Saturday, January 23, 2016

BELIMBING BULOH - CARA TANAM

BELIMBING BULUH (Averrhoa bilimbi) atau juga dipanggil sebagai 'Belimbing Asam' ialah sejenis buah-buahan yang berasal atau natif daripada Malaysia dan Indonesia. Buah belimbing ini adalah berbentuk kecil dengan bentuk bulat selinder atau seakan bersegi panjang dengan warna hijau muda ketika muda dan sedikit kekuniingan apabila telah matang. Pada masa ini tidak ada maklumat mengenai keluasan sebenar tanaman ini dilaporkan di Malaysia tetapi penulis mampu menganggarkan sekitar 18-20 hektar CHE (CHE bermakna Crop Hectarage Equivalent iaitu jumlah pokok ditanam yang di kira sebagai menyamai keluasan sehektar). Buah Belimbing ini jarang dimakan segar kerana rasanya terlalu masam menyebabkan ia sesuai untuk dijadikan bahan masakan atau diproses menjadi produk lain. Buah yang hampir masak biasanya digunakan sebagai penyedap rasa masakan dan sebagai ramuan sambal yang menjadi pencecah untuk sayuran tradisional seperti Sambal Hitam Belimbing Buluh yang terkenal di Pahang (Sila klik disini). Belimbing buluh juga digunakan sebagai ramuan masakan seperti masakan ikan kari asam pedas dan udang lemak kuning. Buah belimbing buluh dapat menghilangkan rasa hanyir terutamanya untuk masakan dengan jenis ikan darat (ikan air tawar) seperti ikan baung, ikan patin dan sebagainya. Resepi masakan ikan patin merupakan satu hidangan yang poplar di Pahang yang dimasak dengan belimbing buluh. Penulis sendiri memang suka makan nasi dengan ikan patin di Temerloh yang enak dan lazat. Masakan istimewa ikan patin dengan belimbing buluh ini disukai oleh semua kaum di Malaysia dan harga jualan juga mengikut kemampuan. Buah belimbing buluh juga sering digunakan untuk beberapa jenis masakan orang Melayu dan orang Cina mengikut kesesuaian resepi. Bekalan belimbing buloh ini memang mudah didapati dipasar malam atau pasar tani dan ia selalunya ditanam sebagai tanaman keliling rumah sahaja. Terdapat laporan dimana beberapa petani dinegeri Pahang, Selangor dan Johor yang mengusahakan tanaman belimbing buluh secara monokrop dan komersil untuk jualan. Uniknya pokok ini mampu berbuah sepanjang tahun dan kurang diserang penyakit. Artikel subuh ini saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai khasiat belimbing buluh yang boleh dimanafaatkan.


Penanaman belimbing buluh dikawasan tanah rendah yang subur amat sesuai dilakukan. Bagaimana pun belimbing buluh kurang sesuai dikawasan tanah tinggi dimana dengan cuaca sejuk menyebabkan hasilnya kurang. Ini disebabkan pada suhu rendah seperti di Cameroon Highland dan Kundasang akan menyebabkan proses pembentukan buah terjejas dan melambatkan buah untuk masak pada waktunya. Jika berbuah pun selalunya akan menyebabkan saiz buahnya menjadi kecil saja serta rasa buahnya yang kurang sedap atau tidak enak. Sebaiknya tanaman belimbing buluh adalah pada tanah yang gembur dan subur. Anak pokok benih belimbing buluh sebaiknya ditanam dalam lubang tanaman berukuran 1 x 1 meter dengan kedalaman lubang 0.5 meter. Semasa kerja menggali lubang tanaman dilakukan, sebaiknya tanah lapisan atas dan bawah perlu diasingkan dan dibiarkan selama terdedah selama tiga (3) minggu sebelum dibuat penanaman (Sila lihat rajah sebelah). Tujuannya adalah untuk memberikan persekitaran baik semasa menanam anakbenih kelak. Dalam beberapa cara amalan lama, penggalian lubang tanaman sebaiknya dilakukan kira-kira satu bulan sebelum menanam. Sebaik sahaja menggali  lubang, tuangkan air sehingga sampai penuh ke dalam lubang tadi. Air ini akan meresap kedalam tanah untuk membasahinya dimana jika ia meresap laju terus kebawah maka ia suatu tanda bahwa tanah tadi memang sudah sesuai ditanam. Jika air masih tergenang dalam lubang untuk masa agak lama maka ini bermakna lubang pada tanah tersebut kurang sesuai untuk ditanam dengan anak benih belimbing. Ini berkait dengan kemungkinan proses pembentukan akar akan terencat kerana tiada sistem pengudaraan yang baik. Jika sistem saliran kurang baik juga menyebabkan anak benih akan menjadi kuning daunnya atau ia boleh gugur. Cara mengatasi masalah ini dengan menggali laluan air yang berlainan untuk dapat air tersebut keluar. Dalam menanam benih belimbing buluh, sebaiknya tanah atas tersebut perlu dimasukkan lagi ke dalam lubang menurut susunannys semula iaitu yang bawah kembali ke bawah yang atas kembali ke atas. Tanah atas ini dicampur terlebih dahulu dengan baja organik sebelum dimasukkan ke dalam lubang untuk menyuburkan tanah.


