Thursday, December 17, 2015

ANCAMAN PERUBAHAN IKLIM GLOBAL

PERUBAHAN IKLIM GLOBAL (climate change) merupakan ancaman yang mungkin tidak disedari dan kurang diberi perhatian oleh masyarakat kini. Di Malaysia, masih terdapat segelintir masyarakat yang memandang rendah dan tidak peduli masalah global ini. Perubahan iklim global biasanya dikaitkan dengan peningkatan suhu dunia yang merupakan satu proses kompleks serta memakan masa yang lama atau panjang. Penulis berpeluang hadir workshop mengenai 'climate change' di University of Agriculture Faisalabad (UAF), Punjab, Pakistan dari 30 Nov - 4 Dec 2015 anjuran Asia Productivity Organisation beribupejabat di Tokyo, Jepun. Laporan ada menyatakan bahawa masa depan generasi pelapis semakin terancam akibat sikap rakus dan tidak ambil peduli masyarakat hari ini terhadap kepentingan memelihara alam sekitar. Namun begitu saya dimaklumkan iaitu fenomena kesan perubahan iklim global semakin jelas dan dapat dirasai oleh masyarakat dunia rentetan berlakunya peningkatan suhu dunia. Peningkatan suhu dunia atau lebih dikenali sebagai pemanasan global (Global warming) adalah merupakan satu ancaman baru kepada keselamatan rakyat dan negara malahan dikatakan boleh menjadi lebih dahsyat daripada senjata pemusnah masa. Ini adalah kerana isu atau fenomena pemanasan global tidak mengenal warna kulit dan sempadan negara. Di negara kita Malaysia telah ujud tanda-tanda perubahan iklim akibat pemanasan global dimana kita dapat melihat menerusi beberapa kejadian bencana dan juga simptom-simptom yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara seperti kenaikan paras air laut, jerebu, banjir dan kekurangan sumber air. Perubahan iklim yang berlaku tidak hanya melibatkan Malaysia sahaja malahan ia juga merupakan permasalahan global yang harus ditangani secara bersama oleh semua negara di dunia. Artikel malam ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis lagi artikel ke 3,652 mengenai ancaman perubahan iklim global untuk dijadikan bahan bacaan.


Adakah yang kita rakyat Malaysia perlu faham dan tahu mengenai PERUBAHAN IKLIM GLOBAL?. Ceramah oleh Dr Axel Garcia daripada USA semasa workshop menyatakan bahawa perubahan iklim global biasanya dikaitkan dengan asas peningkatan suhu dunia atau lebih dikenali sebagai pemanasan global. Pemanasan global merupakan satu indikasi atau tanda-tanda meningkatnya suhu permukaan baik di atas daratan, lautan, ataupun kombinasi keduanya secara menyeluruh. Pemanasan global berpunca daripada pembakaran bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas menyebabkan peningkatan mendadak gas rumah hijau seperti karbon dioksida, metana dan klorofluorokarbon (CFC) dalam atmosfera. Gas rumah hijau yang terkumpul tidak dapat dibebaskan dan terperangkap dalam atmosfera menyebabkan bumi menjadi lebih panas. Seterusnya Dr Garcia nyatakan terdapat beberapa punca dan faktor yang menyumbang kepada perubahan iklim. Sememangnya punca dan faktor sebenar yang menyumbang kepada perubahan iklim dan pemanasan global masih menjadi pertikaian sesetengah pihak. Namun hakikatnya, apa yang jelas bukti menunjukkan bahawa perubahan iklim dan pemanasan global berpunca daripada aktiviti dan cara hidup manusia sendiri. Kerakusan manusia menjadi punca utama kepada perubahan iklim global. Pembangunan, pemusnahan hutan, perindustrian, perkilangan dan pengangkutan merupakan antara aktiviti yang menyumbang kepada perubahan iklim sejagat.


