Wednesday, July 22, 2015

KELAPA HIBRID INDONESIA (Part 1)

TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) merupakan tanaman penting dalam kawasan tropika terutama negara-negara yang berpulau (Islands).Tanaman kelapa merupakan aktiviti tanaman tradisional dimana ia merupakan jenis tanaman pelbagai guna atau juga digelar sebagai 'tree of life'. Ia juga merupakan sejenis tanaman ekonomi yang penting di Indonesia, Filipina dan juga negara kita Malaysia. Malaysia kini mempunyai seluas 87,500 hektar tanaman kelapa dimana ia mampu menghasulkan sebanyak 645 juta biji buah kelapa setahun (Sumber: Laporan statistik Jabatan Pertannian Malaysia 2014). Jumlah keluasan ini agak kecil jika ianya dibandingkan dengan penanaman kelapa di Indonesia iaitu seluas 3.88 juta hektar dimana 97% adalah ditanam oleh pekebun-pekebun kecil. Negara tersebut kini merupakan pengeluar utama buah kelapa dunia dan ditanam diseluruh negara tersebut untuk kegunaan domestik dan pasaran eksport. Malaysia adalah antara pengimport  utama biji kelapa tua daripada Indonesia sehingga mencecah 80 juta biji setahun untuk kegunaan pengilangan. Kalau di Malaysia kita kenal dengan varieti kelapa hibrid seperti MATAG dan MAWA, di negara Indonesia juga mempunyai beberapa varieti kelapa hibrid yang dikenali dengan nama KHINA (Singkatan kepada Kelapa Hibrid Indonesia). Saya memang terlibat dalam pembangunan industri kelapa dimana saya perlukan banyak info mengenai industri kelapa untuk dijadikan bahan rujukkan. Kini penulis ingin berkongsi info dan mengenai Kelapa Hibrida Indonesia yang merujuk kepada beberapa sumber rasmi dan rujukkan rasmi semasa menghadiri beberapa persidangan antarabangsa mengenai industri kelapa dan membuat lawatan ke beberapa lokasi dinegara tersebut. Artikel subuh hari ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa varieti kelapa hibrid di Indonesia (Khina) untuk menambah ilmu penulis dan  juga bahan rujukkan kepada pembaca.

Daripada beberapa sumber rujukkan mengenai Kelapa Hibrida Indonesia penulis dapati ada beberapa pusat penyelidikan dinegara tersebut yang telah menjalankan kajian semenjak lama dan bertahun-tahun dimana salah satunya secara serius pada 4 September 1984. Antara pusat yang menghasilkan benih kelapa hibrid seperti yang bertempat di Submi, Indonesia yang dinamakan sebagai Badan Benih Nasional. Kini setelah beberapa  belas atau puloh tahun membuat kajian mereka telah menghasilkan lima jenis kelapa hibrid. Kelapa hibrid ini dikenal sebagai "Kelapa Hibrida Indonesia (KHINA) 1, 2, 3, 4 dan 5 yang merupakan hasil kacukan atau perkahwinan antara kelapa-kelapa unggul berasal dan asli dari Indonesia. Usaha menghasilkan benih hibrid memerlukan masa yang agak lama untuk ianya dipastikan akan kualiti benih yang dihasilkan. Peringkat awal penyediaan adalah menanam pokok benih induk kedua-duanya untuk menghasilkan bunga (mayang) dan juga debunga (pollen). Teknik untuk aktiviti menghasilkan benih kelapa hibrid adalah satu kerja yang rumit dan memerlukan kepakaran serta pengetahuan yang sesuai. Pengalaman penulis sendiri dalam meneliti industri penyediaan benih kelapa hibrid MATAG di Malaysia faham akan proses yang memerlukan masa lama, kos yan tinggi dan ketidaktentuan anak benih hibrid yang bakal dihasilkan. Selalunya kurang daripada 40% kejayaan biji kelapa hibrid selepas proses 'kacukan' atau pollenation dilakukan iaitu satu (1) tahun sebelum itu. Ini kerana buah kelapa (buah yang akan dijadikan benih) hanya dihasilkan dan disemai dahulu sebelum diteliti. Kemudian akan dipilih yang mana yang betul-betul adalah kelapa hibrid yang dikehendakki. Ada benih kelapa hibrid yang betul2 HIBRID, ada yang ikut induknya (Pokok Jantan atau Pokok Betina).Lazimnya benih F1 yang telah disahkan memang sesuai ditanam tetapi buahnya (Kelapa F2) tidak boleh digunakan sebagai benih tanaman hibrid.


