Thursday, October 22, 2015

SNEK BIJI RAMBUTAN

SNEK BIJI RAMBUTAN?.... Itulah nama makanan ringan berkhasiat yang dibuat daripada biji buah rambutan (Nephelium lappaceum). Kali pertama penulis melihat snek ini adalah di negara jiran Indonesia semasa berkursus di SPAT, Malang, Jawa Tengah beberapa tahun dahulu. Masa itu saya agak ia adalah biji daripada buah-buahan lain dan bukannya biji rambutan dimana saya hanya mengetahuinya selepas penjual memberitahunya (Sila lihat foto diatas). Bagaimana pun satu laporan akhbar tempatan Harian Metro pada 6 Okt 2015 telah menyiarkan satu artikel mengenai snek biji rambutan yang mana saya telah jumpa dan lihat beberapa tahun dahulu di Malang, Pulau Jawa. Akhbar tersebut telah mulakan dengan ayat 'Siapa sangka biji rambutan boleh dijadikan snek?'. Ia dibuktikan pensyarah UiTM Pulau Pinang Mohamad Azli Razali yang menghasilkan snek dipanggil 'Rambuseed Florentine'. Beliau berkata, snek menggunakan 40 peratus biji rambutan yang telah pun dikeringkan sebagai bahan utama itu adalah sejenis manisan berasal dari Itali. Katanya, selepas biji rambutan dikeringkan, ia disimpan dalam bekas kedap udara. Apabila ia ingin digunakan selalunya biji itu dicencang sebelum dicampur dengan bahan lain mengikut resipi asal iaitu Rambuseed Florentine. Idea menjalankan kajian terhadap biji rambutan ini sebenarnya rentetan daripada kajian terhadap biji durian sebelum ini yang pernah dijadikan tepung untuk digunakan dalam makanan. Tepung biji durian ini saya telah belajar daripada pakar iaitu Bapak Agung di SPAT, Malang semasa berkursus di sana selama 1 minggu iaitu program kerjasama diantara Jabatan Pertanian-TFnet dan SPAT. Artikel malam ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis semula satu cetusan idea dari laporan akhbar mengikut pengalaman penulis iatu potensi biji rambutan untuk dijadikan snek.

Sebenarnya Malaysia dari penelitian saya mempunyai kawasan tanaman rambutan yang luas iaitu sekitar 24,500 hektar CHE dengan hasil sekitar 78,500 metrik tan pada tahun 2014 (Sumber: Laporan Statistik Jabatan Pertanian Malaysia). Walau pun kebanyakan tanaman rambutan ini ditanam secara dusun campuran dikawasan keliling rumah, terdapat juga beberapa petani menanam rambutan secara monokrop terutama untuk jenis atau varieti Anak Sekolah / Rong Rien (R191), Deli Baling (R193), Mas Gading (R156) dan beberapa varieti lagi. Terdapat 67 varieti rambutan yang telah didaftarkan dengan Plant Variety Listing di Jabatan Pertanian dimana hanya beberapa sahaja yang disyorkan untuk ditanam komersil kerana ada permintaan domestik dan eksport. Anda boleh rujuk varieti rambutan dalam siri penulisan saya sebelum ini (Sila klik disini). Kini penulis masih sedih kerana setiap kali musim rambutan lazimnya ada banyak kes yang mana buahnya dibiarkan kering diatas dahan tanpa dituai. Upah untuk memetik, menggred dan menghantar kelokasi jualan tidak setimpal dengan harga jualan runcit yang agak rendah kerana belum ada sistem pemasaran untuk buah rambutan seperti apa yang berjaa dilakukan di Thailand mengenai industri buah rambutan. Ada pula yang memilikki pokok rambutan dikampong kata 'tunggu cucu balik' untuk diberikan mereka makan rambutan (Sila lihat foto sebelah). Malangnya cucu yang balik tidak suka makan buah rambutan sebaliknya mereka lebih suka kepada buah epal, strawberri, kurma dan limau sunkist atau lain-lain buah import.

