Pengurusan tanaman limau purut perlu mengikuti amalan pertanian baik. Pembajaan pokok limau purut perlu dilakukan selepas menanam pembajaan dilakukan sebulan sekali menggunakan baja Urea (46% N), pada kadar 5 g/pokok sehingga tanaman berumur 1 tahun. Baja organik (najis ayam atau najis lembu) turut diberikan 2 kali setahun pada kadar 5 kg/pokok setiap kali pembajaan. Pada tahun kedua baja Urea pada kadar 50 g/pokok diberikan sebanyak 2 kali diselang-selikan dengan pemberian 50 g/pokok baja sebatian 15:15:15. Kadar pembajaan ditambah sehingga pokok berumur 5 tahun ke atas apabila pemberian baja sebatian 15:15:15 pada kadar 700 g/pokok setahun (2 kali pembajaan) dan baja TSP sebanyak 350 g/pokok diberikan sekali setahun. Sebaiknya baja daun diberikan juga melalui semburan diberikan 2 kali setahun mengikut keperluan tanaman. Aktiviti cantasan secara berjadual perlu dilakukan bagi membentuk percabangan yang teratur. Cantasan juga dilakukan bagi membuang dahan yang dijangkiti penyakit dan kurang sihat. Dari tunas asal yang tumbuh, 3-4 tunas pada jarak yang seragam dibiarkan membesar bagi membentuk dahan-dahan utama. Selanjutnya 3 - 4 ranting dibiarkan membesar pada setiap dahan utama. Cantasan utama biasanya dilakukan sekali setahun iaitu sebelum bermulanya musim hujan. Cantasan dilakukan bagi menetapkan aras ketinggian pokok tidak melebihi 5-6 kaki bagi memudahkan pengutipan hasil. Cantasan utama dilakukan pad a peringkat umur 5 dan 10 tahun. Kutipan daun yang dilakukan secara berjadual mulai tahun ketiga juga bertindak sebagai cantasan. Setiap kali cantasan dilakukan, pisau atau pemotong dahan yang digunakan mestilah sentiasa dibasuh dengan klorok bagi menghindar penyebaran penyakit. Bekas luka cantasan pada dahan yang besar juga perlu dirawat dengan racun kulat.
Kawalan rumpai biasanya dilakukan sebanyak tiga kali setahun. Racun rumpai jenis sentuh biasanya diberikan dua kali setahun iaitu selang empat bulan. Selain bertindak mengawal rumpai, meracun kali ketiga setiap tahun yang menggunakan racun rumpai jenis sistemik dan dilakukan sebelum musim hujan juga bertindak sebagai kawalan penyakit. Tindakan bahan aktif racun rumpai jenis serap juga menyebabkan daun-daun yang parah dijangkiti penyakit kanker luruh keseluruhannya. Daun-daun yang luruh dikumpul dan dimusnahkan. Pucuk-pucuk baru yang tumbuh selepas itu bebas penyakit kanker. Limau purut merupakan tumbuhanagak tahan diserang perosak. Ianya berbeza dengan jenis-jenis limau lain dimana tanaman limau purut tidak menghadapi banyak masalah serangan perosak yang serius. Walau bagaimanapun pemerhatian di ladang menunjukkan terdapat tiga jenis perosak yang sering menyerang tanaman limau purut. Ke tiga-tiga perosak berkenaan ialah Ulat Melombomg Daun (Phyllocnistis citrella), Kumbang Makan Daun (Hypomeces squamosus) dan Kutu Teritip (Lepidosaphes beckii). Serangan ulat peliang daun menyebabkan terdapatnya kesan serangan pada daun yang merupakan alur melingkar lut sinar (transparent) atau keperakan, tunas atau daun muda mengerut, menggulung dan luruh. Daun yang diserang perosak tidak dapat dipetik untuk pasaran daun segar. Kawalan menggunakan racun serangga malathion, methidathion atau diazinon hanya perlu pada aras serangan yang tinggi.
Serangan daripada Kumbang Makan Daun (Hypomeces Squamosus) akan menyebabkan kerosakan pada tepi daun dan hujung daun. Kaedah kawalan adalah dengan menggunakan racun serangga yang sama dapat mengawal serangga perosak ini. Daun muda menjadi kesukaan kumbang ini untuk merosakannya. Penulis dapati serangan oleh Kutu teritip (Lepidosaphes beckii) juga sering berlaku pada anak semaian terutama anak semaian yang diletakkan di bawah teduhan. Serangan berlaku pada daun dan batang anak semaian dan dapat dikesan daripada gejala serangan yang merupakan daun berwarna kekuningan dengan bintik-bintik clorosis. Pada aras serangan yang serius daun akan gugur. Penelitian pada bahagian bawah daun dan batang pokok akan menunjukkan kehadiran kutu teritip ini. Kawalan dapat dilakukan dengan semburan racun serangga diazinon, phosphamidon atau methidhation. Penggunaan racun kimia terhadap tanaman limau purut sebaiknya dikurangkan atau dielakkan kerana kita akan memetik daun untuk digunakan. Pilih pesticide organik yang mesra alam. Baca dengan betul dan teliti jia menggunakan racun kimia.
Terdapat serangan penyakit tanaman limau purut. Antara penyakit utama yang menyerang limau purut ialah penyakit kanker yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Xanthomonas campestris var. citri. Gejala jangkitan penyakit ini ialah bintik-bintik kecil berwarna hijau gelap atau kuning pada permukaan daun (Sila lihat foto disebelah). Bahagian bawah daun pula menunjukkan tompok-tompok seperti gabus pecah dengan garis pusat 3-5 mm. Jangkitan sering kali berlaku pada musim kemarau selepas musim hujan. Kawalannya adalah dengan menyembur racun kulat berasaskan kuprum seperti copper oxychloride. Kawalan menyeluruh dilakukan pada awal musim hujan setiap tahun dengan melakukan cantasan dan aktiviti kawalan rumpai menggunakan racun rumpai jenis sistemik seperti jenis racun glyphosate. Kawalan rumpai ini secara tidak langsung menyebabkan semua daun luruh dan membebaskan tanaman daripada sumber penyakit. Tunas-tunas yang tumbuh selepas itu bebas daripada penyakit sehingga jangkitan baru berlaku.
Selain penyakit kanker, serangan kulapuk jelaga juga merupakan salah satu dari masalah utama yang boleh menjejaskan mutu daun limau purut. Apa yang berlaku adalah gejala pertumbuhan kulapuk jelaga menyebabkan permukaan daun diselaputi lapisan kulat berwarna hitam yang tebal (Sila lihat foto disebelah). Selain daripada ia menjejaskan mutu daun lazimnya kehadiran lapisan kulapuk ini juga berkeupayaan akan merencatkan proses fotosintesis. Kulapuk jelaga bukan organisma parasit yang menyebabkan penyakit tetapi ia tumbuh pada rembesan bergula yang dikeluarkan oleh serangga penghisap seperti kutu daun, benah putih dan serangga penghisap lain. Kulapuk jelaga dapat dikawal dengan mengawal serangga yang mengeluarkan rembesan bergula. Bersambung pada artikel Herba - Limau Purut Part 4. Wasallam!.
LIMAU PURUT...MENGERUTU KULITNYA...
DAUNNYA UNIK... NO '8' BENTUKNYA...
DITANAM SENDIRI...SELALU DIGUNA...
WALAU LIMAU...IA KATEGORI HERBA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(19 Ramadan 1436H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.