Friday, October 16, 2015

MANGGA - COLEK LEMAK MANIS

MANGGA COLEK adalah satu hasilan daripada buah Mangga (Mangifera indica) dan ada dijual di sekitar negeri bersempadan dengan Thailand. Ia merupakan satu produk dalam kategori 'Minimum process (MP)' yang mudah untuk disediakan dan amat digemari sebagai makanan pencuci mulut selepas makan nasi atau terus dimakan begitu sahaja. Produk yang dinamakan 'Colek - Lemak Manis' dikalangan penjual dan pembeli disekitar Kota Bahru, Kelantan memang popular terutama di Pasar Malam Wakaf Che Yeh, Pasar Besar Khadijah dan pasar-pasar lain dimana ia dijual setiap masa bila buah tersebut bermusim. Penulis yang sempat membeli dan menemubual beberapa penjual mendapat idea untuk menulis dalam blog ini sekadar menjadikan satu lagi cetusan idea akan kreativiti rakyat negara jiran dalam usaha mencipta atau mempromosikan produk berasaskan buah mangga yang enak ini. Berjalan dipasar malam Wakaf Che Yeh, saya kira terdapat seramai 7 -8 orang penjual mangga colek ini yang kemas dibungkus dalam plastik seakan-akan 'bunga' yang berwarna hijau (Sila lihat foto diatas). Menurut En Husin iaitu penjual mangga colek yang saya tanya, produk mangga ini memang mendapat permintaan yang amat baik dari pelanggan tempatan. Katanya buah ini didatangkan khas daripada negara jiran Thailand. Penulis ketika kali pertama melalui gerai yang menjual mangga ini amat tertarik dengan susunan mangga colek yang seakan seperti susunan bunga hijau dan terus berhenti mendapatkan maklumat berkaitan. Ia rupanya dari jenis mangga muda yang telah dikupas kulitnya dan meninggalkan warna hijau muda keputihan dan dihiris serta diisikan serbuk asam didalam bingkusan plastik dicelahnya. Ia seakan seperti kudup bunga yang hendak berkembang dengan ada 6 petal yang mana isi mangga dihiris secara seragam. Plastik jernih yang digunakan membolehkan ia tidak dicemari kekotoran dari luar. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai produk 'minimum process' dari buah mangga muda yang amat sesuai dikomersilkan dan dijual sebagai makanan berkhasiat.  


Buah mangga colek Lemak Manis ini mempunyai senarai harga yang sama disemua gerai. Harga runcit dipamerkan adalah RM5.00 untuk dua (2) biji atau sekitar RM2.50 sebiji (Sila lihat foto saya ambil disebelah). Harga runcit ini dikira 'mahal' juga jika dibandingkan dengan kos harga buah mengga lemak manis yang mungkin dijual sebagai putik muda dilokasi asal. Bagaimana pun ia sesuai untuk dijual kepada pengguna kerana telah siap sedia untuk terus dimakan. Saya membeli 4 biji mangga ini dengan harga RM10.00 dan makan satu biji dihotel dan seterusnya 3 biji dibawa balik ke Putrajaya. Ia tanah lama dan tidak busuk walau pun dua hari diletakkan dalam beg baju dimasukkan dalam plastik. Ini kerana mangga muda ini masih keras dan dikategorikan mangga muda yang tahan dalam penyimpanan. Menurut penjual ia bertahan lebih seminggu jika diletakkan dalam suhu bilik dan lebih lama lagi jika disimpan dalam suhu dingin dalam peti sejuk. Mangga colek ini tidak ada dijual di Kuala Lumpur atau Putrajaya kerana mungkin jauh dari sumber. Saya ada tinjau juga di Pasar Tani Mega Putrajaya tetapi belum ada produk ini dijual. Mangga ini diambil daripada pokok mangga jenis lemak manis (penulis kurang pasti varietinya - adakah ia varieti Sala atau Varieti Lemak Manis lain) kerana ia adalah produk akhir. Minta rakan-rakan agronomist yang tahu akan maklumat ini untuk mejelaskan kepada penulis. 


Ketika membuka bungkusan dirumah saya mendapati buah mangga ini telah dibuang kulit ini mungkin mengunakan pisau pengopek kulit.  Selepas dibuang kulit maka ia akan dipotong dua (tidak putus) dikiri dan kanan buah tersebut dan kemudian di kelar kepada 3 potongan kecil. Akhirnya terdapat 6 jejari yang mana dibahagian bawahnya masih melekat pada buah mangga tersebut. Untuk memakannya maka keluarkan buah mangga colek dari bungkusan plastik dan patahkan satu persatu. Jejari ini kemudian dicecahkan kedalam serbuk perasa yang bebekalkan bersama. Serbuk ini adalah campuran antara serbuk asam boi, serbuk cili dan garam yang memberikan lebih keenakkan kepada mangga colek ini. Setelah memakannya beberapa jejari mangga ini, amboi rasanya amat enak kerana ada rasa lemak, sedikit masam, pedas, manis dan juga masin dalam mangga colek ini. Jejari mangga yang rangup ini mudah dikunyah dan memberikan kepuasan tidak terhingga untuk dimakan. Produk 'minimum process' ini merupakan satu produk dari mangga yang bleh diketengahkan lagi di sekitar Lembah Kelang. Petani dan usahawan tempatan perlu menanam mangga jenis ini dan dipetik muda untuk dijadikan mangga colek yang enak dan sesuai dihidangkan setiap masa. Semuga akan ada produk seperti ini yang dijual berhampiran dengan penulis untuk menikmatinya. Wasallam!.
MANGGA COLEK... HIJAU WARNANYA...
DIBUANG KULIT... DIBALUT ISINYA...
DICECAH ASAM BOI... ADUH ENAKNYA...
KOTA BAHRU.. BANYAK DIJUALNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 113, Ridel Boutique Hotel,
wakaf Che Yeh, Kota Bahru,
Kelantan, Malaysia.
(29 Zulhijjah 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.