Monday, October 19, 2015

KELAPA DAN SAWIT - ANALISA EKONOMI

Tanaman KELAPA SAWIT (Elaeis guineensis) dan KELAPA (Cocos nucifera) adalah dua jenis tanaman dari keluarga Arecaceae yang popular di Malaysia. Kelapa sawit pada masa ini mendudukki tempat pertama dalam sektor tanaman di Malaysia dimana direkodkan keluasan 4.7 juta hektar pada tahun 2014 dan menyumbang sebanyak RM2.3 billion setahun. Tanaman kelapa sawit dimajukan oleh sektor swasta melalui pembukaan estet seperti Sime Darby, Golden Hope dan juga Syarikat GLC seperti FELDA, FELCRA dan juga oleh pekebun kecil kelapa sawit. Terdapat lebih darii 1,200 buah kilang kelapa sawit diseluruh negara yang mempproses tandan kelapa sawit kepada Crude Palm Oil (CPO) dan beribu kilang lagi yang terlibat dengan aktiviti pemprosesan hiliran. Tanaman kelapa pula merupakan tanaman ke 4 terpenting dalam negara selepas kelapa sawit, getah dan padi. Terdapat seluas 87,500 hektar tanaman kelapa di Malaysia dengan pengeluaran sebanyak 650 juta biji kelapa bernilai sekitar RM700 juta setahun. Kajian Jabatan Pertanian mendapati 65-70% pokok kelapa tersebut adalah dari jenis Kelapa Tinggi jenis Malayan Tall (CN1) manakala sekitar 20% dari varieti Hibrid seperti Matag (CN13, CN14 dan CN15) dan MAWA (CN3) dan bakinya adalah Kelapa Pandan (CN6)serta kelapa jenis lain (Sila klik disini untuk mengenali 16 varieti kelapa yang telah berjaya didaftarkan di Malaysia). Artikel petang Ahad 18 Oktober 2015 ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu analisis ekonomi diantara hasil tanaman kelapa sawit dengan tanaman kelapa satu kajian kes dijalankan di Kg Sg Ayam, Batu Pahat, Johor dan beberapa lokasi laon di Kuala Selangor dan Bagan Datoh, Perak.


Kajian kes ini dijalankan semasa aktiviti lawatan penulis terhadap beberapa projek penanaman kelapa oleh Jabatan Pertanian. Tanaman kelapa ditumpukan kepada 3 lokasi atau kluster kelapa iaitu di Daerah Batu Pahat, Johor, Sabak Bernam, Selangor dan Bagan Datoh, Perak. Tumpuan penanaman dengan memulihkan kawasan dan penanaman baru dengan bantuan diberikan kepada petani dikawasan kelapa. Tinjauan penulis mendapati tanaman kelapa ini secara semulajadi ditanam dikawasan kampong bersama dengan tanaman kelapa sawit dan tanaman lain mengikut kemahuan pemilik lot-lot tanah. Sebagai contoh di Kg Sg Ayam didapati tanaman kelapa Matag dan Kelapa Pandan ditanam bersebelahan dengan tanaman kelapa sawit disepanjang kampong tersebut.   Kelapa Sawit ditanam sebagai tanaman industri oleh sektor pekebun kecil dimana buah yang dipetik akan dihantar kepada pemborong dan seterusnya dikumpulkan dan dihantar kekilang. Pihak PPK dan beberapa pemborong kecil beroperasi dikawasan kampong untuk memetik buah kelapa sawit malahan turut membaja, membuat cantasan pelepah (pruning) dan sebagainya. Pemilik kebun kebanakannya hanya tunggu dirumah untuk menerima wang tunai daripada pemborong kelapa sawit yang dilantik. Pekerja ladang yang membuat kerja-kerja diladang sawit dan kebun kelapa dikawasan kampong kini kebanyakannya adalah orang asing (terutama dari Indonesia) yang bekerja sepenoh masa. Itulah senario penanaman kelapa sawit di kawasan kampong masa kini.


Apa pun penulis ingin membincangkan analisa ekonomi penanaman kelapa berbanding dengan tanaman kelapa sawit pada masa harga kelapa sawit agak rendah masa artikel ini ditulis. Penulis menebubual 4 orang petani yang mempunyai kebun kelapa sawit dan juga kebun kelapa pandan serta kelapa Matag. Salah seorang daripada mereka adalah Tn Hj Kason yang merupakan seorang peladang jaya diperingkat Negeri Johor dan peringkat Kebangsaan. Beliau mempunyai banyak kawasan tanaman kelapa dan sawit sama ada ditanah kepunyaan sendiri atau tanah yang disewa daripada penduduk dalam kampong. Katanya pada masa kini untuk kawasan seluas 10 ekar kelapa sawit yang telah berbuah miliknya mampu menghasilkan sekitar 10 mt buah kelapa sawit dalam sebulan (Purata hasil kelapa sawit sekitar 1 mt seekar). Harga kelapa sawit semasa kajian kes dibuat adalah sekitar RM300 - RM350 satu metrik tan. Ini menjadikan anggaran purata pendapatan untuk 10 ekar (4 hektar) kelapa sawit adalah RM3,000 - RM3,500 sebulan yang diterima. Bagaimana pun hasil dari kelapa sawit dikawasan tanah gambut katanya kadang-kadang tinggi dan turun bergantung kepada jumlah tuaian, cuaca dan juga harga. Bagaimana pun banyak mana tandan sawit yang dipotong memang tidak pernah ada masaalah pasaran kecuali harganya sahaja yang tidak menentu.  


