Sunday, October 2, 2022

KELAPA - SEMAIAN TACUNAN DI JOHOR

KELAPA TACUNAN
(Cocos nucifera) merupakan sejenis kelapa renek (Dwarf variety) yang kini banyak ditanam di negara Filipina. Kelapa Tacunan merupakan satu varieti kelapa renek yang natif dari negara tersebut dan ditanam oleh ramai petani yang mana ia dapat menghasilkan buah dengan kadar cepat tidak sampai 3 tahun berbanding dengan kelapa tinggi yang mencecah hampir 7 tahun untuk mula berbuah. Pokok Kelapa Tacunan mempunyai beberapa 'line' pembiakan bergantung kepada lokasi dan juga sifat baik yang diperlukan oleh pembiakbaka. Tinjauan penulis blog beberapa kali ke Pusat Pertanian Ulu Dusun Agriculture Research Station, Sandakan, Sabah (
UDARS) yang dikelolakan oleh Jabatan Pertanian Sabah dimana mereka telah membuat penyelidikan dan pemerhatian mengenai Kelapa Tacunan selama lebih 20 tahun. Hasilnya Jabatan Pertanian Sabah telah melancarkan penggunaan varieti kelapa Tacunan baru tersebut untuk ianya dikomersilkan sebagai kelapa jenis renek yang berpotensi baik. Ia merupakan jenis kelapa renek yang setanding dengan kelapa premium terpilih lain untuk ditanam dengan komersil kerana ciri berbuah cepat, saiz buah kelapa lebih besar dan hasil yang banyak. Kelapa tacunan dikaitkan dengan sifat pokok tersebut yang berbuah awal dan tandan kelapa yang pertama lazimnya mencecah tanah. Ini yang membolehkan kelapa renek ini melalui program biakbaka (selection process) menghasilkan varieti yang baik. Penulis yang minat membuat beberapa lawatan teknikal dan mendapatkan maklumat mendapati kelapa tacunan amat disukai oleh petani di Filipina yang menanam seluas 3.6 juta hektar kelapa. Ini kerana dilaporkan dimana batang kelapa tacunan adalah kukuh dan tahan kepada tiupan angin kencang (typhoon) yang datang beberapa kali setahun. Kelapa tacunan dijadikan sebagai pilihan penting didalam industri tanaman kelapa di Filipina dan kemudian penulis blog dapat maklumat dimana di Thailand juga sudah dikomersilkan varieti kelapa ini. Artikel malam ini ditulis dalam blog "Anim Agro Technology" tentang info bagaimana benih kelapa tacunan dari Sabah dibawa masuk ke Johor yang saya terlibat secara langsung dahulu (2014 - 2015) bertujuan untuk menambah koleksi varieti kelapa sedia ada di Semenanjung Malaysia.

P
enulis blog yang berjaya membawa masuk anakbenih Kelapa Tacunan yang diambil dari Jabatan Pertanian Sabah sebanyak 200 biji telah diterima pada 2014 dan daripada jumlah tersebut sebanyak 117 biji telah bercambah dengan baik dalam tapak semaian. Penilaian penulis blog pada tahun 2015 dimana hanya 106 pokok telah berjaya ditanam untuk ianya dijadikan pokok induk kelapa tacunan di Semenanjung Malaysia. Pemilihan tapak ladangbenih ini adalah di Pusat Pertanian Kongkong, Masai, Johor. Ini merupakan satu lagi kejayaan yang tinggi untuk prestasi percambahan kelapa yang beribu batu jauhnya dibawa dari tempat asal. Bagaimana pun antara faktor kejayaan peratus percambahan ini adalah cara penjagaan yang efisien oleh mereka yang bertugas dimana ia disemai dalam kelambu dan dijaga dengan baik. Pada 21/8/2014 sebanyak 201 biji benih kelapa diterima melalui AirAsia Kargo di KLIA2 jam 7.30 malam. Penyemaian 196 biji benih kelapa dilakukan di tapak semaian Taman Pertanian Johor, Kong Kong. Pada masa sama Kong Perbincangan cadangan untuk penubuhan J/Kuasa Teknikal bagi penubuhan benih kelapa Tacunan dipengerusikan saya. Penanaman sebenar diladang dimulakan pada 15 Febuari 2015 dan ia juga masa itu dijangka akan mula sudah memberikan hasil sekitar tahun 2019 atau 2020 nagi pengeluaran benih tacunan paling awal. Pada 3/4/2018 sebanyak 22 pokok dari 112 pokok kelapa Tacunan telah mula dilihat mengeluarkan purata 4 jambak mayang dengan 5 - 19 putik bunga betina dan satu seludang yang belum terbuka. Pad 3/3/2019 sebanyak 8 pokok mati sebab diserang kumbang tanduk dan 4 pokok mati dipanah petir dan ini menjadikan hanya100 pokok sahaja sahaja yang hidup. Pada 23/6/2020 (zaman PKP Covid-19) dimana sebanyak 99 pokok dari 100 pokok kelapa yang hidup telah mengeluarkan hasil dan menunjukkan ciri-ciri Tacunan Green Dwarf (TACD). Kesemua 99 pokok warna hijau dimana pemeriksaan mendapati purata buah adalah 10 biji per tandan.

