Sunday, June 14, 2015

BUSINESS PLAN - AGROPRENEUR MUDA KELULUT

  
RANCANGAN PERNIAGAAN
(Bisnes Plan)
PROJEK TERNAKAN KELULUT
DIKAMPONG PARIT AMAL, MUAR, JOHOR
DIBAWAH PROGRAM AGROPRENEUR MUDA



  
Oleh:
MOHD AMIN BIN HASAN
No 66, Kampong Parit Amal,
Jalan Temenggong, Muar,
86200, Johor

  
Kertas ini disediakan untuk permohonan Projek Ternakan Kelulut
 (Trigona spp) dibawah Program Agropreneur Muda Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia 
 __________________________________________________________________


RINGKASAN ESEKUTIF


Kertas Rancangan Perniagaan (RP)  ini disediakan untuk melaksanakan projek ternakan kelulut  (Trigona spp) di Kampong Parit Amal, Muar, Johor dibawah program Agropreneur Muda Lebah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.  Cadangan projek ini dimajukan berdasarkan kepada potensi projek kelulut yang mampu menjana pendapatan yang baik berasaskan analisa kewangan. Kertas ini akan dihantar kepada Jabatan Pertanian untuk diproses  untuk mendapatkan kelulusan. Pinjaman dan bantuan  modal projek dipohon daripada AgroBank atau TEKUN bagi mendapatkan 70% pinjaman dan 30% bantuan grant daripada Program Agropreneur Muda Kementerian Pertanian. Projek ini akan dilaksanakan mengikut Pakej Teknologi Agropreneur Muda kelulut melibatkan 100 kotak kelulut  dengan anggaran pendapatan sebanyak purata RM7,209 iaitu ia melebihi RM5,000 sebulan. 
  __________________________________________________________________

ISI KANDUNGAN                                        MUKASURAT 

1.    RINGKASAN ESEKUTIF                             2 
2.    KANDUNGAN                                               3 
3.    PENDAHULUAN                                          4 
4.    TEKNIKAL                                                     5 
5.    PEMASARAN                                               6 
6.    PENGURUSAN                                            7 
7.    KEWANGAN                                                 7 
8.    KESIMPULAN                                               8 
9.    LAMPIRAN                                              9 -14

9.1  Peta lokasi penternakan kelulut di Muar
9.2  Surat kebenaran daripada pemilik tanah
9.3  Sijil Kursus Agropreneur Muda Kelulut
9.4  Cashflow Penternakan Kelulut

__________________________________________________________________  

  1. PENDAHULUAN 
1.1 MAKLUMAT PEMOHON

Nama Pemohon                  : MOHD AMIN BIN HASAN
No Kad Pengenalan           : 900312-01-5455 (25 Tahun)
Tempat Lahir                        : Muar, Johor
Alamat Rumah                     : N0 66, Kampong Parit Amal,
                                                Jalan Temenggong, 86200, Muar, Johor
No Telefon                            : 013-7613455 (HP)
                                                 07-79687880 (Rumah)
Tahap Pendidikan               : Diploma Pertanian (UPM)
Pekerjaan Semasa              : Penyelia Jualan Pasaraya
Alamat Bertugas                  : Econsave  Supermarket Sdn Bhd,
                                                Taman Temenggong, Muar,
                                                Johor.
Pendapatan Sebulan         : RM 1,800
Nama Isteri                          : Jamilah binti Wagimin
Bilangan Anak                    : 4 orang
Pengalaman                       : Mempunyai 10 koloni kelulut ( 3 tahun)
Kursus Rasmi                    : Sijil Kursus Agropreneur Kelulut di Pusat
                                               Apiari Sekayu,Terengganu (2014)

