Tuesday, July 28, 2015

POKOK PONG-PONG

POKOK PONG-PONG (Cerbera odollam) merupakan sejenis tumbuhan yang terdapat di kawasan hutan Malaysia serta di negara-negara Asia Tenggara lain yang asalnya hidup meliar dikawasan tertentu. Ia adalah pokok beracun iaitu daripada keluarga Apocynaceae. Ia dikelaskan sebagai nombor dua (2) tumbuhan paling beracun didunia. Tumbuhan ini juga juga dikenali dengan nama lain seperti Pokok Bunuh Diri, Pokok Burung Gagak, Bentan, Buta-buta, Bitaro, Nyan dan Pokok Othalanga. Nama Buta-buta adalah diperolehi daripada kesan getah putih beracun dari pokoknya yang boleh menyebabkan kesan buta sementara jika ia memasuki mata. Getah ini juga boleh menyebabkan kulit melepuh dan merengsa. Tumbuhan ini dipercayai adalah berasal dari Selatan Asia dan India dimana selalunya ia tumbuh liar di kawasan persisiran pantai dan kawasan paya masin dan kawasan berpaya air tawar. Kalau dahulu pokok ini hanya tumbuh meliar di kawasan tersebut tetapi kini anda boleh melihat pokok ini ditanam disepanjang kiri-kanan jalanraya sebagai pokok landskap yang menarik. Banyak juga Majlis Daerah dan Kerajaan Tempatan yang menanam pokok Pong-pong ini sebagai tanaman landskap yang buahnya tidak pernah diusik oleh sesiapa yang lalu lalang kerana mereka tahu bahawa buahnya yang cantik itu beracun. Tumbuah yang menghasilkan racun berbisa ini dikatakan pernah atau sering digunakan bagi tujuan membunuh diri atau membunuh pihak lain. Kini pokok yang beracun ini amat mudah didapati dan buahnya juga mudah dipetik dari tepi jalan yang mana menanam pokok ini sebagai tanaman hiasan. Semasa penulis melawat Bandar Penggaram, Batu Pahat tidak lama dulu jalan ke Minyak Beku dikiri dan kanan jalan ditanam banyak pokok Pong-pong yang subur dan banyak buahnya. Orang setempat yang lalu lalang tidak pun menghiraukan buah Pong-pong bergayut dengan cantik dan akhirnya gugur sendiri. Cuba bayangkan kalau buahnya boleh dimakan seperti buah Jambu Batu atau Mempelam... pasti habis dikebas orang ramai. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Pokok Pong-pong atau ada juga dikampong saya ia dipanggil 'Buah Pelir Anjing' sebagai satu coretan menambah ilmu pengetahuan semua.

Penulis dapati pada umumnya pokok Pong-pong mempunyai ketinggian sekitar 14 -20m. Ia mempunyai warna kulit batang kelabu, mengerutu dan diliputi lubang-lubang halus. Daunnya berukuran sekitar 6-10cm panjang dengan bahagian hujung tajam. Daun tua akan kelihatan merah mengikut keadaan ia pada sinaran matahari. Bunganya adalah bersaiz kecil dimana bunga jantan dan bunga betina berada di pokok yang berbeza. Buahnya adalah kecil, bulat, akan bercambah dalam kelompok. Pokok Pong-pong mempunyai batang yang tumbuh menegak dengan banyak cabang. Daunnya yang berwarna hijau gelap banyak terdapat pada bahagian hujung dahan. Ia bersaiz kecil dengan bentuk tajam tirus dipangkal dan hujungnya. Keseluruhan bahagian tumbuhan mengeluarkan getah yang berwarna putih (white latex). Buah Pong-pong ketika muda bewarna hijau dengan kulit bersabut hijau menyelubungi bahagian tempurung berbentuk ovoid berukuran sekitar 2 cm X 1.5 cm (Sila lihat foto disebelah). Buahnya terdiri dari dua bahagian isi putih yang seiras dimana sebaik sahaja dibelah dan terdedah pada udara maka tempurung yang asalnya berwarna putih bertukar menjadi ungu. Seterusnya ia akan bertukar kepada ungu gelap dan akhirnya kepada warna perang atau hitam. Kajian maklmak mendapati dalam isirung buah Pong-pong ini mengandungi bahan iaitu Cerberin. Ia merupakan sejenis bahan toksid alkaloid yang kuat dimana ia berkait dengan digoxin (sejenis racun yang terdapat pada foxglove). Racun ini bertindak dengan menghalang saluran ion kalsium pada otot jantung. Ini akan menyebabkan gangguan nyata pada degupan jantung. Kesan serius boleh menyebabkan kes-kes kematian. Cerberin adalah sukar dikesan semasa kes belah siasat mayat oleh doktor dan rasanya boleh dikaburi dengan bahan lain seperti bahan rempah yang pekat. Bahan beracun daripada tumbuhan ini juga sering digunakan bagi tujuan pembunuhan yang sukar disiasat. Ia juga dikaitkan dengan banyak kes-kes membunuh diri dinegara India.