Berbalik kita kepada potensi menjadikan biji rambutan sebagai snek memang masih ada. Florentine adalah snek bersira yang menggunakan pelbagai kacang import seperti badam dan walnut. Dengan menggunakan biji rambutan dikatakan ia dapat mengurangkan penggunaan kacang badam dalam resipi asli snek ini sebagai produk baru (Sila lihat biji rambutan disebelah). Apa yang menarik adalah penggunaan biji rambutan juga memang dapat menjimatkan kos kerana harga kacang badam yang diimport agak mahal di pasaran. Antara objektif kajian yang dijalankan adalah untuk mengurangkan penggunaan kacang import dengan meng­gantikannya dengan bahan tempatan. Pada masa ini memang masih ramai tak tahu khasiat biji rambutan yang mempunyai Lemak Polifenol tinggi. Polifenol adalah antioksidan yang dapat melindungi tubuh manusia daripada kerosakan sel akibat radikal bebas. Ia memberi manfaat seperti antipenuaan, antiinflamasi, antibarah dan juga antipatogen. Selain itu, biji rambutan didakwa akan dapat membantu merawat penyakit kencing manis. Kajian dilakukan pakar pemakanan iaitu En Pram Pramono ada terdapat ekstrak metanol pada biji rambutan mengandungi flavonoid dan fenolik.

Seterusnya mengenai khasiat dan kehebatan biji rambutan telah dikaitkan dengan cara yang betul untuk menyediakannya. Hanya cara memproses yang betul akan memberi produk berkualiti (Sila lihat foto disebelah). Snek biji rambutan juga didakwa boleh digunakan biji rambutan sebagai perubatan alternatif untuk merawat kencing manis. Biji rambutan juga dipercayai mampu merawat sakit buah pinggang. Asid oleic dan asid stearic dalam biji rambutan juga mampu mencegah penyakit berkaitan jantung. Kajian dimakmal mendapati biji rambutan mengandungi nutrisi seperti protein (7.8 peratus), karbohidrat (46 peratus), serat (11.6 peratus) selain asid lemak seperti oleic (40.3 peratus), arachidic (6.1 peratus), palmitic (7.1 peratus) dan stearic (6.3 peratus). Kini snek biji rambutan mendapat maklum balas positif daripada pengguna semasa ujirasa dijalankan kerana ia adalah rangup, lemak manis dan sedap. Kini didakwa mereka yakin produk ini mendapat sambutan jika dipasarkan dengan cara betul dan berterusan kerana kerana setakat ini belum ada pihak menghasil­kan snek biji rambutan. Produk ini memasuki pertandingan reka cipta dan memenangi pingat gangsa di Pertandingan Inventions, Innovations and Design (IID) peringkat UiTM. Pada saya yang memang lama terlibat dan berkecimpung selama lebih 35 tahun dalam pertanian menyatakan ia mungkin perlukan komitment tinggi untuk mengkomersilkan snek biji rambutan kepada produk akhir.

Pokok rambutan adalah sejenis buah bermusim iaitu berbuah sekitar bulan Jun - Ogos setiap tahun. Biji buah rambutan selalunya dibuang begitu sahaja selapas diambil isinya untuk dimakan. Tetapi masa kini tidak ramai yang meminati makan buah rambutan lagi kerana telah banyak pilihan buah-buahan lain. Harga runcit buah rambutan berbeza-beza mengikut varieti, lokasi jualan dan juga berlaku lambakkan atau tidak. Lazimnya harga runcit rambutan agak tinggi diawal musim berbuah dan menurun atau hampir tidak menguntumgkan dijual ketika musim puncak dan berlaku lambakkan diamana harganya akan naik balik selepas musim penghujung. Kajian penulis di Kedah mendapati harga ladang rambutan Deli Baling sekitar RM0.40 - RM0.70 sekilogram. Kedah Agro juga pernah ada kilang memproses rambutan untuk ditinknan untuk pasaran domestik dan eksport. Bagaimana pun belum ada usahawan tempatan berjaya membuat snek biji rambutan secara komersil dilaporkan oleh Jabatan Pertanian. Apa juga pun artikel ini cuma mendedahkan mengenai snek biji rambutan sebagai satu produk snek yang belum lagi dikenali ramai sebagaimana jualan biji buah gajus. Semuga ia memberi info berguna kepada anda. Wasallam!...
BIJI RAMBUTAN...DIBUANG SAJA...
BOLEH DIPROSES...SNEK JADINYA...
RASA LEMAK... BERKHASIAT PULA...
SUDAH MEMBACA... KENA CUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1323, Hotel Imperial,
Kuching, Sarawak,
Malaysia.
(9 Muharram 1437H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.