Saturday, March 21, 2015

ANGGUR - MUDAH HIDUP

TANAMAN ANGGUR (Vitis spp) adalah tanaman berhawa dingin dari keluarga Vitaceae yang digunakan sebagai buah segar dan di proses untuk dibuat minuman, kismis, jus, wine dan sebagainya. Penanaman anggur banyak di negara beriklim sub-tropika atau sederhana sejuk dan kini telah ada varieti yang telah sesuai diadaptasikan dengan iklim tropika. Terdapat banyak spesis tanaman anggur di dunia dan telah dikhususkan untuk kegunaan penanaman. Tanaman anggur di Malaysia masih baru dan dalam peringkat pembangunan lagi. Thailand dan Indonesia telah maju dalam industri penanaman anggur berbanding dengan Malaysia. Kajian penulis mendapati penanaman anggur di Malaysia cuma dimulakan sekitar tahun 1980'an. Dalam membuat rujukkan di Jabatan Pertanian, tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan tanaman anggur di Malaysia tetapi penulis menganggarkan sekitar 10-15 hektar CHE. Hanya beberapa lokasi yang ada menanam anggur seperti di Perlis dan yang ada dinegeri lain adalah ditanam sebagai hobi sahaja. Negeri Perlis adalah antara negeri yang maju dalam penanaman anggur. Ini kerana sifat semulajadi pokok anggur yang perlukan musim kemarau 3-4 bulan untuk menggalakan ia berbunga dan berbuah. Tanaman anggur perlukan cahaya matahari yang banyak dan curahan hujan yang kurang dari 800 mm setahun. Penyiraman atau hujan akanmengganggu kadar pengeluaran buah. Suhu yang sesuai antara 31 celsius dan suhu minima tidak kurang 21 celcius dengan kadar kelembapan diperlukan lingkungan 75-80%. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman anggur untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan pembaca blog ini.

Kita kagum apabila mendapati laman sekangkang kera di kawasan perumahan dihiasi pokok anggur hijau dan merah yang berbuah bukan sekali dua setahun malah tidak putus-putus berbuah sejak ditanam (Lihat foto sebelah). Setiap tetamu yang datang mengemukakan pelbagai soalan malah tidak putus-putus menanyakan petua untuk memastikan anggur yang ditanam kekal hidup dan menghasilkan buah yang cantik dan boleh dimakan. Peanaman anggur pada awalnya ramai yang mempunyai persepsi bahawa anggur sukar ditanam terutama untuk dijadikan pokok hiasan kerana ia tidak sesuai dengan cuaca dan suhu di negara ini. Namun jika mengikut panduan dan cara yang betul tidak mustahil anggur menjadi hiasan utama laman kediaman sesiapa saja. Asas utama yang perlu di ambil kira sebelum memilih anggur sebagai tanaman hiasan adalah pemilihan biji benih. Ada dua perkara utama perlu di ambil kira sama ada memilih pokok anggur tahan kulat atau menyediakan persekitaran yang berbumbung lutsinar. Jika dua perkara ini diberikan keutamaan maka hasrat menjadikan anggur sebagai tanaman hiasan akan menjadi kenyataan,” katanya.

Keunikan anggur sebagai tanaman hiasan, katanya anggur sangat cantik untuk ditanam pada tepian pagar, pergola, para-para dan wakaf kerana menghasilkan gugusan buah yang berwarna-warni sama ada hijau, merah dan ungu, selain sifatnya yang menjalar dengan daun pecah lima yang unik. Pokok anggur mudah diasuh mengikut kemahuan pemiliknya. Lebih cantik ditanam bertingkat-tingkat di tepi pagar dimana ia menjalar tepian pergola serta diasuh membentuk seperti kerangka payung di laman kediaman. Mereka yang berminat menanam anggur sebagai tanaman hiasan dinasihatkan mendapatkan benih yang terbaik dan tahan kulat. Sebaaiknya membeli anak benih daripada nurseri bunga berbanding menyemai biji benih atau keratan batang. Mengikut teknik yang betul, aktiviti menyemai melalui keratan batang dan tut lebih mudah berbanding menyemai biji benih. Pokok anggur boleh hidup subur di negara ini disebabkan tiga faktor iaitu matahari, air dan tanah. 

