Sunday, September 20, 2015

CANTUM POKOK TUA

CANTUMAN POKOK TUA merupakan satu aktiviti yang kini boleh dilakukan terhadap beberapa jenis pokok buah-buahan terpilih. Kini anda boleh memetik pelbagai jenis pokok mangga pada satu pokok yang sama kerana ia mempunyai beberapa jenis varieti mangga yang berlainan. Perkara ini bukan suatu yang mustahil melalui teknologi cantuman pokok diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian dan MARDI. Penulis telah beberapa kali melihat dan menjalankan cantuman dewasa terhadap pokok durian, pokok limau, pokok mangga dan juga pokok  manggis. Kini kaedah itu tidak memerlukan sebidang tanah yang luas, sebaliknya pokok penanti yang ditanam di tepi rumah juga berupaya menghasilkan pelbagai buah daripada spesies buah yang sama.  Andai tiba musimnya dimana pokok yang banyak jenis varieti akan dapat dikutip hasilnya daripada pelbagai sudut pokok berbeza. Lazimnya pokok penanti digunakan itu mampu mengeluarkan buah daripada jenis dikehendaki. Sebagai contoh varieti mangga, kita dapat mengutip hasil dari pada jenis varieti Chokanan (MA224), varieti Harumanis (MA128), Epal (MA194), varieti  King, varieti Nam Dok Mai (MA223) dan varieti Mangga Telur. Pokok mangga yang mempunyai dahan yang memeng boleh direndahkan melalui program cantasan seterusnya membolehkan kita membuat cantuman dewasa dengan beberapa varieti lain pada ranting yang dihasilkan. Artikel petang sabtu ini sambil menonton cerita hindustan TV3 saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknik cantuman pada pokok tua atau pelbagai varieti untuk bacaan dan menambah ilmu kita semua.

Dikenali sebagai Amalan Cantuman Dewasa Pokok Buah-Buahan, Pokok Buah-buahan dari pelbagai Varieti atau Klon boleh dibuat cantuman dewasa. Lazimnya teknologi itu dapat membantu pengusaha buah-buahan dan individu mempelbagaikan varieti pokok. Setiap varieti buah-buahan memang mempunyai kelebihnan dan juga kelemahan masing-masing walau pun dicantum pada pokok yang sama. Ketua Unit Pengeluaran Bahan Tanaman Biji Benih dan Baka Ternakan, Dr Mohd Selamat Madom berkata, teknologi diperkenalkan itu bagi pemulihan pokok buah-buahan yang sudah berusia dan tidak produktif (Sila lihat foto sebelah). Bellau yang kini telah bersara dan menjadi pensyarah di UMS Sabah dimana penulis ada menyatakan bahawa biasanya apabila ada proses pemulihan pokok buah-buahan dilakukan untuk pokok yang sudah tua. Perkara yang kita lakukan dalam cantuman dewasa adalah pokok akan ada aktiviti baru dimana ia perlu dipangkas dan tunas baru akan dicantumkan dengan benih yang lebih baik. Kaedah ini dilakukan pada pokok mangga sala yang dicantumkan dengan mangga harumanis di Perlis (Sila lihat foto disebelah). Jabatan Pertanian juga telah berjaya untuk mempromosikan teknik cantuman dewasa bagi tanaman durian dengan beberapa teknik cantuman seperti Cantuman Mata Tunas, Cantuman Sandeng dan juga Cantuman Tampal (Patching). Projek ini banak dijalankan di Pahang, Johor dan Perak dengan mencantumkan varieti durian D197 iaitu Raja Kunyit atau Musang KIng yang mendapar permintaan tinggi dipasaran domestik dan eksport.


