Friday, July 3, 2015

SERUNDING AYAM


SERUNDING AYAM merupakan sejenis serunding yang berasaskan dging ayam sama seperti serunding daging dan serunding ikan. Serunding Ayam adalah sama popular dengan serunding daging terutama dijadikan lauk makanan dan juga sebagai inti bagi beberapa jenis kuih. Membuat serunding ayam hampir sama prosesnya dengan lain-lain jenis serunding cuma ia menggunakan bahan utama daging ayam. Kita boleh mendapatkan serunding ayam yang siap dibungkus di pasar malam, pasar tani dan kadang-kadang juga dipasaraya mengikut musim. Serunding ayam mudah dibawa untuk dijadikan lauk ketika pergi merantau keluar negara kerana ia tahan lama, enak dan boleh dimakan dengan nasi, roti atau bubur nasi. Bergantung kepada kepakaran tukang masak, serunding ayam mungkin berbeza kualiti dan harga bergantung kepada daging ayam yang digunakan sama ada ia ayam daging, ayam pencen (ayam telur tua) atau ayam kampong. Penggunaan ayam kampong tentunya akan menghasilkan serunding ayam yang enak dan mahal kerana harga ayam kampong itu sendiri sudah mahal. Serunding ayam juga boleh dijadikan inti bagi epok-epok mini, popia gulong atau popia mini serta inti bagi kuih pulut panggang. Ia juga sesuai dimakan dengan nasi pulut atau juga kuih lopes. Harga jualan runcit serunding ayam diantara RM5.00 - RM6.00 setiap 300 gram siap dibungkus kemas. Bagaimana pun rasanya amat mudah untuk membuat sendiri serunding ayam yang enak dan sedap serta berkualiti. Artikel tengahari ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai serunding ayam sekadar memberikan info kepada pembaca.


Daging ayam adalah dari jenis daging outih yang baik diambil untuk dijadikan lauk kerana ia kurang kolesterol. Ayam goreng merupakan jenis daging yang psling bsnysk diambil sebagai lauk dimakan dengan nasi selain daripada dimakan begitu sahaja seperti resepi KFC, Kenny Rogers, Ayam Percik, Ayam Golek dan pelbagai cara menyediakannya. Pada saya ayam goreng berempah merupakan resepi yang enak dimakan dalam semua keadaan dan masa. Ayam kari, ayam kampong goreng dan sate ayam juga menjadi sumber protin utama rakyat Malaysia selain daripada ikan. Kini serunding ayam sesuai dijadikan satu produk yang sesuai dikomersilkan dan mempunyai pasaran khusus dan masa tertentu. Kandungan nutrisi serunding ayam menyamai dengan serunding daging. Membuat serunding ayam ada banyak resepi dan jenis serunding. Serunding Ayam Jawa berbeza dengan serunding ayam tradisional yang banyak dibuat dan dijual. Serunding ayam menyamai keenakan serunding daging bergantung kepada cara memasak dan ramuan yang digunakan. Pada saya serunding ayam yang enak mempunyai rasa lemak, pedas, masin dan manis serta masam yang mencukupi dan disediakan menggunakan bahan yang segar dan bersih.



Serunding Ayam Jawa banyak menggunakan kelapa parut, bahan ramuan ketumbar, daging ayam, kunyit segar dan bahan perisa lain yang berwarna kuning dan lembap. Ia sesuai dimakan semasa Hari Raya dengan ketupat dan Lodeh (resepi orang Johor). Serunding Ayam Tradisional pula akan menggunakan bahan-bahan seperti 1 kilo isi ayam atau seekor ayam (ambil isinya sahaja), 1 kilo santan segar kelapa, 3 genggam jintan kasar, 3 genggam ketumbar , 0.5 kilo bawang besar, 10 ulas bawang putih, 2 senduk gula dan juga garam secukup rasa. Selain itu bahan lain adalah 5 senduk cili kisar dimana kalau suka pedas sila tambah sendiri dan juga 2cm halia, 1 paket kerisik  kelapa. Sediakan juga minyak untuk menumis dan secawan air asam jawa untuk menambah perisa. Cara memasak serunding ayam dengan menyediakan daging ayam melalui cara merebus dahulu isi ayam sehingga isinya empuk. Kemudian daging ayam ini perlu disiat-siat halus mengikut kemahiran. Jika basak sebaiknya isi ayam ini ditoskan agar ia kering dan tidak mengandungi air. Seterusnya adalah menyediakan ramuan serunding iaitu dengan mengisar bawang merah, bawang putih dan halia sehingga sebati untuk ditumis. Sebaiknya bahan seperti Jintan Manis dan ketumbar disangai dahulu (goreng tanpa minyak) seterusnya di kisar kasar-kasar sedikit kerana pengalaman saya kalau sangat hancur sangat kurang sedap. Seterusnya adalah untuk menumiskan bawang tadi bersama dengan cili kisar dan biar garing sebentar diatas kuali. Kemudian dimasukkan pula jintan dan ketumbar yang telah dikisar halus dan kacau sehingga cukup masak. Seterusnya dimasukkan santan kelapa dan serunding ini dikacau sehingga sebati dan kemudian di masukkan isi ayam tadi. Selepas itu dimasukkan bahan perasa seperti garam, gula dan kerisik. Akhirnya perlu dimasukkan air asam jawa untuk menjadikan serunding ayam ada rasa masam. Perlu diingat semasa menggoreng perlu selalu sentiasa dikacau agar bahagian bawah tidak menjadi hangus dimana bahagian atas akan masak dengan sekata keseluruhannya. Sebaiknya masak dengan api kecil selama lebih kurang 3 jam lamanya untuk mendapatkan rasa serunding ayam yang terbaik. Apabila serunding ayam sudah garing maka ia boleh disejukkan dahulu dan dihidangkan atau dibungkus untuk jualan dan diedarkan. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada anda. Wasallam!.


SERUNDING AYAM... ENAK RASANYA...
DAGING AYAM... RAMUAN DIGAULNYA...
HARI RAYA ... JADI HIDANGAN UTAMA..
BUAT SENDIRI ...ADA RESEPI DISEDIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Bilik Anggerik, ILPP Serdang,
Selangor,
Malaysia.
(8 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.