1.2 LOKASI PROJEK

Cadangan Projek ternakan Kelulut (Trigona spp)  ini akan diletakkan di Lot MR8573, Mukim Bandar, Muar, Johor kepunyaan Encik Hasan (Ayah) dan Lot MR4522, Mukim Bandar, Muar kepunyaan Encik Harun (Bapa Saudara) seluas 8 ekar. Lokasi projek dan jarak sejauh 1.5 km daripada rumah kediaman pemohon (Seperti dalam lampiran 1).  Pada masa ini saya meletakkan 10 koloni kelulut dalam kebun bapa dengan kawasan persekitaran adalah dusun buah-buahan campuran dan beberapa tanaman makanan kelulut yang sesuai. Berdasarkan prestasi kawasan dan sumber makanan sedia ada, banyak lagi koloni kelulut boleh diletakkan dikawasan tersebut. Satu kawasan lain berhampiran iaitu  kebun bapa saudara boleh digunakan dimana pemilik telah memberikan surat kebenaran untuk mengusahakannya  (Surat kebenaran  gunatanah seperti Lampiran 2). Lokasi yang dicadangkan mudah diakses melalui jalan kampong dan jalan kebun dimana lokasi projek mempunyai tahap keselamatan dari sebarang gangguan. Bagaimana pun bagi memingkatkan lagi tahap keselamatan kawasan kotak kelulut dan pondok dikawasan tersebut akan dipagar dan dikunci.

1.3 PENGALAMAN

Saya pernah mengikuti kursus Lebah Kelulut melalui Program Agropreneur Muda pada Oktober 2014 di Pusat Apiari Nasional, Sekayu, Terengganu anjuran Jabatan Pertanian  selama seminggu (Sijil Kursus disertakan – Lampiran 3). Saya amat berminat dengan projek ternakan lebah kelulut dimana pada masa ini telah mempunyai sebanyak 10 kotakkelulut yang diletakkan berhampiran rumah selama 3 tahun dulu. Selain itu saya mempunyai 5 kotak lebah keran  dan menjaganya dengan baik. Saya berpeluang brberapa kali mengikuti lawatan teknikal projek kelulut anjuran Jabatan Pertanian dan lawatan persendirian di Kelantan, Kedah, Melaka dan Pahang.

  1. TEKNIKAL KELULUT

Projek ternakan Lebah Kelulut Trigona spp  merupakan satu projek yang baru dikomersilkan dalam negara kita untuk kawasan dusun dan juga hutan gelam atau akasia. Selama ini sumber madu dalam negara bergantung kepada Madu Lebah yang diimpot dari luar negara dengan nilai jumlah impot melebihi RM45 juta setahun sedangkan pengeluaran madu dalam negara kurang daripada RM30 juta setahun. Kualiti madu yang diimpot atau pun keluaran tempatan banyak yang tidak tulin akibat mudahnya pengguna tertipu dengan Madu Tiruan. Pengguna kurang arif dengan bagaimana untuk mengenali madu asli dengan madu tiruan yang ada dipasaran. Oleh itu jika pengeluaran madu tempatan dapat ditingkatkan maka ianya akan menjana pendapatan pengusaha dan KDNK dalam negara. Madu kelulut juga mempunyai khasiat yang lebih hebat daripada madu impot kerana kandungan nutrien didalamnya. Ia adalah jauh lebih mahal dipasaran berbanding dengan harga madu lebah atau madu impot.

Industri Perlebahan di Malaysia dahulu hanya bergantung kepada madu dari lebah Tualang (Apis dorsata) atau lebah liar hutan yang tidak boleh diternak. Pemburu Madu Tualang hanya akan mengutip hasil pada pokok tualang yang tidak menentu hasilnya. Kemudian diperkenalkan penternakan Lebah Keran (Apis cerana) dimana ia merupakan lebah tempatan yang kurang produktif dengan penghasilan kurang daripada 5 kg/haif setahun dengan pengurusan yang baik. Lebah Keran juga garang dan suka menyengat ketika pengurusan dilakukan. Pada masa ini daripada inforamasi yang saya perolehi, penternakan Lebah Impot (Apis mellifera) merupakan spesis lebah yang berpotensi untuk dijadikan sumber pendapatan baru terutama jika diternak dikawasan hutan Akasia (Acacia mangium) atau dikawasan hutan pokok Gelam. Produktiviti daripada spesis lebah ini paling kurang mampu menghasilkan 6 - 10 kg satu haif dalam sebulan dengan pengurusan yang sempurna.

