Monday, September 7, 2015

KACANG BAMBARA

KACANG BAMBARA (Vigna subterranea L) merupakan sejeni tumbuhan kekacang daripada keluarga Fabaceae (Dahulu famili Leguminaceae). Pokok ini juga dipanggil sebagai Bambara Groundnut, Bambara-bean, Congo Goober, Earth Pea, Ground-bean, Hog-peanut yang kurang popular di negara kita tetapi luas ditanam di Indonesia dan Thailand. Di Indonesia kacang ini lebih dikenali sebagai 'Kacang Bogor' kerana ia banyak ditanam di kawasan tersebut dan menjadi salah satu ikon bandar tersebut. Tumbuhan ini adalah berasal atau natif dari Afrika Barat iaitu dari kawasan Sub-Sahara tropika yang panas dan kering. Ia merupakan jenis tanaman kekacang yang ketiga terpenting dikawasan kering gurun Sahara sekitar Afrika. Tumbuhan kacang ini mampu hidup dalam keadaan tanah kurang subur, kurang air dimana jenis pokok kekacang lain tidak sesuai tumbuh. Bagaimana pun ia mengandungi bahan karbohiderat tinggi iaitu sebanyak 65% dan kandungan prootin sebanyak 18%. Tanaman kacang bambara ini menjadi tanaman penting dikawasan pendalaman di Afrika dimana mereka agak sukar untuk mendapatkan sumber protin. Seperti juga pokok kacang tanah (Sila lihat foto diatas), kacang bambara akan menghasilkan buah atau lengainya didalam tanah dan akan dituai dalam 3 bulan selapas tanam. Kacang bambara ini boleh dimakan segar ataupun diproses sama seperti kacang tanah. Apa yang penting mengenai kehebatan tumbuhan ini adalah ia boleh megikat nitrojan dalam tanah dan mampu untuk menyuburkan tanah terutama dikawasan tanah kering dan panas. Artikel malam Ahad ini dalam keletihan selepas membuat kenduri Aqiqah cucu pertama, saya masih mampu untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis tanaman kekacang yang berpotensi untuk dimajukan di Malaysia pada masa akan datang.


Pokok kacang bambara atau kacang bogor adalah merupakan salah satu jenis kacang jenis minor yang belum popular di Malaysia tetapi telah dikomersilkan di Indonesia. Kawasan Bogor merupakan paling luas menanam kacang ini sehingga diberikan namanya kepada Kacang Bogor. Para petani dan pengguna pada umumnya memanfaatkan kacang bambara sebagai bahan bercampur dengan sayuran dan tanaman kontan lain. Ia diambil dalam bentuk bentuk kacang rebus dan kacang goreng. Kajian menunjukkan bahawa biji kacang bambara biasanya dimasukkan dalam 'oven' dan dijadikan sebagai tepung yang memiliki nilai permakanan yang baik. Kacang bambara dapat digunakan untuk menghasilkan air susu seperti juga air kacang soya. Kajian makmal menunjukkan ia memang disahkan kaya dengan nutrisi dimana ia mengandungi bahan protein yang boleh menggantikan kacang soya. Kacang bambara merupakan tanaman jenis kekacang yang memiliki peranan dalam mempelbagaikan jenis bahan makanan. Kacang bogor yang diproses kering mengandung antara 16-21% protein, 50-60% karbohidrat dan 4.5-6.5 % lemak. Selain itu ia didapati mengandungi bahan seperti Kalsium, Fosforan, Zat besi dan Vitamin B1. Kandungan karbohidrat yang tinggi menyebabkan kacang bambara boleh menjadi alternatif bahan makanan dalam program mempelbagaikan jenis tanaman kontan di negara kita. malaysia merupakan 'net importer' bahan kekacang terutama Kacang Tanah (Ground nut), Kacang Soya (Soybean) dan Kacang Hijau (Mung Beans). Kacang ini juga boleh dijadikan tanaman bagi mengatasi masaalah hakisan tanah dan bahan makanan ternakan.  