Bagi tanaman kelapa pula ianya ada dua jenis kelapa dikawasan kajian iaitu Kelapa Pandan dan Kelapa Matag. Kelapa Pandan ditanam untuk dijual bagi air kelapanya yang berbau pandan dan ia dikenali sebagai 'aromanic coconut' dikalangan pelancong asing. Kelapa Pandan dipetik sebagai kelapa muda kerana apabila ia sudah tua maka kurang kualiti airnya. Kelapa pandan dengan isi yang masih lembut atau tandan buah sekitar 7- 8 bulan sesuai dipetik setiap bulan. Sepokok mampu menghasilkan setandan kelapa pandan setiap bulan jika pokok dibaja dan dijaga dengan baik. Saiz buah dan bilangan biji kelapa juga bergantung kepada kesuburan pokok. Kajian penulis mendapati dalam 10 ekar (4 hektar) kelapa pandan mampu dipetik sebanyak 10,000 biji sebulan. Ini berasaskan kepada pengiraan iaitu sebanyak 10 biji buah setandan dengan 100 tandan dari sekitar 100 pokok kelapa dituai dalam sebulan. Pada masa kajian harga ladang kelapa pandan adalah RM1.70 sebiji (harga naik sebanyak 30 sen semenjak Mac 2015) menjadikan purata pendapatan kasar dari 10 ekar tanaman kelapa pandan mencecah sehingga purata RM17,000.00 sebulan. Dahulu mereka menerima sekitar RM14,000 sebulan semasa harga ladang kelapa pandan sekitar RM1.40 sebiji. Mulanya penulis agak terkejut dengan kiraan ini tetapi setelah diulangtanya beberapa kali kepada beberapa petani mereka seterusnya mengesahkannya. Ini bermakna semasa kajian kes ini dijalankan, anggaran pendapatan dari 10 ekar tanaman kelapa pandan hampir lima (5) kali ganda daripada pendapatan kelapa sawit. Pada masa ini peraih tetap akan datang mengambil kelapa pandan yang dihantar kebandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura.


Analisa penulis dalam kajian kes ini diteruskan dengan penanaman kelapa Matag yang matang dan berbuah dikawasan kajian. Pokok kelapa Matag adalaj jenis kelapa hibrid kacukan diantara kelapa renek MRD atau MYD dengan kelapa tinggi Tagnanan. Benih F1 kelapa hibrid tulin ini hanya dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian, United Plantation dan NLFCS sahaja dengan harga pasaran sekitar RM30.00 sepokok. Adalah difahamkan pada masa kajian ini ditulis bekalan benih kelapa Matag amat berkurangan akibat dua syarikat yang dahulu mengeluarkan benih ini tidak menjual benih tersebut kerana digunakan untuk penanaman diestet mereka sahaja. Ramai petani yang tertipu dengan pembelian benih kelapa Matag F2 yang diambil daripada pokok kelapa Matag yang berbuah untuk dijadikan benih. Berbalik kepada kajian dijalankan, tanaman 10 ekar (4 hektar) kelapa matag yang dipetik sebagai buah kelapa muda (berumur 8 bulan) mampu menghasilkan sebanyak 7,000 biji sebulan. Ini berdasarkan kepada rekod tuaian kelapa matag muda sebanyak 10 biji setandan dengan 70 pokok seekar.  Pada masa kajian harga ladang kelapa matag muda adalah RM1.40 sebiji dan harga kelapa matag tua sekitar RM1.00 sebiji. Ini menjadikan pendapatan ladng dari 10 ekar tanaman kelapa matag dipetik muda adalah sebanyak RM9,800.00 sebulan. Pendapatan ini adalah lebih dua (2) kali ganda daripada pendapatan tanaman kelapa sawit dikawasan tanah gambut dengan keluasan yang sama. Walau pun mungkin kajian ini amat 'basic' berdasarkan kepada temubual dengan beberapa petani namun ianya boleh dijadikan tanda aras rujukkan mengenai senario semasa analisa ekonomi kedua tanaman ini. Semuga kajian lebih lanjut dapat dijalankan oleh saintis, ahli akademik dan ekonomis dalam sektor pertanian dimasa akan datang. Semua maklumat dan analisa adalah hasil tinjauan oleh penulis sendiri. Wasallam!...


TANAM SAWIT... HASIL DIANALISA...
KELAPA PANDAN... MATAG JUGA...
AMAT TERKEJUT ... PADA MULANYA...
DISEMAK-SEMAK...BETUL IA NYATA... 

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Bangunan Kompleks Seri Negeri,
Air Keroh, Melaka,
Malaysia.
(19 Zulhijjah 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.