Kini penternakan lebah kelulut (Trigona spp) yang tidak menyengat ini (Stingless bee) lebih mudah diuruskan dan kurang risiko. Ini kerana lebah Trigona itama dan Trigona thoracica merupaka dua spesis kelulut yang telah dikenalpasti sangat sesuai dikomersilkan. Spesis kelulut ini merupakan jenis tempatan yang ujud secara semulajadi dikawasan dimana persekitarannya sesuai. Teknologi baru penternakan kelulut telah di sesuaikan dengan menggunakan Kotak Topping dimana membolehkan kelullut menyimpan madu didalamnya. Kaedah menggunakan batang kayu merupakan teknologi yang sesuai digunakan walau pun penggunaan kotak haf juga lebih mudah. Ramai dikalangan usahawan kelulut kini bergiat secara individu, berkelompok malahan paling unik dengan cara komersial dan ada syarikat. Beberapa pengusaha ada menubuhkan sistem ’kontrak farming’ dalam penternakan kelulut yangb boleh diikuti.


  1. PEMASARAN 
Penternakan lebah kelulut secara komersil menghasilkan produk seperti MADU LEBAH KELULUT. Selain itu projek ini juga boleh menghasilkan produk lain seperti Lilin, Debunga, Propolis, Koloni dan banyak lagi. Komponen hasil madu lebah merupakan sumber utama pendapatan usahawan. Madu Lebah belum proses dan siap proses dijual dengan harga RM 200.00 sekilogram pada harga ladang. Harga ini akan lebih tinggi apabila dijual dengan madu siap proses dibotolkan. Madu kelulut keluaran saya akan di beri kenama ’MADU LEBAH KELULUT ASLI MUARA” dengan pembotolan 120 ml, 240 ml dan juga 300 ml. Harga runcit bergantung jenis pembotolan diaripada RM 50.00 sebotol sehingga RM 120.00 sebotol mengikut pembungkusan dan  lokasi.

Pemasaran dijalankan dengan jualan borong daripada tempahan pengedar di Muar, Melaka, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Singapura. Selain itu produk madu ini akan dijual runcit melalui premis jualan di premis R&R PLUS, Pasar Malam dan juga  kepada individu yang datang. Pembekalan kepada pasaraya besar seperti MYDIN, GIANT, ECONSAVE  dan sebagainya akan dikenalpasti apabila tahap penghasilkan mencapai maksima selepas tahun ke dua. Produk asas dari penternakan lebah madu akan diproses di premis atau pusat pengumpulan hasil madu  yang akan dilengkapi peralatan moden. Sebahagian madu kelulut akan di ekspot ke Singapura dan negara jiran  mengikut perancangan.


  1. PENGURUSAN 
Projek penternakan lebah madu kelulut akan dijalankan dengan cara meletakkan semua kotak dan ’kotak topping’ dalam satu kawasan dikhususkan dalam kawasan dusun campuran dan dipasang pagar keselamatan. Pengurusan dan pemeriksaan kawasan letak koloni akan dilakukan sendiri oleh pemohon dan dibantu oleh isteri, 1 orang anak saudara dan seorang pekerja upahan dengan bayaran gaji bulanan RM 900 sebulan. Perjalananan selama 15-20 minit dari rumah membolehkan pengawasan projek ini dapat dilakukan dengan baik. Sebuah pusat mengumpul madu dan produk berasaskan madu kelulut akan didirikan dikawasan tapak. Ia berupa struktur tidak kekal iaitu memadai dengan bumbung, tiang dan para serta setor untuk menjalankan aktiviti menuai hasil dan menyimpan peralatan perlu. Pemeriksaan biasa akan dilakukan setiap hari untuk kesemua 100 kotak/ haif terutama pada waktu petang, Cuti Sabtu dan Ahad.   Bagaimana pun aktiviti menuai madu, memeriksa ratu lebah dan memecahkan koloni akan dilakukan sepanjang hari oleh pekerja tetap dan pemilik usahawan bersama pada lewat petang dan pada hari Sabtu dan Ahad kerana ada waktu yang panjang.