Pe
meriksaan pada 29 Jun 2020 telah mendapati dimana 1 pokok yang telah berhasil tetapi menunjukkan ciri-ciri Malayan Yellow Dwarf telah ditebang. Bilangan pokok di petak LVT sekarang adalah sebanyak 99 pokok. Bagaimana pun terkini iaitu pemeriksaan pada 22 Jun 2022 mendapati dimana pokok Kelapa Tacunan telah berumur 7 tahun. Terkini dimana bilangan pokok di petak LVT adalah 99 pokok. Dianggarkan lebih 90% pokok menunjukkan ciri-ciri Tacunan Green Dwarf dengan purata tandan adalah 11 tandan/pokok dengan purata bilangan buah 10 biji per tandan. Pengesyoran varieti akan dibuat tahun ini oleh Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia. Apa pun sebagai kawalan dimana pegawai pakar dari Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Putrajaya dan cawangan teknikal di Johor telah melaksanakan pemeriksaan bagi membuat pengesahan pokok induk kelapa tacunan. Sebanyak 99 pokok kelapa tacunan yang dikenalpasti telah diperiksa. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan hasil temuan yang didapati hanya 49 pokok Kelapa Tacunan telah disahkan tulin manakala bakinya 44 pokok kelapa dikategorikan sebagai benih “Off-Type”. Bagi mengeluarkan benih kelapa tacunan yang tulen, pokok kelapa Öff-Type” sebanyak 44 pokok perlu ditebang. Pokok tacunan yang sedia ada adalah sudah disahkan ssuai untuk dijadikan pokok induk Kelapa Tacuna noleh Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia bagi kegunaa dalaman sahaja. Belum ada anakbenih Tacunan Tulin yang sedia diedarkan kepada petani setakat sekarang.

Dari segi perancangan dimana dengan purata anggaran sebanyak 80 - 90 biji setandan yang boleh dijadikan anakbenih bermakna sekitar 1,000 - 5,000 benih kelapa tacunan dihasilkan setahun pada peringkat awal pengeluaran benih. Benih kelapa tacunan ini menambah lagi isu kekurangan benih kelapa berpotensi di negar kita selain daripada benis sedia ada yang diedarkan oleh Jabatan Pertanian iaitu MATAG, Pandan dan MAWA. Permintaan benih hibrid MATAG mencecah sehingga 150,000 - 250,000 biji setahun walau pun kemampuan penghasilan dalam negara maksima cuma kurang dari 100,000 biji setahun. Antara yang boleh mengeluarkan benih kelapa hibrid MATAG tulin adalah Jabatan Pertanian, United Plantation Estates (UP di Bagan Datoh), Ladang PPNJ di Segamat dan juga NLFCS Estates (Di Sg Siput Perak). Kerajaan melalui Jabatan Pertanian kemudian mensasarkan penambahan keluasan tanaman kelapa dengan tanaman Kelapa Pandan, Kelapa Renek MYD, MRD, Malayan Tall serta beberapa varieti premium lain yang dilaksanakan oleh pihak swasta. Pokok kelapa varieti Tacunan mampu mengeluarkan hasil sehingga 50 ke 90 biji sepokok setahun buah kelapa pada keadaan tempatan. Kajian dimakmal mendapati isi kelapa tacunan memang mengandungi asid laurik dan hasil minyak yang tinggi. Purata sebiji kelapa tacunan boleh menghasilkan sebanyak 53ml VCO (Virgin Coconut Oil). Ia merupakan varieti kelapa yang sangat sesuai ditanam untuk industri pembuatan VCO dimasa akan datang. Kajian juga mendapati buah kelapa tacunan yang cukup matang mengandungi 460g isi segar yang boleh menghasilkan 247g kopra pada 6% kelembapan. Purata berat buah yang diukur adalah 1,292gram (atau 1.3 kg sebiji) dan ini merupaka sangat besar. Ketika penulis bersama mengukur buah tersebut di UDARS mendapati, purata ukurlilit 'polar' buah sepanjang 62cm dan juga ukurlilit 'equatorial' buah adalah 55cm. Kemudian sabut kelapa dikeluarkan dan ditimbang dimana ia memebrikan bacaan 381 gram. Kajian mengenai jumlah isipadu air dalam kelapa tacunan adalah purata sebanyak 238 ml sebiji. Ini amat sesuai untuk dijadikan industri air kelapa dan cconut shake (boleh dapat 2-3 gelas!). Apa yang istimewa mengenai kelapa tacunan ini juga mengenai kandungan dan tahap kemanisan airnya dengan bacaan 8.9%TSS (Total soluble sugar) iaitu agak manis. Berat tempurung yang dikira sebanyak 212 gram sebiji dan memberikan berat isi segar sebiji kelapa memberikan purata 460 gram. Kajian sterusnya mendapati ketebalan isi kelapa adalah sekitar 10.7mm. Analisa dilakukan terhadap kelapa tacunan dimana berat kopra yang dihasilkan sebanyak 247 gram sebiji dengan hasilkan kandungan minyak sebanyak 53ml. Purata berat buah kelapa muda untuk kegunaan air minuman pula adalah sekitar 3,837gram dimana ia mempunyai air dan sabut basah yang besar. Varieti kelapa tacunan ini atau Tacunan Green Dwarf (TACD) dijangka akan menjadi salah satu varieti kelapa premium di Malaysia dimasa akan datang jika anakbenih sudah banyak dikeluarkan dengan perancangan baik. Sehingga artikel ini ditulis dimana pokok induk yang dijaga baik sudah berumur 7 tahun dan sudah sesuai untuk dikembangkan sebagai pokok induk. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
BENIH TACUNAN... SEMAIAN DIJAGA...
NEGERI JOHOR... TEMPAT BERADA....
BENIH BERKUALITI.... AMAT SUBURNYA...
DITANAM ... LADANG BENIH JADINYA... 


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 518, Hotel Katerina,
Jalan Zabedah, Batu Pahat,
Johor, Malaysia.
(5 RabiulAkhir 1436H).
Kemaskini pada 28 September 2022 bersamaan 28 Safar 1444H.
Penulis blog ada merujuk kepada Pengarah Bahagian PTIF,
Jabatan Pertanian Malaysia, Putrajaya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.