Tanaman Kacang Bambara merupakan jenis tanaman herba semusim dengan batang lateral yang menjalar di atas tanah. Tanaman kacang bambara sesuai ditanam pada tanah rendah sehingga pada tanah dengan ketinggian 1,600 meter dari permukaan laut. Keperluan iklim kacang bambara sama dengan kacang tanah. Suhu purata tahunan yang diperlukan sekitar antara 19 - 27 darjah Celsius dengan sinaran matahari yang cukup. Curahan hujan yang dikehendaki berkisar antara 500-3,500 mm setahun. Keunggulan utama dari tanaman kacang bambara adalah tahan hidup di tanah dengan tahap kesuburan marginal dengan kurang air sehingga banyak ditanam ditanah kering Afrika tropika. Tanaman ini memiliki kandungan zar permakanan yang tinggi dan mampu untuk ditanam dikawasan kering seperti di tanah bris dipantai timur. Tanaman kacang bambara juga dapat menyumbangkan nitrogen untuk tanah melalui simbiosis dengan bakteria rhizobium dalam bintil akar. Ia lebih tahan dikawasan tanah bris yang kini kurang ditanam atau dimajukan. Tumbuhan ini amat sesuai bagi dijadikan salah satu daripada tanaman untuk menggantikan tanaman tembakau yang kini tidak dibenarkan ditanam di negara kita. Petani yang dahulunya menanam tembakau amat digalakkan menanam kacang bambara ini di Kelantan dan Terengganu.


Kacang bambara termasuk dalam famili Leguminoceae atau Papilionaceae dan kini dalam famili Fabaceae. Kacang bambara mempunyai susunan genom 2n dengan jumlah kromosom 11 pasang (2n = 22). Batang pokok mempunyai banyak cabang yang keluar dari pangkal perdu sekitar seminggu setelah bercambah. Lazimnya sebanyak 20 cabang dapat dihasilkan bagi setiap rumpun. Setiap cabang terdiri dari internodes dimana cabang dekat pangkal pokok adalah lebih pendek sedikit. Batangnya memang sangat pendek sehingga dilihat seolah-olah tidak berbatang tetapi mempunyai cabang banyak. Tanaman ini jika dilihat di permukaan tanah nampak merumpun dan terdiri atas sekumpulan tangkai daun yang panjang. Sistem perakaran pada kacang bambara adalah akar serabut dan ia menyebar ke segala arah dimana ia masuk ke dalam tanah. Kedalaman sistem perakaran dipengaruhi oleh tahap atau kesuburan tanah namun kebanyakannya adalah sekitar 30 cm. Akar tanaman kacang bambara membentuk bintil-bintil akar untuk mengikat nitrogen dengan bersimbiosis bersama bakteria Rizhobium. Bakteria ini mampu mengikat nitrogen bebas (N2) dari udara dan menyuburkan tanah. Tanaman kacang bambara mempunyai jenis daun majmuk dengan tiga anak daun yang berbentuk agak ellips (Trifoliate). Tangkai daun agak panjang, tumbuh tegak dan sedikit berbulu. Daun trifolia ini akan muncul pada setiap ruas (node) dengan tangkai daun yang panjang, tumbuh tegak, berlekuk, menebal pada dasarnya dan sedikit berbulu. Daun berbentuk lanset hingga jorong sempit. Daun berwarna hijau muda sampai hijau tua. Daun tengah biasanya sedikit lebih besar dibandingkan dengan daun lateral dimana ia memanjang berukuran sekitar 6 cm panjang dan sekitar 3 cm.