Aktiviti pemangkasan (pruning) adalah perkara wajib untuk pengeluaran bung dan juga pembuahan. Kalau tidak dibuat cantasan maka pokok anggur tidak akan berbuah. Pokok anggur secara agronominya adalah adalah tanaman yang semakin tua semakin menjadi kerana ia menghasilkan mutu buah yang baik. Lazimnya dalam tempoh pembuahan pertama hasil buah anggur tidak berapa bermutu. Banyak laporan mendapati pokok anggur yang telah berbuah tiga atau empat kali memberikan hasil buah yang bermutu. Anggur bukanlah satu tanaman yang aneh atau pelik malah satu perkara biasa dibuat di halaman rumah ataupun ladang dengan buah yang hebat dan manis. 

Cara menanam pokok anggur perlu disesuaikan dengan lokasi penanaman dan juga varieti anggur. Lazimnya tanah yang berpasir sesuai bagi tanaman anggur. Tanah tersebut perlu digemburkan dengan cara mengorek lubang sedalam 3.5 meter - 0.60 meter (11.2 kaki, lebar 2 kaki). Sebaiknya buat seperti tanah berbukit yang tidak air bertakung didalamnya. Masukkan tanah yang telus air dicampurkan dengan sedikit baja ke dalam lubang yang disediakan. Untuk kawasan tanah rata atau berpaya, tanaman diatas batas amat digalakkan bagi mengelakkan akar pokok daripada terendam air. Saiz batas yang sesuai adalah sekurang-kurangnya 0.3 meter - 0.45 meter (1 kaki tinggi dan 1 1/2 kaki lebar) batas diperlukan. Saluran air amat penting supaya air tidak bertakung di sekitar pokok. Hindarkan menanam di tanah yang mengandungi garam (masin), tanah gersang atau tanah yang kurang penyerapan airnya. Tanam secara pasu digalakkan bagi kawasan perumahan.  Sinaran matahari amat perlu bagi penanaman anggur, sekurang-kurang 80% ke 100% sinaran matahari diperlukan. Kawasan berbumbung yang telus sinaran matahari digalakkan supaya mendapat tanaman yang sihat dan senang diawasi dari serangan penyakit.  Tanaman secara pasu pula, pasu yang berukuran 40.6 -45.7 cm (16-18 inci) luas dan 35.6 cm- 45.7 cm (14-18 inci) dalam sudah mencukupi bagi setiap pohon anggur yang sihat dan menghasilkan buah bermutu. 

Pemangkasan dan latihan dijalankan dengan permotongan dahan dibuat apabila pokok setinggi 1.52 meter (5 kaki). Buang semua daun, ranting yang kurang sihat dan potong pucuknya. Pastikan cabang merayap ikut arah yang dikehendaki . Bagi cara membuat pemangkasan untuk pembuahan, kita perlu tabur baja penggalak bunga 20 hari sebelum pemangkasan dibuat. Kemudian buang semua daun dan potong cabang yang tidak dikehendaki. Potong semua ranting yang kurang sihat dan potong ranting yang sihat sekadar 4 atau 5 mata tumbuh dari cabang. Potong pucuk kira - kira 1.21 meter ke 1.52 meter (4 atau 5 kaki) dari cabang.  Uruskan kerja dengan baik dan teratur. Bersihkan di kawasan pokok dan buangkan daun-daun yang gugur di sekitarnya.

Kadar pembajaan pohon anggur berbeza mengikut varieti dan umur pokok.  Lazimnya baja organik amat sesuai bagi pokok muda dan sebaiknya gunakan baja NPK yang sama pada pokok muda. Tabur baja  pada jarak sekitar 1 kaki dari pangkal pokok jika anggur ditanam diatas tanah dan sedikit jauh dari batang jikalau didalam pasu. Jarak yang terbaik sesuatu pembajaan ialah 7 - 10 hari. Kurangkan anggaran yang dicadangkan oleh pengeluar baja, gunakan 50% - 60% dari angaran yang sebenarnya. Kaedah siraman pokok anggur boleh dibuat apabila didapati tanah disekeliling pokok itu kering. Penyiraman memerlukan air yang banyak, tetapi awas jangan sampai bertakung.  Sebaik-baiknya penyiraman dibuat pada sebelah petang atau awal pagi. Siram cara berhati-hati dengan siraman air yang perlahan. Buat siraman pada pangkal pokok, daun tidak memerlukan air. Kurangkan siraman semasa buah sedang masak atau 20 hari sebelum dipetik buahnya.


TANAM ANGGUR... MUDAH SEKALI...
PILIH BENIH... DITANAM BERDIRI...
BUAT PEMANGKASAN...DENGAN TELITI...
BERBUNGA BERBUAH...IA TERBUKTI...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Saujana,
Putrajaya, Malaysia.
(29 Zulkaedah 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.