Perubahan iklim global yang berlaku didunia kini pada penulis semasa perbincangan dalam workshop adalah kesan daripada peningkatan mendadak gas rumah hijau di atmosfera yang disebabkan oleh kepesatan dalam industri dan aktiviti perkilangan, pembalakan, pertanian, pengangkutan dan industri lain di dunia tanpa adanya keseimbangan dengan alam sekitar. Ini seterusnya telah menyumbang kepada pertambahan gas-gas tersebut dan secara langsung meningkatkan suhu bumi. Kejadian peningkatan bagi gas karbon dioksida (CO2) di atmosfera berlaku kesan daripada pembakaran bahan api fosil seperti penggunaan petrol, arang batu dan gas. Menerusi Laporan Penilaian Ke-4 (Perubahan Iklim 2007) Panel Antara Kerajaan Perubahan Iklim (IPCC), laporan pakar ada menunjukkan 98 peratus daripada kenaikan suhu bumi kini disebabkan oleh pembebasan gas karbon dioksida. Konsentrasi karbon dioksida di atmosfera terus meningkat daripada 280 bahagian sejuta (ppm) yang dicatat pada kurun ke-18 (sebelum era revolusi perindustrian) kepada 379 ppm pada 2005. Laporan seterusnya dijangka pada 2099 jika sekiranya manusia masih mengekalkan momentum cara penggunaan bahan api fosil sepertimana sekarang maka dijangka kepekatan gas ini di atmosfera dijangka meningkat sebanyak 700 ppm. Keadaan ini akan mengakibatkan persekitaran bumi tidak lagi sesuai untuk didiami oleh manusia. Oleh itu dimaklumkan semasa workshop bahawa secara relatifnya aktiviti pembebasan gas rumah hijau oleh Malaysia masih kecil berbanding beberapa negara lain di dunia. Negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat merupakan antara penyumbang utama kepada pembebasan gas rumah hijau. Namun begitu dibincangkan agar satu sistem kawalan diperlukan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera. 


Perubahan iklim (climate change) dipercayai telah mempercepatkan proses-proses cuaca sehingga menyebabkan berlaku pelbagai perubahan mendadak dalam tempoh masa yang tidak menentu. Perubahan iklim dunia dilihat mengancam keselamatan manusia dan negara iaitu dari aspek fizikal dan psikologi. Gabungan keduanya sudah tentu menimbulkan krisis kepada kesejahteraan rakyat, keselamatan/ketenteraman awam, kestabilan politik dan keutuhan ekonomi sekiranya tidak diuruskan dengan baik. Diantara kesan fizikal perubahan iklim dunia kepada negara adalah seperti bencana alam, banjir, kemarau, banjir, peningkatann suhu, taufan dan kesan kesihatan. Pertama sekali adalah kesan bencana alam dimana perubahan arah tiupan angin monsun, peningkatan paras air laut, kadar taburan hujan yang tidak menentu merupakan antara fenomena perubahan iklim. Suhu bumi yang kian meningkat mengakibatkan kehidupan manusia menghadapi satu ancaman besar berikutan berlakunya bencana alam lebih kerap dengan tempoh yang semakin meluas. Taufan, banjir, kemarau dan wabak penyakit berkaitan alam sekitar merupakan antara bencana alam yang berlaku kesan perubahan iklim yang semakin sukar dijangka. Kemarau menyebabkan tanaman tidak menjadi kerana tiada air (Sila lihat foto disebelah). Dengan 9% daripada kawasan daratan di Malaysia (29,000 sq.km) terdedah kepada fenomena banjir, sejumlah 2.7 juta masyarakat negara ini mungkin menjadi mangsa. Keadaan cuaca yang tidak menentu mengakibatkan negara berhadapan dengan kejadian bencana. Contoh terbaik adalah kejadian bencana banjir yang melanda Johor, pada Januari 2007 telah melumpuhkan kegiatan ekonomi dan sosial masyarakat setempat dan mengakibatkan kemusnahan yang besar.


Isu sumber air untuk kegunaan domestik (air minuman) dan keperluan air untuk pertanian semakin kritikal keperluannya. Pembangunan pesat proses urbanisasi dan industri meningkatkan permintaan terhadap sumber air terutamanya bagi sektor perindustrian, pertanian dan juga kegunaan isi rumah. Perubahan iklim telah mengakibatkan dua kemungkinan berlaku iaitu Malaysia akan mengalami peningkatan taburan hujan dan penurunan taburan hujan. Peningkatan taburan hujan bermakna Malaysia terdedah kepada fenomena banjir yang mengakibatkan kemusnahan infrastruktur, harta benda dan kehilangan nyawa. Dalam pada itu negara kita Malaysia turut terkesan dengan potensi penurunan taburan hujan yang mengakibatkan kekurangan sumber air bersih bagi kegunaan isi rumah, sektor pertanian dan industri. Sawah padi memang perlukan air untuk proses pertumbuhsn dsn menghasilkan beras (Sila lihat foto disebelah). Dari segi ekonomi dijangka kesan perubahan iklim sudah pasti memberi kesan kepada ekonomi negara. Kerugian yang dialami oleh negara akibat daripada fenomena banjir misalnya dianggarkan berjumlah RM 100 juta setiap tahun. Ini sudah tentu mengakibatkan kegawatan serta menjejaskan kegiatan ekonomi masyarakat. Dalam pada itu, aktiviti ekonomi dalam negara akan turut terjejas dan mencalarkan imej negara. Kegagalan menguruskan bencana alam dan persekitaran yang tidak kondusif untuk kegiatan ekonomi akan menyebabkan negara berhadapan dengan kesukaran menarik minat para pelabur asing untuk melabur di negara ini.


