Saturday, April 18, 2015

PUTU PIRING

PUTU PIRING merupakan sejenis makanan tradisional masyarakat Malaysia yang sering di jual dipasar malam, kedai makan, warung  dan ada juga dijual dipasaraya. Putu Piring tidak diketahui asal usul perkataan ini tetapi 'piring' mudah difahami iaitu sama dengan pinggan dan yang serupa dengannya. Penulis merujuk kepada perkataan 'putu' dalam kamus dan diberi makna sebagai 'a cookie made from green pea flour' atau maknanya 'biskut daripada kacang hijau'. Kuih ini memang disukai ramai kerana ia mempunyai rasa manis, lemak dan amat sesuai dimakan ketika suam panas. Penulis memang suka akan kuih putu piring ini terutama yang dijual dipasar malam Bukit Baru, Melaka. Selain putu piring, kita juga sering mendengar akan 'Putu Bambu' atau 'Putu Mayam' dan juga 'Putu Halba'. Selain putu piring jenis yang juga amat diminati pelanggan adalah putu bambu yang mempunyai rasa dan resepi hampir sama dengan putu piring. Harga putu piring juga murah tetapi yang paling penting adalah ia amat mengenyangkan tidak seperti makanan lain. Harga jualan sekitar RM2.00 sebungkus untuk 6 keping bergantung kepada lokasi dan jenis putu piring dijual. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai putu piring sekadar berkongsi maklumat bersama pembaca semua.

Putu piring walau pun banyak dijual di pasar malam tetapi kini ia turut menjadi hidangan pilihan di hotel terkemuka di Malaysia. Ia merupakan sejenis kuih yang diperbuat daripada tepung ubi, yang berintikan manisan atau gula Melaka. Bentuk kuih ini seperti piring dimana akan dibalut dengan kain putih sebelum dikukus dalam kukusan khas. Selepas itu, ia akan diletakkan di atas kepingan kecil daun pisang yang dialas dengan inti kelapa parut muda. Terdapat juga putu piring yang dicampurkan kunyit menjadikan warna kuning. Lazimnya bahan-bahan untuk membuat putu piring terdiri daripada (hidangan untuk sekitar 15 keping) iaitu 2 cawan tepung beras, 3/4 sudu garam, 150ml air panas, 1/2 cawan kelapa parut (ambil yang putih sahaja dan gaul dgn 1/2 sudu teh garam). Bahan lain adalah 1/2 cawan gula melaka (ia perlu diparut),  5-6 helai daun pandan, kain muslin (kain putih jarang berukuran 6-8 inci persegi) dan juga daun pisang digunting 2 inci persegi untuk dijadikan alas kuih ini. Bahan-bahan ini mudah dibeli daripada kedai runcit atau pasar tetapi perlu juga disediakan alat mengukus putu piring yang boleh dibeli dari kedai alatan dapur. 

Cara-membuat putu piring berbeza mengikut kepakaran pembuatnya. Apa pun asasnya adalah sama dimana tepung beras digoreng tanpa minyak selama lebihkurang 5 minit agar ia cukup kering. Kemudian ia perli diayak dan ia dibiarkan sejuk. Campurkan garam dengan air panas dan daun pandan. Biar sebentar untuk mendapatkan bau pandan agar lebih terasa. Kemudian direnjis-renjiskan air pandan pada tepung tersebut. Gaulkan sehingga rata supaya dapat hasil seperti serbuk roti. Adalah digalakkan agar seeloknya air panas dalam alat memasak disediakan dahulu. Kemudian perlu dipanaskan pengukus. Ambil acuan putu piring dan kemudian perlu di bubuh acuan putu dengan sedikit minyak masak. Tabur sedikit tepung dan kemudian sedikit gula merah atau gula melaka ditengahnya. Tambah sedikit tepung lagi di bahagian atasnya. Letakkan kain muslin diatasnya dan telangkupkan acuan pada pengukus (elok guna pengukus khas) dan biarkan selama 3-4 minit dan angkat acuan (Sila lihat foto disebelah). Biarkan putu dalam kain muslin selama kira2 seminit lagi sebelum kain dan putu diangkat. Buka kain muslin dan letakkan sedikit kelapa parut yg telah digaul dgn sedikit garam. Letakkan daun pisang di atasnya dan terbalikkan putu. Kuih putu piring panas ini sedia untuk dihidang dan di makan. 


LAPORAN AKHBAR
Putu piring panas

TANGAN Amir tangkas memasak putu piring yang disediakan menerusi kaedah kukus.

DERETAN acuan logam berbentuk bulat yang dilapisi dengan sehelai kain putih penuh terisi dengan adunan kuih putu piring. Apabila dilihat sudah hampir masak, seorang lelaki berusia 45 tahun dengan pantas menaburkan parutan kelapa di atas semua acuan yang terletak berhampirannya. Sambil tangan ligat mengangkat kepingan kuih putu piring yang sudah masak ke dalam bekas polisterin, peniaga bernama Amran Mohd. Ali itu tersenyum menyambut kedatangan penulis. "Mahu putu piring kak? Panas-panas macam ni memang sedap dimakan," tuturnya sambil meneruskan kerja meletakkan adunan baru kuih tersebut di atas acuan yang telah kosong untuk dikukus. Apabila memberitahu tujuan sebenar kedatangan penulis, Amran dengan senang hati bersedia menjawab soalan yang ingin dikemukakan kepadanya. Menurutnya sudah hampir 10 tahun dia menjalankan perniagaan menjual putu piring secara kecil-kecilan di pasar malam sekitar Kuala Lumpur. Ia merupakan resipi turun-temurun keluarganya.

Proses membuat putu piring yang mudah dan ringkas serta hanya memerlukan modal yang sedikit menyebabkan Amran berminat mencuba nasib menjadi penjual kuih tradisional itu. Ternyata, rezeki yang berasaskan bidang perniagaan itu dapat menyara kehidupannya sekeluarga. Berbeza dengan penjual putu piring yang lain, Amran mempunyai keistimewaan tersendiri kerana tidak mempunyai pembantu untuk membuat kuih tersebut. "Biasanya peniaga putu piring sentiasa mempunyai seorang pembantu untuk melancarkan proses menghasilkan kuih tersebut yang diketahui cepat masak dan perlu diangkat dengan kadar segera sebelum menggantikan dengan adunan baru. "Tetapi, saya lebih selesa bersendirian. Bak kata pepatah, 'alah bisa tegal biasa' kini saya langsung tidak kekok melakukan rutin sebegini," jelasnya lagi. Di samping itu, aroma harum yang terbit daripada kuih putu piring yang dimasak membuatkan ramai pelanggan di gerai Amran yang beroperasi di pasar malam Pandan Indah pada hari Khamis setiap minggu. "Alhamdulillah, kadang-kadang saya mampu menjual sehingga 400 keping putu piring setiap hari. Mungkin rasanya yang lembut dan mempunyai inti secukup rasa menambat hati pelanggan yang membeli," ungkap Amran sambil memberitahu tiga keping putu piring dijual pada harga RM1. Selain pasar malam Pandan Indah, Amran turut berniaga di beberapa lokasi pasar malam lain di sekitar Kuala Lumpur termasuklah di Putrajaya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca. Wasallam!.

PUTU PIRING...ENAK SEKALI...
PASAR MALAM...BOLEH BELI...
RASA LEMAK... MANISNYA ISI...
HARGA MURAH... PUAS HATI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(19 JamadilAkhir 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.