Monday, August 17, 2015

HERBA - MENGKUDU (Part 2)

MENGKUDU (Morinda citrifolia Linn.) adalah sejenis tanaman yang dikategorikan juga sebagai tanaman Herba berdasarkan kepada khasiat dan penggunaannya. Buah Mengkudu juga dipanggil sebagai Buah Noni, Indian mulberry, Painkiller (lnggeris), Pace, Cangkudu (Indonesia), Yo ban (Thai), Nhau (Vietnam) iaitu daripada keluarga Rubiaceae. Produk jus mengkudu pernah mengegarkan orang ramai di beberapa negara setelah satu laporan mengenai khasiat buah mengkudu diterbitkan. Ramai petani menanam mengkudu sehingga kekurangan benih apabila dijanjikan harga yang tinggi dan jaminan pasaran apabila ada hasil. Bagaimana pun penulis yang semasa itu bertugas di Segamat (sekitar tahun 2001-2004) mendapati ianya tidak seperti diharapkan. Harga buah mengkudu jatuh keparas terendah dan boleh dikatakan tidak menguntungkan dan tiada yang hendak membelinya dikebun. Akhirnya ramai petani yang menebang pokok mengkudu tersebut. Mengkudu ialah tanaman bersifat saka berasal dari Asia, Australia dan kepulauan Pasifik. la telah hidup secara liar berabad-abad lamanya di negara kita dan kurang mendapat perhatian pada masa itu. Kebanyakannya terdapat di kawasan pinggir hutan dan berdekatan dengan peparitan dan sungai diatas tanah subur dan terbisr begitu sahaja. Saya ada menulis mengenai mengkudu sebelum ini (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Artikel malam raya ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis tanaman saka iaitu Pokok Mengkudu yang meghasilkan buah mengkudu sebagai sejenis herba yang berpotensi untuk diusahakan daripada penanaman dikebun sehingga keperingkat pemprosesan. Artikel ini ada dua bahagian iaitu Part 1 dan Part 2.


Menanam mengkudu diladang dengan jarak tanaman yang boleh digunakan iaitu sebagai pengesyoran awal bagi tanaman secara tunggal ialah 3.0 meter dalam barisan dan 5.0 meter di antara barisan. Jarak 5.0 meter antara barisan bagi memudahkan laluan untuk pengangkutan bahan input dan hasil. Kepadatan tanaman ialah 667 pokok/ha. Penanaman anak benih dilakukan pada awal musim hujan untuk mempastika ia dapat tumbuh dengan segera. Program pembajaan mengkudu dilakukan dengan menggunakan baja sebatian NPK (12:12:17:2 + TE) dengan bahan najis ayam terproses dan kapur (GML). Sebagai pengesyoran awal, kadar baja sebatian NPK ialah 500, 750 dan 1,000 gm/pokok masing-masing bagi umur 1, 2 dan 3 tahun ke atas dengan empat pecahan sama atau tiga bulan sekali bagi setiap tahun. Baja organik dalam bentuk najis ayam terproses diberikan hanya pada tahun pertama sahaja dengan kadar 1.0 kg/pokok dalam dua kali aplikasi pecahan sama setahun. Pengapuran dengan GML dilakukan pada kadar 300, 400 dan 500 glpokok masing-masing bagi tahun pertama, kedua dan ketiga ke atas. Cara pemberian baja ini adalah secara tabur rata di sekeliling pangkal pokok sehingga ke hujung kanopi pokok. Masa pemberian baja selepas pokok berumur melebihi tiga tahun boleh dikira berdasar tiga bulan sekali bagi baja sebatian dan enam bulan sekali masing-masing bagi baja najis ayam terproses dan kapur. Cantasan bagi pokok mengkudu amat penting dimana sistem batang berganda (2 - 4 batang/pokok) digalakkan bagi pengeluaran buah mengkudu kerana tanaman ini hanya berbuah sekali sahaja pada sesuatu buku dan pengeluarannya berselang-seli pada buku dahan pokok. Batang berganda akan memberikan bilangan dahan yang lebih banyak untuk hasil yang lebih tinggi.


Ketinggian pokok dihadkan ke aras 3.0 m melalui pemangkasan batang di bahagian pucuk. Pembuangan tunas baru yang tumbuh di tempat pemangkasan pucuk dilakukan dua minggu sekali sebanyak 2 - 3 kali bagi memastikan had ketinggian 3.0 mini dikekalkan bagi memudahkan penuaian buah. Pemangkasan bagi mengehadkan ketinggian dimulakan selepas dua tahun tanaman di ladang. Pada masa ini lebih 60% pokok telah mencapai ketinggian melebihi 3.0 m. Pemangkasan dahan yang tidak produktif lagi atau kurang berbuah turut dicadangkan pada masa ini. Cantasan dilakukan pad a buku keenam bagi setiap tiga dahan yang terpilih. Dahan-dahan yang dipilih bersaiz besar dan kedudukannya adalah lebih kurang sama jarak di sekeliling batang bagi pertumbuhan yang seimbang. Tunas yang tumbuh tegak ke atas diperoleh dari bahagian hujung dahan yang dicantas. Pertumbuhan ini mengeluarkan hasil selepas lebih kurang satu tahun dicantas. Buah yang dikeluarkan dapat menampung kestabilan hasil bagi beberapa tahun kemudian. Kawalan rumpai dilakukan dalam tempoh tiga bulan sekali. Bagi dua pusingan pertama selepas penanaman iaitu pad a bulan kedua dan kelima, rumpai dikawal secara menajak di sekeliling pangkal pokok. Selanjutnya, rumpai dikawal melalui semburan racun rumpai jenis sistemik seperti glifosat dan diselang dengan jenis sentuh seperti paraquat bergantung kepada keadaan dan populasi rumpai. Kawalan antara baris boleh juga dilakukan melalui penggunaan bajak putar sikat yang menggemburkan tanah di samping memusnahkan rumpai. Pengurusan air juga perlu diambil kira. Tanaman mengkudu memerlukan air yang mencukupi bagi penghasilan yang baik. Penggunaan sistem pengairan secara titisan adalah digalakkan terutama bagi kawasan tanaman yang mengalami musim kemarau yang panjang. Pada umumnya, daun pokok akan bertukar menjadi kuning dan gugur sekiranya kekurangan air. 