Dalam workshop ini juga dinyatakan kesan perubahan iklim terhadap sektor kesihatan. Kesan perubahan iklim dan pemanasan global turut mengancam keselamatan dan kesihatan manusia. Menurut WHO, perubahan iklim global secara langsung atau tidak langsung menyebabkan kira-kira 77,000 kematian setiap tahun di rantau Asia Pasifik. Walau pun negara tidak terkesan secara jelas, namun rakyat negara ini terdedah kepada ancaman lain yang turut mengancam nyawa manusia. Tekanan cuaca panas mengakibatkan rakyat negara ini terdedah kepada penyakit katarak dan kanser kulit. Malahan jika berlaku perubahan cuaca yang ekstrem kesan daripada perubahan iklim menyebabkan pertambahan kes wabak penyakit yang berpunca daripada haiwan pembawa ataupun vektor seperti malaria dan denggi. Perubahan suhu turut menyebabkan heatwave di beberapa tempat dan ini mengakibatkan penduduk terutamanya warga tua mudah mengalami heatstroke yang boleh mengakibatkan kematian. Selain itu kesan terhadap ekosistem mungkin berlaku dimana peningkatan aras laut pula mampu menghasilkan gelombang ganas yang boleh mengancam garis pantai dan struktur hakisan pantai serta memusnahkan zon penampan paya bakau yang boleh mengakibatkan kerosakan habitat asli serta kehidupan akuatik. Kelemahan urus tadbir sumber hutan negara turut mempercepatkan lagi kesan perubahan iklim terhadap ekosistem. Pembalakan haram, pemusnahan hutan dan pembukaan kawasan baru bagi tujuan pembangunan merupakan antara kegiatan yang menjejaskan kitaran karbon yang merupakan proses semulajadi pengurangan karbon dioksida di atmosfera. Ini kerana tumbuhan hijau berperanan sebagai perangkap dan pengguna utama karbon dioksida bagi proses fotosintesis. Penjejasan kepada ekosistem akibat kerakusan manusia akhirnya akan memakan diri dan membawa bencana kepada manusia sendiri. Tanah runtuh, banjir lumpur dan kekurangan sumber merupakan antara kesan penjejasan ke atas ekosistem dan tidak mustahil pada masa akan datang negara berhadapan dengan krisis yang lebih besar.


Kegiatan harian dan penempatan manusia terganggu akibat daripada isu perubahan iklim. Kertas oleh Prof Dr Attachai Jinrawat dari University Chiang Mai, Thailand menyatakan mungkin akan berlaku pemindahan zon-zon iklim dan gerakan air laut serta kejadian banjir boleh menjejaskan kegiatan manusia (Sila lihat foto disebelah). Aktiviti seperti penangkapan ikan dan haiwan akuatik lain akan terjejas. Ini dikaitkan dengan bencana alam seperti ribut dan kemarau juga mengakibatkan gangguan bekalan elektrik. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada manusia bagi tujuan menjalankan rutin harian mereka. Penempatan penduduk di kawasan rendah turut terjejas sekiranya berlaku peningkatan aras air laut yang mungkin akan menghakis dan ianya akan menenggelamkan kawasan pinggir pantai. Fenomena ini tidak mustahil akan mengakibatkan beberapa kawasan pinggir pantai negara akan hilang daripada peta Malaysia dalam tempoh 50 akan datang. Kesan buruk akibat daripada perubahan iklim dunia kepada negara. Kesan perubahan iklim global turut memberi kesan psikologi kepada semua masyarakat negara ini. Fenomena kesan perubahan iklim sudah pasti menjejaskan kehidupan dan keselamatan manusia dan tidak terkecuali turut menimpa masyarakat negara ini. Krisis dan bencana alam yang berlaku kesan perubahan iklim harus ditangani dengan sewajarnya kerana ia merupakan elemen penting menguruskan keresahan rakyat. Perkara ini jika tidak ditangani akan mengundang permasalahan yang lebih besar. Tidak mustahil kegagalan menangani krisis dan bencana mungkin mengakibatkan kepada keruntuhan dan menimbulkan kegawatan kepada institusi keluarga, masyarakat seterusnya melemahkan sistem pentadbiran negara. Kejadian bencana alam yang berlaku sudah pasti mengundang krisis kemanusiaan yang serius. Kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda dan tempat tinggal serta kehilangan mata pencarian secara tidak langsung memberi kesan psikologi kepada masyarakat. 