Bunga kacang bambara termasuk jenis yang berbunga kupu-kupu. Bunganya akan keluar dengan banyak apabila pokok matang dari ketiak daun dan membesar mengikut umur. Kelopak atau mahkota bunga berwarna kuning tua kemerah-merahan dimana ada juga yang berwarna merah gelap. Panjang tangkai bunga tidak lebih dari 1.5 cm. Bunga terdiri dari lima kelopak daun berbulu (empat di bahagian atas dan satu di sisi bawah). Lazimnya pada daun keempat daun atas hampir sepenuhnya bergabung dan yang lainnya agak rendah sepalnya. Lazimnya ia berbunga dan membuka pada masa pagi hari dengan warnanya putih kekuningan. Bagaimana pun menjelang malam hari akan berlaku dimana perubahan warna dari kuning ke pada coklat. Bunga yang dihasilkan menjelang akhir kehidupan tanaman biasanya berwarna coklat muda. Setelah berlaku pendebungaan maka tangkai bunga akan memanjang dan masuk ke dalam tanah sebagai 'Ginofora'. Buah lengaii terbentuk dalam tanah dalam bentuk lengai bulat. Jangkamasa perkembangan lengai kacang dalam tempoh 30 hari setelah terjadi pendebungaan. Lengai buah yang masak atau tua dalam keadaan yang segar berwarna putih dan halus. bagaimana pun apabila dikeringkan maka ia akan berubah menjadi kecoklatan dan berkerut. Setiap lengai mengandungi sekitar 1-2 biji dengan bentuk agak bulat, licin dan keras. Warna kulit biji berbagai daripada berwarna putih, krim, coklat, ungu dan hitam. Lengai buah yang matang sering mengusut, dimana oa bermula dari warna kekuningan ke warna coklat kemerahan gelap. Biji kacang bambara berbentuk bulat dan mempunyai struktur yang terdiri atas kulit biji, tali pusat (funiculus) dan inti biji (nucleus seminis). Kulit bijinya adalah nipis dengan berwarna putih susu pada stadium muda. bagaimana pun ia kemudian berubah menjadi merah sampai kehitaman semasa cukup  tua. Pusat biji (hilus) selalunya akan berbentuk bulat dan berwarna keputih-putihan. Biji kacang bambara jenis berkeping dua (dicotyledone).


Penanaman kacang ini sama seperti kacang tanah juga diserang beberapa jenis penyakit dan perosak. Diantara jenis penyakit yang dilaporkan menyerang tanaman kacang bambara adalah seperti Penyakit Bintik Daun (Cerscospora canescens atau Phyllosticta voandzeia) yang boleh dikawal dengan bahan kima diperingkat awal penanaman. Penyakit Kulapok Berdebu atau Powdery mildew (disebabkan oleh Erysiphe sp.) juga menyerang jika keadaan cuaca agak lembap. Seterusnya kacang bambara boleh diserang Penyakit Layu Bakteria atau bacteria wilt (disebabkan oleh Fusarium sp.). Serangan Leaf blotch yang disebabkan oleh kulat Phomopsis sp. dan Penyakit Reput Akar (disebabkan oleh Scleorotium rolfsii) juga menyerang tumbuuhan ini. Semua jenis serangan penyakit ini boleh dikawal dengan kaedah IPM dan menggunakan bahan kimia atau varieti yang tahan serangan. Selain itu pokok kacang bambara ini juga diserang beberapa perosak seperti Aphids (Aphis sp.), Serangga Bruchids (Callosobruchus sp.), Belalang seperti jenis Leaf hoppers (Hilda patruelis), Anai-anai, Cacing nematod (Meloidogyne spp), Tikus dan juga tanaman parasir iaitu jenis Alectra vogelii and Striga gesnerioides. Kacang ini dijual murah kepada peraih dan sebaiknya diproses sendiri oleh petani untuk mendapatkan pulangan lebih baik. Terdapat beberapa jenis mesin memproses kacang bambara sehingga ia boleh dijadikan makanan yang bernilai tinggi dan eanak dimakan (Sila lihat foto disebelah). Produk kacang bambara atau kacang bogor di Indonesia boleh dimajukan di negara kita terutama dikawasan tanah marginal seperti tanah bris untuk menambah pendapatan petani. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.
KACANG TANAH... IANYA BAMBARA...
TANAMAN BARU... ASALNYA AFRIKA...
TAHAN KEMARAU ...KELUAR HASILNYA ...
KITA BERKENALAN...KALI PERTAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 615, HIG Langkawi Hotel,
Kuah, Langkawi,
Kedah, Malaysia.
(20 Zulkaedah 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.