidak mengapa' ada ulat tersebut kerana ia tidak berbisa. Bagaimana pun katanya semenjak ada serangan ulat ini dinyatakan rumpun baru bunga kantan amat berkurangan. Beliau dinasehatkan memusnahkan semua ulat dan kepompong yang masih ada dikebun. Beberapa rumpun kantan yang ditanam ditanah rendah juga ada tanda terencat pertumbuhannya akibat akar tenggelam akibat hujan berterusan. Dinasihatkan agar ditambun tanah dibawah rumpun kantan dan bukan perdu pokok yang tanahnya menakung air. Aktiviti pemangkasan daun kantan yang tua untuk elakkan penyakit dan menggalakkan kadar pengeluaran bunga kantan. Pembajaan kantan disyorkan bermula dengan CIRP (50 gm/pk) dan 125 gm/pk semasa menanam dan 4 bulan pertama dengan tahi ayam (1 kg/ pk). selepas 5 bulan guna NPK 15:15:17:2 (30 gm/ pk) dinaikkan kepada 70 gm, 100 gm pada bulan ke 7 dan ke 9. KADAR Pembajaan selepas 15 bulan sebanyak 0.5 kg/pk setahun di buat 2 kali agar hasil dari kebun ini mencapai potensi hasil.


Pemeriksan pada keseluruhan rumpun kantan dikebun En Zamri didapati kadar pertumbunan rumpun tidak sekata. Rumpun yang berada dikawasan tanah yang lebih tinggi didapati subur dan mencecah 6 kaki keatas. Bagaimana pun rumpun yang berhampiran dengan alor air dan tanah lecak berair hanya mencapai ketinggian 2-3 kaki sahaja dengan jumlah rumpun yang kecil. Tanda-tanda kekurangan nutrien didapati jelas dikawasan tanah lembap dan beraku juga tanda kerosakkan pada akar. Tunas rumpun kantan dikawasan tanah bercerun tumbuh sihat dan banyak berbanding dengan perdu dikawasan tanah basah. Setakat ini bunga kantan dituai menggunakan pisau tajam setiap 10-12 hari kerana ia adalah musim melawas. Bunga kantan lazimnya akan memuncak lazimnya sekitar bulan Mei setiap tahun. Bunga kantan yang dipotong akan dipotong tangkainya dan digredkan mengikut saiz dan kualiti. Ia akan dihantar kepada peraih daripada Bukut Tinggi seterusnya dihantar kesekitar Lembah Kelang. Purata harga diperolehi En Zamri adalah sekitar RM0.40 - RM 0.60 sebatang. Dengan sebanyak 450 rumpun sejak menanam, kini beliau menerima sekitar RM350.00 - RM 450.00 bersih sebulan iaitu pendapatan tambahan sebulan dari aktiviti penanaman kantan. Pendapatan lain En Zamri adalah dengan menanam sayur serta tanaman kontan dan kerja upah kampong seperti memesin rumput, menternak kambing dan juga menjaga chalet pelancongan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!..
Encik Zamri sedang menerima nasihat teknikal.
TANAM KANTAN... SATU USAHA...
KG JANDA BAIK... ITU LOKASINYA...
POKOK SUBUR... SELALU DIJAGA...
HASIL DIJUAL... PETANI GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Janda Baik, Benting,
Pahang, Malaysia.
(18 Febuari 2016) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.