Mangsa bencana akan mengalami tekanan psikologi yang dihadapi oleh semua dimana bencana alam akan mengundang kepada permasalahan lain antaranya seperti kes pengangguran, gejala sosial dan turut menjejaskan perkembangan pendidikan penduduk Tekanan yang dihadapi sedikit sebanyak akan menjejaskan kitaran sosial masyarakat dalam menjalani aktiviti dan kehidupan seharian. Pada penulis cabaran yang dihadapi amat besar kerana ancaman perubahan iklim dan pemanasan global adalah masalah sejagat dan usaha menangani secara berkesan perlu membabitkan komuniti antarabangsa, penduduk dunia dan Kerajaan, terutamanya melibatkan negara maju yang menjadi pengeluar utama gas rumah hijau. Negara maju seperti USA yang merupakan pengeluar gas rumah hijau utama dengan sumbangan melebihi 36 peratus jumlah pengeluaran dunia dilihat tidak komited dan enggan menandatangani Protokol Kyoto bagi mengekang tahap pengeluaran gas rumah hijau. Ternyata negara maju seperti USA bimbang pengehadan pengeluaran gas rumah hijau akan mendatangkan mudarat kepada ekonomi mereka. Malangnya, impak pemanasan global akan lebih daripada mendatangkan mudarat kepada negara dunia ketiga yang miskin seperti negara di Benua Afrika, Bangladesh dan negara di Asia Tenggara. Woorkshop juga membincangkan bagaimana ada pihak yang berpengaruh terus menafikan bahawa ancaman perubahan iklim itu datang daripada penggunaan bahan api yang membebaskan karbon dioksida ke udara. Pengaruh inilah yang menyebabkan selama ini AS tidak menerima Protokol Kyoto hingga melewatkan tindakan menghadapi ancaman perubahan iklim ini. Mereka berbuat demikian kerana tidak mahu menjejaskan perkembangan industri masing-masing.


Dalam pada itu penulis fikir bagi Malaysia diantara cabaran utama dalam menghadapi kesan perubahan iklim adalah untuk memperkenalkan langkah adaptasi dalam sektor-sektor tertentu bagi mengurangkan kesan jangka panjang fenomena ini. Mungkin terdapat keperluan untuk semua orang menyedarkan rakyat diperingkat akar umbi tentang ancaman perubahan iklim menerusi program dan aktiviti kerana sukar untuk meyakinkan rakyat mengenai ancaman perubahan iklim. Sebagaimana diketahui kesan perubahan iklim tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan perubahan berlaku secara begitu perlahan. Tahap kesedaran perlu dibuat di kalangan masyarakat Malaysia mengenai aspek penjagaan alam sekitar didapati masih rendah. Aktiviti dan cara hidup masyarakat Malaysia memerlukan perubahan terutamanya dari aspek menjaga dan memulihara alam sekitar. Langkah-langkah dan strategi yang diambil tidak bermakna sekiranya tidak mendapat sokongan dan kerjasama daripada masyarakat sendiri. Peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat antaranya dengan cara semua orang mengurangkan pembaziran sumber tenaga elektrik serta mengajar kanak-kanak tentang kepentingan menjaga alam sekitar serta impak dan kesan pemanasan global. Kita juga boleh menanam lebih banyak pokok sebagai sumber oksigen dan melakukan aktiviti kiitar semula bahan terbuang. Mungkin juga semua orang membantu Kerajaan dalam mengenalpasti pihak yang terlibat mencemarkan alam sekitar. Pada saya perubahan iklim dunia dan pemanasan global yang mengundang pelbagai permasalahan berkaitan yang sewajarnya menyentap kesedaran semua manusia di seluruh dunia agar lebih menghargai alam sekitar. Walaupun negara berada dalam suasana yang aman, namun hakikatnya tanpa disedari, sebenarnya negara berhadapan dengan ‘peperangan’ yang mengancam keselamatan rakyat yang bernaung di bawahnya. Perubahan iklim global yang melanda dilihat merungkai kerakusan yang berpunca daripada manusia sendiri. Ini memerlukan usaha dan kerjasama dari semua lapisan masyarakat dan juga komuniti antarabangsa dalam memelihara alam sekitar agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!.
PERUBAHAN IKLIM... DIBINCANGKAN...
WORKSHOP APO... DI UAF PAKISTAN...
MENDENGAR CERAMAH...BINCANGKAN...
TULIS ARTIKEL.. DAPAT SUMBANGKAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 268, Serena Hotel Faisalabad,
Faisalabad, Punjab,
Pakistan.
(4 Dec 2015) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.