Benih belimbing buluh biasanya diperolehi daripada kaedah mengetut (marcoting) atau kaedah lain yang sesuai daripada pokok induk terpilih. Waktu atau masa untuk kerja menanam anakbenih pokok belimbing buluh sebaiknya dimusim hujan atau bila-bila masa jika ada sistem pengairan dikebun. Air adalah sangat perlu diperingkat awal penanaman dimana ianya adalah untuk proses awal bagi membentuk akar. Cara menanam belimbing buluh dimulakan dengan memilih benih sesuai dan dibuang plastik polibeg sebelum dimasukkan kedalam lubang penanaman. Padatkan tanah disekeliling anak pokok yang baru ditanam dengan tangan dan kemudian disiram dengan air. Elakkan daripada untuk menanam belimbing buluh agar tidak terlalu dalam. Ingat agar semasa menanam benih perlu ditempatkan di tengah-tengah lubang supaya akar-akarnya mengembang ke sekelilingnya dengan rata. Semasa memadatkan tanah tadi perlu berhati-hati dengan menekan dtanah gunakan tangan agar akar tidak putus barulah di padatkan dengan kaki agar kedudukan anakbenih berdiri kukuh. Jarak tanaman pokok belimbing buluh perlu disesuaikan dengan keadaan tanah tetapi disyorkan pada jarak 6 meter x 6 meter. Penanaman terlalu rapat akan menyebabkan kanopi pokok bertemu dan menyukarkan cara pengurusan tanaman. Jika kawasan baru terdedah kepada panas sebaiknya diberikan sungkupan atau naungan daripada daun rembia, pelepah kelapa atau plastik hitam (Black nettings). Benih yang baru ditanam dan jika ia terdedah kepada panas amat terik dan tidak disiram akan terencat pertumbuhannya.


Proses penjagaan penanaman belimbing buluh perlu dijalankan mengikut pakej penanaman belimbing seperti biasa. Selalunya semenjak berumur satu tahun pembajaan perlu dilakukan mengikut umur pokok dengan baja organik dan NPK 15:15:15. Kawalan rumpai, serangga perosak dan penyakit dijalankan setiap masa. Pokok yang subur dan sihat akan mengeluarkan dahan dan cabang dengan seimbang dengan melalukan cantasan pembentukkan awal. Pokok yang dibaja dengan kadar mencukupi mampu menahan serangan serangga perosak dan penyakit dengan baik.  Antara musuh tanaman pokok buloh adalah seperti serangan aphid dan koya serta jelaga dan selalunya pada musim lembab. Lalat Buah (Bactocera carambolae) juga kadang-kadang menyerang pada peringkat awal buah (walau pun buahnya amat masam) menyebabkan bentuk buah bengkok atau berkedut sedikit. Buat cantasan pokok agar ketinggian pokok sesuai untuk memudahkan menuai atau mengutip hasil. Terdapat ulat makan daun diperingkat awal penanaman benih belimbing dimana selalunya akan menyerang dan menghabiskan pada pucuk-pucuk daun sehingga pokok itu dapat tiada berdaun. Kekurangan daun ini akan menjejaskan proses pembentukan buah. Ulat ini mesti dikawal dengan semburan racun kimia sesuai. Tanaman belimbing buluh yang subur mampu untuk mula mengeluarkan berbunga dan berbuah setelah berumur 3-4 tahun. Ia mampu memberikan hasil atau buah sepanjang tahun tetapi ada waktu tertentu ia akan menjadi lebih banyak (peak season) dan perlu dituai mengikut tahap kematangan. Penuaian belimbing buluh mudah dilakukan dengan memetik menggunakan tangan dan dimasukkan dalam bekas (Bakul), digredkan dan seterusnya dijual atau disimpan. Dalam beberapa testimoni dinyatakan diantara kelebihan belimbing buluh adalah dimana ia boleh dijadikan sebagai rawatan demam dan batuk. Testimoni tersebut menyatakan buah belimbing buluh perlu direbus dengan santan kelapa dan diminum semasa ia suam panas. Selain itu buah belimbing buluh sesuai dijadikan sambal hitam, ramuan buat sambal belacan, perencah masakan (rasa masam), halwa dan sebagainya. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.
BELIMBING BULUH..MUDAH TANAMNYA...
BUAT LUBANG... BENIH MASUKANNYA...
DIBERI BAJA... PEROSAK KAWALNYA...
BERBUAH BANYAK... SETIAP MASA....


By,
M Anem,
Senior Agronomist
Taman Kg Padang, Jalan Sg Lembing,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(12 RabiulAkhir 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.