Pengurusan musuh perosak dan penyakit bagi tanaman mengkudu perlu dilakukan. Musuh perosak yang boleh membantut dan menjejaskan hasil tanaman mengkudu yang di ketahui sehingga kini ialah cacing nematod Simpul Akar atau Akar puru (Meloidogyne incognita). Bahagian akar yang dijangkiti membengkak dan daunnya menjadi kekuningan. Daun muda menjadi layu dalam cuaca panas dan daun yang lebih matang akan gugur. Pokok yang sudah dijangkiti agak sukar dirawat. pencegahan atau pengawalan penyakit ini perlu dilakukan pada anak benih di peringkat tapak semaian lagi. Cara yang praktikal adalah melalui penggunaan racun nematod yang mempunyai bahan aktif fenamiphos seperti Nemacur Kadar penggunaan adalah sebanyak 5 g/pokok dan diberi pada bulan pertama selepas anak benih dialih ke dalam polibeg. Pencegahan atau pengawalan di peringkat ladang adalah dengan menabur rata di pangkal pokok sehingga ke hujung kanopi pada kadar 20 g/pokok. Sekiranya perlu, pengawalan diulang enam bulan sekali. Racun ini ditimbus dengan sedikit tanah bagi mengelakkan pengewapan bahan aktif racun ke udara. Cara ini dapat meningkatkan keberkesanannya. 


Menanam mengkudu memang cepat kutip hasil. Buah mengkudu hanva berbuah sekali sahaja pada bahagian buku yang sama dan berkeadaan berselang-seli di dahan pokok. Putik buah mengambil masa lebih kurang 14 - 16 minggu untuk matang. Buah yang telah matang ini biasanya digunakan bagi tujuan pemprosesan puri atau jus mengkudu. Hasil pertama buah matang Iebih daripada 80% putih kekuninganl diperoleh apabila pokok berumur lebih kurang lapan bulan di ladang. Pengeluaran hasilnya tidak bermusim. Penuaian boleh dilakukan selang 20 - 25 hari sekali. Galah yang mempunyai penyangkut dawai di hujungnya digunakan bagi mengait buah yang tidak dapat dicapai dengan tangan selepas pokok berumur melebihi 15 bulan.  Penanaman seluas 12 hektar secara komersial didapati dapat menghasilkan buah bagi tahun pertama (selama empat bulan) antara 1 - 2 t/ha dengan purata sebanyak 1.2 tan. Julat hasil ini adalah berdasarkan hasilan dari setiap hektar tanaman. Bagi tahun kedua pula hasilnya antara 9 - 27 tan dengan purata 16 tan. Bermula tahun ketiga pengeluaran hasilnya mula stabil iaitu antara 14 - 30 tan. Puratanya adalah sebanyak 18 tan sehektar. pengeluaran hasil berekonomi dipercayai melebihi 10 tahun. Traktor digunakan bagi pengangkutan hasil dari kawasan tanaman yang besar. Menuai hasil tanaman mengkudu memang menyeronokkan tetapi aktiviti lepas tuai amat penting dipatuhi. Jika sda kerosakan pada bahagian kulit buah boleh menjejas sedikit sebanyak mutu puri atau jus yang bakal dihasilkan.  Buah mengkudu matang yang telah dipetik perlu dibersihkan terlebih dahulu dengan air sebelum proses pemeraman dilakukan. Dalam pengendaliannya perhatian perlu diberi supaya buah tidak tercedera kerana jika ianya tercedera akan merosakkan kualiti produk tersebut.Dari segi kosting, penulis dapati jika anggaran jumlah kos pengeluaran sehektar bagi tahun pertama, kedua dan ketiga hingga ke-10 masing-masing adalah lebih kurang RM7,330, RM3,370 dan RM3,970 seperti yang terdapat dalam jadual 2. Jumlah kos bagi tempoh 10 tahun. Bagaimana pun usahawan baru yang ingin menanam pokok mengkudu adalah juga dinasihatkan mengenalpasti kemana hendak menjual buah tersebut. Wasallam!.

TANAM MENGKUDU... MUDAH SAJA....
BENIH DISEMAI...CARA KERATAN SAMA...
BUAHnya BANYAK... TUAI SEGERA...
JIKA DIPROSES...JADI PRODUK HERBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Cendana 2, Taman Cendana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(1 Syawal 1436H).
Artikel ditulis pada 1 Syawal 1436H
SELAMAT HARI RAYA....
MAAF DZAHIR BATIN...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.