Monday, October 12, 2015

TEBU - TIP MENANAM TEBU

TEBU (Saccharum officinarum Linn) merupakan sejenis tumbuhan yang menghasilkan gula dari keluarga Poaceae. Terdapat seluas 1,310 hektar tanaman tebu di Malaysia pada tahun 2010 dengan sebanyak 28,410 metrik tan dihasilkan dan terus meningkat kepada seluas 1,890 hektar pada tahun 2014 dengan anggaran penghasilan sebanyak 55,284 metrik tan (Sumber: Laporan statistik Jabatan Pertanian Malaysia 2014). Hampir 75% tebu yang ditanam di Malaysia adalah untuk kegunaan segar yang di proses untuk dijadikan jus air tebu dan bakinya adalah dieksport terutama ke negara Singapura. Kawasan utama tanaman tebu di Malaysia adalah di Negeri Johor (Batu Pahat dan Muar) dan juga di Negeri Sembilan. Penanaman tebu untuk menghasilkan gula tebu di Chuping Perlis telah tidak dijalankan secara komersil seperti dahulu lagi dimana ia di tukar kepada tanaman getah. Tebu ditanam di 110 negara didunia dimana jumlah penghasilan gula sekitar 1.6 juta metrik tan setahun. Negara yang paling luas menanam tebu adalah Brazil (pengeluaran gula sebanyak 668 ribu metrik tan setahun) diikuti dengan China dan India (Sumber: FAO Ststistic). Tedapat sebanyak 49 spesis tebu yang ujud didunia dimana hanya sebahagian kecil sahaja yang boleh dikomersilkan. Tebu untuk penghasilan gula adalah jenis khusus yang mempunyai saiz batang lebih kecil dan kandungan gula yang tinggi. Ladang tebu apabila cukup tua akan dibakar bagi membuang daun dan mengurangkan kandungan air dalam batang tebu sebelum dituai dengan menggunakan jentera. Tebu kuning, tebu coklat, tebu hijau, tebu telur dan macam-macam lagi jenis tebu yang ada di tanam di Malaysia. Antara jenis tebu yang popular di tanam di Malaysia adalah TEBU KUNING iaitu daripada spesis Saccharum officinarum L terutama oleh pekebun kecil. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa tips menanam tebu untuk dijadikan sebagai bahan rujukkan anda.

Keperluan tanaman tebu memerlukan iklim panas seperti cuaca tropika. Taburan hujan melebihi 600 milimeter (mm)/tahun.Tebu sesuai hidup pada tanah subur dan gembur hingga ke tanah jenis liat tetapi perlukan sistem saliran yang baik untuk mengelakkan dari air bertakung. Tanaman tebu perlukan aktiviti penyediaan tanah dimana tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik. Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang gembur. Pemeriksaan tanah dilakukan dimana jika tanah terlalu berasid maka perlu dibuat pengapuran perlu untuk menaikan pH sehingga sekitar pH5.5 - pH6.0. Bagaimana pun untuk tanaman tebu gula, kebiasaannya alur penanaman dibuat untuk tujuan memudahkan penanaman. Penanaman tebu dikawasan tanah rendah sebaiknya dibuat batas agar tanaman tebu tidak ditenggelami air pada musim hujan. Sistem saliran perlu dibuat bagi mempastikan air tidak bertakung. Pemerhatian penulis di Muar dan Batu Pahat dimana petani menanam tebu sebagai tanaman selingan dengan kelapa sawit dan getah memerlukan amalan agronomi tanaman yang disesuaikan. Ini kerana penanaman tebu dikawasan tanaman semula ini hanya untuk 1 - 4 tahun sahaja.

Penanaman tebu dilakukan setelah kerja penyediaan tanah selesai. Bahan tanaman tebu biasa ditanam menggunakan keratan batang tebu yang diambil dari bahagian tengah tebu yang dipotong sepanjang 30 sentimeter (cm) yang mengandungi tiga hingga lima mata tunas. Seterusnya benih batang tebu perlulah sihat, bebas penyakit dan perosak seperti ulat pengorek batang.  Seludang yang terdapat padat keratan tebu tersebut perlu dibuang dan dirawat dengan racun kulat untuk mendapatkan kadar pertumbuhan yang tinggi (Sila lihat foto disebelah). Keratan yang telah dirawat diatur dalam alur sedalam di antara 20 dan 25 cm dengan jarak alur di antara 120 dan 130 cm. Mata tunas tebu mestilah menghala kiri dan kanan dan tanah dikambus longgar untuk memudahkan mata tunas tumbuh. Penanaman biasa dihalakan pada penghujung musim hujan dan sekiranya cuaca panas dan kering semasa penanaman, sistem pengairan adalah perlu. Bagaimana pun penanam tebu komersil kini memasang sistem pengairan (selalunya sistem renjis) dikawasan tanaman tebu untuk lebih praktikal. Mata tunas anakbenih tebu akan tumbuh dalam masa 10 hingga -14 hari jika cukup kelembapan. Pastikan tunas tebu ini terus tumbuh dengan menegak sehingga membentuk ruas batang tebu matang.