Pokok ini mudah membiak sendiri atau ditanam dimana-mana kawasan kosong dan kawasan tanah marginal. Buahnya yang masak akan gugur dan mempunyai biji benih didalamnya yang mudah bercambah (Sila lihat foto disebelah). Anak benih ini juga mudah hidup jika disemi dalam polibeg semaian untuk tujuan penanaman yang banyak. DIkawasan tepi jalanraya untuk tujuan landskap, lazimnya jarak penanaman adalah 3-5 meter bergantung kepada ruang yang ada. Pokok ini walau pun tidak dibaja tetapi mampu tumbuh dengan subur. Laporan menunjukkan tumbuhan ini tidak banyak diserang penyakit atau musuh perosak. Malahan kambing dan lembu yang lalu-lalang disebelah pokok yang baru ditanam tidak akan mengusiknya. Ini kerana haiwan pun tahu akan pokok pong-pong yang beracun ini membayakan nyawa mereka. Penulis juga selalunya tidak berani mematahkan pokok atau petik buah pong-pong takut terkena dengan getah beracunya dan ianya amat merbahaya. Tetapi kenapa beberapa Majlis Daerah masih menanam pokok ini dikawasan taman-taman riadah, dikawasan tepi jalan malahan ada premis seperti sekolah dan pejabat yang menanamnya sebagai pokok landskap?. Pada saya mudah sahaja kerana tanam pokok ini senang, cepat tumbuh, cantik buahnya dan paling penting tidak payah dipagar pun tiada ruminan yang datang merosakannya. Orang yang lalu pun tidak berminat 'curi' buah beracun yang cantik ini. Pokok pong-pong mampu tumbuh lebih jauh ke daratan (back mangrove) dimana biasanya sempadan tanda air pasang. Ia boleh tumbuh sama ada di kawasan berlumpur atau kawasan berbatu. Pokok buta-buta mampu bertoleransi dengan keadaan kemarau dan keadaan berair masin. Ia juga tumbuh dengan cepat dalam kawasan terbuka dan terdedah dengan cahaya matahari. Pokok ini boleh juga bertahan di kawasan yang teduh dibawah pokok tinggi yang lain.

Dalam beberapa laporan, ada penulis mendapat info bagaimana biji benihnya juga memiliki sejarah silam sebagai racun di Madagascar. Racun ini dikatakan telah menyebabkan kematian sekitar 2% penduduk (3,000 orang setiap tahun, 50,000 satu generasi) di beberapa lokasi dibahagian Tengah Madagascar. Pernah dibuat ujikaji mengenai tahap keracunan ini terhadap manusia dimana dalam satu kajian terdapat peristiwa lebih 6,000 orang mati dalam satu ujian yang dijalankan oleh saintis. Kajian menunjukkan buahnya sesuai digunakan bagi penghasilan racun serangga semulajadi (biopesticide) dan juga sebagai bahan pewangi. Kini satu lagi kajian sedang dilakukan bagi memproses biji buah pong-pong untuk dijadikan sebagai biodiesel. Pada saintis pokok beracun ini boleh dimanafaatkan jika dijalankan kajian lanjut. Antara kemungkinan adalah ia digunakan sebagai racun seperti dikalangan kaum asli di New Guinea yang menggunakan getahnya untuk dijadikan racun anak panah. Ia boleh digunakan untuk berperang dan memburu haiwan. Kayu dari pokok pong-pong ini boleh juga digunakan sebagai bahan binaan bagi menghasilkan papan murah di Bangladesh dan juga sesuai dijadikan bahan bakar atau dijadikan kayu arang. Dalam kes berlainan dilaporkan untuk perubatan tradisional didakwa asap daripada kulit kayu sesuai digunakan bagi merawat kusta. Ujian-ujian klinikal menunjukkan yang tumbuhan ini mungkin mempunyai anti-HIV, antikanser, antibakteria dan ciri-ciri antivirus. Ini satu potensi yang perlu dikaji dimasa akan datang. Wasallam!.
Burung makan buah Pong-pong?........
POKOK PONG-PONG.... JUGA BUTA-BUTA...
POKOK BERACUN... BUNUH DIRI DIGUNA...
DITANAM LANDSKAP...SIAPA MERANA...
PELBAGAI FAEDAH... JIKA KAJIAN ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 505, Hotel PineTree,
Batu Pahat,
Johor, Malaysia.
(12 Syawal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.