Friday, May 22, 2015

PADI BUKIT (Part 4) - KAWALAN PEROSAK


PENAMANAN PADI BUKIT (Oryza sativa) di Malaysia hanya tertumpu di Sabah dan Sarawak sahaja sebagai tanaman untuk kegunaan sara diri terutama dikawasan pendalaman dan rumah panjang. Kawasan penanaman padi bukit dilakukan secara tradisional dengan menggunakan tenaga tulang empat kerat dikawasan lereng bukit dan kawasan tanah yang beralun. Padi bukit ditanam dikawasan yang kering, tidak ada sistem pengairan dimana ia memang bergantung sepenuhnya kepada air hujan. Penulis yang bertugas di Sarawak selama 2 tahun lebih dan sering melawat kawasan pendalaman memang biasa dengan aktiviti penanaman padi bukit ini. Padi bukit juga saya perhatikan ditanam dengan beberapa jenis tanaman lain seperti ubikayu, keledek, jagung, kacang tanah dan beberapa lagi. Dikawasan tertentu juga tanaman padi bukit akan ditanam dicelah-celah kebun lada hitam atau kawasan penanaman baru kelapa sawit. Padi bukit memang dijadikan amalan pertanian pindah-randah dengan penggunaan input pertanian amat minima sekali. Di Pahang dan Perak juga ada ditanam padi bukit dikawasan perkampongan orang Asli. Purata hasil tanaman padi bukit adalah rendah dimana ia kurang daripada 1 mt/ha (Purata nasional sekitar 0.74 mt/ha) berdasarkan Laporan CCS Jabatan Pertanian. Tanaman padi bukit lazimnya dilakukan dengan menebang hutan atau belukar baru dan ditanam satu musim sebelum bertukar kekawasan lain. Hasil yang rendah membolehkan petani menggunakan hasilnya untuk dimakan sendiri sahaja. Artikel subuh ini saya menulis lagi dalam dalam "Anim Agro Technology" mengenai KAWALAN PEROSAK  tanaman padi bukit berdasarkan pemerhatian, pembacaan dan membuat beberapa rujukan teknikal.

(1) BURUNG PIPIT

Burung pipit (Longchura spp) merupakan sejenis burung yang suka makan padi yang hampir masak. saya ada menulis artikel mengenai burung pipit makan padi dalam artikel sebelum ini (Sila klik disini)Bagi saya dikawasan jelapang padi dan kawasan tanah lapang di Malaysia terdapat dua jenis burung pipit yang habitatnya dikawasan tanaman padi iaitu Burung Pipit Uban (Lonchura maja) dan Burung Pipit Padi (Lonchura leucogastra). Serangan burung pipit dikawasan tanaman padi terutama dikawasan penanaman padi bukit yang terpencil menjadi satu ancaman kepada petani. Jika serangan burung pipit tidak dikawal maka serangan oleh burung pipit mampu mnengurangkan hasil padi sehingga 40-70% jika tiada kawalan langsung. Biasanya petani akan membuat objek seperti "ORANG-ORANG" diletakkan tengah sawah iaitu tiang kayu yang di pasang dengan baju lama dan dipasangkan topi dan disambung dengan tali yang ditarik oleh penjaga.


(2) CENGKERIK

Serangga Cengekerik atau juga dipanggil Sesorok (Gryllotalpa orientalis) merosakan tanaman anak pokok padi yang tumbuh dengan memakan pucuknya terutama dimalam hari. Cengkerik tanah ini boleh dikurangkan populasinya dengan membersihkan kawasan kebun dan persekitarannya. Kawalan dengan racun serangga yang sesuai membantu kurangkan populasi. Kini ada petani disyorkan menggunakan perangkap lampu kerana cengkerik suka cahaya terang dan terbang kepada perangkap lampu dimalam hari. Musnahkan cengkerik yang diperangkap.


(3) ULAT PENGOREK BATANG

Ulat Pengorek Batang (Chilo spp dan Scirpophaga incertulas) akan merosakan tanaman padi bukit dengan makan batang padi. Kawalan dengan cara memusnahkan tunggul jerami padi yang lama dan kurangkan penggunaan baja N berlebihan. Semburan pada daun padi dengan racun jenis sistemik membantu mengawal populari perosak ini. Gunakan racun Fipronil atau Racun Carbofuran semasa peringkat padi bunting. Lazimnya jika ada ramai petani dikawasan penanaman padi bukit digalakkan menanam serentak. 


(4) ULAT GULUNG DAUN

Ulat Gulung Daun (Cnephalocrosis medinalis) pada tanaman padi huma jiga perlu dikawal. Kawalan dengan cara mengelakkan dari menggunakan baja N berlebihan atau dibuat semburan racun serangga jenis Chlorantraniliprole atau Fipronil atau Carbofuran pada sukatan dan masa yang tepat.


(5) KESING

Serangga Kesing (Leptocorisa acuta) lazimnya akan menyedut air sap pada biji padi diperingkat susu semasa 'filling stage'. Akibatnya biji padi akan menjadi hampa dan ini amat merugikan petani jika tidak dikawal. Kawalan racun kimia dengan racun jenis Fenthion dan Etofenprox  yang disembu diperingkap pengisian susu biji padi. Semburan dibuat jika populasi kesing tinggi.


(6) TIKUS

Serangan tikus (Rattus spp) dikawasan tanaman padi bukit lebih serius berbanding dengan disawah padi kerana tanahnya kering. Ia berlaku disemua peringkat penanaman daripada menugal benih sehingga padi hampir dituai. Tikus mesti dikawal dari awal penanaman dengan menjalankan sanitasi kebun (buang semak samun tempat perlindungan tikus0, musnahkan lubang sarangnya, pasang perangkan dan umpan yang sesuai. Umpan kimia seperti Warfarin dan Chlorophacinone dan jenama Matikus boleh digunakan dikawasan laluan tikus. Sentiasa membuat pemantau di kebun untuk melihat kesan kehadiran dan serangan sang tikus.


(7) BABI HUTAN

Babi Hutan (Sus scrofa) merupakan haiwan yang termasuk dalam kategori perosak tanaman padi bukit. Ini kerana babi hutan akan membongkar tanah dikawasan tanaman padi yang lembab untuk mencari cacing dan serangga lain. Babi hutan yang melalui kawasan padi bukit juga merebahkan tanaman dan ini menjejaskan pertumbuhan dan hasil. Kawalan babi hutan dengan memasang perangkap dan menembak dengan senjata api.
Semuga artikel ini memberi infi  berguna kepada anda. Wasallam!.


TANAM PADI... MUSUH ADA..
PADI BUKIT..LAGI DIA SUKA...
TIKUS BURUNG... JANGAN LEKA..
SILAP CARA... HASIL TIADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Sungai Semeran,
Jalan Serian-Tebedu, Serian,
Sarawak, 
Malaysia.
(25 JamadilAkhir 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.