1.  Kelapa Hibrid Indonesia 1 (KHINA 1)
Kelapa Hibrid Indonesia 1 (KHINA 1) ini
merupakan hasil persilangan (kacukan) diantara Kelapa Genjah Kuning Nias dengan Kelapa Dalam Tenga yang diambil daripada Sulawesi Utara. Kelapa ini dilaporkan akan mula menghasilkan buah kelapa sedia untuk dituai pertama pada umur 4 tahun selepas ditanam. Rekod menunjukkan hasil potensi dari jumlah buah dituai adalah sebanyak 80 biji sepokok setahun (Sila lihat foto disebelah).  Ini bermakna untuk jika satu hektar tanaman kelapa mempunyai kepadatan 180 pokok, maka varieti Kelapa Hibrid Khina 1 ini akan mampu menghasilkan sebanyak 13,500 biji sehektar setahun. Jumlah ini adalah hampir dua kali ganda berbanding dengan jenis kelapa tinggi yang lazimnya ditanam dengan purata hasil sebanyak 7,000 biji sehektar setahun. Penulis juga mendapat maklumat mengenai berat kopra yang dihasilkan iaitu sekitar 253 gram/ buah dengan kadar perahan minyak sekitar 61.8%. Dilaporkan varieti KHINA 1yang subur dapat menghasilkan kopra sebanyak 3-4 tan/ha/tahun. Varieti ini mempunyai ciri dimana tandan, tangkai buah dan buah berwarna hijau dengan bentuk buah tanpa sabut bulat dengan ukuran sedang. Ia menjadi satu pilihan kepada penanam kelapa di Indonesia untuk ditanam.


2. Kelapa Hibrid Indonesia 2 (KHINA 2)
Kelapa Hibrid Indonesia 2 (KHINA 2) pula merupakan hasil persilangan antara Kelapa Genjah Kuning Nias dengan Kelapa Dalam Bali dari Pulau Bali. Varieti ini akan mula berhasil pertama pada umur 4 tahun selepas ditanam jika pokok dijaga dengan baik (Sila lihat foto disebelah). Potensi hasil kelapa ini adalah berjumlah 55 biji sepokok setahun. Kalau satu hektar ditanam sebanyak 180 pokok maka anggaran potensi hasil kelapa hibrid KHINA 2 adalah sebanyak 9,300 biji sehektar setahun. Laporan kajian juga mendapati bahawa berat kopra 296 gram/buah dengan kadar perahan minyak 60.6% iaitu satu nilai yang baik. Laporan juga menyatakan ia mampu menghasilkan kopra sebanyak 2.4 - 4.0 metrik tan sehektar setahun atau sekitar 16 kg/ pokon/ tahun. Kelapa ini mempunyai ciri dimana tandan, tangkai buah dan buah berwarna hijau dengan bentuk buah bulat dan ukurannya sedang. Ia sesuai ditanam dibanyak lokasi diseluruh negara tersebut.


3Kelapa Hibrid Indonesia 3 (KHINA 3)
Kelapa Hibrid Indonesia 3 (KHINA 3) pula merupakan hasil kacukan (persilangan) di antara Kelapa Genjah Kuning Nias dengan Kelapa Dalam Palu dari Sulawesi Tengah. Rekod kajian mendapati ia mula dituai hasil pertama pada umur 4 tahun selepas ditanam (Sila lihat foto disebelah). Dari segi ciri-ciri pokok lazimnya kelapa hibrid jenis ini akan mempunyai tandan, tangkai buah dan buah berwarna hijau dengan bentuk buah bulat dan ukurannya sedang. Rekod penghasilan mendapati ia mampu menghasilkan sebanyak 75 biji kelapa sepokok setahun. Jika satu hektar kelapa ini ditanam dengan kepadatan 180 pokok sehektar maka anggaran potensi hasilnya adalah sebanyak 12,600 biji sehektar setahun. Kaian makmal mendapati berat kopra dihasilkan sekitar 254 gram/buah dengan kadar perahan minyak 62.5%. Kelapa ini mampu menghasilkan kopra diantara 2.8 - 4.0 metrik tan sehektar setahun atau 19 kg sepokok setahun bergantung kepada pengurusan agronomi tanaman. Secara umumnya antara keistimewaan ketiga-tiga jenis kelapa hibrid tersebut adalah ia cepat berbuah (4 tahun), dibandingkan dengan varieti kepala tinggi yang selalunya berbuah pada umur 6 - 7 tahun. Varieti ini juga dikategorikan menghasilkan buahnya cukup besar (hampir menyamai kelapa tinggi) dimana kelapa hibrid ini mampu menghasilkan buah yang lebih tinggi berbanding kelapa tinggi lain. Ia dikatakan sesuai ditanam dikawasan tanah agak tinggi sehingga paras 450 meter dari paras laut. Semuga artikel tulisan saya kali ini memberi info berguna kepada pembaca semua dan berjumpa lain kali. Artikel ini bersambung pada Part 2. Wasallam!.

BENIH KELAPA... HIBRID INDONESIA...
5 JENIS HIBRID... KHINA NAMANYA...
HASIL TINGGI... CEPAT BERBUAHNYA...
BOLEH DICUBA...KENA KESANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(24 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.