Saturday, January 10, 2015

KELAPA - KELAPA MGD


KELAPA MGD (Malayan Green Dwarf) merupakan satu varieti kelapa renek yang kurang dikenali dan sedikit ditanam di Malaysia sebagai tanaman untuk menghasilkan biji kelapa. Penulis blog semasa membuat tinauan rambang mendapati kelapa jenis ini sering dijadikan tanaman landskap yang mana ia juga mampu mendatangkan hasil. Kelapa varieti ini (Cocos nucifera) dipercayai natif di Malaysia berdasarkan kepada nama diberikan iaitu Malayan Green Dwarf atau Kelapa Renek Hijau (KRH).  Kelapa ini masih lagi belum didaftarkan didalam senarai varieti tanaman Malaysia (National variety listing) tetapi dua lagi kelapa renek telah didaftarkan iaitu Kelapa Renek Merah (MRD - CN4) dan juga Kelapa Renek Kuning (MRD - CN5). Mungkin ada dikalangan pembaca rupa-rupanya ada menanam sepokok dua pokok MGD ini dikawasan keliling rumah terutama mereka yang duduk dikawasan kampong tradisional. Mendengar namanya tentu kita boleh mengagak bahawa pokok kelapa ini adalah jenis renek berbanding dengan jenis kelapa tinggi. Kelapa boleh dibahagikan kepada dua kategori mudah iaitu jenis KELAPA RENEK (Dwarf) dan juga KELAPA TINGI (Tall). Antara varieti kelapa renek yang ada dinegara kita seperti Malayan Green Dwarf (MGD), Malayan Yellow Dwarf (MYD), Malayan Red Dwarf (MRD) dan juga Malayan Brown dwarf (MBD).  Jenis kelapa tinggi pula adalah seperti Malayan Tall (MT), Tagnanan (TAG) dan West African Tall (WAT). Bagaimana pun kini terdapat gabungan diantara kelapa renek dengan kelapa tinggi yang dipanggil sebagai kelapa kacukan (Hibrid) seperti MAWA (Antara Malayan Tall dengan WAT), MATAG (Antara MRD/MYD dengan Kelapa Tagnanan) dan beberapa lagi. Memang banyak varieti kelapa yang ujud diseluruh dunia terutama dikawasan negara yang berpulau-pulau sebagai tanaman penting menjadi sumber ekonomi mereka. Ini kerana tanaman kelapa adalah dari jenis yang lasak dan mempunyai jenis benih yang 'keras kepala' atau 'recalcitrant seeds'. Apa pun artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman kelapa varieti Malayan Green Dwarf untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


Pokok Kelapa Renek Hijau atau dalam bahasa Inggeris sebagai (Malayan Green Dwarf - MGD) ini selalu tumbuh menegak dengan ketinggian antara 15-25 kaki pada keadaan biasa. Bentuk kanopi pokok sama dengan kelapa lain iaitu menegak dan berdaun dibahagian pucuk. Ia mempunyai kadar pertumbuhan secara sederhana. Kelapa ini mempunyai susunan daun berputar (Spiral) dengan jenis daun kompoun pinat. Uniknya kelapa MGD ini adalah kerana ia mempunyai warna daun, pelepah dan buah yang hijau cerah. Panjang etial helai daun sekitar 16 -18 inci dengan susunan daun bertentangan pada pelepahnya. Selain earna hijau kadang-kadang ia bercampur dengan warna seperti kekuningan sedikit. Kelapa MGD mempunyai bunga yang berwarna putih kekuningan yang keluar secara spiral mengikut susunan sekali sebulan. Ia menjalankan kaedah pendebungaan berbantu atau oleh agen semulajadi eperti serangga, lebah madu, kumbang dan juga angin. Oleh kerana ia jenis 'pure line' maka buah kelapa yang dihasilkan oleh pokok MGD dalam keadaan terkawal boleh dijadikan benih (walau pun diperingkat semaian kita boleh melalkukan penakaian benih yang tidak sesuai). Pemilihan pokok yang subur dengan buar lebih 80 biji sepokok setahun membolehkan ia amat sesuai untuk di kolersilkan.


Buah Kelapa MGD ini berbentuk Oval atau Bulat dengan warna hijau ketika muda dan akan menjadi coklat kehitaman apabila masak dan gugur (Sila lihat foto disebelah). Buah ini berukuran antara 6 - 12 cm ukurlilit dengan ada lapisan sabut sederhana tebal. Pokok kelapa MGD cepat berhasil berbanding dengan pokok kelapa jenis tinggi (seperti Malayan Tall dan Tagnanan) iaitu hanya mengambil masa 3-4 tahun sahaja. Kebanyakan kelapa tinggi akan mengeluarkan bual selepas 6-7 tahun ditanam. Satu tandan pada umur pokok 5-6 tahun mampu menghasilkan sebanyak 18 - 30 biji kelapa (nuts) bergantung kepada penjagaan tanaman dan amalan agronomi. Walau pun saiz kelapa ini agak kecil daripada kelapa tinggi Malaysn Tall, tetapi beberapa biji yang dibuang dari tandan diperingkat awal (penakaian) membolehkan ia menghasilkan buah kepala MGD yang besar. Kelapa ini boleh digunakan untuk menghasilkan santan dan produk lain berasaskan santan. Air kelapa MGD walau pun tidak seenak kelapa pandan masih boleh diminum sebagai air kelapa.


Penanaman Kelapa MGD dilakukan sebagai tanaman tunggal atau secara intergrasi dengan tama,am lain. Sistem penanaman yang sesuai adalah secara Sistem Tigasegi atau Sistem Empat Segi.  Bagaimana pu teknik menanam secara tigasegi lebih sesuai dilakukan dikawasan kebun petani untuk mendapatkan bilangan kepadatan pokok lebih tinggi. Jarak penanaman adalah 6.5 meter x 6.5 meter untuk memberikan kepadatan sebanyak 272 pokok sehektar. Bagaimana pun jika hendak menanam secara intergrasi adalah dengan nenas disyorkan menanam kelapa dengan jarak 7 meter x 7 meter untuk memberikan kepadatan 204 pokok sehektar. Cara ini membolehkan petani menanam sebanyak 10,790 pokok nenas sehektar. Nenas ditanam dengan jarak 60 cm x 60 cm sama ada secara 6 baris selorong (sebanyak 166 pokok sebaris untuk 12 lorong) atau 5 baris selorong (sebanyak 166 pokok sebaris untuk 13 lorong sehektar). Penanaman secara intergrasi dengan nenas akan memberikan pendapatan lebih kepada petani dan cepat berhasil. Penanaman kelapa MGD boleh juga digalakan dikalangan penduduk kampong sama ada secara komersil atau juga untuk dijadikan pokok hiasan dikawasan rumah atau sepanjang kampong. Ia mudah dijaga dan mampu memberikan hasil kelapa. Wasallam!...
KELAPA MGD... HIJAU WARNANYA...
POKOK RENDAH...LEBAT BUAHNYA...
CEPAT BERHASIL...BENIH DIMANA...
TANAM MGD...  BERBALOIKAH DIA....

By,
M Anem,
Senior Agronomit,
Pusat Pertanian Parit Botak,
Senggarang, Batu Pahat,
Johor, Malaysia,
(13 RabiulAwal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.