Pengawal rumpai dikawasan tanaman tebu amat penting dilakukan semenjak awal penanamannya. Rumpai dikawal dengan racun kimia sebelum menanam dan secara manual apabila ia dewasa. Bagaimana pun rumpai bukan menjadi masaalah lagi jika pokok tebu dewasa. Pembajaan tanaman tebu dilakukan mengikut pengesyoran. Bagi tanah yang berasid lazimnya pengapuran perlu untuk menaikan pH. Kadar pembajaan yang biasa adalah 120N: 100P2O5 :450K2O kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah, jarak tanaman dan keadaan tanah. Setengah dari baja yang membekalkan unsur N dan K serta kesemua baja yang membekal unsur P diberi semasa penanaman dan baki baja diberi selepas tiga bulan penanaman. Selepas baja ditabur, tanah akan ditimbun ke pangkal pokok tebu untuk tujuan mengelakkan baja meruap serta dihakis supaya dapat digunakan secukupnya oleh pokok di samping dapat mengelak dari pokok tebu mudah tumbang.

Tanaman tebu sering diserang oleh perosak dan penyakit dan jika ini dibiarkan maka akan menjejaskan kualiti batang tebu. Musuh utama tanaman tebu ialah Ulat Pengorek Batang (Sila lihat foto sebelah). Beberapa spesies yang dikenali ialah seperti Eucosma isograma, Phragmatacia spp dan Proceras sacchariphagus. Lazimmya cara kawalan ulat pengorek batang ini adalah dengan amalan kultura yang baik dimana pokok-pokok yang diserang hendaklah dimusnahkan di samping kawalan secara biologi dan juga kawalan secara kimia. Serangga Perosak kedua adalah Perosak Koya (Saccharicoccus sacchari) dimana ia juga musuh utama tanaman tebu. Cara pengawalannya adalah dengan petani memusnahkan seludang tebu yang diserang. Tebu jarang diserang penyakit yang merbahaya dan jarang merabak seperti penyakit yang disebabkan oleh kulat, bakteria dan virus. Pengawalan penyakit adalah dengan menggunakan keratan tebu yang bebas dari penyakit dan sihat. Semburan racun kimia adalah mengikut keperluan dan amat penting amalan kultura yang baik seperti membuang pokok-pokok yang diserang dan mengelak menanam tanaman seperti jagung, sekoi dan lain-lain dari famili Poacea untuk tujuan mencegah penularan penyakit virus. Pengawalan rumpai dijalankan terutama pada peringkat awal pertumbuhan pokok dengan cara manual atau menggunakan racun rumpai. Selepas kerja membaja, merumpai boleh dijalankan serentak selepas itu. Selepas pokok membesar maka merumpai adalah mengikut keperluan sahaja kerana pengawalan awal rumpai akan menyekat proses pertumbuhannya selepas pokok tebu tinggi.

Pemungutan hasil tebu dilakukan apabila kandungan gula sukros dalam tebu akan menentukan kualiti tebu tersebut dimana kandungnya akan mula meningkat bermula dari sembilan bulan hingga 14 bulan bergantung kepada penjagaan, jenis tebu dan keadaan cuaca. Anggaran hasil adalah di antara 90 dan 120 tan/ha bergantung kepada penjagaan dan jenis ubi tebu. Menuai batang tebu dilakukan dengan memilih batang yang telah mempunyai cukup panjang dan ukurlilit batang dan sihat. Gunakan parang untuk memotong batang tebu dipangkal perdu dan buang bahagian pucuknya. Lazimnya panjang tebu yang standard adalah sepanjang  8 kaki panjang dan diikat sekitar 10 batang satu ikatan. Ia akan dinaikan keatas lori  untuk diedarkan kepada penjual air tebu segar dipasar malam atau gerai tepi jalan. Bagaimana pun di Muar dan Batu Pahat, Johor terdapat beberapa syarikat yang memproses batang tebu untuk tujuan pasaran ekaport ke Singapura. Kulit Batang tebu dikikis sedikit kulitnya dan dibersihkan ruasnya sebelum dipotong sepanjang 60 cm panjang dan dimasukkan kedalam kotak. Ia akan dihantar ke Singapura untuk pasaran segar. Semuga artikel ini memberi tips berguna kepada anda. Wasallam!.

TANAM TEBU.. TIPS MACAMANA...
PILIH BENIH... DIRAWAT JUGA...
14 BULAN... DITUAI MASANYA...
AIR TEBU ... AMBOI MANISNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 408, Hotel Classic,
Jalan Sulaiman, Muar,
Johor, Malaysia.
(6 JamadilAwal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.