  1. KEWANGAN 
Lampiran 4 menunjukkan Aliran Wang Tunai atau Cashflow projek ternakan lebah kelulut dikawasan dusun tradisional yang disediakan oleh Jabatan Pertanian. Cashflow tersebut menunjukan bagi mendapatkan pulangan sebanyak RM 7,209 iaitu jumlah melebihi RM5,000 sebulan (Sasaran Pakej Projek) yang perlukan sebanyak 100 batang kayu  atau koloni kelulut. Madu kelulut akan mula dihasilkan pada bulan ke 6 dengan aggaran hasil madu sebanyak 42 kg sebulan  (Anggaran hasil meningkat mengikut masa). Jika anggaran harga madu lebah akasia sekitar RM 200.00 sekilogram, maka anggaran pendapatan kasar tahun pertama sebanyak RM50,400 dimana ia  meningkat kepada RM100,800 setahun pada tahun berikutnya.

Analisa kewangan menunjukkan jumlah pendapatan kasar untuk cashflow 5 tahun sebanyak RM 453,600 sedangkan jumlah kos pengeluaran sebanyak RM 127,795 yang memberikan pendapatan bersih sebanyak RM 325,804. Kadar Kos-Fadah (BC Ratio) adalah 3.55 bermakna etiap satu ringgit dibelanjakan akan memberikan pulangan RM3.55. Nilai kini Bersih (NPV@10%) pula adalah RM 230,899  dengan Kadar Pulangan Dalam (IRR10%) adalah 4.27%. Anggaran purata pendapatan bulanan projek ini sekitar RM 7,209 sebulan iaitu mencapai sasaran program Agropreneur Muda Ternakan kelulut. Ini bermakna dari segi cashflow, ianya positif dan berdaya maju untuk dilaksanakan.

Kertas ini mencadangkan kos pembangunan dan pembelian alatan untuk 100 koloni dalam batang kayu dan kotak topping pada tahun pertama sebanyak RM51,710 dimana ianya boleh dipohon daripada pinjaman AgroBank atau TEKUN. Kadar pembiayaan melalui pinjaman sekitar RM 50,000 (70% daripada kos projek melalui pinjaman) dan permohonan melalui bantuan daripada MOA sebanyak RM 15,000 (30% daripada kos). Anggaran bataran balik akan ditentukan oleh pihak kewangan  dianggarkan sekitar RM 800 sebulan.


  1. KESIMPULAN 
Pelan Perniagaan atau Bisnes Plan yang disediakan ini berdaya maju dimana ia adalah projek ternakan kelulut dikawasan dusun bercampur di Kg Parit Amal, Jalan Temenggong, Muar, Johor yang akan memberikan pendapatan selaras dengan konsep Pakej  Projek Agropreneur Muda Lebah Kelulut. Projek ini akan memberikan pendapatan bulanan sebanyak RM 7,209 sebulan untuk selama 5 tahun seperti dalam cashflow. Pengeluaran Madu kelulut ini merupakan jenis madu yang berkualiti dan asli dimana ia boleh dijual dalam negara atau pun untuk pasaran ekspot.  Projek ini akan dibiayai oleh pihak Bank dan MOA.

Disediakan oleh:
Mohd. Amin bin Hasan
No 66, Kampong Parit Amal,
Jalan Temenggong, Muar,
86200, Johor (013-7613455 (HP)
  

9.  LAMPIRAN

            9.1       Peta lokasi cadangan Projek kelulut Kg Parit Amal, Muar,
                        Jalan, Temenggong, Johor.  
            9.2      Surat Kebenaran Menternak Kelulut Lot MR4522   
            9.3      Sijil kehadiran Kursus Kelulut  Madu di Pusat Apiari Nasional,   
                       SEKAYU, TERENGGANU  
            9.4.    Anggaran Kos Pengeluaran dan Pendapatan (Cashflow Kelulut

 __________________________________________________________________

KERTASKERJA INI DIPAPARKAN SEBAGAI 'TEMPLATE' KEPADA BAKAL USAHAWAN AGROPRENEUR MUDA KELULUT YANG INGIN MENCEBURI DALAM INDUSTRI TERNAKAN KELULUT DI MALAYSIA. SEBARANG PERTANYAAN SILA HUBUNGI PENULIS. WASALLAM!.
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Institut Latihan Pengembangan Pertanian,
Jabatan Pertanian, Serdang, Selangor,
MAlaysia.
(25 Syaaban 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.