Pada saya cantuman pada pokok tua atau cara Cantuman Dewasa ini adalah satu cara untuk membiakkan (populasi) tumbuhan sama ada melalui teknik cantuman mata tunas ataupun cantuman baji untuk menghasilkan anak pokok tulen atau sama seperti pokok induk. Tumbuhan perlu dibiakkan secara cantuman untuk memastikan ketulenan varieti tumbuhan itu dapat dikekalkan. Teknik ini banyak diguna pakai untuk anak pokok buah-buahan memandang­kan kaedah pembiakan lain tidak sesuai dalam membiakkan anak pokok.  Pembiakan melalui biji benih bagi kebanyakan pokok buah-buahan katanya, tidak dapat menghasilkan anak pokok yang sama seperti pokok induk.  Pembiakan melalui keratan, tut dan kultur tisu, pula anak benih yang dihasilkan tidak mempunyai sistem akar kuat. Antara perkara asas dalam proses cantuman adalah ‘scion’ dan pokok penanti. “Scion adalah apa juga bahagian daripada pokok induk klon yang dimahukan (mata tunas atau kayu tunas) yang akan menjadi bahagian atas pokok selepas proses cantuman dilakukan. 


Pokok penanti adalah bahagian bawah pokok yang akan menyediakan sistem akar pada pokok sudah dicantum. Lazimnya interaksi antara ‘scion-penanti’ adalah faktor utama kejayaan proses cantuman supaya ‘scion’ dicantumkan pada penanti dapat membesar dan seterusnya mengeluarkan hasil.  Mengulas lanjut mengenai cantuman dewasa katanya, saya fikir ia bermaksud melakukan proses cantuman pada pokok dewasa tidak produktif atau kurang kualiti kepada pokok yang mampu menghasilkan klon terbaik.  Dalam kes ini, pokok dewasa yang tidak produktif bertindak sebagai pokok penanti, manakala klon baru yang akan dicantumkan pada pokok dewasa itu adalah ‘scion’. Antara sebab untuk melakukan cantuman dewasa adalah menggantikannya daripada baka yang tidak berkualiti kepada klon terpilih, selain mendapatkan lebih daripada satu klon pada satu pokok. Langkah dalam melakukan cantuman dewasa adalah cantas dahan utama pada pokok dan cat­kan permukaannya untuk mengelak bahagian keratan menjadi reput. 


Biarkan tunas baru keluar dari dahan yang sudah dicantas. Selepas dua hingga tiga bulan, apabila tunas sudah sesuai untuk dicantum, cantumkan klon dikehendaki pada tunas itu. Adalah disarankan juga setiap dahan hanya dicantumkan hanya satu jenis klon. Tunas yang baru dicantum perlu dijaga de­ngan rapi sebelum ia membesar menjadi dahan.  Kelebihan melakukan cantuman pada pokok dewasa ialah pertumbuhan pokok pada cantuman berkenaan lebih sihat. Ia disebabkan sistem pengakaran pokok sedia ada yang lebih ekstensif berbanding pokok baru ditanam.  Pokok akan mengeluarkan hasil lebih cepat berbanding menanam semula menggunakan anak pokok. Bagi tanaman mangga, rambutan dan pulasan katanya, ia mula mengeluarkan hasil dari tahun kedua manakala tanaman durian pokok mengeluarkan hasil pada tahun ketiga.  Lebih daripada satu klon atau varieti tanaman daripada spesies sama boleh didapati dalam satu pokok. Ramai orang akan suka melihat satu pokok mangga mempunyai pelbagai varieti mangga pada dahan yang berbeza. Kadang-kadang hobi seperti ini akan mengembirakan pemiliknya apabia berjaya. Wasallam!.


CANTUMAN TUA...PERLU ADA CARA...
PALING MUDAH...POKOK MANGGA...
BANYAK VARIETI.. SEPOKOK SAHAJA...
KENA BELAJAR...BOLEH BERJAYA..
POKOK DURIAN...CANTUMAN DEWASA...
MUSANG KING... VARIETI ANTARABANGSA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kuarters, Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(15 Jamadilakhir 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.